29 August 2014

Abhisit, Suthep bebas tuduhan bunuh


Bangkok: Sebuah mahkamah semalam menggugurkan tuduhan bunuh dan salah guna kuasa terhadap bekas perdana menteri Abhisit Vejjajiva serta timbalannya dalam kejadian menyuraikan penunjuk perasaan pada 2010.

Hakim berkata mahkamah tidak mempunyai kuasa mendengar kes berkenaan kerana Abhisit dan Suthep Thaugsuban penjawat awam ketika itu dan bertindak menurut dikri darurat.


“Justeru mahkamah jenayah hari in imemutuskan untuk menggugurkan dua tuduhan berkenaan,” katanya.

Sejumlah penunjuk perasaan antikerajaan Abhisit maut di jalanan selepas pasukan keselamatan menggunakan kekerasan bagi menyuraikan mereka.-AFP

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/29

Guru maut letupan bom di Pattani


PATTANI 28 Ogos - Seorang guru maut dan dua yang lain cedera apabila sebutir bom meletup berhampiran sebuah konvoi pendidik dan polis di daerah Khok Pho, Pattani pagi ini.
Menurut laman web bangkokpost.com, Patimo Saemasae, 28, maut, manakala seorang lagi guru, Lamduan Chuduang, 55 dan anggota polis bernama Pradit Iamsri, 44, cedera dipercayai terkena serpihan bom buatan sendiri.
Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 8.15 pagi ini ketika empat orang guru yang masing-masing menunggang motosikal berasingan sedang dalam perjalanan ke Sekolah Ban Thau Rua, diiringi pasukan polis yang menaiki pikap serta dua motosikal.
Patimo meninggal dunia di Hospital Khok Pho.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140829/lu_08/Guru-maut-letupan-bom-di-Pattani#ixzz3BjaFO7hI
© Utusan Melayu (M) Bhd 

28 August 2014

577 jemaah haji berlepas dari Narathiwat


27 Ogos 2014


NARATHIWAT - THAILAND. Seramai 577 jemaah haji dari tiga wilayah di selatan Thailand berlepas dari Narathiwat dengan dua penerbangan ke Madinah hari ini.

Penerbangan pertama membawa seramai 281 jemaah haji berlepas pada jam 10.40 pagi waktu tempatan, manakala penerbangan kedua pada 4.25 petang membawa seramai 296 jemaah haji.

Ketua Pejabat Kementerian Budaya Prof. Dr. Apinan Poisianont berkata pada tahun ini terdapat 10,400 orang jemaah haji dari Thailand yang mendapat kouta dari Saudi Arabia, dan 8,000 orang dari mereka dari wilayah di selatan.

Tahun ini terdapat 200 orang jemaah haji yang mendapat bantuan perbelanjaan daripada Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC).

Beliau berkata tahun ini juga terdapat 144 penerbangan melalui Lapangan Terbang Suvarnabhumi (5,040 orang jemaah haji), 14 penerbangan dari Lapangan Terbang Phuket (832 orang jemaah haji) dan lapan penerbangan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Hatyai (2,368 orang jemaah haji).

Gen Udomdej Sitabutr, Timbalan Panglima Pejabat Keselamatan dan Ketenteraman Kebangsaan, adalah antara yang hadir menyaksikan perlepasan jemaah haji tersebut dari Lapangan Terbang Narathiwat ke Madinah, pada jam 10.40 pagi itu. - Bernama

