30 November 2014

6,000 penduduk diracuni toksik?


BANGKOK 29 Nov. – Sekurang-kurangnya 6,000 orang penduduk yang tinggal berhampiran sebuah lombong emas di wilayah Phichit, utara Thailand, dikhuatiri telah diracuni dengan bahan toksik.
Laman web Bangkok Post memetik laporan Ketua Institut Sains Forensik, Porntip Rojanasunan sebagai berkata, pihaknya menemukan unsur kimia mangan dan arsenik di dalam 329 daripada 600 sampel darah penduduk tempatan yang me­netap di daerah Thap Khlo.
Porntip menganggarkan, 6,000 penduduk mungkin dicemari dengan unsur kimia tersebut termasuk kadmium yang boleh didapati di sekitar empat kilometer dari tapak lombong berkenaan.
“Penemuan ini begitu membimbangkan,” jelasnya ketika menjadi tetamu dalam program berita FM106, semalam.
Mangan boleh mengakibatkan masalah saraf dan Parkinson jika seseorang terdedah secara berterus­an terhadap bahan itu, manakala arsenik pula akan menyebabkan sakit kepala, buta dan angin ahmar.
Kata Porntip lagi, kajian yang dijalankan oleh Universiti Rangsit menemukan tiga unsur berkenaan di dalam tanah, sayur-sayuran dan air kira-kira empat kilometer dari kawasan lombong.
“Kami perlu mengetahui sejauh mana unsur-unsur kimia ini telah tersebar. Kami menjumpai kadmium di sesetengah tumbuhan,” ujarnya lagi.
Ujian ke atas sampel darah ber­kenaan dilakukan pada hari Rabu dan kelmarin.
Ujian susulan pula akan dilakukan ke atas 40 orang penduduk yang dicemari dengan unsur kimia tersebut dalam masa terdekat bagi memastikan sama ada terdapat bahan toksik lain di dalam badan mereka.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/6-000-penduduk-diracuni-toksik-1.30701#sthash.HqsqdTe1.dpuf

Bahan bukti Yingluck ditolak

Yingluck Sinawatra
Yingluck Sinawatra
BANGKOK 29 Nov. – Dewan Legislatif Kebangsaan (NLA) semalam menolak permohonan bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra (gambar) untuk mengemukakan bahan bukti bagi menangkis tuduhan beliau terlibat dalam skandal rasuah program subsidi beras.
Laman web Bangkok Post melaporkan, keputusan tersebut diambil selepas Presiden NLA, Pornpetch Wichitcholachai meminta anggota dewan tersebut mengundi untuk menerima 28 bahan bukti yang mahu dikemukakan oleh Yingluck, dengan 165 daripada mereka menolak manakala 15 lagi menerima.
Semalam, Pornpetch menetapkan 9 Januari ini sebagai tarikh proses pendakwaan dimulakan di mana Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan (NACC) dan Yingluck perlu mengemukakan hujah pertama mereka.
Peguam yang mewakili bekas Perdana Menteri itu, Norawit Lahlaeng berkata, pihaknya perlu menyerahkan lebih banyak bahan bukti kepada NLA untuk dipertimbangkan dan 28 bukti terbabit adalah resolusi Kabinet yang dapat menolak dakwaan anak guamnya melakukan kecuaian ketika melaksanakan program tersebut.
Kata Norawit lagi, beliau memberitahu NLA bahawa keterangan tambahan yang mahu dikemukakan bukanlah satu perkara baharu, tetapi perkara tersebut tidak dibincangkan oleh NACC.
“Penting untuk NLA melihat kesemua bahan bukti yang mahu kami serahkan sebelum proses pendakwaan dimulakan,” jelas Norawit.
Bagaimanapun, seorang anggota NACC, Vicha Mahakhun berkata, bahan bukti yang dipersoalkan oleh pasukan peguam berkenaan sudah dimasukkan ke dalam laporan pendakwaan NACC, selain mendedahkan peguam Yingluck gagal menghantar 44 bahan bukti yang dibenarkan oleh pihaknya.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/bahan-bukti-yingluck-ditolak-1.30708#sthash.siBEaiHO.dpuf

29 November 2014

Askar ‘beli’ jiwa rakyat


Bangkok: Kerajaan sokongan tentera Thailand nampaknya terus gigih membeli jiwa rakyat negara itu selepas menyingkirkan Yingluck Shinawatra beberapa bulan lalu.
Semalam media melaporkan, tentera akan membuka semua unit mereka di Bangkok kepada orang awam dan menggalakkan peniaga datang untuk mengagih-agihkan hadiah menjelang tahun baru nanti,
Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha berkata, orang awam yang berminat juga boleh menyertai acara jualan barang murah atau terpakai yang dirancang diadakan besar-besaran itu.
“Bagi barangan percuma, ia akan dicap bagi mengelakkan ia dijual semula,” katanya.
Prayuth mengetuai kudeta tentera mengetepikan Yingluck pada Mei lalu tetapi tindakan berkenaan mendapat bantahan meluas.
Sejak membentuk kerajaan, junta tentera menggunakan pelbagai kaedah bagi meredakan kemarahan orang awam.
Prayuth berkata, tindakan membuka pintu itu diambil selaras dengan dasar ekonomi raja negara itu yang inginkan semua rakyat mampu memperoleh barangan keperluan. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12413#sthash.KRnlYBYA.dpuf

Amuk kena tengking


Agensi
Kuchinarai, Thailand: Akibat bosan kerana sering ditengking berulang kali, seorang tukang cuci bangunan menembak mati pengarah sekolah tempatnya bekerja, lapor media semalam.
Menurut jurucakap polis wilayah Kalasin, mereka dimaklumkan mengenai kejadian di Sekolah Samkhratbamrung di daerah Kuchinarai itu kira-kira jam 6 petang kelmarin.
Kata jurucakap itu, Yongyut Saisomboon, 59, sedang minum bersama beberapa guru lain di kantin sekolah apabila didatangi Jai Cherdchai.
“Sebaik saja Yongyut melihat Jai, mereka mula bertengkar dan suspek mengeluarkan pistol lalu menembak mangsa berkali-kali.
“Kejadian disaksikan beberapa guru,” katanya.
Sejurus selepas itu, kata jurucakap polis, suspek ketakutan dan melarikan diri.
Apabila polis tiba, katanya, mereka menemui mayat Yongyut terkapar dan berlumuran darah di kantin sekolah.
Polis turut menemui lapan kelongsong peluru di tempat kejadian.
Jai kemudian ditangkap di rumahnya tidak lama kemudian.
Polis merampas sepucuk pistol yang dipercayai digunakan sebagai senjata pembunuhan.
Sementara itu, Ketua Polis Kuchinarai, Kol Prasit Champathum berkata, tukang cuci bangunan itu mengaku menembak Yongyut akibat terlalu lama menyimpan dendam.
Kata Prasit, Jai sering dimarahi Yongyut kerana tidak datang bekerja.
“Sebelum melakukan pembunuhan, Jai pulang mengambil pistolnya.
“Jai juga memberitahu isterinya bahawa dia ingin membunuh seseorang pada hari itu,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 28 November 2014 @ 5:06 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12414#sthash.6cMRD8bJ.dpuf

Kutuk hukuman mati

Bangkok: Kumpulan hak asasi manusia mengutuk Thailand kerana menjatuhi hukuman mati terhadap lima pemisah Islam yang disabitkan kesalahan oleh mahkamah semalam.
Pengarah Penyelidikan Amnesty International Asia Tenggara, Rupert Abbott berkata, keputusan berkenaan hanya memburukkan usaha mencari perdamaian di selatan Thailand.
“Hukuman mati itu sendiri bercanggah dengan hak asasi manusia dan tidak mampu mengekang gelombang keganasan di wilayah berkenaan.
“Kerajaan mungkin menyangka hukuman itu menjadi penyelesaian segera kepada kempen antikeganasan namun tiada bukti ketegasan begitu boleh menyelesaikan masalah,” katanya.
Semalam mahkamah di Pattani menjatuhi hukuman mati ke atas Ismail Daong, Masahadi Methor, Gordae Jatae, Nimuhammad Niseng dan Hisbulloh Buesa bagi tuduhan menembak mati empat anggota tentera di wilayah itu pada Julai 2013.
Pegawai Persekutuan Hak Asasi Manusia Antarabangsa, Andrea Giorgetta berkata, Bangkok berkali-kali menyatakan mahu memansuhkan hukuman mati.
“Malangnya ia bukan saja terus wujud, malah kesnya meningkat,” katanya. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 29 November 2014 @ 5:15 AM


INSIDEN serangan terhadap kenderaan tentera didakwa dilakukan pejuang pemisah Islam di Pattani pada 2013.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/12784#sthash.G4D7FZme.dpuf

Hukuman mati ke atas anggota pemisah dikecam

Kumpulan hak asasi berpendapat, hukuman mati yang dijatuhkan ke
Kumpulan hak asasi berpendapat, hukuman mati yang dijatuhkan ke atas anggota pemisah di selatan Thailand, tidak akan mengurangkan pergolakan di wilayah berkenaan. – AFP
BANGKOK 28 Nov. – Beberapa kumpulan hak asasi manusia, hari ini mengecam pihak berkuasa Thailand kerana menjatuhkan hukuman mati ke atas lima anggota pemisah Islam dengan menyifatkan tindakan itu tidak akan membantu mempromosi keamanan di wilayah selatan negara ini.
Kesemua individu itu didapati bersalah oleh Mahkamah Wilayah Pattani, kelmarin kerana menembak mati empat anggota tentera pada Julai tahun lalu, lapor akhbar Thai Rath.
Defen­dan yang dijatuhi hukuman mati dikenali sebagai Ismail Daong, Masahadi Methor, Gordae Jatae, Nimuhammud Niseng dan Hisbulloh Buesa.
“Hukuman mati mencabul hak asasi manusia tidak akan membantu membendung gelombang keganasan di selatan Thai,’’ kata Pengarah Penyelidikan Amnesty International Asia Tenggara, Rupert Abbott.
Jurucakap Persekutuan Antarabangsa Hak Asasi Manusia (FIDH), Andrea Giorgetta pula berkata, Thailand kerap kali menyatakan komitmen untuk memansuhkan hukuman mati, namun janji itu tidak diterjemahkan dengan perbuatan.
Menurut FIDH, terdapat 623 tahanan (572 lelaki, 51 wanita) dijatuhi hukuman mati di Thailand setakat 31 Ogos lalu dengan kebanyakan kesalahan berkaitan penyalahgunaan dadah.
Kali terakhir hukuman mati dilaksanakan di Thailand adalah pada 2009 apabila dua lelaki disabit kesalahan menyeludup dadah, menjalani hukuman menerusi kaedah suntikan maut. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/hukuman-mati-ke-atas-anggota-pemisah-dikecam-1.30391#sthash.yQtYyeX1.dpuf

Yingluck akan dibicara 9 Januari


BANGKOK 28 Nov. – Badan perundangan Thailand yang dilantik oleh junta tentera hari ini memulakan prosi­ding pendakwaan ke atas bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berhubung pro­­gram subsidi beras yang mengalami kerugian.
YINGLUCK SHINAWATRA
“Kami menetapkan tarikh 9 Januari 2015, hari Jumaat sebagai hari permulaan perbicaraan melibatkan defendan, Suruhanjaya Anti Rasuah Kebangsaan dan tertuduh, Yingluck,’’ kata Presiden Parlimen, Pornpetch Wichitcholachai.
Perbicaraan itu akan memakan masa selama 45 hari sebelum satu undian diadakan bagi menentukan sama ada Yingluck akan didakwa atau sebaliknya.
Di Thailand, pegawai kerajaan masih boleh didakwa mes­kipun sudah melepaskan jawatan itu dan Yingluck mungkin dilarang memegang jawatan kerajaan sekiranya didakwa.
Tindakan Majlis Ke­amanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO) dilihat bakal menamatkan pengaruh kuat keluarga Shinawatra dalam arena politik Thailand yang bermula semasa zaman Thaksin, sebelum adik perempuannya, Yingluck pula turut dipilih menjadi Perdana Menteri. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/yingluck-akan-dibicara-9-januari-1.30389#sthash.ZoXGV5sN.dpuf

28 November 2014

Thailand Tahan Lanun Warga Indonesia, Rampas Minyak Sawit


Diterbitkan: Jumaat, 28 November 2014 7:10 PM

NARATHIWAT: Pihak berkuasa Thailand menahan lapan warga Indonesia disyaki lanun ketika berada dalam kapal Sricadi 515 di perairan Teluk Siam, daerah Takbai dekat sini, Jumaat.
Ketua Polis Marin ke-7 Wilayah Narathiwat Mej.Pol. Puthinan Puthiranon berkata mereka ditahan pihak berkuasa daerah Takbai, Wilayah Narathiwat, ketika kapal itu berhenti di kawasan berkenaan kira-kira 9 pagi tadi.
Beliau berkata semasa siasatan, suspek mengaku mereka merompak dan merampas kapal itu di perairan Indonesia pada 9 Okt lepas.
Sebelum ini, pihak berkuasa Indonesia melaporkan kapal itu, yang membawa 2.7 juta liter minyak sawit mentah bernilai 60 juta baht, telah dirompak lanun.
Puthinan berkata kesemua suspek ditahan kerana kesalahan memasuki Thailand tanpa dokumen sah, memiliki minyak sawit mentah tanpa izin dan memiliki kapal yang tiada sebarang dokumen yang sah.
Menurutnya seorang daripada suspek itu memberitahu bahawa mereka berada di perairan Teluk Siam selama enam hari dan telah menjual sebanyak 300,000 liter minyak sawit mentah kepada peniaga Indonesia di perairan Wilayah Pattani.
Puthinan berkata kesemua suspek itu dibawa ke Balai Polis Wilayah Narathiwat untuk siasatan lanjut.
Polis juga akan melaporkan kepada Pejabat Kedutaan Indonesia di Bangkok mengenai tangkapan itu, katanya.

Pilihan raya Thailand pertengahan 2016

Anggota tentera berkawal ketika penduduk mengadakan tunjuk perasaan
Anggota tentera berkawal ketika penduduk mengadakan tunjuk perasaan berikutan tindakan tentera merampas kuasa pada Mei lalu. – AGENSI
BANGKOK 27 Nov. – Pilihan raya di negara ini mungkin ditunda kepada pertengahan tahun 2016, sehari selepas pegawai tentera menolak kemungkinan perintah darurat ditarik balik dalam tempoh terdekat.
Timbalan Perdana Menteri yang juga merangkap Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwon berkata, 2016 merupakan tahun yang paling sesuai untuk Thailand mengadakan pilihan raya.
“Saya fikir 2016 tahun yang paling sesuai (diadakan pilihan raya). Jika Perlembagaan sudah di­siapkan, pilihan raya akan diadakan pada bila-bila masa,” jelas Prawit.
Kenyataan kedua-dua pemimpin junta itu, mencetuskan keresahan kepada para pelabur yang menggesa sistem demokrasi dikembalikan di Thailand selepas tentera melancarkan rampasan kuasa pada Mei lalu.
Perdana Menteri, Prayuth Chan-O-Cha, sebelum ini pernah berkata, kerajaan junta berhasrat untuk mengadakan pilihan raya sekitar Oktober tahun depan, sejurus selepas draf Perlembagaan baharu disiapkan.
Isu mengenai pilihan raya timbul selepas Menteri Kewangan, Sommai Phasee dalam satu temu bual bersama rangkaian televisyen BBC semalam berkata, mengembalikan semula sistem demokrasi di Thailand adalah tidak realistik sebelum pertengahan tahun 2016.
“Seperti yang pernah diumumkan oleh Perdana Menteri, kita perlukan masa setahun. Tapi pada pandangan saya pilihan raya mungkin akan diadakan dalam tempoh setahun enam bulan dari sekarang,” ujar Sommai.
Kenyataan Sommai itu dikeluarkan sehari selepas pegawai junta menolak kemungkinan perintah darurat yang mengharamkan sebarang perhimpunan parti-parti politik dan kuasa menahan mana-mana individu selama tujuh hari tanpa waran akan ditarik dalam masa terdekat. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pilihan-raya-thailand-pertengahan-2016-1.29983#sthash.DBQWHFXt.dpuf

27 November 2014

Kebebasan Yingluck akan ditarik balik


Yingluck disambut penyokongnya selepas beliau digulingkan, Mei lalu.
Yingluck disambut penyokongnya selepas beliau digulingkan, Mei lalu. 
27 November 2014


BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha mengancam untuk mengenakan larangan perjalanan ke luar negara terhadap bekas Perdana Menteri digulingkan, Yingluck Shinawatra sehari selepas  wawancara pertamanya bersama media disiarkan pada Isnin lalu.

Sebelum ini, Yingluck dibenarkan ke luar negara sebanyak dua kali dengan syarat tidak mendapat sebarang liputan media, namun kebebasan itu mungkin akan ditarik balik akibat temu bual eksklusif tersebut.

"Saya sedang mempertimbangkan langkah itu kerana kita mempunyai undang-undang yang jelas. Kerajaan perlu mengambil langkah tegas terhadap mana-mana pihak yang sengaja mahu mencetuskan kembali kekacauan di negara ini," jelasnya kepada AFP.

Dalam wawancara terbabit, Yingluck didakwa seakan mempersoalkan tindakan dan gesaan beberapa pihak yang telah menyebabkan beliau tersingkir ketika bekas pemimpin itu berdepan protes besar-besaran pada awal tahun lalu.

26 November 2014

10 pegawai tertinggi polis Thai ditahan


Pongpat Chayapan antara pegawai tertinggi polis yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti haram.
Pongpat Chayapan antara pegawai tertinggi polis yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti haram. 
26 November 2014


BANGKOK - THAILAND . Polis Thailand menahan 10 pegawainya selepas terlibat dengan aktiviti haram.

Antara yang ditahan termasuk Ketua Biro Penyiasatan Pusat, Pongpat Chayapan dan beberapa pegawai kanan.

Kesemua mereka berdepan pertuduhan mengendalikan pusat perjudian, memfitnah Institusi Diraja Thailand serta menerima rasuah daripada kumpulan samseng dan penyeludup minyak.

Bercakap pada sidang media semalam, Ketua Polis Thai, Jeneral Somyot Pumpunmuang berkata siasatan penuh masih dijalankan dan menegaskan lebih banyak tangkapan akan dibuat.

Beliau berkata, tiga daripada suspek telah didakwa atas kesalahan memfitnah institusi diraja.

"Saya tidak boleh mendedahkan semua maklumat pada peringkat ini, kerana kami masih menjejaki mereka yang terlibat.

"Apa pun, saya tidak akan membiarkan perkara ini. Saya akan perkenalkan satu sistem merit dan tadbir urus yang baik di Biro Penyiasatan Pusat," katanya, dipetik dari laporan Bangkok Post.

Belum tahu bila sambung

Agensi
Bangkok: Menteri Pertahanan Thai Prawit Wongsuwon semalam berkata, beliau tidak dapat memberi jaminan rundingan damai antara kerajaan dengan kumpulan pemisah di selatan negara itu akan dapat disambung semula bulan depan.
Menurutnya, banyak persiapan sedang dilakukan menjelang lawatan Perdana Menteri Prayut Chan-ocha ke Malaysia minggu depan.
Prawit yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, perkara asas untuk menyambung semula rundingan berkenaan sudah hampir siap tetapi penyediaannya perlu dilakukan dengan rapi kerana ia membabitkan pelbagai pihak.
Katanya, kerajaan perlu meningkatkan keyakinan dalam kalangan penduduk di wilayah itu yang sudah sekian lama bergolak hingga meragut ribuan nyawa.
Bercakap kepada wartawan ketika meninjau operasi keselamatan di Yala dan Narathiwat, Prawit menjelaskan, kerajaan tidak pernah berkata rundingan damai itu mesti disambung semula tahun ini.
Perdana Menteri Thai awal bulan ini melantik pengerusi panel penasihat yang juga bekas ketua turus tentera negara itu, Jeneral Aksara Kerdpol selaku ketua wakil kerajaan ke rundingan damai itu.
Rundingan untuk menamatkan pergolakan bersenjata di selatan Thai bermula tahun lalu tetapi terhenti ekoran pergolakan politik yang melanda negara itu.
Prayut dijadual melakukan lawatan rasmi ke Malaysia pada 1 Disember ini untuk berbincang dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
Rundingan damai itu menjadi tumpuan dalam lawatan seharinya itu.
Menurut Prawit, Prayut dan Najib akan mencari kata sepakat mengenai tempoh rundingan itu dan tempat ia akan diadakan.
Kerajaan Thai dan semua kumpulan pemisah terbabit dijangka menandatangani persetujuan itu.
Bagaimanapun, setakat ini, hanya Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang mengesahkan akan menandatanganinya.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 26 November 2014 @ 5:05 AM


PRAWIT ketika tiba di Narathiwat untuk meninjau operasi keselamatan di wilayah itu, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11799#sthash.aZVVZUef.dpuf

RM2 bilion bangun wilayah selatan Thai


BANGKOK 25 Nov. – Kerajaan Thailand akan membelanjakan lebih 20 bilion baht (RM2.03 bilion) untuk memperkukuhkan strategi memulihkan keamanan di wilayah selatan negara ini yang dibelenggu krisis pemberontakan sejak berdekad-dekad la­lu.
Portal berita Bangkok Post memetik kenya­taan Menteri Pertahanan Je­neral Prawit Wongsu­won sebagai berkata, per­untukan itu akan digunakan untuk membiayai pembangunan dan meningkatkan tahap ke­selamatan di 41 daerah di wilayah Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.
Menurut Wongsuwon, program itu akan dilaksanakan mengikut model pembangunan dan ke­selamatan di daerah Thung Yang Daeng, selepas beberapa buah sekolah di kawasan terbabit dibakar pada bulan lalu.
Jelasnya, kejayaan pelan ke­selamatan model Thung Yang Daeng melibatkan penyertaan awam dalam operasi keselamatan, pembangunan awal, sistem pemantauan dan kecemasan yang lebih baik serta forum.
“Saya telah memperkenalkan model itu kepada gabenor wilayah terbabit dan pihak pentadbiran tempatan di peringkat rendah di daerah Rueso, semalam.
“Pelaksanaan program tersebut akan dapat membina keyakinan dalam kalangan penduduk tempatan terhadap keselamatan di kawasan mereka,” kata Wongsuwon yang juga Timbalan Perdana Menteri, selepas menonton demonstrasi pasukan sukarelawan dalam penggunaan senjata.
Wongsuwon juga menggesa pihak berkuasa tempatan mempercepatkan proses pembinaan 37 batang jalan raya sejauh 164 kilo­meter yang menghubungkan Nara­thiwat, Yala dan Pattani
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/rm2-bilion-bangun-wilayah-selatan-thai-1.29199#sthash.es6G4JV7.dpuf

24 November 2014

Dua pegawai kanan polis hina monarki


Bangkok: Dua pegawai kanan polis Thailand didakwa menghina monarki dan waran tangkap sudah dikeluarkan, kata pihak berkuasa semalam.
Jurucakap polis, Prawut Thavornsiri berkata, dua anggota yang dikehendaki itu ialah Pesuruhjaya Biro Siasatan Pusat, Pongpat Chayaphan, dan timbalannya, Kowit Wongrungroj.
Kedua-dua dihukum penjara sehingga 15 tahun jika disabitkan kesalahan.
Prawut berkata, Pongpat dan Kowit dituduh melanggar undang-undang perlindungan monarki serta kesalahan jenayah lain.
Tentera merampas kuasa daripada Yingluck Shinawatra pada 22 Mei lalu dan menegaskan matlamat mereka mengembalikan keamanan.
Apabila kerajaan dibentuk, Panglima Tentera Thailand, Prayuth Chan-ocha dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos.
Mengaku taat kepada raja, Prayuth berikrar untuk memerangi pihak yang memusuhi institusi diraja negara itu. - Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:19 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11331#sthash.COHvlARL.dpuf

Diktator bukan, demokratik pun bukan


Bangkok: Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha menegaskan, kerajaan negara itu tidak bersifat diktator walaupun mengakui tidak 100 peratus demokratik.
“Adakah saya melakukan sebarang kesalahan? Adakah saya membuat kerosakan atau keadaan cukup baik apabila saya mengambil alih pemerintahan?
“Saya mungkin tidak demokratik 100 peratus, tetapi adakah dengan menjadi demokratik sepenuhnya membawa kebaikan kepada negara? Tolong carikan jawapan untuk saya,” katanya.
Dalam kenyataan itu Prayuth juga menggesa aktivis antikudeta tidak menghalang tugas kerajaannya melakukan reformasi.
Katanya, dia sedia mendengar sebarang masalah daripada rakyat.
Cuma, katanya Prayuth, rakyat tidak boleh meminta demokrasi menyeluruh atau pilihan raya diadakan untuk waktu ini.
“Saya tidak mampu memberikannya kepada anda,” katanya.
Pada masa sama, Prayuth mengulangi kenyataannya untuk tidak menubuhkan parti politik baru yang protentera bagi membolehkan dia mengalihkan kuasanya selepas mengetuai kudeta tentera pada 22 Mei lalu.
Kata Prayuth, dia tidak pernah memikirkan mengenai isu itu.
“Jangan layan kekarutan ini,” katanya. -Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:19 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11332#sthash.uE7rba2P.dpuf

Suami isteri mati ditembak


Yala: Seorang lelaki dan isterinya ditembak mati dalam serangan di daerah Yaha semalam.
Jurucakap polis berkata, mereka dimaklumkan mengenai insiden itu jam 10.20 pagi.
Saksi pula memberitahu, Lert Chaisangad, 62, dan Tim Thongsongkaew, 55, menaiki motosikal dari Lam Phak Chi untuk menjual sayur-sayuran di daerah Khok Pho di Pattani.
Tidak lama kemudian mereka diekori dua lelaki yang menaiki sebuah motosikal.
Pasangan suami isteri itu kemudian ditembak ketika berada di kawasan Ban Chopunae.
Mangsa mati di tempat kejadian. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 24 November 2014 @ 5:19 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/11330#sthash.OmLX4XpG.dpuf

23 November 2014

Fiksi sejarah kekejaman di Patani


JATUHNYA Patani dalam genggaman Siam (Thailand) pada tahun 1785, diikuti dengan perjanjian Inggeris-Siam pada tahun 1909 merupakan titik permulaan kepada kesengsaraan orang Melayu Islam Patani. Penindasan dan kekejaman yang menjurus kepada pembersihan etnik dilakukan tanpa rasa perikemanusiaan oleh tentera. Bermula dengan campur tangan dalam bidang agama, pendidikan, budaya, bahasa dan cara hidup; akhirnya mereka dihina dengan gelaran pengganas, militan dan lebih menyakitkan ialah “khoon keek” (pendatang).
Saudara Islam kita di Tanah Selatan dinafikan hak untuk melakukan aktiviti keagamaan dan mengamalkan cara hidup sebagai Muslim. Solat di masjid menjadi satu kecurigaan kepada pemerintah. Tokoh ulama seorang demi seorang hilang tanpa jejak dan difahamkan ini angkara tentera yang mahu melemahkan pergerakan pejuang Islam yang menuntut hak.
Bukan sahaja dinafikan kuasa politik untuk mendapat status wilayah autonomi, mereka malah ditindas dengan pembunuhan, pencabulan secara seksual dan tekanan psikologi seolah-olah mereka adalah pendatang haram. Siri pembersihan etnik dilakukan secara rapi oleh pemerintah untuk mengelabui mata dunia terhadap sifat tidak bertamadun mereka.
Namun tragedi kemanusiaan di daerah Segenting Kra itu kelihatan seperti terlepas daripada pandangan badan dunia. Dunia seakan-akan memandang peristiwa luka yang berlaku saban zaman itu sebagai peristiwa kecil atau perselisihan anak-beranak, sedangkan apa yang berlaku di sana samalah dengan perjuangan rakyat Palestin. Mereka di Tanah Selatan sedang berjuang untuk agama dan tanah air mereka.
Ketika kaum minoriti di negara kita membuat pelbagai tuntutan untuk kepentingan kaum mereka, merebut kuasa ekonomi dan politik daripada kaum teras; minoriti Islam di Tanah Selatan hidup terseksa kerana dinafikan hak sebagai warganegara. Lebih malang, mereka dilabelkan sebagai militan, walhal hakikatnya merekalah pejuang yang melindungi Islam daripada terus ditindas dan dizalimi oleh pihak tentera.
Banyak ulama dan anak muda yang syahid kerana mempertahankan agama dalam siri perjuangan membebaskan Patani. Tragedi subuh hening di Masjid Kresek atau tragedi Takbai yang mengakibatkan ratusan orang Islam dibunuh tentunya tidak mudah luput daripada ingatan kita yang mempunyai rasa dan jiwa. Dalam hubungan jiwa, mereka adalah saudara kita yang kedudukan geografi juga terlalu hampir dengan Kelantan, Kedah dan Perlis.
Perspektif perjuangan orang Islam di Tanah Selatan ini diungkapkan dengan cukup baik dalam novel fiksi sejarah Lukanya Merah karya Rohani Deraman. Novel terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), 2013 ini membawa sudut pandangan orang Patani secara umum dan penduduk Kampung Chanae secara khusus, yang menjadi mangsa prejudis agama dan kaum di selatan Thailand.
Novel ini membawa pembaca untuk memahami secara dekat dan telus tentang perkara yang sebenarnya berlaku di sana. Jelasnya tuduhan yang diputarbelitkan pemerintah selama ini adalah suatu rencana mereka untuk menuduh warganegara sendiri. Laporan media Thailand yang sangat prejudis serta tidak bertanggungjawab berjaya mempengaruhi massa, waima sesetengah dalam kalangan orang Islam di negara ini untuk mempercayai bahawa para pejuang ini adalah golongan militan yang mahu merampas kuasa di Thailand.
Buktinya ada dalam kalangan orang Islam negara ini menganggap pejuang yang dibunuh oleh tentera Thailand benar-benar militan yang melakukan kekejaman di wilayah Islam itu.
Novel setebal 659 halaman ini bergerak di atas jalur sejarah tragedi penting kepada orang di Tanah Selatan dalam jangka masa dua dekad terakhir. Peristiwa pembunuhan di Masjid Kresek dan Takbai menjadi latar penting kepada novel ini apabila pengarang mencipta watak-watak fiksi mengisi naratif untuk hidup di atas peristiwa sebenar.
Kebolehan menggaulkan fakta dan fiksi tidak mampu dilakukan oleh semua pengarang. Ia menuntut ketelitian untuk menggabung jalin supaya tidak terputus antara kedua-duanya. Dalam perkara ini pengarang telah melakukan yang terbaik dengan membancuh lukisan peristiwa secara kreatif, sehingga pembaca tidak terasa peristiwa sejarah itu adalah kolaj kepada naratif fiksyen yang membawa wacana pemikiran novel ini.
Pengarang berjaya membina latar alam kepada pembaca untuk menyusuri perkampungan Melayu Islam yang daif di Tanah Selatan dan keheningan malam bagai terkurung dalam resah yang menakutkan. Sudut pandangan daripada dalam masyarakat yang teraniaya itu juga membuatkan pembaca turut berkongsi resah, marah dan pertanyaan demi pertanyaan tentang masa depan minoriti Islam di negara majoriti Buddha.
Pengarang juga tidak emosional kerana bertindak mewaraskan pembaca bahawa kezaliman yang dilakukan ke atas orang Islam di Tanah Selatan bukan kerana pelakunya berbangsa Thai dan beragama Buddha. Sebaliknya kekejaman itu dilakukan oleh manusia yang berjiwa buruk, yang boleh sahaja datang daripada mana-mana agama, bangsa dan keturunannya. Watak Mek Noung misalnya malu dengan kelakuan buruk tentera yang sebangsa dengannya membunuh orang Islam di Tanah Selatan.
Satu perkara penting yang diapungkan dalam novel ini ialah pejuang berani mati di Patani bukanlah sama seperti yang difahami oleh media Barat. Mereka tidak berjuang membuta tuli dan melanggar syariat, tetapi bertindak dengan kebijaksanaan taktik dan teknik serta semangat yang tidak takut mati. Menerusi novel ini pengarang memperinci makna jihad dan syahid yang sekarang menjadi begitu murah sekali penggunaannya.
Tiga perempat daripada novel ini merupakan plot yang lurus dan bergerak membina perwatakan watak utama Mek Romah, wanita yang kehilangan suami dan dua anak lelaki di muncung senapang tentera Thai, berusia lingkungan 65 tahun. Mek Romah daripada seorang isteri yang naif berkaki tempang kerana digigit oleh anjing Mek Noung seorang Siam yang berjiran dengannya. Mek Romah dalam novel ini adalah bayangan kepada Cut Nyak Dhien di Aceh.
Mek Romah wanita kampung yang terkepung dalam milieu sosial Melayu Islam di Tanah Selatan ini memiliki pemikiran yang melampaui kepungan itu. Dia bukan pemimpin politik yang banyak beretorik tetapi perancang kepada banyak serangan dan pengeboman di lokasi-lokasi strategik sebagai balasan “hutang darah dibayar darah”. Kalau sesetengah pemimpin politik wanita kita banyak bercakap kurang berkerja, Mek Romah banyak bertindak kurang bercakap berjela-jela.
Pengarang membina watak Mek Romah sebagai rujukan wanita Muslim yang berfikiran luas, berani dan tidak terbius oleh hati wanita yang kadangkala lebih dibaluti perasaan berbanding akal fikiran. Kematian suami dan dua anak lelaki tidak pernah melemahkan malah menyemarakkan perjuangannya yang baru bermula.
Pada satu lapisan novel ini membawa cerita yang menarik mengenai satu geobudaya yang terasing daripada kita, tetapi tarikan sebenarnya adalah wacana perjuangan wanita yang dilontarkan oleh pengarang. Ia bukanlah perjuangan wanita bertaraf feminisme Barat yang melanggar batas hak dalam agama, sosial dan budaya. Perjuangan wanita dalam karya ini berada pada lingkungan Islam dan Melayu yang menjadi latarnya. Tidak perlu menafikan keupayaan lelaki untuk berjuang dan inilah yang ditunjukkan oleh Mek Romah.
Kesimpulannya pengarang wanita ini memberikan dua sudut pandangan menerusi novel ini. Pertama sudut pandangan golongan yang terlindung daripada kanta dunia luar; dan kedua sudut pandangan perjuangan wanita Melayu Islam yang tidak memusuhi golongan lelaki. Dalam keterbatasan maklumat dan ilmu pengetahuan, wanita Melayu Islam boleh memberikan sumbangan kepada agama dan bangsanya.
Sewajarnya novel ini diterjemah ke bahasa lain terutama Inggeris agar semangat dan perwatakan Mek Romah ini menjadi inspirasi kepada wanita dunia, juga memperbetulkan semula persepsi kita terhadap saudara seagama di tanah sana yang selama ini dipesongkan musuh Islam.
- See more at: http://www.utusan.com.my/pendidikan/sastera/fiksi-sejarah-kekejaman-di-patani-1.28241#sthash.aV8tgqBO.dpuf

