31 August 2016

Malaysia-Thai setuju bina pagar sepanjang sempadan bersama


31 Ogos 2016 12:37 AM

BANGKOK 30 Ogos – Malaysia dan Thailand akan menandatangani perjanjian untuk membina pagar di sepanjang sempadan bersama bagi menangani jenayah rentas sempadan.

SEMPADAN Malaysia-Thailand difahamkan memerlukan tembok sepanjang 646.5 kilometer. AGENSI
Timbalan Perdana Menteri Thai­land, Jeneral Prawit Wongsuwon berkata, Bangkok-Kuala Lumpur turut bersetuju bekerjasama menangani masalah melibatkan dua kerakyatan di wilayah-wilayah di selatan negara ini.
Prawit memberitahu pembe­rita demikian sejurus pulang dari lawatan ke Malaysia semalam untuk membincangkan kerjasama keselamatan dengan Timbalan Perdana Menteri Malaysia yang juga Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Bangkok Post melaporkan, sempadan Malaysia-Thailand difahamkan memerlukan tembok sepanjang 646.5 kilometer.
Prawit menambah, run­dingan damai dengan kumpulan yang dipercayai mendalangi kekacauan di wilayah selatan Thailand akan disambung Jumaat ini se­perti dirancang, walaupun berlaku serangan bom terbaharu di sebuah hotel di Pattani yang meragut dua nyawa dan mencederakan 30 lagi, baru-baru ini.
Menurutnya, polis Malaysia dan Thailand juga sedang bekerjasama untuk menyiasat telefon bimbit dan kad SIM yang digunakan dalam serangan bom dan kebakaran di tujuh wilayah di Thailand awal bulan ini.
Mengulas langkah kerajaan untuk mewujudkan ‘sebuah pusat perintah’ bagi menangani keganasan di wilayah selatan, Prawit berkata, sebanyak 10 orang yang berpengalaman menguruskan ma­salah di selatan Thailand akan dilantik mengetuai pusat tersebut bagi menangani segera keganasan di wilayah selatan.
Perdana Menteri, Jeneral Pra­­yuth Chan-o-cha semalam me­ngarahkan Jenerak Aksara ­Kerdphol mengetuai delegasi Thailand dialog dengan kumpulan pemisah Mara Patani, untuk membincangkan cara-cara menamatkan keganasan di wilayah selatan sebelum runding­an damai disambung semula.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/malaysia-thai-setuju-bina-pagar-sepanjang-sempadan-bersama-1.376757#sthash.0byUMPh8.dpuf

28 August 2016

Pemimpin tempatan maut ditembak di Pattani - Luar Negara - Utusan Online

Pemimpin tempatan maut ditembak di Pattani - Luar Negara - Utusan Online:



PASUKAN forensik menjalankan siasatan lokasi Abdulloh Seedeh ditembak

PASUKAN forensik menjalankan siasatan lokasi Abdulloh Seedeh ditembak mati oleh empat lelaki bersenjatakan M16 di Pattani, semalam. AGENSI

PATTANI 27 Ogos – Seorang pe­mimpin tempatan yang popular dalam kalangan penduduk kampung di Yaring, maut selepas ditembak ketika sedang minum di sebuah kedai di Takae dekat sini pagi ini.

Bangkok Post melaporkan, dalam kejadian pada pukul 8 pagi itu, mangsa, Abdulloh Seedeh, 56, ditembak oleh empat lelaki yang melepaskan tembakan rambang menggunakan rifel M16.

Menurut Ketua Pegawai Penyiasat Yaring, Theera Iedchata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.

“Kami sedang menyiasat adakah serangan ini bermotifkan konflik pergolakan di wilayah selatan atau berkait dengan perkara lain,” katanya.

- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/pemimpin-tempatan-maut-ditembak-di-pattani-1.375550#sthash.2aNlPbuA.dpuf

'via Blog this'

26 August 2016

Serangan Di Pattani: Dua Pemandu Ambulans Ditahan Reman


Diterbitkan: Jumaat, 26 Ogos 2016 11:39 AM

PATTANI: Tentera Thailand menahan reman dua pemandu ambulans yang digunakan dalam serangan bom ke atas sebuah hotel di bandar Pattani pada malam Selasa lepas, yang mengakibatkan seorang wanita terkorban manakala 34 orang lagi cedera.

Jurucakap tentera Bahagian ke-4 Kolonel Pramoth Prom-in berkata Mahkamah Tentera membenarkan suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini bagi membantu siasatan berhubung insiden itu.

"Jika tidak ada bukti yang mengaitkan mereka dengan kehilangan ambulans itu atau yang mengaitkan mereka dengan anggota kumpulan militan Pattani, maka mereka akan dibebaskan dalam tempoh tujuh hari," katanya pada Khamis.

Beliau berkata sekiranya terdapat bukti mereka terlibat dalam insiden itu, suspek akan ditahan reman selama 21 hari sebelum didakwa mahkamah.