25 August 2014

Rundingan damai di selatan Thailand tiada kesudahan


HATYAI digegarkan dengan letupan bom pada 6 Mei lalu.
Oleh Hassan Omar
Narathiwat, Yala dan Pattani tiga wilayah di selatan Thailand sudah menyaksikan ribuan nyawa manusia terkorban akibat konflik keyakinan dan keinginan untuk satu pihak menuntut kuasa, manakala satu pihak lagi bermati-matian ingin mengekalkan kuasa.
Krisis keyakinan dan tuntutan yang bertukar kepada tindakan mengangkat senjata demi kebebasan itu sudah berlangsung sejak tahun 1960-an dan menjadi semakin nyata sejak tahun 2004 apabila pelbagai kumpulan anggota masyarakat yang majoritinya Islam di ketiga-tiga wilayah berkenaan menzahirkan tuntutan mereka kepada Kerajaan Thailand dengan cara mengangkat senjata.
Dianggarkan kira-kira 6,000 nyawa sudah melayang akibat sengketa itu, selain kira-kira 8,000 yang cedera sama ada yang membabitkan anggota masyarakat Islam, Buddha atau anggota pasukan keselamatan Thailand.
Bawa pihak bertelagah ke meja rundingan
Bukan tidak ada usaha untuk masyarakat Islam di Malaysia membantu menamatkan persengketaan itu. Sementara Kerajaan Malaysia berusaha membantu membawa pihak yang bertelagah ke meja rundingan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pula berusaha membantu menyelesaikan krisis berkenaan dengan membincangkan pro dan kontra, tuntutan dan alasan pihak yang bertelagah dalam pelbagai sesi perbincangan.
Satu daripada sesi perbincangan itu ialah Seminar Ke Mana Proses Keamanan Selatan Thailand anjuran Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) di Kuala Lumpur pada 12 November tahun lalu. Pembentang kertas kerja ialah Pengarah Forum dan Hubungan Antarabangsa Pattani, Don Pathan dan Felo Kanan ISIS, Bunn Nagara.
Seminar itu membincangkan isu pembangunan yang didakwa anggota masyarakat Islam di kawasan itu sebagai aspek yang dipinggirkan oleh Kerajaan Thailand. Hal berkenaan berbeza dengan pelbagai nikmat pembangunan yang dinikmati anggota masyarakat Buddha di utara Thailand, khususnya Bangkok.
Masyarakat Islam juga tidak dengan mudah melupakan peristiwa lebih 1,000 umat Islam dibunuh askar Thailand ketika mereka menjalani ibadah puasa, manakala Masjid Kerisek, Pattani rosak teruk akibat ditembak bertalu-talu pada 2004.
Umat Islam di Thailand dan Malaysia sayu apabila melihat jenazah terbabit disumbat dalam trak tentera tidak ubah seperti bangkai haiwan yang tidak bernilai. Perdana Menteri Thailand ketika itu, Thaksin Sinawatra berjanji akan menyiasat kejadian itu, tetapi tiada sebarang hasil hingga sekarang. Beliau akhirnya hilang kuasa akibat digulingkan pada tahun 2006.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Pergerakan Mujahidin Pattani, Pergerakan Mujahidin Islam Pattani dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF), tetapi hanya BRN yang mendapat restu Kerajaan Thailand untuk berunding.
BRN buat pelbagai tuntutan
Bagaimanapun, BRN membuat pelbagai tuntutan seperti Kerajaan Thailand perlu menerima peranan Malaysia sebagai perantara kerajaan dalam rundingan damai dan bukannya fasilitator.
Selain itu, rundingan damai perlu dihadiri Melayu Pattani yang diketuai BRN dan Kerajaan Thailand, anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Pihak berkuasa Thailand juga perlu membebaskan semua suspek ditahan dan menggantung serta membatalkan semua waran tangkap membabitkan kes keselamatan nasional tanpa syarat. BRN perlu diiktiraf sebagai Pergerakan Pembebasan Pattani dan bukan kumpulan pemisah.
Rundingan damai itu bermula pada 1 Mac 2013 dengan Malaysia diwakili Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang juga Fasilitator Kumpulan Kerja Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim,
Bagaimanapun, Kerajaan Thailand enggan menerima tuntutan berkenaan, menyebabkan keganasan terus berlaku. Dalam seminar itu, Don Pathan menyatakan beliau tidak pasti sama ada perjanjian damai mampu dimeterai dan pihaknya tidak faham apakah yang dikehendaki penduduk Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla.
Menurut Don, inisiatif untuk mewujudkan kedamaian di wilayah berkenaan sudah dibuat sejak tahun 2005 dengan menarik mereka ke meja rundingan, selain mendapat bantuan negara ASEAN pada Dialog Bogor 2007. Sebelum itu, perbincangan dibuat di Langkawi pada tahun 2005 ketika Tun Dr Mahathir Mohamad masih Perdana Menteri.
Katanya, ketiadaan pembangunan ekonomi di wilayah berkenaan turut menyebabkan ia menjadi pusat penyeludupan, termasuk dadah dan senjata api.
Walaupun puluhan ribu tentera dikerah mengawal wilayah itu, tetapi sukar untuk memantau sepenuhnya kerana wujud pelbagai puak yang menguasai kawasan tertentu. Keadaan itu menyukarkan lagi proses keamanan kerana setiap kumpulan mempunyai kepentingan sendiri, dendam dan mahu dilihat sebagai wira.
Sementara itu, Bunn menjelaskan, kegagalan Kerajaan Thailand melihat punca sebenar masalah dan menghayati serta berusaha menyelesaikannya, menunjukkan ia tidak jujur dalam tindak-tanduknya.
Tiada program, peruntukan
Dari aspek pembangunan, kerajaan Thailand tidak menyediakan program dan peruntukan sewajarnya, sedangkan negara jiran khususnya Malaysia bersedia membantu.
Pada 22 Mei lalu, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengetuai rampasan kuasa daripada bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra. Bagaimanapun, Prayut menegaskan keamanan di selatan negara itu adalah 'keutamaan mendesak' bagi negara berkenaan dan mahu langkah lebih tegas diambil bagi memastikan keamanan dicapai.
Walaupun Thailand diletakkan di bawah pemerintahan tentera, junta tentera tetap membenarkan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam (NCPO) meneruskan rundingan dengan kumpulan di selatan Thailand, tetapi dengan beberapa perubahan proses yang mesti mematuhi Perlembagaan Thailand. Dalam keadaan Thailand masih belum mampu mengadakan pilihan raya akibat rampasan kuasa itu, rundingan damai antara Kerajaan Thailand dengan kumpulan pejuang diketuai BRN yang dimeterai di Kuala Lumpur pada 28 Februari 2013 masih belum dapat dimulakan.
Mengupas mengenai kemelut itu, Ahmad Zamzamin menjelaskan, penduduk selatan Thailand tidak mahu masyarakat majoriti Thailand di utara menggelar mereka pengganas, pemisah atau pemberontak, tetapi pejuang yang mahu membebaskan diri daripada ditindas, ketidakadilan dan kekejaman.
Tuntutan majoriti masyarakat di Thailand
Satu daripada tuntutan mereka, iaitu pengiktirafan hak ketuanan mempunyai maksud amat luas, sama ada dari aspek hak beragama, pendidikan dan ekonomi. Bagaimanapun, mereka juga perlu membuktikan kesungguhan untuk berunding.
Struktur pejuang, termasuk BRN yang amat rumit difahami, selain banyak kumpulan lain termasuk tiga jenis kumpulan, iaitu PULO, Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP) dan pecahan kumpulan pejuang kecil-kecilan menyukarkan proses damai kerana ada yang menyokong dan menentang.
Penulis ialah antara delegasi media yang dijemput Kementerian Luar Thailand untuk melawat selatan Thailand mulai hari ini hingga 30 Ogos

23 August 2014

Junta Thai cetuskan kemarahan Saudi



Bangkok: Arab Saudi semalam memanggil pulang diplomat paling kanannya selepas mengetahui abang suspek utama kes pembunuhan ahli perniagaan negara itu pada 1990, Mohammed al-Ruwaili akan dilantik menjadi anggota Parlimen baru Thai.

Ketua kedutaan Saudi Abdalelah Alsheaiby, dipanggil pulang lima hari sebelum pelantikan itu dibuat baru-baru ini.

Jeneral Somjate Boonthanom, bekas senator dan abang kepada Leftenan Jeneral Polis Somkid Boonthanom, defendan dalam kes itu, dilantik sebagai seorang daripada 197 anggota Parlimen oleh junta Thai.

