1 August 2014

Selatan Thai berjaga-jaga


Bangkok: Agensi keselamatan di selatan Thai mengambil langkah berjaga-jaga sepenuhnya selepas laporan mendakwa sembilan anggota kumpulan pemisah berunding di Malaysia baru-baru ini, kononnya untuk melancarkan beberapa serangan di wilayah berkenaan.

Menurut satu sumber yang enggan dikenali, ketua Barisan Revolusi Nasional (BRN), Masae Useng, berbincang dengan lapan anggota kanan kumpulan itu di Pasir Mas, Kelantan baru-baru ini untuk merancang serangan serentak.


Menurut sumber itu, kumpulan berkenaan merancang menggunakan pejuang Ronda Kumpulan Kecil untuk melaksanakan pelan itu.

Kira-kira 150 anggota, 50 di setiap tiga wilayah selatan Thai, akan dikerah melakukan serangan.


Sumber itu juga mendakwa, kumpulan berkenaan membincangkan sasaran di Yala, khususnya kawasan di luar daerah Muang.


Masae ialah antara tiga pemimpin utama pemisah yang amat dikehendaki pihak berkuasa Thai.

Kerajaan negara berkenaan menawarkan hadiah sebanyak RM300,000 kepada mereka yang dapat memberi maklumat sehingga pemimpin pemisah itu tertangkap.

Ancaman berkenaan menyusuli serangan bom minggu lalu di daerah Betong di Yala yang meragut dua nyawa dan mencederakan 25 yang lain.

Ketua Polis Narathiwat Major Jeneral Pattanawut Angkhanavin mengarahkan polis dan tentera di semua 13 daerah wilayah berkenaan meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang sering menjadi sasaran serangan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : 2014/08/01

No comments:

Post a Comment