31 July 2013

NGO Thai rayu bantuan Malaysia selesai pembunuhan


BANGKOK 30 Julai - Beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di selatan Thailand merayu bantuan Malaysia mencari jalan menyelesaikan masalah pembunuhan orang Islam yang berlaku semasa proses rundingan damai yang sedang berjalan antara Kerajaan Thailand dan pihak Barisan Revolusi Nasional (BRN) sekarang.
Keputusan itu dibuat pada Seminar Tenaga Jaringan Rakyat Menjaga Pengancaman di Musim Rundingan Damai yang diadakan di Yala pada Ahad lepas dan dihadiri lebih 200 peserta.
Mereka mewakili NGO seperti Jaringan Menegak Keadilan untuk Kedamaian (JOP), Jaringan guru TADIKA wilayah Selatan, Jaringan Imam wilayah Selatan dan Jaringan Sivil Masyarakat untuk Kedamaian.
Seminar yang dianjurkan Jaringan Tahanan Kes Keamanan itu membincangkan secara terbuka isu keselamatan khususnya yang melibatkan orang yang pernah menjadi tahanan kes keselamatan dan tidak bersenjata.
Thammarat Alilateh, Setiausaha JOP dan anggota panel seminar itu berkata, sudah lima anggota JOP telah ditembak mati dan amat mengharapkan anggota JOP tidak lagi menjadi sasaran semasa rundingan damai berlangsung.
Beliau berkata JOP akan menyediakan surat rayuan untuk diserahkan kepada kedutaan Malaysia di Bangkok untuk melindungi rakyat di dalam kawasan yang sering berlaku supaya mereka tidak dibunuh.
Atif Sokkho, seorang lagi peserta seminar, berharap Malaysia yang berjaya menarik pihak kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional ke meja rundingan damai, akan dapat membantu menyiasat kejadian pembunuhan orang Islam di selatan Thailand.
Antara kes yang dibincangkan pada seminar itu ialah kes guru tadika Ahamad Dolah yang ditembak di Betong, Yala pada 10.30 malam, 26 Julai.
Beliau yang pernah ditahan mengikut undang-undang darurat pada 2009 dan kemudian dibebaskan ditembak dengan senjata M16 di kepala dan badan di hadapan rumahnya selepas balik menunaikan solat tarawih. Terdapat 21 kelongsong peluru M16 di tempat kejadian.
Anggota panel lain ialah Adilan Ali Ishak yang mewakili Yayasan Peguam Muslim (MAC), Tuwaedaniya Tuwaemaegae dari Lembaga Patani Raya untuk Kedamaian dan Pembangunan (LEMPAR) dan Nuangnoi Thammasathian dari kumpulan FT Media.
Tuwaedaniya Tuwaemaegae memberi saranan sebagai pilihan untuk menjaga dan melindungi bekas tahanan daripada dibunuh iaitu menghilangkan diri dan berlindung di negara jiran, menjadi pelarian politik ke luar negara, atau berjuang serta melawan secara berdepan di tanah air sendiri. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130730/dn_47/NGO-Thai-rayu-bantuan-Malaysia-selesai-pembunuhan#ixzz38FgHCfY5
© Utusan Melayu (M) Bhd 

29 July 2013

Seorang lagi guru agama jadi sasaran


YALA 27 Julai - Seorang guru sekolah agama ditembak mati dalam satu insiden berdarah terbaharu di wilayah bergolak di selatan Thailand, semalam.
Ketua Polis Aiyaweng, Leftenan Kolonel, Mustopa Mani berkata, mangsa dikenal pasti sebagai Ahamah Dorloh, 47, yang merupakan seorang guru di sebuah sekolah agama Islam di Moo 4, daerah Betong, Yala.
Menurut saksi, ketika kejadian, mangsa sedang dalam perjalanan pulang dari sebuah masjid ke rumahnya apabila seorang lelaki yang menunggang motosikal melepaskan tembakan ke arahnya.
Suspek yang menggunakan senjata rifel M19 kemudiannya melarikan diri, lapor Bangkok Post.
Ahamah ditembak beberapa kali di bahagian kepala serta badan. Dia meninggal dunia di tempat kejadian. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130728/lu_07/Seorang-lagi-guru-agama-jadi-sasaran#ixzz38GYxhb1q
© Utusan Melayu (M) Bhd 

23 July 2013

Dua lagi mati dalam keganasan di selatan Thailand


YALA 22 Julai - Keganasan di selatan Thailand berterusan dengan dua lagi kematian dalam kejadian berasingan hari ini.
Insiden pertama menyaksikan seorang pengawal sukarela kampung mati ditembak ketika dalam perjalanan ke kebun getah untuk menoreh awal pagi ini.
Mangsa, Matsaifu Hatamat, 26, ditembak dengan pistol dari jarak dekat pada 6.15 pagi di Kampong Jakuah yang terletak dalam daerah Raman, kata Ketua Polis Mukim Jakuah Kapten Pratueang Suwannachateri.
Kejadian kedua pula berlaku pada 4 petang di Pattani membabitkan seorang Tok Penggawa Mukim Klongreak di daerah Yaring yang mati ditembak di Kampung Tarung, Muang Pattani, iaitu di kawasan jalan raya Pattani-Narathiwat.
Kolonel Polis Tuandir Jutanon berkata mangsa, yang dikenali sebagai Matdaree Lamen, ditembak dengan senapang AK47 dan M16.
Beliau berkata saksi yang melihat kejadian memberitahu Matdaree memandu kereta untuk pulang ke rumah, dan apabila tiba di tempat kejadian, sebuah trak serta empat lelaki bersenjata yang duduk di bahagian belakang melepaskan tembakan bertubi-tubi ke arah kenderaan mangsa.
Apabila kereta Matdaree terbabas, dua lelaki turun dari trak dan menembak mangsa dari jarak dekat sehingga mangsa mati, katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130722/lu_17/Dua-lagi-mati-dalam-keganasan-di-selatan-Thailand#ixzz38GZAitKQ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

22 July 2013

Kesucian Ramadan dicemari


Pegawai polis memeriksa mayat dipercayai anggota puak pemisah yang ditembak mati semasa satu pertempuran dengan pasukan Renjer Thailand di daerah Cho-i-rong, wilayah Narathiwat, kelmarin. - AFP
BANGKOK 20 Julai - Kesucian bulan Ramadan terus tercemar di selatan Thailand apabila tiga maut dan tiga lagi cedera semalam, meskipun perjanjian damai sepanjang bulan puasa dipersetujui oleh kerajaan Thailand dan Barisan Revolusi Nasional (BRN) di Kuala Lumpur pada bulan lalu.
Sebanyak dua kematian dicatatkan di wilayah Narathiwat apabila seorang anggota kumpulan pemisah ditembak mati oleh pasukan Renjer Thailand di daerah Cho-i-rong, manakala seorang penduduk tempatan mati ditembak oleh penyerang tidak dikenali.
Satu lagi kematian dicatatkan di wilayah Yala apabila penyerang tidak dikenali menembak mati seorang lelaki dan mencederakan isteri mangsa.
Dua lagi mangsa dilaporkan cedera dalam dua serangan berasingan, masing-masing di Yala dan Narathiwat.
Sementara itu di Mesir, pertempuran terbaharu antara penyokong dan penentang bekas Presiden Mesir yang digulingkan, Mohammed Mursi, menyebabkan empat wanita mati ditembak dan 10 lagi cedera, di Delta Nil semalam.
Seorang penunjuk perasaan pro-Mursi yang enggan dikenali berkata, beribu-ribu penyokong bekas Presiden itu berarak di bandar Mansura sebelum diserang sekumpulan 'samseng', dipercayai penentang Mursi, yang bersenjatakan pistol, pisau dan batu.
Di Syria, lebih 150 orang dilaporkan terbunuh di seluruh negara sejak kelmarin apabila pertempuran antara tentera kerajaan dan kumpulan pemberontak semakin sengit.
Pertubuhan pemantau hak asasi manusia di Syria melaporkan, lebih 100,000 orang dilaporkan terbunuh sejak perang saudara tercetus pada 2011.
Sementara itu di Iraq, seorang pengebom berani mati meletupkan diri di sebuah masjid semasa umat Islam sedang menunaikan solat Jumaat, menyebabkan sekurang-kurangnya 22 orang terbunuh.
Serangan tersebut berlaku di pekan Wajihiya di wilayah Diyala yang dikuasai penduduk berfahaman Sunah.
Sejak bulan Ramadan bermula, lebih 200 orang dilaporkan terbunuh di Iraq akibat serangan berani mati, tembakan dan letupan bom. - AFP/BERNAMA/REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130721/lu_01/Kesucian-Ramadan--dicemari#ixzz38GZcknKt
© Utusan Melayu (M) Bhd 

21 July 2013

Tunjukkan komitmen gencatan senjata


KUALA LUMPUR 19 Julai - Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) hari ini menggesa kerajaan dan masyarakat Islam di wilayah selatan Thailand menunjukkan komitmen yang tinggi terhadap perjanjian gencatan senjata sepanjang bulan Ramadan ini.
Kenyataan itu dikeluarkan sehari selepas tiga anggota tentera cedera dalam dua dua serangan bom berlaku di Yala dan Narathiwat yang boleh mengancam gencatan senjata antara pihak berkuasa kerajaan dan Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Setiausaha Agung OIC, Ekmeleddin Ihsanoglu berkata, kedua-dua pihak perlu mematuhi prinsip asas perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui dan beliau berharap konflik di selatan Thailand boleh menemui jalan penyelesaian yang lebih baik.
Dalam pertemuan dengan Perdana Menteri Yingluck Sinawatra di Istanbul baru-baru ini, Ekmeleddin dimaklumkan tentang komitmen masyarakat Islam di Thailand terhadap perjanjian gencatan senjata yang menjadi topik utama perbincangan.
"OIC sudi bekerjasama dengan kerajaan Thailand bagi menamatkan konflik di selatan negara itu supaya keamanan, keselamatan, ekonomi dan pembangunan dapat dinikmati oleh semua pihak," katanya.
Dalam pada itu, Ekmeleddin turut mengalu-alukan usaha yang dilaksanakan oleh kerajaan Thailand dan Malaysia untuk mewujudkan rundingan awal dengan BRN, yang mewakili masyarakat wilayah selatan Thailand.
Katanya, rundingan awal berkenaan merupakan usaha yang baik bagi menyelesaikan konflik di wilayah tersebut.
"Saya berharap perbincangan itu berjalan dengan lancar dan disertai oleh persatuan dan kumpulan lain yang mewakili masyarakat Islam di selatan Thailand," katanya. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130720/lu_08/Tunjukkan-komitmen-gencatan-senjata#ixzz38Gr10wCK
© Utusan Melayu (M) Bhd 

Inisiatif Keamanan Ramadan Selatan Thai dicabul


BANGKOK 20 Julai - Keganasan terus berlaku di selatan Thailand dengan lima kejadian dilaporkan hari ini walaupun Inisiatif Keamanan Ramadan dicapai di Kuala Lumpur Jun lepas.
Dalam kejadian serangan pertama, seorang Tok Penggawa Mukim Katong, daerah Yaha, wilayah Yala Matsaki Kanet, 38, cedera ditembak pada pukul 12 tengah hari semalam, kata Ketua polis Wilayah Yala Mejar Jeneral Polis Pira Boonliang.
Dalam kejadian kedua di wilayah Narathiwat, seorang lelaki, Sufian Mamat, terbunuh dalam pertempuran dengan pihak keselamatan Thailand yang mengepung rumahnya pada 3.20 petang di Kampung Yanin Jok Irong, Narathiwat, manakala kejadian ketiga menyaksikan seorang lelaki dikenali sebagai Hamdi Mahamamalee, 21, cedera ditembak.
Satu lagi kejadian pada pukul 6.50 petang waktu tempatan, Asmadi Tuwaenya terbunuh dan isterinya Ilham Kuma cedera di tembak di Kampung Natham, Muang Yala, manakala seorang lelaki, Asri Chekmama, mati ditembak di Kampung Tanjunglima, Muang Narathiwat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130720/lu_02/Inisiatif-Keamanan-Ramadan-Selatan-Thai-dicabul#ixzz38Ga0GxFf
© Utusan Melayu (M) Bhd 

