26 September 2013

USIM buka peluang kepada pelajar Selatan Thai


SEREMBAN 24 Sept. - Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus mempergiatkan usaha memperluaskan peluang pengajiannya di peringkat prasiswazah dan pasca siswazah kepada penuntut luar negara menerusi program Roadshow Promosi USIM di negara terpilih.
Terbaru, Pusat Perhubungan Antarabangsa (PPA) USIM terus mempergiatkan usaha tersebut dengan memilih Selatan Thailand sebagai destinasi mempromosikan peluang pengajian kepada pelajar negara jiran itu untuk menuntut di USIM.
Program lima hari yang dilakukan oleh delegasi USIM itu meliputi lima daerah di Selatan Thailand iaitu Narathiwat, Pattani, Yala, Songkhla dan Hatyai.
Antara sekolah yang dikunjungi adalah Sekolah Thamvitya Mulniti (Yala), Sekolah Darunsat (Sai Buri), Madrasah Darussalam (Narathiwat) dan Sekolah Mahat Nuruddin (Songkhla).
Menurut ketua delegasi, Prof. Datuk Dr. Muhamad Muda, usaha mengadakan promosi di sekolah agama yang terpilih di Thailand adalah untuk memberikan peluang melanjutkan pengajian kepada kumpulan sasar.
''Kumpulan sasar kami ialah pelajar lepasan sekolah menengah dari aliran agama yang berminat untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah di USIM.
''Tujuan lawatan ini juga adalah untuk mengenal pasti kelompok masyarakat dan komuniti di selatan Thailand bagi mengusahakan program mobiliti pelajar selain berinteraksi bersama masyarakat setempat," katanya di sini baru-baru ini.
Selain itu, lawatan ke Thailand itu juga turut diisi dengan mengadakan perbincangan lanjutan bersama Education Heritage Foundation (EHF) mengenai program waqaf dan cadangan penubuhan universiti Islam di wilayah selatan Thailand.
Satu majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara USIM yang diwakili Muhamad Muda dan Pengarah Pusat Pembangunan Pembiayaan Wakaf (PPPW) USIM, Prof. Datuk Dr. Mohammad Alias, manakala EHF diwakili Presiden Areepen Utarasint dan Timbalan Presidennya, Boonya Leeled.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Selatan/20130925/ws_05/USIM-buka--peluang--kepada-pelajar-Selatan-Thai#ixzz38GrOpptZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 September 2013

Tiga tentera maut di selatan Thai


YALA 10 Sept. - Tiga orang anggota keselamatan terkorban dalam dua kejadian keganasan berasingan dipercayai dilakukan oleh kumpulan pemisah di selatan Thailand hari ini.
Dalam kejadian pertama, dua tentera maut dan dua lagi cedera dalam kejadian letupan bom dalam kawasan Sekolah Khanaradsadon Bamrung 2 yang terletak di Mukim Yupo, daerah Muang Yala pada pukul 10.05 pagi.
Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kol. Pol. Phacharapon Na Nakorn berkata bom buatan sendiri berat 20 kilogram diisi dalam tong gas memasak dan ditanam di tepi pondok rehat dalam kawasan sekolah tersebut sebelum diletupkan menggunakan alat kawalan jauh.
Sementara itu, di wilayah Narathiwat seorang tentera maut akibat serangan hendap, dan seorang penolong ketua kampung turut cedera terkena peluru sesat. - BERNAMA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130911/lu_09/Tiga-tentera-maut-di-selatan-Thai#ixzz38GX2NHuT
© Utusan Melayu (M) Bhd