Jurucakap Kementerian Luar, Sek Wannamethee berkata, setakat ini belum ada kenyataan daripada kerajaan Arab Saudi mengenai langkah untuk menurunkan hubungan diplomatik dengan Thailand.

Di samping itu, beliau berharap tindakan memanggil pulang Abdalelah hanya untuk berunding.



- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/23

21 August 2014

Pemimpin tentera Thai dipilih sebagai perdana menteri

KHAMIS, 21 OGOS 2014 @ 10:19 AM

Jeneral Prayuth Chan--ocha ketiba tiba untuk pembukaan sidang Parlimen di Bangkok baru-baru ini.
 
BANGKOK: Parlimen Thailand hari ini memilih Jeneral Prayuth Chan-ocha sebagai perdana menteri, sekali gus memperkukuhkan kuasa tentera di negara berkenaan.

Prayuth, yang menyingkir kerajaan dipilih rakyat dalam rampasan kuasa pada 22 Mei lalu, disokong oleh 191 ahli di dewan yang mempunyai 197 ahli itu. Tiga orang berkecuali dan tiga lagi tidak hadir.

Tidak ada ahli Parlimen yang menentang bagi pemilihan pemimpin tentera itu, iaitu calon tunggal bagi jawatan berkenaan.

Pemilihannya memerlukan perkenan Raja Bhumibol Adulyadej.

Pihak tentera menolak ramalan bahawa pilihan raya umum akan diadakan sebelum Oktober 2015, walaupun terdapat desakan daripada Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah agar negara itu kembali kepada demokrasi.

Prayuth, 60, akan bersara daripada angkatan tentera bulan hadapan.

Thailand tidak mempunyai Perdana Menteri sejak kerajaan pemimpin sementara, Niwattumrong Boonsongpaisan disingkir dalam rampasan kuasa Mei lalu.

Niwattumrong memegang jawatan itu untuk tempoh pendek bagi menggantikan Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra, selepas menang besar dalam pilihan raya pada 2011.

Yingluck disingkir daripada jawatannya berikutan kes nepotisme di mahkamah yang dilihat sebagai bermotif politik dan sejak itu beliau tidak menonjolkan diri. - AFP/AP

Ketua tentera Thai bakal PM baharu?


Prayuth Chan-ocha
BANGKOK 20 Ogos - Ketua tentera Thailand, Jeneral Prayuth Chan-O-Cha yang mengetuai rampasan kuasa pada 22 Mei lalu, disebut-sebut bakal dilantik sebagai Perdana Menteri baharu negara ini oleh barisan baharu Parlimen negara ini yang didominisi pihak tentera.
Sumber Parlimen memaklumkan Prayuth menjadi calon sesuai menggantikan Yingluck Shinwatra apabila 197 anggota Parlimen bersidang esok untuk memilih Perdana Menteri baharu Thailand.
"Sukar untuk mencari individu yang sesuai menjadi Perdana Menteri berbanding Jeneral Prayuth.
"Beliau yang mengetuai rampasan kuasa, sekali gus perlu bertanggungjawab untuk menyelesaikan masalah dengan caranya sendiri apabila memperolehi kuasa penuh melalui jawatan Perdana Menteri.
"Menurut tinjauan, populariti beliau dalam kalangan orang awam sangat baik dan rakyat juga mengagumi cara kerja Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO)," kata sumber itu.
Prayuth melancarkan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu selepas kedudukan Yingluck sebagai Perdana Menteri ketika itu dibatalkan oleh mahkamah.
Kerajaan junta sebelum ini memberi jaminan untuk melaksanakan pembaharuan politik sebelum mengadakan pilihan raya umum pada tahun depan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140821/lu_04/Ketua-tentera-Thai-bakal-PM-baharu#ixzz3AyWqQIgo
© Utusan Melayu (M) Bhd 

19 August 2014

OPS JPJ kurangkan kenderaan bawa penumpang Thai


19 Ogos 2014

ALOR SETAR - Ops Kenderaan Thailand, yang bermula sejak April lepas, berjaya mengurangkan kehadiran kenderaan dari Thailand yang membawa penumpang dari negara jiran masuk ke negara ini.  
   
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Mohd Fadhil Hassan berkata  operasi itu adalah arahan Perdana Menteri dan pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam.
   
Operasi itu bagi menyekat kemasukan kenderaan dari negara jiran itu yang dilarang membawa masuk penumpang yang dikenakan bayaran.
   
Katanya, kenderaan perdagangan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia terutama kenderaan yang membawa penumpang dan barangan seperti sayur dan buah-buahan.
   
"Kita dapat aduan dari pemandu teksi dan persatuan teksi dan sebagainya di mana ini (kenderaan asing bawa penumpang) telah menjejas pendapatan mereka.
   
"Bukan tidak dibenarkan kenderaan mereka masuk tetapi dia masuk dengan bawa penumpang itu salah," katanya ketika ditemui sewaktu program Bersama Imam Muda di sini hari ini.
 
Mohd Fadhil berkata sebelum arahan Perdana Menteri itu, pihaknya telah lama melakukan operasi seperti itu di mana sepanjang tahun lepas jumlah kenderaan yang diambil tindakan sebanyak 1,263 buah dan jumlah saman dikeluarkan 1,340.
   
"Jumlah kesalahan keseluruhan yang dikeluarkan pada tahun 2013 adalah 2,481.
   
"Untuk tahun ini, jumlah kenderaan yang kita ambil tindakan pada Januari hingga Julai sebanyak 464 buah.
   
"Jumlah saman sebanyak 486 dan jumlah kesalahan keseluruhan sebanyak 821," katanya.
   
Mohd Fadhil berkata sejak operasi itu dijalankan, pihaknya melihat pengusaha kenderaan dari negara jiran itu telah mengubah modus operandi.
   
Mereka berpakat dengan pemilik kenderaan tempatan untuk membawa penumpang dari Thailand masuk ke ke sempadan, dan dibawa pula oleh kenderaan tempatan ke tempat-tempat tertentu.
   