20 July 2013

Gencatan senjata berkecai


BANGKOK 18 Julai - Dua serangan bom menggegarkan selatan Thailand, semalam mencederakan tiga anggota tentera, sekali gus merosakkan gencatan senjata antara pihak berkuasa dan Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Letupan pertama berlaku di sebatang jalan menuju ke empangan Bang Lang di daerah Bannang Sata dekat Yala pada kira-kira pukul 8.10 pagi.
Letupan itu mencederakan seorang sukarelawan renjer, Chaipol Meetaew, 31, yang sedang meronda dengan berjalan kaki.
Letupan kedua berlaku pada kira-kira pukul 11.40 pagi, sewaktu enam askar sedang melintas sebuah jambatan dengan tiga buah motosikal di Ban Pare Lubo di daerah Cho Airong di Narrathiwat mengakibatkan dua askar cedera parah. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130719/lu_07/Gencatan-senjata-berkecai#ixzz38GaBkJBA
© Utusan Melayu (M) Bhd 

13 July 2013

Thailand tidak akan penuhi tuntutan BRN


BANGKOK 11 Julai - Tentera Thailand tidak akan memenuhi tuntutan kumpulan pemisah Barisan Revolusi Nasional (BRN) supaya mengundurkan tentera yang ditempatkan di wilayah selatan negara ini sepanjang bulan Ramadan.
Setiausaha Jeneral Majlis Keselamatan Kebangsaan, Paradorn Pattanatabut berkata, permintaan BRN itu tidak akan dilayan tetapi penugasan semula anggota tentera akan dilakukan sepanjang tempoh berkenaan.
Katanya, pasukan keselamatan hanya akan menjalankan operasi memburu di sesetengah kawasan dan jumlah tentera akan turut dikurangkan di beberapa kawasan bagi memberi laluan kepada sukarelawan dan polis.
Tiada serangan terbaharu dilaporkan di tiga wilayah bergolak di Pattani, Narathiwat dan Yala sejak umat Islam mula berpuasa, semalam. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130712/lu_06/Thailand-tidak-akan-penuhi-tuntutan-BRN#ixzz38GaZhOtD
© Utusan Melayu (M) Bhd 

1 July 2013

Lapan tentera maut di selatan Thai


Seorang tentera yang cedera dikejarkan ke hospital selepas bom yang ditanam di tepi jalan di wilayah Yala meletup menyebabkan lapan anggota tentera maut di Krongpinang, semalam. - REUTERS
BANGKOK 29 Jun - Lapan anggota tentera maut apabila sebiji bom yang ditanam di tepi jalan meletup di wilayah bergolak selatan Thailand hari ini.
Serangan yang berlaku di daerah Krongpinang wilayah Yala itu turut mengakibatkan dua lagi anggota tentera dan dua orang awam cedera.
Insiden itu berlaku ketika trak yang membawa sepasukan anggota tentera dalam perjalanan pulang selepas bertugas semalaman di pangkalan tentera, terkena bom yang ditanam di tepi jalan.
“Bom yang digunakan itu sangat kuat sehingga menyebabkan trak tentera musnah sepenuhnya. Seramai 10 anggota tentera menaiki trak itu dan lapan daripadanya maut, manakala dua lagi cedera.
“Dua lagi orang awam yang ketika itu berada berhampiran kawasan kejadian turut cedera dalam serangan tersebut," kata jurucakap tentera, Kolonel Pramote Promin kepada AFP melalui panggilan telefon.
Sehingga kini masih belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab, tetapi kumpulan pemisah pernah melakukan cara serangan yang sama sebelum ini.
Ketegangan di selatan Thailand sejak sembilan tahun lalu telah mengorbankan lebih 5,500 nyawa dengan anggota keselamatan dan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan kerajaan sering menjadi sasaran serangan.
Kerajaan Thailand turut mengadakan rundingan rasmi pertama dengan wakil kumpulan pemisah dari selatan, Barisan Revolusi Nasional (BRN) awal bulan ini, tetapi setakat ini masih gagal mencapai perjanjian dan keganasan terus berlaku.
Sementara itu, dalam satu kejadian berasingan semalam, dua lelaki Islam, termasuk seorang ketua kampung ditembak mati di wilayah Narathiwat. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130630/lu_02/Lapan-tentera-maut-di-selatan-Thai#ixzz38GaNQhQv
© Utusan Melayu (M) Bhd