19 August 2014

OPS JPJ kurangkan kenderaan bawa penumpang Thai


19 Ogos 2014

ALOR SETAR - Ops Kenderaan Thailand, yang bermula sejak April lepas, berjaya mengurangkan kehadiran kenderaan dari Thailand yang membawa penumpang dari negara jiran masuk ke negara ini.  
   
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kedah Mohd Fadhil Hassan berkata  operasi itu adalah arahan Perdana Menteri dan pihaknya telah mengambil tindakan segera dengan mengadakan sekatan jalan raya di Bukit Kayu Hitam.
   
Operasi itu bagi menyekat kemasukan kenderaan dari negara jiran itu yang dilarang membawa masuk penumpang yang dikenakan bayaran.
   
Katanya, kenderaan perdagangan tidak dibenarkan masuk ke Malaysia terutama kenderaan yang membawa penumpang dan barangan seperti sayur dan buah-buahan.
   
"Kita dapat aduan dari pemandu teksi dan persatuan teksi dan sebagainya di mana ini (kenderaan asing bawa penumpang) telah menjejas pendapatan mereka.
   
"Bukan tidak dibenarkan kenderaan mereka masuk tetapi dia masuk dengan bawa penumpang itu salah," katanya ketika ditemui sewaktu program Bersama Imam Muda di sini hari ini.
 
Mohd Fadhil berkata sebelum arahan Perdana Menteri itu, pihaknya telah lama melakukan operasi seperti itu di mana sepanjang tahun lepas jumlah kenderaan yang diambil tindakan sebanyak 1,263 buah dan jumlah saman dikeluarkan 1,340.
   
"Jumlah kesalahan keseluruhan yang dikeluarkan pada tahun 2013 adalah 2,481.
   
"Untuk tahun ini, jumlah kenderaan yang kita ambil tindakan pada Januari hingga Julai sebanyak 464 buah.
   
"Jumlah saman sebanyak 486 dan jumlah kesalahan keseluruhan sebanyak 821," katanya.
   
Mohd Fadhil berkata sejak operasi itu dijalankan, pihaknya melihat pengusaha kenderaan dari negara jiran itu telah mengubah modus operandi.
   
Mereka berpakat dengan pemilik kenderaan tempatan untuk membawa penumpang dari Thailand masuk ke ke sempadan, dan dibawa pula oleh kenderaan tempatan ke tempat-tempat tertentu.
   
Sehubungan itu, tindakan sewajarnya telah diambil, katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment