2 August 2014

BRN sedia sambung rundingan


Tiga pemimpin pemisah selatan Thailand semasa mengadakan sidang akhbar di Kuala Lumpur pada Jun tahun lalu (dari kiri) Lukman Lima daripada PULO, Hassan Taib (BRN) dan ketua perunding BRN, Adam Muhammad Noor. - AFP
BANGKOK 1 Ogos - Gabungan pertubahan pemisah Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) bersedia menyambung semula rundingan damai dengan kerajaan Thailand bagi menamatkan konflik di selatan negara ini, jika kerajaan bersetuju untuk mengambil tindakan yang sama.
Jurucakap BRN yang enggan dikenali berkata, delegasi gabungan itu yang menghadiri rundingan damai anjuran Malaysia, sentiasa mengikuti perkembangan di Thailand, terutamanya pengumuman Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional Thailand (NCPO), baru-baru ini untuk menyelesaikan konflik di selatan negara ini, sebagai keutamaan.
Katanya, suruhanjaya khas yang ditubuhkan pihak tentera sebelum ini sekadar 'kosmetik' dan lambat bertindak terhadap keadaan semasa, selain tidak menghubungi pihak Malaysia sebagai orang tengah untuk meneruskan rundingan.
"BRN bersedia berunding, jika Bangkok juga mengambil pendirian sama dan saya difahamkan kerajaan Malaysia memainkan peranan penting sebagai orang tengah serta masih menunggu maklum balas rasmi daripada kerajaan junta Thailand.
"Situasi pada waktu ini juga sama seperti keadaan sebelum rundingan bermula dan keganasan masih lagi berlaku tetapi pada skala kecil sepanjang perbincangan diadakan," katanya kepada portal berita, Bangkok Post.
Generasi baharu Thailand tidak mahu meneruskan rundingan itu tetapi BRN menganggap perbincangan sebagai satu daripada jalan untuk menyelesaikan krisis di selatan negara ini.
Rundingan damai sebelum ini berakhir selepas empat pusingan pada hujung bulan Ramadan tahun lalu ekoran kemelut politik yang melanda Thailand.
Gangguan itu berlaku ketika jumlah wakil kumpulan pemisah lain yang tampil untuk berunding semakin bertambah atas usaha kerajaan Malaysia dan perjanjian BRN, termasuk dua wakil Pertubuhan Pembebasan Patani Bersatu (PULO) yang merupakan antara gerakan pemisah terbesar di selatan Thailand.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140802/lu_05/BRN-sedia-sambung-rundingan#ixzz39BEXoKoq
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment