14 May 2014

Selatan Thai digegar 30 serangan


SEBUAH sekolah dan beberapa deretan kedai musnah dalam kebakaran dipercayai dilakukan anggota kumpulan pemisah di daerah Sungai Padi, wilayah Narathiwat, semalam. - AFP
NARATHIWAT 12 Mei - Wilayah Narathiwat dan Yala di selatan Thailand, digegar lebih 30 serangan termasuk tembakan, serangan bom dan perbuatan membakar dengan sengaja dipercayai dilakukan puak pemisah.
Penasihat Keselamatan kepada Perdana Menteri, Paradorn Pattanathabutr berkata, serangan itu disasarkan terhadap beberapa kawasan termasuk pusat beli-belah dan tiang-tiang elektrik.
“Kami percaya kumpulan pemisah cuba merekrut lebih ramai penduduk untuk menjadi anggota kumpulan mereka," kata Paradorn kepada Reuters.
Polis di wilayah Narathiwat pula berkata, serangan bom dilancarkan di lebih 10 lokasi antaranya tiga di Sungai Golok, menyebabkan seorang wanita Islam dikenali sebagai Sarika Mama terbunuh.
“Letupan itu turut menyebabkan beberapa individu lain cedera termasuk seorang pegawai keselamatan," katanya.
Dua lagi letupan bom berlaku di daerah Tak Bai, sementara kebakaran dikesan di dua lokasi di daerah Sungai Padi.
Di Yala, polis berkata, letupan bom menumbangkan dua buah tiang elektrik di daerah Yaha, manakala letupan pula didengari di daerah Than To dan Muang.
Anggota pemisah turut melancarkan serangan tembakan dan membakar tiang elektrik di daerah Krong Pinang.
Bunyi tembakan juga didengar di dua lokasi di daerah Bannang Sata.
Lebih 5,700 penduduk terkorban di wilayah selatan bergolak ini sejak Januari 2004 dan lebih 40 orang terbunuh, tahun ini sahaja.
Rundingan damai dengan beberapa kumpulan pemisah tahun lalu gagal menamatkan keganasan di wilayah ini.
Dialog itu turut terhenti ketika krisis politik Thailand di Bangkok dilihat semakin meruncing. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140513/lu_03/Selatan-Thai-digegar-30-serangan#ixzz38GTDFrEu
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 May 2014

Hat Yai dibom, pejabat PM bergegar


Keadaan di sekitar jalan utama di Hat Yai, malam tadi lengang selepas berlaku berbelas letupan bom yang mengorbankan dua orang manakala sembilan cedera. - AGENSI
HAT YAI 11 Mei - Sekurang-kurangnya dua maut manakala sembilan lagi cedera, apabila Selatan Thailand digegarkan dengan berbelas letupan bom, malam ini.
Setakat ini belum dapat dipastikan jika terdapat rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dalam keganasan terbaharu itu.
Menurut sumber tempatan kepada agensi berita Bernama, kejadian bermula pada 7.30 malam waktu tempatan apabila empat bom meletup di Sungai Golok.
Sementara itu, tiga letupan bom dilaporkan berlaku di Sungai Padi, selain sebuah sekolah serta bengkel membaiki motosikal dibakar.
Tiga lagi letupan menggegarkan Pekan Takbai mengakibatkan sekurang-kurangnya dua orang terbunuh, manakala beberapa lagi cedera.
Di Wilayah Yala, lima bom diletupkan dengan menyasarkan tiang elektrik menyebabkan bekalan elektrik ke beberapa kawasan terputus, sementara tiga letupan bom dilaporkan berlaku di daerah Yaha dan dua lagi di daerah Thanto.
Kejadian tembak menembak serta membakar tayar turut dilaporkan berlaku di daerah Benang Setar dan Krong Pinang.
Sementara itu, Reuters pula melaporkan dua penunjuk perasaan antikerajaan cedera dalam satu kejadian letupan di bahagian luar pejabat Perdana Menteri Thailand yang terletak dalam kawasan Bangunan Kerajaan, di sini malam semalam.
Menurut laporan polis hari ini, mangsa hanya cedera ringan namun pihak berkuasa masih tidak dapat mengesahkan letupan berpunca daripada bom tangan.
Media-media tempatan pula melaporkan, seorang penyerang yang tidak dikenali melemparkan sebutir bom tangan ke arah penunjuk perasaan antikerajaan di luar Bangunan Kerajaan tengah malam, semalam.
Pejabat Perdana Menteri bagai­manapun telah dikosongkan sejak beberapa minggu lalu.
Insiden itu berlaku ketika kerajaan sementara yang setia kepada bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra cuba mengekalkan kuasanya sehingga pilihan raya baharu diadakan pada 20 Julai ini.
Dalam perkembangan terbaharu hari ini, Ketua Jabatan Siasatan Khas (DSI), Tarit Pengdit memberi amaran kepada rakyat negara ini agar tidak menyertai tunjuk perasaan antikerajaan bagi mengelakkan sebarang keganasan daripada tercetus.
“Kami memberi amaran kepada semua penduduk supaya menjauhi kawasan bantahan," katanya kepada pemberita.
Minggu lalu, Mahkamah Perlembagaan menyingkirkan Yingluck sebagai Perdana Menteri Thailand kerana salah guna kuasa dan sehari kemudian Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Nasional (NACC) menyatakan beliau boleh berdepan tuduhan rasuah kerana cuai mengendalikan skim pembelian beras kerajaan.
Sejak itu, berpuluh-puluh ribu penyokong kerajaan atau pergerakan Baju Merah, membanjiri Bangkok bagi mengutuk keputusan Mahkamah Perlembagaan sebagai ‘rampasan kuasa’ serta memberi amaran krisis mungkin berlaku sekiranya kerajaan sementara yang ditadbir Parti Pheu Thai disingkirkan. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140512/lu_06/Hat-Yai-dibom,-pejabat-PM-bergegar#ixzz38GTwRiwp
© Utusan Melayu (M) Bhd