Ambulans milik sebuah hospital di Phakarang dalam daerah Muang, Pattani telah dicuri beberapa jam sebelum insiden itu dan dipasang dengan bahan letupan sebelum diletakkan di depan Hotel Southern View pada kira-kira 11.30 malam hari kejadian.

Beberapa minit sebelum itu, sebutir bom buatan sendiri meletup di sebuah pusat hiburan di bandar Pattani berhampiran hotel tersebut dan sebutir lagi bom buatan sendiri meletup di daerah Nongchik pada kira-kira pukul 12 tengah malam itu.

Jurucakap itu juga berkata dua individu tidak dikenali yang dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dipercayai terlibat dengan serangan bom kereta tersebut dan pihak tentera percaya mereka masih berada di selatan Thailand.

Dalam perkembangan berkaitan, seorang lelaki yang cedera parah dalam insiden itu meninggal dunia di hospital pada Khamis malam manakala tiga lagi mangsa masih berada dalam keadaan kritikal.

Sementara itu, kira-kira 300 sukarelawan terdiri kakitangan kerajaan, anggota tentera dan pelajar mengadakan gotong-royong membersihkan lokasi letupan bom di hotel terbabit pada Khamis.

Mangsa helikopter terhempas di Yala dibawa keluar

DUNIA JUMAAT, 26 OGOS 2016 @ 7:02 PM

HELICOPTER Polis Thai jenis Bell 212 yang terhempas. - Foto http://englishnews.thaipbs.or.th/

YALA: Semua tujuh penumpang helikopter Polis Thai jenis Bell 212 yang terhempas di antara kawasan Than To dan Benang Setar di Wilayah Yala malam tadi, mula dibawa keluar pagi tadi. Helikopter daripada Pusat Operasi Polis Wilayah Selatan itu dikesan terputus hubungan dengan radar kira-kira 6.45 petang (waktu tempatan) semalam, sebelum disahkan terhempas pada 8.30 malam. "Pada 11.10 pagi tadi, juruterbang helikopter yang cedera parah dan seorang lagi mangsa berjaya dibawa keluar daripada lokasi kemalangan untuk dihantar ke hospital berdekatan," kata anggota pasukan penyelamat. Lima lagi penumpang helikopter malang itu juga dibawa keluar menggunakan tiga helikopter secara berperingkat selepas itu. Pasukan penyelamat mula memasuki lokasi kemalangan pada 2 pagi tadi bersama doktor serta kakitangan perubatan untuk memberi rawatan awal kepada mangsa. Penolong Ketua Polis Thailand, Lt Jen Suchart Tirasawat, turut meninjau operasi membawa keluar mangsa terbabit. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/186980

25 August 2016

Thai edar lakaran 4 lelaki disyaki terlibat pengeboman

Polis Thailand mengedarkan lakaran empat lelaki dipercayai terlibat

Polis Thailand mengedarkan lakaran empat lelaki dipercayai terlibat dalam pengeboman di resort Hua Hin dan wilayah Phang Nga dua minggu lalu. AGENSI
BANGKOK 25 Ogos – Polis Thailand, hari ini mengedarkan lakaran empat orang lelaki yang disyaki terlibat dalam pengeboman di resort Hua Hin dan wilayah Phang Nga dua minggu lalu.
Thai News Agency (TNA) melaporkan, tiga lakaran itu adalah berdasarkan keterangan daripada tiga saksi yang berada di Hua Hin pada 10 Ogos lalu yang serupa dengan gambar yang diambil oleh kamera.
Empat butir bom meletup di Hua Hin, dua daripadanya meletup di jalan raya yang sibuk pada 11 Ogos lalu dan dua lagi dekat rumah menara di bandar itu pada 12 Ogos lalu.
Baki lakaran itu dipercayai menggambarkan seorang lelaki yang menjadi suspek pengeboman di Pasar Bang Niang, wilayah Phang Nga pada 12 Ogos lalu.
Terdahulu, polis mengeluarkan waran tangkap ke atas individu dikenali sebagai Ahama Lengha dari wilayah Narathiwat yang dipercayai mendalangi pengeboman di Phuket dan kini dipercayai berada di Malaysia.
Maklumat tentang suspek dan motif di sebalik serangan itu masih tidak diketahui. – BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/thai-edar-lakaran-4-lelaki-disyaki-terlibat-pengeboman-1.374782#sthash.hWEOgPOX.dpuf

24 August 2016

Seorang maut, 30 cedera dalam dua serangan di Pattani


24 OGOS 2016

Seorang maut, 30 cedera dalam dua serangan di Pattani


Seorang maut, 30 cedera dalam dua serangan di Pattani Antara kenderaan dan bangunan yang musnah dalam kejadian letupan bom di bandar Pattani lewat malam tadi. - Foto Bernama
PATTANI - THAILAND. Seorang wanita maut manakala 30 yang lain cedera apabila dua butir bom meletup di tengah-tengah bandar Pattani lewat malam tadi, menurut Polis Thailand.

