12 August 2005

Sejarah mungkin berulang di Thailand



Hanya beberapa hari setelah Akta Kuasa Darurat dikuatkuasakan, sebuah sekolah agama di selatan Thailand telah diserbu oleh anggota tentera dan polis lengkap bersenjata. Para wartawan dilarang daripada membuat liputan tentang operasi tersebut.
Akta Kuasa Darurat yang telah diluluskan oleh Raja Bhumibol Adulyadej itu bertujuan memberikan kuasa yang lebih luas kepada Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra untuk menangani keganasan yang semakin meningkat di wilayah selatan Thailand.
Melalui akta tersebut, Thaksin boleh mengharamkan sebarang bentuk perhimpunan, menyekat sebarang berita, menguatkuasakan perintah berkurung dan mengarahkan pemeriksaan serta tangkapan tanpa waran.
Akta Kuasa Darurat tersebut yang telah diluluskan oleh Kabinet dalam keadaan yang tergesa-gesa itu dilihat lebih kepada reaksi terhadap serangan bom ke atas kota London pada 7 Julai 2005 yang lepas.
Ini adalah kerana kebanyakan langkah dalam Akta Kuasa Darurat itu telah pun diambil sejak undang-undang tentera dikuatkuasakan pada Januari 2004.
Akta Kuasa Darurat ini juga dianggap sebagai kesinambungan kepada tekanan berterusan ke atas penduduk Melayu-Islam yang menetap di wilayah-wilayah selatan Thai. Wilayah-wilayah tersebut telah melalui pelbagai tekanan daripada pihak berkuasa Bangkok. Tekanan yang berterusan ini telah melahirkan kebencian di kalangan penduduk tempatan.
Sejak perjanjian sempadan pada 1909 di antara kerajaan Siam dan British, suasana di wilayah selatan Thailand tidak lagi aman terutama setelah penghapusan pemerintahan Kesultanan Melayu Patani melalui dasar Thesaphiban pada 1902.
Pada 28 April 2004, berlaku pula tragedi berdarah Masjid Krisek. Dianggarkan 117 pemuda Melayu-Islam ditembak mati oleh pasukan tentera dan polis Thai termasuklah 34 orang pemuda yang dibunuh di dalam masjid tertua tersebut.
Tidak lama selepas itu, dunia sekali lagi dikejutkan dengan tragedi Tak Bai pada 25 Oktober 2004 yang lalu. Pada awalnya, angka korban dilaporkan hanya enam orang tetapi kemudiannya meningkat dengan mendadak kepada 84 orang tetapi menurut penduduk tempatan jumlah sebenar melebihi 100 orang.
Thaksin yang kemudiannya dikecam hebat berjanji akan melakukan siasatan menyeluruh untuk mencari punca sebenar kematian para tawanan. Masyarakat Islam bagaimanapun tidak akan percaya kepada kenyataan Thaksin bahawa siasatan akan dijalankan bagi mengetahui punca kematian.
Dengan Akta Kuasa Darurat yang baru dikuatkuasakan, umat Islam di wilayah selatan Thailand akan terdedah kepada tindakan melampau pasukan polis dan tentera Thai.
- TAIFUNISYAM TAIB ialah pensyarah Pusat Matrikulasi, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2005&dt=0811&pub=utusan_malaysia&sec=Rencana&pg=re_07.htm#ixzz38GRtQhM8
© Utusan Melayu (M) Bhd