22 March 2013

Bom motor bunuh budak


Pattani: Sebuah bom motosikal meletup semalam, membunuh seorang budak dan mencederakan 12 yang lain.

Kejadian itu berlaku hanya tiga hari menjelang pusingan pertama rundingan damai rasmi di antara Majlis Keselamatan Kebangsaan dengan Barisan Revolusi Nasional (BRN).


Polis percaya, letupan di tengah bandar Pattani semalam sengaja dirancang untuk mencetuskan kekacauan di selatan Thailand. Jurucakap polis berkata, Nisoplian Nisani, 9, terbunuh di tempat kejadian, manakala ibunya, Waeleemag Jehloh, cedera bersama 11 yang lain.



Kebanyakan mangsa masih dirawat di Hospital Pattani.


Sementara itu, Gabenor Pattani, Pramuk Lamun berkata, mesyuarat tergempar dengan pasukan keselamatan akan diadakan segera.


“Kami akan menilai rakaman kamera keselamatan untuk mengesan dalang serangan ini,” katanya. Kira-kira lima kilogram bahan letupan disumbat dalam sebuah motosikal dan ditinggalkan di depan sebuah kedai roti di pasar lambak.

Bom itu diledakkan kira-kira jam 1.40 petang. Tujuh motosikal dan tiga kereta turut rosak dalam serangan itu. - AP

Artikel ini disiarkan pada : 2013/03/22