8 September 2014

Tentera mengaku fitnah remaja


Narathiwat: Pihak berkuasa di selatan Thailand secara rasmi memohon maaf atas tindakan seorang sukarelawan separa tentera memfitnah seorang remaja lelaki yang dibunuhnya.

Pegawai kanan Narathiwat dan tentera berpangkat tinggi menyatakan kekesalan mereka atas kematian Muhammad Asuwan Sorhor di daerah Si Sakhon pada 21 Ogos lalu. Dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Narathiwat, mereka menjelaskan kematian Muhammad Asuwan akibat salah faham.


Komander tentera Narathiwat, Mej Jen Singhasak Uthaimongkhol berkata, remaja berasal dari Lamphu itu ditembak dalam gelap di depan pangkalan renjer tentera. “Sukarelawan di pangkalan itu menyangka mangsa seorang daripada tujuh penyerang bersenjata yang melepaskan tembakan ke arah tempat mereka sebelum itu.



“Secara kebetulan mangsa bersama rakannya yang menaiki motosikal lalu di kawasan berkenaan dan berpatah balik sebaik saja terdengar bunyi tembakan,” katanya.


Renjer di pangkalan itu bertindak semberono dengan melepaskan tembakan ke arah Muhammad Asuwan dan rakannya.


Satu daripada tembakan itu terkena leher mangsa menyebabkan dia terbunuh.

Mayatnya ditemui 100 meter dari pangkalan berkenaan. Seorang daripada sukarelawan itu meletakkan sepucuk pistol di tepi mayat Muhammad Asuwan bagi menggambarkan dia seolah-olah pemisah yang menyerang pangkalan renjer berkenaan.


Namun, kata Singhasak, sukarelawan berkenaan tidak berniat membunuh Muhammad Asuwan sebaliknya melepaskan tembakan secara spontan. Disebabkan kecuaian itu, pihak berkuasa berjanji mendakwa sukarelawan terbabit di mahkamah.

Tentera juga menderma RM5,000 untuk membiayai pengebumian Muhammad Asuwan, selain berjanji menjaga tiga adik mangsa. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada: 2014/09/08

No comments:

Post a Comment