Ketua Polis Daerah Muang, Kol Kirati Waeyusoh berkata, serangan bom pertama berlaku di tempat letak kereta di sebuah pusat hiburan pada 11 malam (waktu tempatan) manakala serangan kedua berlaku di hadapan sebuah hotel.

"Letupan bom kedua berlaku di pintu masuk Hotel Southern View tidak lama selepas kejadian pertama dan telah menyebabkan kebakaran besar. Letupan disebabkan bom buatan sendiri seberat 100kg dipasang di dalam sebuah kereta," katanya hari ini.

Beliau berkata anggota bomba mengambil masa kira-kira 30 minit untuk memadamkan kebakaran yang berlaku susulan daripada letupan bom kedua itu, yang turut menyebabkan kerosakan besar pada premis perniagaan berhampiran.

Menurut Kirati, sebutir lagi bom buatan sendiri meletup di daerah Nongchik di wilayah Pattani pada 12 tengah malam tetapi tidak menyebabkan sebarang kematian dan kecederaan.

"Pihak polis masih menyiasat motif kejadian dan mereka yang bertanggungjawab terhadap kejadian letupan bom itu, selain menganggarkan jumlah kerugian akibat kejadian itu," katanya. - Bernama

Ambulans curi dipasang bom



Anggota forensik polis Thailand membuat siasatan di luar hotel. - Foto AFP

BERNAMA
Pattani: Polis Thailand mengesahkan kenderaan yang digunakan dalam serangan bom di sebuah hotel di Pattani malam tadi, adalah ambulans hospital.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mejar Jeneral Thanongsak Wangsupa berkata, ambulans itu dicuri dari Hospital Pakaharang di Muang, Pattani, 10 malam, semalam sebelum dipasang dengan bahan letupan.

"Ambulans itu kemudian diletak di depan Hotel Southern View dan meletup pada 11.30 malam, menyusuli letupan bom buatan sendiri di pusat hiburan pada 11 malam," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, dua suspek terbabit dalam serangan bom di hotel berkenaan iaitu pemandu ambulans dan seorang penunggang motosikal yang mengambilnya selepas itu dalam usaha mereka melarikan diri.

Thanongsak berkata pihak polis turut mengambil keterangan empat sukarelawan yang bertanggungjawab terhadap ambulans itu.

Serangan bom itu menyebabkan seorang wanita maut dan 35 lagi cedera dengan empat daripadanya dalam keadaan kritikal di Hospital Pattani.

Sebutir lagi bom meletup di daerah Nongchik pada 12 tengah malam namun tidak menyebabkan kecederaan dan kematian.

Thanongsak berkata, bom kenderaan di depan Hotel Southern View setinggi lapan tingkat bilik itu diletup menggunakan jam digital.
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 Ogos 2016 @ 10:29 PM

2 lagi bom gegar Thai

Unit forensik sedang memeriksa sebuah kereta yang ranap selepas

UNIT forensik sedang memeriksa sebuah kereta yang ranap selepas meletup di sebuah kawasan hotel di Pattani malam kelmarin . AGENSI
PATTANI 24 Ogos - Seorang terbunuh, manakala lebih 30 orang lagi cedera dalam dua insiden bom kereta berhampiran sebuah hotel di Pattani, selatan Thailand, malam tadi.
Ketua Polis Pattani, Mej. Jen. Thanongsak Wangsupa berkata, letupan pertama berlaku di sebuah tempat letak kereta di belakang Southern Hotel, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
“Letupan kedua berlaku selepas sebuah trak yang diletakkan di pintu masuk hotel berkenaan yang terletak bertentangan sebuah bar karaoke dan tempat urut meletup, menyebabkan seorang terbunuh dan 30 lagi cedera,” katanya.
Letupan itu berlaku kurang dua minggu selepas satu siri le­tupan menggegarkan tiga resort pelancongan popular di selatan negara ini mengorbankan empat orang dan mencederakan 37 orang lagi termasuk pelancong dari Eropah.
Penganalisis berkata, walaupun Pattani bukan lokasi popular dan menjadi kunjungan pelancong, namun kumpulan militan dilihat sedang menjadikan tempat ini sebagai sasaran mereka.
Timbalan Ketua Junta Thailand, Prawit Wongsuwan, ba­gaimanapun menolak sebarang kaitan serangan awal bulan ini di kawasan tarikan pelancongan dengan pemberontakan yang berlaku di selatan negara ini.
Katanya, rundingan dengan kumpulan pemberontak akan ditangguhkan sehingga semua insiden keganasan reda.
“Semua keganasan mesti berhenti sebelum kita boleh me­nersukan perbincangan. Mereka (pemberontak) perlu menunjukkan keikhlasan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kejadian letupan itu, semalam. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/2-lagi-bom-gegar-thai-1.374452#sthash.o1qPsOXU.dpuf

20 August 2016

Suspek serangan Thailand 
di Malaysia?

