25 January 2014

4 maut, 6 cedera dalam keganasan di Pattani, Yala


BANGKOK 24 Jan. - Empat orang maut dan enam lagi cedera dalam
kejadian keganasan di Pattani dan Yala hari ini.
Di Pattani, tiga maut dan dua cedera dalam dua kejadian, menurut polis.
Dalam kejadian pertama pada 7 pagi di Kampung Saiya Praya, Daerah Panarek,
dua orang maut terkena tembakan manakala dua orang cedera.
Dalam satu lagi kejadian pada 7.20 pagi di daerah Khok Po, seorang awam mati
akibat terkena tembakan di kepala ketika sedang menunggang motosikal dari rumah
ke pasar.
Di Wilayah Yala pula, seorang anggota polis maut manakala empat lagi cedera
parah dalam serangan bom dan seterusnya pertempuran dengan puak pemisah dalam
satu kejadian pada 11 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140124/lu_13/4-maut,-6-cedera-dalam-keganasan-di-Pattani,-Yala#ixzz38GVFBCsR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

24 January 2014

Perintah darurat dicabuli


Sebahagian penunjuk perasaan antikerajaan berhimpun di pekarangan bangunan Kementerian Pertahanan di Bangkok, Thailand, semalam, sementara (gambar kecil) Kwanchai Praipana, dibawa ke bilik rawatan selepas mengalami kecederaan akibat ditembak di Hospital Aek Udon, Udon Thani. - REUTERS
BANGKOK 22 Jan. - Penunjuk perasaan antikerajaan Thailand tidak menghiraukan perintah darurat yang dikuat kuasakan kerajaan dengan terus mengadakan demonstrasi di pejabat-pejabat utama kerajaan termasuk di Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand, hari ini.
Malah, perintah darurat selama 60 hari itu turut 'dicemari' dengan insiden tembakan membabitkan pemimpin utama kumpulan Baju Merah, Kwanchai Praipana yang cedera parah terkena tembakan rambang dilepaskan lelaki bersenjata di rumahnya di wilayah Udon Thani.
Di Bangkok, ribuan penunjuk perasaan tidak mematuhi perintah darurat yang berkuat kuasa hari ini, dengan berarak ke Kementerian Pertahanan, yang juga ibu pejabat bagi kerajaan sementara pimpinan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Penunjuk perasaan tiba di bangunan itu pada pukul 10.20 pagi manakala Yingluck, yang tiba kira-kira 30 minit lebih awal, terpaksa meninggalkan bangunan itu selepas penunjuk perasaan mula mengelilingi premis berkenaan.
Kumpulan antikerajaan itu turut mendesak tentera supaya menyebelahi mereka.
"Kami tidak mengambil peduli perintah darurat dan akan meneruskan bantahan seperti biasa,'' kata jurucakap bantahan, Akanat Promphan.
Kumpulan tunjuk perasaan lain, yang diketuai Rangkaian Pelajar dan Rakyat Bagi Pembaharuan Thailand berkumpul di hadapan Ibu Pejabat Polis Diraja Thailand.
Kumpulan itu mendesak Ketua Polis Negara, Jeneral Adun Saengsingkeow meletak jawatan atas dakwaan bahawa pihak polis bersetuju mengenakan perintah darurat dan bukan tentera.
Selain itu, tunjuk perasaan antikerajaan anjuran Jawatankuasa Reformasi Demokratik Rakyat (PDRC) turut diadakan di wilayah Yala, Pattani dan Narathiwat hingga menyebabkan banyak pejabat kerajaan terpaksa ditutup.
Dalam pada itu, Kwanchai cedera parah akibat terkena dua das tembakan seorang lelaki bersenjatakan raifal M16 yang melepaskan tembakan ke arah rumahnya.
Beliau kemudiannya dimasukkan ke Hospital Aek Udon bagi menerima rawatan kecemasan selepas dipercayai terkena tembakan di bahagian tangan dan kaki.
Menurut Bangkok Post, serangan itu berlaku pada pukul 10.30 pagi ini sewaktu Kwanchai sedang membaca surat khabar.
Polis menemukan sebanyak 30 butir kelonsong peluru berhampiran pagar rumahnya, namun mereka tidak dapat menganggarkan jumlah sebenar suspek terlibat. - BERNAMA/AFP/AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140123/lu_03/Perintah--darurat--dicabuli#ixzz38GVc05ft
© Utusan Melayu (M) Bhd 

20 January 2014

Melayu Patani tercicir pelajaran


KUALA LUMPUR 18 Jan. - Kira-kira 25 peratus daripada dua juta masyarakat keturunan Melayu Patani yang menetap di negara ini masih tercicir dari sistem pendidikan formal.
Pengerusi Pertubuhan Keturunan Patoni Malaysia (Patom), Muhammad Awang berkata, kebanyakan kes keciciran itu berpunca daripada kesempitan hidup selain ibu bapa mereka masih belum mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Katanya, walaupun sudah lama menetap di negara ini, masih ramai dalam kalangan masyarakat keturunan Melayu Patani memegang status penduduk sementara atau masih belum mempunyai dokumen yang sah.
"Ada ibu bapa yang sudah menetap di sini berpuluh-puluh tahun tetapi mereka masih tidak mempunyai dokumen pengenalan diri sah sebagai warganegara yang telah menyukarkan anak-anak mendapatkan pendidikan formal di sini.
"Jadi, kita berharap agar kerajaan dapat memberikan perhatian untuk membantu anak-anak keturunan Melayu Patani ini supaya mereka tidak terus tercicir daripada pelajaran," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Majlis Sambutan Maulidur Rasul dan Ulang Tahun Pertama Patom, di sini hari ini.
Patom yang ditubuhkan pada Januari tahun lalu mempunyai keahlian seramai 6,000 orang di seluruh negara.
Sementara itu, Awang menjelaskan, sebelum ini, kebanyakan anak keturunan Melayu Patani hanya mendapat pendidikan agama di sekolah pondok di Kelantan, Terengganu dan Kedah.
"Mereka sukar mendapat tempat dalam sistem pendidikan formal dan hanya boleh belajar agama di sekolah pondok yang sudah tentu menyempitkan masa depan anak-anak Melayu Patani ini.
"Oleh itu, bagi memastikan mereka tidak terus tercicir daripada pendidikan, kita menubuhkan Maahad As-Sobirin pada tahun lalu untuk membantu ibu bapa memberikan pendidikan kepada anak-anak mereka," jelasnya.
Dalam pada itu, Awang berkata, orang ramai yang ingin memberikan bantuan kepada anak-anak keturunan Melayu Patani boleh berbuat demikian menerusi akaun Maybank 5622-4550-3340 atas nama Pertubuhan Keturunan Patoni Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20140119/dn_09/Melayu-Patani-tercicir-pelajaran#ixzz38Ff95vdt
© Utusan Melayu (M) Bhd