24 August 2016

Ambulans curi dipasang bom



Anggota forensik polis Thailand membuat siasatan di luar hotel. - Foto AFP

BERNAMA
Pattani: Polis Thailand mengesahkan kenderaan yang digunakan dalam serangan bom di sebuah hotel di Pattani malam tadi, adalah ambulans hospital.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa berkata, ambulans itu dicuri dari Hospital Pakaharang di Muang, Pattani, 10 malam, semalam sebelum dipasang dengan bahan letupan.

"Ambulans itu kemudian diletak di depan Hotel Southern View dan meletup pada 11.30 malam, menyusuli letupan bom buatan sendiri di pusat hiburan pada 11 malam," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua suspek terbabit dalam serangan bom di hotel berkenaan iaitu pemandu ambulans dan seorang penunggang motosikal yang mengambilnya selepas itu dalam usaha mereka melarikan diri.

Thanongsak berkata pihak polis turut mengambil keterangan empat sukarelawan yang bertanggungjawab terhadap ambulans itu.

Serangan bom itu menyebabkan seorang wanita maut dan 35 lagi cedera dengan empat daripadanya dalam keadaan kritikal di Hospital Pattani.

Sebutir lagi bom meletup di daerah Nongchik pada 12 tengah malam namun tidak menyebabkan kecederaan dan kematian.

Thanongsak berkata, bom kenderaan di depan Hotel Southern View setinggi lapan tingkat bilik itu diletup menggunakan jam digital.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 10:29 PM

No comments:

Post a Comment