BANGKOK 20 Ogos - Seorang individu yang dinamakan sebagai suspek serangan bom di Thailand sehingga mengakibatkan kematian empat orang minggu lalu didakwa sedang bersembunyi di Malaysia.
Ahama Lengha
Ahama Lengha
Portal The Nation melaporkan, Ahama Lengha dari daerah Tak Bai, Nawathiwat disifatkan ahli keluarga dan rakannya sebagai seorang lelaki yang baik kerana sering terlibat dalam kerja pembinaan kemudahan awam.
Dia yang berasal dari mukim Koh Sathon bekerja di sebuah kilang baja di Malaysia yang terletak kira-kira 15 kilometer dari rumahnya dan akan pulang ke kampung pada setiap minggu.
Menurut sumber, beberapa hari sebelum serangan di Phuket, Ahama dipercayai mahu me­nyerah diri menerusi satu perjanjian pengampunan berhubung kes melibatkannya pada 2008.
Bagaimanapun, dia menghilangkan diri selepas satu waran tangkap baharu terhadapnya dikeluarkan polis Thailand.
Mahkamah Tentera Thailand mengeluarkan waran tangkap terhadapnya selepas asid deoksiri­bonukleik (DNA) yang dikumpul di lokasi serangan bom sepadan dengan milik lelaki itu berkaitan satu kes pada 2008.
Bagaimanapun lokasi sebenar Ahama bersembunyi tidak dinyatakan.
Polis juga sudah memaklumkan semua pusat pemeriksaan sempadan supaya menahan suspek jika terserempak dengannya.
Waran tangkap untuk Ahama pada 2008 dikeluarkan atas dakwaan penglibatannya dalam ke­ganasan di selatan Thailand.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/suspek-serangan-thailand-8232-di-malaysia-1.372896#sthash.Dit4bouX.dpuf

16 August 2016

Saya bukan dalang: Thaksin



ASKAR Thai berjaga-jaga sementara unit forensik memeriksa tempat serangan berikutan dua letupan bom tepi jalan di daerah Bacho, Naratyhiwat, semalam. Beberapa anggota tentera cedera dalam serangan itu. - AFP

Reuters
Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra menafikan terbabit dalam letupan atau kebakaran di tujuh wilayah selatan Thai pada Khamis dan Jumaat lalu yang menyebabkan empat orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

“Thaksin juga mengancam mengheret mereka yang membuat tuduhan dia bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan ke mahkamah,” kata jurucakapnya, Noppadon Pattama, ahli politik dari Parti Pheu Thai.

“Orang ramai menghantar mesej menerusi media sosial, menuduh Thaksin menjadi dalang serangan itu,” kata Noppadon yang pernah menjadi menteri luar dalam kerajaan proksi Thaksin.

Menurutnya, dalam usaha untuk melindungi reputasinya, Thaksin mengarahkan peguamnya membuat laporan polis terhadap mereka yang menuduhnya.

Sementara itu, tentera Thai berkata, ia menahan beberapa orang untuk disoal siasat berkait dengan serangan itu yang berlaku beberapa hari selepas rakyat Thai mengundi menerima perlembagaan yang disokong tentera untuk membuka jalan bagi pilihan raya diadakan hujung tahun depan.

Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab sementara polis dan kerajaan menolak serangan itu ada hubungan dengan kumpulan pemisah, sebaliknya mengaitkannya dengan isu politik.

Jurucakap junta tentera, Kolonel Winthai Suvaree berkata, beberapa orang ditahan di kem tentera, tetapi belum ada yang didakwa.

“Mereka dihantar ke beberapa kem tentera,” katanya tanpa menyebut jumlah yang ditahan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 11:57 AM

15 August 2016

'Kami dah tahu'



AFP
Bangkok: Pihak berkuasa Thailand tahu siapa dalang siri serangan bom di beberapa lokasi pelancongan di selatan negara itu yang menyebabkan empat orang maut, kata polis semalam.

Polis berkata, sekurang-kurangnya dua lelaki ditahan untuk soal siasat berhubung empat serangan bom di bandar pelancongan Hua Hin manakala suspek ketiga ditahan kerana disyaki membakar bangunan di wilayah berasingan.

“Siasatan kami masih menunjukkan kemajuan. Kami tahu siapa dalangnya,” kata timbalan jurucakap polis Thailand, Piyapan Pingmuang.


Bagaimanapun, dia enggan mendedahkan maklumat lanjut mengenai identiti suspek atau motif.

Seorang jurucakap junta tentera, Winthai Suvaree mengesahkan beberapa individu ditahan untuk soal siasat, tetapi menegaskan terlalu awal untuk menamakan mereka sebagai suspek.