Sehubungan itu, tindakan sewajarnya telah diambil, katanya. - Bernama

17 August 2014

Warga Thai ditahan tipu jual telefon secara online


17 Ogos 2014

KANGAR - Seorang warga Thai ditahan kerana dipercayai membuat penipuan penjualan telefon bimbit secara dalam talian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polis Kontinjen Perlis, Supt Tengku Zailan Tengku Ahmad Shah berkata suspek didakwa mengiklankan penjualan itu menerusi Facebook.

Bagaimanapun kes itu masih disiasat lanjut, katanya.
   
Beliau berkata lelaki tersebut adalah antara tujuh yang diberkas dalam Ops Cantas Khas yang dilancarkan 11 Ogos lalu hingga malam tadi.
   
Mereka yang berumur antara 20-an hingga 40-an didapati melakuan jenayah     samun, komersial dan narkotik.
   
Dalam operasi lima hari itu sebanyak 378 orang, 256 motosikal, 280 kereta dan 90 bas, lori dan van diperiksa dengan 31 saman trafik dikeluarkan, 1,761 DVD haram dirampas serta beberapa gram heroin dan syabu, katanya. - Bernama

2 serangan, 2 maut


Yala: Dua anggota keselamatan terbunuh dan tiga lagi cedera dalam dua serangan bom berasingan di wilayah ini dan Narathiwat semalam.

Di daerah Kabang, Yala, tujuh anggota skuad operasi khas polis yang menaiki empat motosikal diserang ketika mengiringi sekumpulan guru.


Lans Koperal Sarawuth Choothanom disahkan mati di hospital manakala ketua patrol, Leftenan Montree Phummorradok yang cedera, dihantar ke hospital di Songkhla.

Seorang anggota unit pemusnah bom (EOD) berkata, bom kawalan jauh seberat lima kilogram diletakkan dalam pemadam api dan disembunyikan di dalam guni baja.


Sementara itu, di daerah Muang, Narathiwat, sebuah lori tentera yang membawa tiga anggota menjadi sasaran serangan bom yang dipasang pada sebuah motosikal yang diletakkan di tepi jalan utama.


Letupan berkenaan menyebabkan seorang anggota terbunuh dan mencederakan dua yang lain termasuk ketua pasukan, Sarjan Mejar Sanya Phromephetnil.

Lori berkenaan turut membawa beberapa tong petrol untuk dihantar ke pangkalan renjer di daerah lain, namun letupan yang berlaku tidak menjejaskan muatan yang dibawa. - Agensi



Artikel ini disiarkan pada: 2014/08/17

16 August 2014

Dua anggota keselamatan maut insiden letupan bom


15 Ogos 2014


YALA - THAILAND. Dua anggota pasukan keselamatan Thailand maut manakala empat lagi cedera dalam dua kejadian letupan bom di selatan Thailand hari ini.

Dalam kejadian pertama di Yala pada 10 pagi, seorang anggota polis maut manakala seorang lagi cedera parah apabila sebutir bom buatan sendiri seberat 15 kilogram diletupkan ketika empat anggota pasukan keselamatan itu melakukan rondaan dengan menunggang dua motosikal di Jalan Yaha-Kabang.

Timbalan Ketua Polis Wilayah Yala Kolonel Banlue Shuvet berkata bom itu dipasang dalam kotak besi yang diletak di tepi jalan di Kampung Bendang Dama, daerah Kabang.

Insiden kedua, yang berlaku di Narathiwat, pula menyaksikan seorang anggota renjer maut manakala tiga lagi cedera apabila bom dipasang pada sebuah motosikal yang diletak di tepi jalan diletupkan ketika kesemua mangsa, yang menaiki sebuah trak, melalui Jalan Takbai-Narathiwat di Kampung Banmai dalam daerah Muang.

Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat Kolonel Somporn Meesuk berkata motosikal yang dipasang bom itu dilaporkan dicuri pada 13 Julai lepas di daerah Takbai. - Bernama

15 August 2014

5 cedera serangan di selatan Thai


PATTANI 14 Ogos - Beberapa serangan berlaku di wilayah Pattani dan Yala lewat petang semalam hingga awal hari ini membabitkan kumpulan pemisah, mengakibatkan seorang renjer dan empat anggota polis cedera, manakala tiga anggota kumpulan pemisah ditangkap.
Di Pattani seorang anggota renjer yang sedang menjalankan rondaan cedera parah akibat letupan bom buatan sendiri di tepi jalan Saiburi-Jarak Kerian di Kampung Jarak Kerian, Saiburi, kata Ketua Polis Daerah Saiburi Pol. Col. Panya Khawaranan.
Dalam kejadian kedua di daerah Tungyang-Deang, empat anggota polis cedera, manakala trak yang dinaiki mereka ketika sedang meronda rosak akibat letupan bom.
Di Saiburi, pihak berkuasa menahan tiga suspek anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) selepas lebih 100 anggota polis tentera dan Rela menggeledah sebuah rumah di Kampung Jarak Kerian, mukim Tabing, Daerah Saiburi pada kira-kira pukul 8.30 pagi. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140815/lu_09/5-cedera-serangan-di-selatan-Thai#ixzz3APROibJ5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 August 2014

Lima cedera dalam insiden di Yala, Pattani


14 Ogos 2014


PATTANI - THAILAND. Beberapa insiden berlaku di Wilayah Pattani dan Yala dari lewat petang semalam hingga awal hari ini membabitkan kumpulan pemisah, mengakibatkan seorang renjer dan empat anggota polis cedera manakala tiga anggota kumpulan pemisah ditangkap.

Di Pattani seorang anggota renjer yang sedang dalam tugas rondaan cedera parah akibat letupan bom buatan sendiri seberat 10kg dalam kejadian 7.30 pagi di tepi jalan Saiburi-Jarak Kerian di Kampung Jarak Kerian, Saiburi.

Ketua Polis Daerah Saiburi Pol. Col. Panya Khawaranan berkata bom itu ditanam di tepi jalan berhampiran tiang elektrik.

Dalam kejadian kedua pada jam 9 pagi di daerah Tungyang-Deang, empat anggota polis cedera manakala trak yang dinaiki mereka ketika sedang meronda rosak akibat letupan bom.

Di Saiburi, juga di Pattani, pihak berkuasa menahan tiga suspek anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) selepas lebih 100 anggota polis tentera dan Rela mengepung serta menggeledah sebuah rumah Kampung Jarak Kerian, mukim Tabing, Daerah Saiburi kira-kira 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Saiburi Pol. Col. Panya Kharawanan berkata pihak berkuasa bertindak selepas mendapat laporan perisikan bahawa rumah tersebut didiami beberapa lelaki yang disyaki terlibat dengan anggota RKK.

Dalam operasi itu, polis menahan tiga lelaki berumur 28 hingga 35 tahun, dua daripada mereka mempunyai beberapa waran tangkap.

Pihak berkuasa turut merampas senjata api pelbagai jenis dan 200 butir peluru senapang M16. Selain itu, terdapat bahan letupan yang sedia untuk diaktifkan.

Ketiga-tiga suspek dibawa untuk siasatan lanjutan di Balai Polis Daerah Saiburi. Dua daripada mereka mempunyai kemahiran dalam bidang letupan, kata Panya.

Di Yala pula, berlaku beberapa insiden kejadian letupan bom berasingan tetapi tiada kecederaan atau kematian.

Ketua Polis Wilayah Yala Pol. Maj. Gen. Songkiat Watakul percaya kejadian itu perbuatan Kumpulan Pemuda Baru yang baru lulus latihan.

Dalam kejadian pada jam 8.30 malam waktu tempatan di Daerah Yaha, sebutir bom yang diletak di dalam peti telefon awam diletupkan manakala pada sekitar masa yang sama sebutir bom diletupkan di pondok lama polis di daerah Muang Yala.  

Selain itu, turut berlaku dua kejadian membakar tayar dan menulis perkataan 'PATANI MERDEKA' di atas jalan raya di Pattani-Yala. - Bernama 

Prosedur khidmat ibu tumpang bakal disekat


  • Thailand

BANGKOK - THAILAND . Kegiatan menggunakan khidmat ibu tumpang yang berkembang pesat di Thailand menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat Thai dan mendorong junta tentera menggubal rang undang-undang bagi menyekat kegiatan itu.

Jika draf undang-undang itu diluluskan, ia akan menyukarkan prosedur bagi menggunakan khidmat ibu tumpang terutama bagi warga asing yang menjadikan Thailand sebagai antara destinasi utama kegiatan itu sejak bertahun-tahun.
  
Junta tentera hari ini mengumumkan ia telah selesai menyediakan draf rang undang-undang berhubung perkara itu untuk pertimbangan Dewan Perundangan Kebangsaan untuk diluluskan.
  
Timbalan jurucakap Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) Pattamaphorn Rattanadilok Na Phuket berkata, draf itu akan dibentangkan untuk diluluskan semasa sidang NLA sekarang.
  
Beliau berkata, NCPO juga meluluskan draf 14 lagi rang undang-undang hari ini dan sejak ditubuhkan selepas rampasan kuasa tentera, NCPO telahpun meluluskan 52 draf undang-undang.
  
Mesyuarat mingguan NCPO dipengerusikan Ketua NCPO, Jen Prayuth Chan-ocha di markas tentera di sini hari ini.

Undang-undang itu bertujuan melindungi kanak-kanak yang lahir di bawah prosedur itu selepas pendedahan bahawa mungkin beratus-ratus, jika tidak ribuan, kanak-kanak lahir melalui khidmat ibu tumpang sejak beberapa tahun lepas.
  
Isu ibu tumpang mendapat perhatian susulan laporan bahawa pasangan dari Australia meninggalkan Gammy, bayi lelaki yang menghidap down sindrome tetapi mengambil kembar perempuan Gammy yang sihat.
  
Pasangan itu kemudian berkata mereka mahu bayi lelaki itu juga.
  
Pendedahan itu kemudian membawa kepada penemuan sembilan bayi yang lahir melalui ibu tumpang dengan bapa yang sama di sebuah kondominium di bahagian tengah Bangkok dua minggu lepas dan seorang warga Jepun yang dikatakan mempunyai kaitan dengan kes pula menghilangkan diri.
  
Peruntukan utama dalam rang undang-undang itu antara lain mewajibkan pasangan yang ingin mempunyai anak melalui ibu tumpang berkahwin secara sah dan ibu tumpang berkenaan mestilah mempunyai pertalian saudara dengan satu daripada pasangan itu tetapi bukannya ibu bapa kanak-kanak pasangan itu.

Ibu tumpang mesti mempunyai sekurang-kurangnya seorang anak sebelum bersetuju menjalankan prosedur itu dan jika mempunyai suami, dia mesti mendapat kebenaran daripada suaminya dahulu.
  
Menggunakan khidmat ibu tumpang berunsurkan komersial tidak dibenarkan.
  
Menurut draf undang-undang berkenaan, khidmat ibu tumpang hanya boleh dijalankan dengan menanam embrio daripada telur melalui persenyawaan menggunakan sperma suaminya ke dalam rahim ibu tumpang.
  
Hukuman ke atas mereka yang melanggar undang-undang itu adalah penjara setahun hingga 10 tahun dan denda 20,000 baht hingga 200,000 baht. - Bernama

16 maut bangunan dalam pembinaan runtuh di Thailand



Reuters
ANGGOTA penyelamat mengusung seorang pekerja yang cedera selepas terperangkap dalam runtuhan sebuah bangunan yang dalam pembinaan di wilayah Pathum Thani kelmarin.


BANGKOK - Seramai 16 orang termasuk kanak-kanak dipercayai maut dan 17 lagi cedera selepas sebuah bangunan enam tingkat yang dalam pembinaan di wilayah Pathum Thani dekat sini runtuh kelmarin.
Kata polis, tiga mayat termasuk seorang wanita dan anak perempuannya berusia empat tahun berjaya dikeluarkan dari runtuhan sebuah bangunan yang bakal dijadikan kediaman pelajar di wilayah berkenaan.
Anggota penyelamat berjaya mengeluarkan seorang lelaki tempatan berusia 24 tahun dari sisa runtuhan tetapi polis percaya seramai 13 orang lagi masih terperangkap.

AFP
ANGGOTA penyelamat menggunakan kren bagi mengalihkan sisa runtuhan bagi mencari mayat mangsa yang masih terperangkap.


"Seramai 10 pekerja tempatan dan tiga rakyat Kemboja serta kemungkinan ramai kanak-kanak yang masih terperangkap," kata seorang pegawai polis, Kritsadaporn Panprong.
Ujarnya, kanak-kanak berkenaan kemungkinan menemani ibu bapa mereka yang bekerja di tapak pembinaan tersebut.
"Semua mereka dipercayai telah meninggal dunia," tambahnya.
Menurutnya, punca kejadian masih dalam siasatan dan pihaknya telah menahan dua jurutera, penyelia serta pemilik syarikat pembinaan dan pemilik bangunan tersebut.
Kumpulan sekerja di Thailand sebelum ini sering mempersoalkan tahap keselamatan di tempat kerja dan gaji buruh warga asing yang terlalu rendah di negara itu. - AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=0814&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_06.htm#ixzz3AJhUpjKy 
Hakcipta terpelihara 

13 August 2014

Tiga mati, 24 cedera bangunan runtuh di Thailand


ANGGOTA penyelamat menggunakan kren ketika melakukan kerja-kerja mencari dan menyelamat mangsa bangunan runtuh di Pathum Thani, Thailand, semalam. - AFP
BANGKOK 12 Ogos - Sekurang-kurangnya tiga orang pekerja binaan maut, sementara 24 yang lain cedera apabila sebuah bangunan kondominium enam tingkat yang dalam pembinaan, runtuh di daerah Thanyaburi, wilayah Pathum Thani, petang semalam.
Pegawai kesihatan melaporkan, sebanyak enam lagi pekerja binaan dipercayai masih terperangkap di bawah runtuhan projek U-Place Kondominium itu, yang bakal menjadi asrama kolej vokasional.
Ketika kejadian, sebanyak 33 buruh dipercayai berada di lokasi tersebut dengan 24 daripadanya ialah rakyat tempatan, sementara baki sembilan lagi ialah warganegara asing.
Bangunan tersebut runtuh kira-kira pukul 4.30 petang waktu tempatan semalam, memaksa pihak penyelamat menggunakan kren untuk menyelamat mangsa yang terperangkap.
Saksi-saksi menyatakan, bangunan itu runtuh ketika kerja-kerja menuang konkrit dijalankan di tingkat paling atas kondominium berkenaan.
Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, punca kejadian sedang disiasat.
Jurucakap tentera, Kolonel Winthai Suvaree pula berkata, tentera diarahkan untuk menyertai usaha menyelamat dan setakat ini bilangan mangsa sebenar tidak dapat disahkan. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140813/lu_02/Tiga-mati-24-cedera-bangunan-runtuh-di-Thailand#ixzz3ADj1pRjR
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 August 2014

Bangunan 6 Tingkat Runtuh di Thailand


Bangkok Bangunan 6 tingkat runtuh di Thailand, yang masih dalam proses pembangunan. Sedikitnya 3 pekerja terbunuh dan 17 orang lainnya cedera.


Insiden nahas ini terjadi di Wilayah Pathum Thani, Bangkok   utara pada Isnin (11/8)petang . Bangunan yang hendak menjadi asrama mahasiswa tersebut runtuh  sekitar pukul 16.30 waktu setempat.


Dilaporkan masih ada beberapa orang yang belum ditemui dalam insiden tragis ini. Pasukan penyelamat dan  polis setempat menggunakan craneuntuk mencari korban, yang kemungkinan masih terperangkap  di dalam reruntuhan bangunan.

"Kami tidak  boleh  menyebutkan secara pasti ada berapa orang yang terperangkap di dalam, tapi kami bekerja keras untuk menyelamatkan mereka," ucap pegawai polis tersebut.

Belum diketahui pasti penyebab runtuhnya bangunan setengah siap tersebut. Polis  setempat masih melakukan penyelidikan secara mendalam untuk mencari tahu penyebabnya.

Secara terpisah, jurucakap pemerintah junta militer Thailand, Kolonel Winthai Suvaree menyatakan bahawa militer setempat telah diperintahkan untuk membantu usaha penyelamatan.

Saat ditanya soal jumlah korban tewas maupun korban luka, Suvaree mengaku tak tahu pasti. "Diyakini masih ada 14 orang yang terjebak di dalam," sebutnya.
sumber:detikNews

Yingluck tidak cadang tinggalkan Thailand


Bangkok: Bekas perdana menteri Yingluck Shinawatra semalam berkata, dia tidak akan meninggalkan Thailand kerana mempunyai ikatan kuat dengan negara itu.

Dia juga mengucapkan terima kasih kepada rakyat Thailand yang bimbang terhadap nasibnya.

“Namun, saya ke luar negara untuk bercuti bersama anak lelaki saya,” katanya kepada media semalam.

Dia kembali ke Thailand kelmarin selepas menghabiskan masa hampir tiga minggu bercuti di Eropah.

Dalam percutian itu Yingluck turut bertemu abangnya, Thaksin.



Sebelum ini Yingluck diberi kebenaran oleh junta tentera ke luar negara, tetapi diberi tempoh sehingga kelmarin untuk pulang.

Menjelang tengah hari semalam, dia dilihat membeli-belah di sebuah pasar raya berhampiran rumahnya Kata Yingluck, dia tidak perlu melapor diri kepada Majlis Keamanan Dan Ketenteraman Awam kerana pulang sebelum tarikh yang diluluskan.


- Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/12

Tiga terkorban runtuhan bangunan enam tingkat di utara Bangkok


BANGKOK 12 Ogos - Sekurang-kurangnya tiga pekerja lelaki manakala 17 yang lain cedera apabila sebuah bangunan enam tingkat yang masih dalam pembinaan runtuh, di utara Bangkok, semalam.
Polis berkata, tiga pekerja ditemui mati dan 17 yang lain cedera dan pasukan penyelamat masih meneruskan usaha-usaha mencari beberapa orang yang masih dilaporkan hilang.
Bangunan yang akan dijadikan penempatan pelajar itu runtuh kira-kira pukul 4.30 petang (9.30 malam ) di wilayah Payhum Thani. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140812/lu_10/Tiga-terkorban-runtuhan-bangunan-enam-tingkat-di-utara-Bangkok#ixzz3A80Z2zVU
© Utusan Melayu (M) Bhd 

11 August 2014

Raja tak campur tangan dalam rampasan kuasa


Bangkok: Panglima tentera Thailand semalam menegaskan keputusan melakukan rampasan kuasa pada 22 Mei lalu adalah keputusannya sendiri tanpa sebarang campur tangan institusi diraja negara itu.

Jeneral Prayuth Chan-ocha memberi amaran kepada mana-mana pihak agar tidak membabitkan istana dalam kemelut politik yang melanda Thailand.


“Raja tidak pernah mengeluarkan sebarang arahan berhubung perkara ini. Jangan kaitkan beliau lagi dalam isu yang melanda sekarang,” katanya ketika ditemui wartawan.



Dia yang juga pengerusi Majlis Keamanan dan Kestabilan Kebangsaan (NCPO) menyatakan perkara berkenaan dalam ucapannya pada forum ‘Hala tuju perubahan’ yang turut dipengerusikannya di Kelab Tentera Diraja Thai.


“Sama ada ramapasan kuasa ini betul atau salah, saya yang bertanggungjawab sepenuhnya. “Jangan kaitkan raja dalam perkara ini. Saya menjunjung kedaulatannya dan memohon ampun mengenai perkara ini,” kata Prayuth. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

Bom meletup di luar hospital


Pattani: Tiga orang termasuk seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera apabila bom seberat 30 kilogram yang disembunyikan di dalam sebuah motosikal meletup di perkarangan Hospital Mayor, Selatan Thai semalam.

Ketua Polis daerah Mayor, Kolonel Kong-ath Suwankham berkata, seorang kakitangan hospital menghubungi polis selepas melihat seorang lelaki mencurigakan yang meletakkan motosikal roda tiga di perkarangan hospital.


Lelaki berkenaan yang memakai topi keledar dan kemeja-T hitam kemudiannya bergegas menaiki motosikal lain dan meninggalkan tempat itu.



Menurut saksi, dia mendengar letupan 10 minit selepas membuat panggilan.


Letupan itu mencederakan seorang wanita berusia 25 tahun dan anaknya yang menaiki motosikal melalui kawasan itu pada masa kejadian.


Seorang kakitangan hospital berkenaan turut cedera tetapi ketiga-tiganya kini dilapor stabil.

Pasukan pemusnah bom menemui motosikal yang musnah dan kepingan tangki gas bertaburan di kawasan itu. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/11

4 August 2014

Ketua sayap BRN meninggal dunia


BANGKOK 3 Ogos - Seorang anggota sayap pertubuhan Barisan Revolusi Nasional (BRN) yang memperjuangkan kemerdekaan di selatan Thailand, disahkan meninggal dunia di Malaysia akibat mengalami komplikasi jantung, semalam.
Portal berita Bangkok Post yang memetik sumber keselamatan Thailand melaporkan, Kariya Yalapae, ketua Dewan Kegiatan Pemuda (DKP), pertubuhan hal ehwal belia BRN, meninggal dunia di sebuah kampung di Kelantan. Beliau berusia 56 tahun.
Jelas sumber itu, Kariya yang juga bekas guru agama di Sekolah Thamwitthaya Moolanithi di Yala, dikehendaki pihak berkuasa Thailand berhubung kes keselamatan negara dan jenazahnya telah dibawa pulang untuk dikebumikan di kampungnya di Tha Sap.
BRN sebelum ini dilapor bersedia untuk meneruskan rundingan damai dengan kerajaan junta Thailand di selatan negara ini membabitkan tiga wilayah iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani.

2 August 2014

Bas dihalang masuk Thailand?

Kelihatan bas ekspres Malaysia membawa penumpang dari Thailand masuk ke Malaysia.
Kelihatan bas ekspres Malaysia membawa penumpang dari Thailand masuk ke Malaysia.
BUKIT KAYU HITAM - Penyebaran khabar angin mengenai sekatan kemasukan bas pelancong ke Thailand melalui sempadan Bukit Kayu Hitam- Thailand, dekat sini, hanyalah aduan palsu oleh pihak tidak bertanggungjawab.
Berita mengenai perkara itu turut diterima Sinar Harian yang mengatakan bas pelancong Malaysia ke Thailand tidak dibenarkan membawa penumpang ke negara itu berkuat kuasa 1 Ogos (semalam).

Tinjauan Sinar Harian di pintu sempadan kedua-dua negara itu mendapati pergerakan bas dari Malaysia masih seperti biasa termasuk bas ekspres.

Mereka tetap menjalankan rutin membawa penumpang ke Thailand seperti biasa.

Seorang pemandu bas persiaran yang mahu dikenali sebagai Ramesh, 39, berkata, bas persiaran dari Malaysia dikehendaki menurunkan penumpang di Hatyai sahaja.

Menurutnya, mereka tidak dibenarkan membawa penumpang dari Thailand untuk masuk ke Malaysia.

“Bas persiaran hanya dibenarkan membawa penumpang yang mengikut trip pelancongan yang kami adakan.

"Untuk mengambil penumpang biasa dari Thailand, hanya bas ekspres dibenarkan.

“Sehingga kini belum ada penguatkuasaan yang menghalang bas dari Malaysia masuk ke Thailand atau perlu menurunkan penumpang di sempadan sahaja. Kami ada juga dapat khabar angin tak dapat masuk ke Thailand, tapi mungkin hanya maklumat palsu,” katanya
kepada Sinar Harian, semalam.