Undang-undang tentera Thai kekal


23 November 2014
BANGKOK - THAILAND. Undang-undang tentera Thailand tidak akan ditarik balik walaupun banyak pihak menggesa kerajaan berbuat demikian bagi menggalakkan semula industri pelancongan yang terjejas.

Pengumuman itu dibuat Menteri Keadilan, Jeneral Paiboon Koomchaya menjelang sambutan Hari Natal dan Tahun Baharu 2015 yang bakal menyaksikan peningkatan jumlah pelancong ke negara terbabit.  

"Ia akan dikekalkan buat masa ini kerana kerajaan masih memerlukannya," katanya.

Difahamkan, industri pelancongan yang menyumbangkan hampir 10 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar telah terjejas teruk akibat rampasan kuasa kuasa sejak Mei lalu.

Kira-kira 25 juta pelancong  dianggarkan akan berkunjung ke negara terbabit sehingga akhir tahun ini, laporan dipetik dari Reuters.

22 November 2014

Prayuth nafi bentuk parti


Prayuth bercakap kepada pemberita di Bangunan Kerajaan, semalam.
Prayuth bercakap kepada pemberita di Bangunan Kerajaan, semalam.
BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha semalam menafikan spekulasi bahawa beliau ingin menubuhkan parti politik sendiri bagi mengukuhkan lagi kuasanya di negara itu.

Menurutnya, tumpuannya buat masa ini adalah untuk menyelesaikan masalah negara dan soalan spekulasi seperti itu sepatutnya ditanya selepas beliau mengakhiri tempoh sebagai Perdana Menteri lapor Bangkok Post.

Ditanya sama ada beliau percaya majoriti masyarakat Thailand masih menyokong kerajaan pimpinannya, Prayuth mempersoalkan jika ada di antara tindakannya yang boleh menyebabkan rakyat hilang kepercayaan.

"Apa kesalahan atau kemusnahan yang telah saya lakukan? Pernahkah saya melakukan sesuatu yang buruk seperti mereka yang pernah menjawat jawatan ini sebelum saya?," katanya.

Tabik 3 jari tiada makna

Bangkok: Perdana Menteri Thai, Prayut Chan-O-Cha semalam berkata, dia tidak bimbang dengan perbuatan tabik tiga jari yang ditiru daripada filem Hollywood ‘The Hunger Games’ oleh penentangnya untuk meluahkan bantahan terhadap junta negara itu.
Bagaimanapun, Prayut memberi amaran, mereka yang melakukan tabik berkenaan di khalayak ramai mungkin menghadapi masalah pada masa depan.
Tabik itu kini menjadi simbol tidak rasmi kumpulan penentang rampasan kuasa tentera.
Ia digunakan dalam filem ‘The Hunger Games’ yang mengisahkan kumpulan pemberontak menentang rejim diktator.
“Saya tidak memandang berat dengan tunjuk perasaan tiga jari.
“Saya tidak pasti sama ada ia salah di sisi undang-undang atau tidak tetapi mereka yang melakukannya menjejaskan masa depan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian sehari selepas seorang pelajar wanita ditahan polis di sebuah pusat beli-belah di Bangkok kerana melakukan tabik itu di depan poster filem berkenaan.
Rabu lalu, lima pelajar ditahan sementara kerana mempamerkan tabik itu ketika Prayut berucap di Khon Kaen, wilayah timur laut Thai.
Mereka bagaimanapun sudah dibebaskan.
“Saya tidak mahu menghukum mereka. Mereka ditahan, ditegur dan dibebaskan. Saya memberitahu mereka supaya tidak melakukannya lagi kerana ia tidak membawa faedah,” kata Prayut. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:12 AM