“Mereka hanya ditanya beberapa soalan. Mereka tidak dilayan sebagai suspek melainkan proses soal siasat selesai dan ada di antara mereka didapati melanggar undang-undang,” jelasnya.

Sekurang-kurangnya 11 serangan bom dan beberapa kebakaran berlaku di tujuh wilayah di selatan Thailand pada Khamis dan Jumaat lalu.

Kejadian itu menyebabkan empat penduduk tempatan maut dan lebih 30 orang lagi termasuk pelancong asing cedera.

Sementara itu, pihak berkuasa menemui dan berjaya mematikan lima lagi peranti lengkap dengan telefon bimbit dipercayai bom yang tidak meletup.

Kementerian dalam negeri dalam satu kenyataan memberitahu, dua peranti ditemui di sebuah pasar di Hua Hin, semalam.

Pasukan pemusnah bom berjaya mematikan peranti berkenaan yang dipercayai diletakkan di lokasi itu sejak Rabu lalu.

Sebuah lagi bom yang diset untuk meletup pada jam 3 pagi, Jumaat lalu dijumpai di Phuket semalam dan berjaya dimatikan.

Dua lagi peranti ditemui di Phang Nga, berhampiran sebuah pasar yang dibakar dalam satu kejadian pada awal pagi Jumaat lalu.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Ogos 2016 @ 11:59 AM

12 August 2016

Empat maut letupan di pusat peranginan Thailand


12 OGOS 2016
bom

bom
PHUKET - THAILAND. Beberapa siri letupan yang mensasarkan industri pelancongan penting Thailand menyebabkan empat terbunuh, kata pegawai dipetik telegraph.co.

Letupan berkembar berdekatan resort mewah di Hua Hin lewat semalam menyebabkan seorang wanita terbunuh dan mencederakan 20 yang lain termasuk sembilan pelancong asing diikuti dengan dua letupan pada awal Jumaat menyebabkan seorang lagi terbunuh.

Dua letupan lagi dilaporkan di bandar pelancongn popular Phuket dan di wilayah selatan Trang dan Surat Thani yang masing-masing turut meragut 1 nyawa.

Perdana Menteri Prayut Chan O Chan berkata, pihaknya masih belum mengenal pasti dalang disebalik serangan.

"Letupan bom adalah usaha untuk mewujudkan suasana hura hara dan kekeliruan," katanya kepada pemberita.

Kedua-dua bom yang meletup di Hua Hin disembunyikan dalam pasu bunga dan meletup dalam masa 30 minit antara satu sama lain di kawasan bar di bandar pantai terkenal itu.

Walaupun insiden pengeboman kecil adalah perkara biasa di dalam kerajaan semasa tempoh ketegangan politik yang semakin meningkat, terdapat beberapa kejadian seumpana itu pada tahun lepas namun insiden yang mensasarkan kepada pelancong adalah jarang berlaku.

Sementara itu, jurucakap polis, Sitthichai Srisopacharoenrat berkata, bahan letupan diletupkan dari jauh melalui telefon bimbit.

Bom meletup dalam masa setengah jam antara satu sama lain, menurut BBC.

Mangsa yang meninggal dunia adalah seorang wanita Thai.

Serangan bom gegar Thailand, empat maut




Seorang pelancong yang cedera dan gambar kanan, seorang wanita tempatan yang cedera terbaring menunggu bantuan akibat serangan bom di Hua Hin. - Foto REUTERS

Dua mangsa yang cedera akibat letupan bom di Hua Hin diberi rawatan kecemasan. - Foto REUTERS

Agensi
Hua Hin, Thailand: Berapa serangan bom yang berlaku di kawasan pelancongan popular Thailand, termasuk di Phuket, Hua Hin dan Krabi, sejak semalam dan hari ini, menyebabkan empat terbunuh manakala puluhan lagi cedera.

AFP melaporkan belum ada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap 11 letupan itu yang kelihatan seperti serangan terancang membabitkan lima wilayah dengan yang terburuk berlaku di kawasan pelancongan Hua Hin, kira-kira 200 kilometer di selatan Bangkok dengan satu letupan malam tadi dan satu lagi pagi ini, menyebabkan seorang dua terbunuh dengan 20 lagi cedera, termasuk sembilan rakyat asing.

Dua lagi letupan berlaku di Pantai Patong, Phuket. Empat letupan bom di selatan Thailand dengan tiga letupan bom di Surat Thani, menyebabkan seorang mati dan satu letupan di Trang, juga menyebabkan seorang terbunuh dianggap biasa dipercayai dilakukan kumpulan pemisah.

Menurut polis, dua letupan kecil yang berlaku di Pantai Patong menyebabkan seorang cedera ringan dan dua lagi letupan berlaku di Phang Nga, kawasan pelancongan di selatan namun tiada yang cedera.

Setakat ini polis yakin serangan itu bermotifkan sabotaj dan tiada kaitan dengan pengganas.

