29 October 2016

Thailand, militan bincang isu zon keselamatan selatan


28 OKTOBER 2016
Thailand

Thailand
BANGKOK - THAILAND . Kerajaan Thailand dan kumpulan militan selatan negara itu akan meneruskan perbincangan mengenai isu mewujudkan zon keselamatan selepas kedua-dua pihak menamatkan pusingan terbaru rundingan damai tidak rasmi di Kuala Lumpur hari ini.

Sumber rapat Majlis Syura Patani (MARA Patani), yang mewakili kumpulan militan selatan Thailand, berkata isu mengenai zon keselamatan di selatan negara itu masih dalam perbincangan peringkat awal.

"(Perbincangan tentang zon keselamatan) baru bermula, masih di peringkat awal. Belum muktamad lagi, jika sudah muktamad kita akan hebahkan," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau berkata isu mengenai zon keselamatan di selatan Thailand akan terus menjadi agenda perbincangan kedua-dua pihak pada rundingan berikutnya yang bakal diadakan bulan depan.

Tarikh sebenar pusingan rundingan itu, yang mungkin diadakan di Kuala Lumpur, belum ditetapkan kedua-kedua pihak, kata sumber itu.

Zon keselamatan di selatan Thailand merujuk kepada suatu kawasan yang bebas daripada semua bentuk keganasan.

Delegasi kerajaan Thailand ke pusingan rundingan di Kuala Lumpur, yang bermula Selasa dan berakhir hari ini, diketuai oleh ketua panel ke rundingan damai Jeneral Aksara Kerdphol.

Malaysia memainkan peranan sebagai fasilitator di dalam rundingan tidak rasmi di antara kerajaan Thailand dan kumpulan-kumpulan militan selatan negara itu.

MARA Patani merupakan organisasi payung yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand dan terlibat dalam rundingan tidak rasmi itu. - Bernama

No comments:

Post a Comment