GAMBAR fail menunjukkan beberapa pelajar memberi tabik tiga jari ketika Prayut berucap di Khon Kaen, Rabu lalu.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10846#sthash.s5mG48NW.dpuf

Langkah keselamatan di selatan Thai ditingkat


Bangkok: Pihak berkuasa Thai semalam meningkatkan operasi keselamatan dan menggiatkan lagi kempen menambat hati penduduk di wilayah selatan negara itu berikutan semakin banyak sepanduk berbau ancaman dipasang di sekitar wilayah itu.
Sepanduk itu mula ditemui Rabu lalu dengan mesej mengancam kakitangan kerajaan, guru dan penduduk Buddha di daerah di wilayah Narathiwat.
Ia diturunkan serta-merta oleh anggota keselamatan sementara panglima tentera Udomdej Sitabutr mengarahkan langkah tambahan bagi mengelak daripada berlaku kekacauan.
Langkah itu, termasuk menerangkan kepada penduduk mengenai rancangan pembangunan dan pelaburan di wilayah berkenaan yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Sementara itu, tentera Thai semalam menangkap tiga suspek pemisah berikutan serbuan ke atas sebuah sekolah pondok di Pattani. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:11 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10841#sthash.HFp2j7uP.dpuf

Prayut tak gembira


Bangkok: Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha semalam mengaku beliau tidak gembira kerana Thailand masih di bawah pemerintahan tentera.
Lagi lama ia dikuatkuasa, lagi dia tidak gembira, katanya.
Bercakap pada satu majlis di Kolej Pertahanan Kebangsaan di Bangkok, Prayut bagaimanapun berkata, undang-undang tentera itu masih diperlukan untuk sementara waktu ketika ini.
“Kita seharusnya bersimpati kepada Myanmar. Negara itu mempunyai 126 kumpulan etnik di seluruh negara. Ia satu cabaran. Seperti juga Thai, ia melaksanakan undang-undang tentera.
“Adakah saya gembira? Saya tidak gembira. Selagi ia dikuatkuasakan, lagi bertambah saya tidak gembira. Tetapi ia perlu dilaksanakan,” katanya.
Menurutnya, pelancong dan penduduk tempatan mengaku Thailand kini lebih selamat, bebas daripada konflik dan tunjuk perasaan.
“Mereka yang tidak berpuas hati perlu berdepan dengan kenyataan,” katanya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 November 2014 @ 5:17 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/10900#sthash.AfM3OcIK.dpuf

21 November 2014

Tayangan filem Hunger Games dibatalkan


21 November 2014

BANGKOK - THAILAND. Sebuah rangkaian pawagam di Thailand membatalkan tayangan filem siri terbaharu Hunger Games selepas simbol tiga jari yang terdapat dalam filem itu digunakan kumpulan penunjuk perasaan bagi menentang kerajaan tentera.

Susulan kejadian itu, lima pelajar dari Universiti Khon Kaen yang memakai kemeja T bertulis 'Kami tidak mahu rampasan kuasa' ditahan selepas berjaya menyelinap melepasi kawalan keselamatan ketika lawatan Presiden Prayuth Chan-ocha di wilayah timur laut Khon Kaen, kelmarin lapor dpa.

Difahamkan, siri filem terbaharu itu mula ditayangkan di Thailand malam kelmarin dan pawagam lain di sekitar negara masih menayangkan filem berkenaan.  

Kerajaan Thailand tidak hirau bantahan


bendera thailand
BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Jen Prayuth Chan-ocha, yang lawatannya ke wilayah timur laut negara ini dicemari bantahan kecil baru-baru ini, akan terus melawat wilayah lain termasuk kubu kuat Parti Pheu Thai yang beliau gulingkan pada Mei lepas.

"Perdana menteri masih boleh pergi ke mana sahaja kerana beliau tidak bertelagah dengan sesiapa. Perdana Menteri bekerja untuk rakyat Thailand," kata Jen Prawit Wongsuwarn, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, kepada media apabila ditanya sama ada Prayuth akan melawat wilayah lain berikutan bantahan itu. 

Beliau berkata: "Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam Kebangsaan (NCPO) dan anggota Kabinet juga bekerja untuk negara ini."
Jen Prawit berkata, beliau tidak bimbang tentang bantahan yang diadakan kerana kempen membantah rampasan kuasa tidak akan meluas memandangkan ia hanya melibatkan sekumpulan kecil daripada 67 juta penduduk Thailand.

Katanya, kerajaan memerlukan masa setahun untuk melaksanakan pembaharuan nasional sebelum mengadakan pilihan raya umum.

Kini, Thailand diletakkan di bawah undang-undang tentera.

Ketika Jeneral Prayuth berucap di wilayah Khonkaen semalam, lima pelajar universiti membantah rampasan kuasa dengan menyampaikan mesej melalui tabik tiga jari seperti yang dipaparkan dalam filem siri Hunger Games yang kini disiarkan melalui satu saluran televisyen berbayar.

Tanpa menghiraukan bantahan pelajar itu, Jen Prayuth meneruskan program lawatannya ke wilayah berhampiran selepas itu.

Wilayah Khonkaen dan Kalasin terletak di bahagian timur laut negara ini dan merupakan kubu kuat bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.

Bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, adik Thaksin, digulingkan dalam rampasan kuasa oleh tentera Mei lepas. - Bernama