“Ia bukan serangan pengganas, hanya sabotaj tempatan,” kata jurucakap polis Thailand, Piyapan Pingmuang di Bangkok.

Perdana Menteri

Perdana Menteri Thai Jeneral Prayut Chan-o-cha mengarahkan pihak berkuasa mempertingkatkan kawalan keselamatan di kawasan awam dan tumpuan pelancong berkata: “Serangan bom itu bertujuan menyebabkan kekecohan.”

Bernama melaporkan polis Thailand mengesahkan tiada rakyat Malaysia terbabit dalam serangan bom berkenaan.

Selain serangan bom, beberapa perbuatan membakar dengan sengaja di bandar pelancongan, Aonang, Krabi dan daerah Muang di wilayah Trang, sejak awal pagi dengan beberapa gedung perniagaan dan pasar di wilayah berkenaan dibakar dalam kejadian awal pagi hari ini.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 12 Ogos 2016 @ 4:55 PM

Seorang Terkorban, 10 Cedera Dalam Serangan Resort Di Thailand


Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2016 8:00 AM

BANGKOK: Seorang wanita dan 10 yang lain cedera apabila dua butir bom meletup dalam kejadian di Hua Hin, sebuah resort tepi pantai, di sini, menurut polis.

Letupan berlaku menjelang cuti umum pada Jumaat sempena hari kelahiran Permaisuri Sirikit.

Hua Hin adalah tempat peranginan mewah yang popular di selatan Bangkok dan menjadi tumpuan ramai pada cuti hujung minggu.

Bom kedua meletup berhampiran bar kira-kira pukul 10.20 malam, membunuh seorang wanita warga Thailand, mencederakan lapan warga asing dan seorang warga Thai, kata timbalan ketua polis tempatan Samer Yousamran.

Mereka yang cedera kini dirawat di sebuah hospital tempatan, katanya.

Letupan pertama berlaku kira-kira 20 minit sebelum itu pada jarak lebih kurang 50 meter dari tempat bom kedua meletup, katanya.

Tiada siapa yang cedera dalam letupan pertama.

Polis sedang menyiasat dan masih belum mengetahui motif atau identiti pengebom, katanya.

Dalam kejadian berasingan pada awal Khamis, sebutir bom meletup di sebuah pasar di selatan wilayah Trang di Thailand, mencederakan enam orang, kata polis.

Polis percaya letupan itu mempunyai kaitan dengan pertikaian tempatan.

Thailand telah mengadakan undian kurang dari seminggu lalu dalam referendum untuk menerima pakai perlembagaan yang disokong tentera, ujian pertama bagi Perdana Menteri Prayuth Chan-ocha di peti undi sejak beliau merampas kuasa dalam rampasan kuasa pada Mei 2014.

Raja Thailand, Raja Bhumibol Adulayadej, yang berusia 88 tahun adalah raja yang memerintah paling lama di dunia dan isterinya Sirikit berada di hospital di Bangkok tetapi telah bermastautin di istana diraja Klai Kangwon, di Hua Hin sejak kebelakangan ini yang diterjemahkan sebagai 'jauh dari kebimbangan istana'.

Raja Bhumibol telah menerima rawatan kerana masalah jangkitan sejak beberapa bulan lepas di sebuah hospital di Bangkok.

6 cedera dalam letupan bom di Trang

DUNIA KHAMIS, 11 OGOS 2016 @ 10:08 PM

BANGKOK: Enam orang cedera bila sebutir bom meletup di sebuah pasar di Trang, di selatan Thai pada 3 petang (waktu tempatan) hari ini, dan pihak berkuasa pantas menafikan kononnya keganasan sebagai penyebab.

 Gabenor Trang, Detchart Simsiri, berkata letupan di pasar Centre Point itu tidak ada kaitan dengan tindakan keganasan tetapi menyebut kemungkinan konflik dalaman di antara peniaga pasar berkenaan sebagai penyebab insiden itu.

 "Siasatan mengenai motif letupan bom sedang dijalankan, tetapi siasatan itu memfokus kepada pertikaian dalaman di pasar itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian. Detchart berkata, saksi kejadian nampak sebuah beg dipercayai mengandungi bom dilemparkan dari sebuah kereta ke arah perhentian bas dekat pasar itu sejurus sebelum berlaku letupan.

Mereka yang cedera dihantar ke hospital terdekat untuk menerima rawatan. Jurucakap Kementerian Pertahanan, Mej Jen Kongcheep Tantrawich, dalam satu kenyataan, berkata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Jen Prawit Wongsuwan, telah mengarahkan pihak berkuasa menyiasat motif kejadian itu.

Katanya, siasatan awal tidak menemui sebarang kaitan antara insiden letupan itu dengan konflik sempadan selatan. - BERNAMA  

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182214

Letupan bom di Thailand, seorang maut 19 cedera

JUMAAT, 12 OGOS 2016 @ 6:57 AM

LETUPAN di sebuah pekan peranginan popular, Hua Hin, lewat malam tadi. - Foto AP

 BANGKOK: Seorang wanita Thai terbunuh manakala 19 yang lain termasuk warga asing cedera dalam dua letupan berangkai di sebuah pekan peranginan popular, Hua Hin, lewat malam tadi. "Seorang wanita Thai maut susulan letupan dua bom dengan 19 lagi cedera. Daripada 19 orang mangsa itu, tiga dalam keadaan parah manakala tujuh yang cedera adalah warga negara asing, iaitu empat wanita dan tiga lelaki," kata seorang pegawai polis Hua Hin di selatan Bangkok. - AFP

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/182307

Enam cedera dalam letupan bom di Trang


Enam orang cedera dalam satu kejadian letupan bom di sebuah pasar

Enam orang cedera dalam satu kejadian letupan bom di sebuah pasar di Wilayah Trang, selatan Thailand kira-kira 3 petang (waktu tempatan)semalam. - BERNAMA
BANGKOK 12 Ogos - Enam orang cedera bila sebutir bom meletup di sebuah pasar di Trang, di selatan Thai pada 3 petang (waktu tempatan) semalam, dan pihak berkuasa pantas menafikan kononnya keganasan sebagai penyebab.
Gabenor Trang Detchart Simsiri berkata, letupan di pasar Centre Point itu tidak ada kaitan dengan tindakan terrorisme tetapi menyebut kemungkinan konflik dalaman di antara peniaga pasar berkenaan sebagai penyebab insiden itu.
"Siasatan mengenai motif letupan bom sedang dijalankan, tetapi siasatan itu memfokus kepada pertikaian dalaman di pasar itu," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Detchart berkata, saksi kejadian nampak sebuah beg dipercayai mengandungi bom dilemparkan dari sebuah kereta ke arah perhentian bas dekat pasar itu sejurus sebelum berlaku letupan.
Mereka yang cedera dihantar ke hospital terdekat untuk menerima rawatan, katanya.
Jurucakap Kementerian Pertahanan Maj Jen Kongcheep Tantrawich dalam satu kenyataan berkata, Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Jen Prawit Wongsuwan telah mengarahkan pihak berkuasa menyiasat motif kejadian itu.
Siasatan awal tidak menemui sebarang kaitan antara insiden letupan itu dengan konflik sempadan selatan, kata Kongcheep. - BERNAMA
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/enam-cedera-dalam-letupan-bom-di-trang-1.369491#sthash.XIRyatNB.dpuf

9 August 2016

Kemenangan buat junta tentera


ORANG ramai beratur untuk membuang undi di wilayah Buriram timur laut Thailand semalam. - AFP


BANGKOK – Rakyat Thailand menyokong draf perlembagaan baharu yang dibentuk kerajaan junta tentera, menurut keputusan awal pungutan suara semalam yang memberikan kemenangan besar kepada tentera tetapi tamparan terhadap gerakan prodemokrasi.
Keputusan awal yang disiarkan Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menunjukkan 62 peratus pengundi menyokong perlembagaan baharu itu, manakala setakat pukul 9 malam semalam, sebanyak 90 peratus undi telah dikira.
Pihak berkuasa menganggarkan bilangan pemilih yang keluar mengundi dalam pungutan suara kali ini adalah sekitar 55 peratus daripada 50.2 juta pengundi berdaftar di Thailand.
Hanya penduduk miskin di pedalaman timur laut Thailand dan pengundi di tiga wilayah selatan yang bergolak mengundi menentang draf perlembagaan baharu tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha yang membuang undi di Daerah Phayathai, Bangkok, menggesa rakyat supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi.
“Marilah keluar beramai-ramai. Jangan takutkan hujan, jika hujan turun sekali pun, anda masih perlu datang kerana hari ini (semalam) adalah penentu bagi masa depan Thailand.
Sebelum ini, pemimpin dua parti utama Thailand iaitu bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Abhisit Vejajiva masing-masing daripada Parti Puea Thai serta Parti Demokrat meminta penyokong mereka menolak draf perlembagaan itu.
Draf perlembagaan itu mencetuskan kontroversi antara lain kerana membenarkan keanggotaan Dewan Senat dibuat melalui pelantikan dengan sebahagian daripada 250 dewan berkenaan dikhaskan kepada junta tentera, manakala proses pemecatan Perdana Menteri pula akan dipermudahkan.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dalam rampasan kuasa tentera dua tahun lalu, Prayuth telah membentangkan pelan politik untuk kembali kepada sistem demokrasi dengan satu pilihan raya umum akan diadakan pada tahun depan.
Terdahulu, pusat-pusat mengundi yang terletak di taman awam, sekolah dan tempat-tempat lain dibuka mulai pukul 8 pagi (waktu tempatan) sebelum ditutup lapan jam kemudian.
Suruhanjaya Pilihanraya (SP) menyatakan, lebih 940,000 pusat mengundi di seluruh Thailand telah dibuka, manakala keputusan rasmi pungutan suara itu akan diketahui hari ini. – Bernama/AFP.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4Gp9JeZLL 
Hakcipta terpelihara 

7 August 2016

10 Letupan Gegar Selatan Thailand


Diterbitkan: Ahad, 7 Ogos 2016 11:25 AM

Sukarelawan membawa peti undi ke pejabat pentadbiran pada malam pilihan raya referendum perlembagaan di wilayah selatan Thailand iaitu Narathiwat pada 6 Ogos -AFP

NARATHIWAT: Sekurang-kurangnya 10 letupan bom dilaporkan di wilayah bergolak, Yala dan di sini pada Sabtu - kurang 24 jam sebelum berlangsungnya pilihan raya referendum perlembagaan Thailand.

Ketua Polis Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkanawin berkata serangan bom berlaku antara pukul 7.30 malam dan 8 malam di beberapa lokasi.

Bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan.

"Bom yang disasarkan pada tiang lampu menyebabkan beberapa kawasan tiada bekalan elektrik dan memutuskan sistem komunikasi," katanya kepada pemberita di sini.

Letupan dilaporkan berlaku di Sungai Golok, Ranget, Bacho, Chok Airong, Yimgo, Takbai, Chanek, Rusak, Waeng dan Muang di Narathiwat.

Satu letupan bom turut berlaku di daerah Yaman wilayah Yala.

Polis melaporkan enam letupan di selatan Thailand, yang dilihat sebagai reaksi kepada pilihan raya referendum.

Kira-kira 50 juta rakyat Thai akan keluar mengundi dalam pungutan suara mengenai perlembagaan baharu yang digubal oleh jawatankuasa tentera junta negara itu. -Bernama

4 August 2016

Pegawai daerah cedera dalam letupan bom


3 OGOS 2016
Bom

Bom
NARATHIWAT - Seorang pegawai daerah dan tujuh yang lain cedera dalam kejadian letupan bom motosikal di hadapan markas sukarelawan daerah di wilayah bergolak Narathiwat di selatan Thailand.

Ketua Polis Narathiwat Mej Jen Pattanawut Angkanawin berkata, kejadian yang berlaku pada 12.10 tengah hari (waktu tempatan) itu mencederakan Pegawai Daerah Sri Sakorn, Kotchakorn Raksasorn.

"Bom itu menyasarkan kereta perisai dinaiki oleh pegawai daerah berkenaan. Turut tercedera dalam kejadian itu empat sukarelawan dan pemandu kereta perisai serta dua orang awam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Letupan bom yang turut menyebabkan kerosakan pada bangunan berhampiran itu berlaku ketika Kotchakorn baru selesai menghadiri mesyuarat dengan ketua kampung dan penggawa di daerah berkenaan, katanya.

Menurut Pattanawut, motosikal dipasang bom itu telah dilaporkan hilang baru-baru ini di daerah Rusak yang terletak berhampiran dengan daerah Sri Sakorn. - Bernama

1 August 2016

Tiga Letupan Bom Gegar Narathiwat, Dua Terbunuh


Diterbitkan: Isnin, 1 Ogos 2016 5:36 PM

NARATHIWAT: Tiga kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di wilayah bergolak Narathiwat di selatan Thai malam dan pagi Isnin mengakibatkan dua orang terbunuh dan seorang cedera.
Menurut Ketua Polis Sungai Golok Kol Korn-art Suwannakam, kejadian pertama berlaku di Kampung Bongo, Ranget pada 6.30 petang (waktu tempatan) dan kejadian kedua pada 10 malam di Chok Irong.
"Kejadian pertama mengorbankan dua mangsa, manakala dalam kejadian kedua terdapat mangsa yang cedera," katanya kepada pemberita di sini, Isnin.
Dalam kejadian di Jalan Jarusatiang, Kampung Tok Lube di Sungai Golok 7.45 pagi Isnin, sebutir bom seberat antara lima hingga tujuh kilogram meletup ketika enam sukarelawan keselamatan pulang daripada tugas mengawal guru.
Tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian itu, katanya.
Sementara itu Ketua Polis Daerah Yingo Kol Dulyaman Yaena berkata polis menerima laporan tentang tiga tindakan menconteng jalan raya dengan perkataan menolak pungutan suara pada 7 Ogos ini di Jalan Petchakasem di sini.
Sepanduk serta contengan di jalan raya menolak pungutan suara itu turut dilaporkan berlaku di daerah Mayo, Muang dan Mayo di Pattani.
Dalam kejadian berasingan pula, Polis Marin Narathiwat menahan empat buah kapal nelayan Vietnam bersama 20 anak kapal warganegara itu pada 10 pagi tadi, menurut ketuanya Kol Natthapon Takaew.
Tangkapan itu dilakukan selepas menerima laporan daripada nelayan tempatan tentang kehadiran kapal-kapal asing itu. - BERNAMA