Sementara itu, seorang pemandu bas ekspres yang enggan dikenali berkata, dia turut menerima khabar angin yang membabitkan sekatan kemasukan bas pelancong ke Thailand.

“Setakat hari ini (semalam) saya lihat bas persiaran masih beroperasi seperti biasa, cuma mereka tidak dibenarkan mengambil penumpang dari Thailand.

“Bagi bas ekspres tidak ada masalah, kami disediakan permit dan boleh ambil penumpang sama ada dari Malaysia atau Thailand. Perkara ini langsung tidak berbangkit dari kalangan pengusaha bas setakat ini,” katanya.

Dalam pada itu, Ketua Penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah, Shahrul Azhar Mat Dali ketika dihubungi berkata, pihaknya tidak menerima sebarang aduan daripada syarikat mengenai perkara itu.

BRN sedia sambung rundingan


Tiga pemimpin pemisah selatan Thailand semasa mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu (dari kiri) Lukman Lima daripada PULO, Hassan Taib (BRN) dan ketua perunding BRN, Adam Muhammad Noor. - AFP
BANGKOK 1 Ogos - Gabungan pertubahan pemisah Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersedia menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan Thailand bagi menamatkan konflik di selatan negara ini, jika kerajaan bersetuju untuk mengambil tindakan yang sama.
Jurucakap BRN yang enggan dikenali berkata, delegasi gabungan itu yang menghadiri rundingan damai anjuran Malaysia, sentiasa mengikuti perkembangan di Thailand, terutamanya pengumuman Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO), baru-baru ini untuk menyelesaikan konflik di selatan negara ini, sebagai keutamaan.
Katanya, suruhanjaya khas yang ditubuhkan pihak tentera sebelum ini sekadar 'kosmetik' dan lambat bertindak terhadap keadaan semasa, selain tidak menghubungi pihak Malaysia sebagai orang tengah untuk meneruskan rundingan.
"BRN bersedia berunding, jika Bangkok juga mengambil pendirian sama dan saya difahamkan kerajaan Malaysia memainkan peranan penting sebagai orang tengah serta masih menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan junta Thailand.
"Situasi pada waktu ini juga sama seperti keadaan sebelum rundingan bermula dan keganasan masih lagi berlaku tetapi pada skala kecil sepanjang perbincangan diadakan," katanya kepada portal berita, Bangkok Post.
Generasi baharu Thailand tidak mahu meneruskan rundingan itu tetapi BRN menganggap perbincangan sebagai satu daripada jalan untuk menyelesaikan krisis di selatan negara ini.
Rundingan damai sebelum ini berakhir selepas empat pusingan pada hujung bulan Ramadan tahun lalu ekoran kemelut politik yang melanda Thailand.
Gangguan itu berlaku ketika jumlah wakil kumpulan pemisah lain yang tampil untuk berunding semakin bertambah atas usaha kerajaan Malaysia dan perjanjian BRN, termasuk dua wakil Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang merupakan antara gerakan pemisah terbesar di selatan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140802/lu_05/BRN-sedia-sambung-rundingan#ixzz39BEXoKoq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 August 2014

Selatan Thai berjaga-jaga


Bangkok: Agensi keselamatan di selatan Thai mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya selepas laporan mendakwa sembilan anggota kumpulan pemisah berunding di Malaysia baru-baru ini, kononnya untuk melancarkan beberapa serangan di wilayah berkenaan.

Menurut satu sumber yang enggan dikenali, ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), Masae Useng, berbincang dengan lapan anggota kanan kumpulan itu di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk merancang serangan serentak.


Menurut sumber itu, kumpulan berkenaan merancang menggunakan pejuang Ronda Kumpulan Kecil untuk melaksanakan pelan itu.

Kira-kira 150 anggota, 50 di setiap tiga wilayah selatan Thai, akan dikerah melakukan serangan.


Sumber itu juga mendakwa, kumpulan berkenaan membincangkan sasaran di Yala, khususnya kawasan di luar daerah Muang.


Masae ialah antara tiga pemimpin utama pemisah yang amat dikehendaki pihak berkuasa Thai.

Kerajaan negara berkenaan menawarkan hadiah sebanyak RM300,000 kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga pemimpin pemisah itu tertangkap.

Ancaman berkenaan menyusuli serangan bom minggu lalu di daerah Betong di Yala yang meragut dua nyawa dan mencederakan 25 yang lain.

Ketua Polis Narathiwat Major Jeneral Pattanawut Angkhanavin mengarahkan polis dan tentera di semua 13 daerah wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang sering menjadi sasaran serangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

Selatan Thai berjaga-jaga


Bangkok: Agensi keselamatan di selatan Thai mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya selepas laporan mendakwa sembilan anggota kumpulan pemisah berunding di Malaysia baru-baru ini, kononnya untuk melancarkan beberapa serangan di wilayah berkenaan.

Menurut satu sumber yang enggan dikenali, ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), Masae Useng, berbincang dengan lapan anggota kanan kumpulan itu di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk merancang serangan serentak.


Menurut sumber itu, kumpulan berkenaan merancang menggunakan pejuang Ronda Kumpulan Kecil untuk melaksanakan pelan itu.

Kira-kira 150 anggota, 50 di setiap tiga wilayah selatan Thai, akan dikerah melakukan serangan.


Sumber itu juga mendakwa, kumpulan berkenaan membincangkan sasaran di Yala, khususnya kawasan di luar daerah Muang.


Masae ialah antara tiga pemimpin utama pemisah yang amat dikehendaki pihak berkuasa Thai.

Kerajaan negara berkenaan menawarkan hadiah sebanyak RM300,000 kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga pemimpin pemisah itu tertangkap.

Ancaman berkenaan menyusuli serangan bom minggu lalu di daerah Betong di Yala yang meragut dua nyawa dan mencederakan 25 yang lain.

Ketua Polis Narathiwat Major Jeneral Pattanawut Angkhanavin mengarahkan polis dan tentera di semua 13 daerah wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang sering menjadi sasaran serangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01