30 April 2013

Kawalan di selatan Thai ditingkat

PATTANI 28 April - Pihak berkuasa mempergiatkan kawalan keselamatan di selatan negara ini menjelang ulang tahun kesembilan tragedi pembunuhan beramai-ramai di masjid Krue Se di wilayah ini, hari ini.
Pegawai keselamatan juga bimbang kemungkinan serangan balas selepas tiga orang suspek pemberontak dibunuh oleh pihak berkuasa pada Jumaat lalu.
Pengawasan keselamatan telah dipertingkatkan di wilayah ini mulai malam Jumaat lalu dengan menjangkakan serangan akan dilakukan oleh kumpulan pemberontak sebagai memperingati ulang tahun pembunuhan beramai-ramai Krue Se.
Gabungan pasukan keselamatan iaitu askar, polis dan pegawai pentadbiran tempatan serta sukarelawan telah mengadakan sekatan di jalan raya dan memantau kawasan berisiko tinggi di seluruh wilayah ini.
Satu sumber berkata, pihak keselamatan menerima maklumat risikan terdapat serangan yang dirancang membabitkan serangan ke atas dua buah pikap dan dua buah kereta yang sarat dengan bom di wilayah ini.
Terdapat juga kebimbangan berlakunya serangan balas selepas tiga pemberontak terbunuh dalam satu serbuan di tempat persembunyian mereka di hutan Bannang Sata di daerah Yala pada Jumaat lalu.
Tiga lelaki yang maut itu dikenal pasti sebagai Boonya Daleng, Budimun Mayi dan Abdul Tolae Saha.
Ketua Polis Wilayah Yala, Jeneral Peera Boonliang berkata, Boonya dipercayai salah seorang daripada 50 anggota militan bersenjata yang menyerang sebuah pangkalan tentera laut di daerah Narathiwat pada 13 Februari lalu.
Katanya, Budimun pula sedang dicari kerana didakwa membunuh penduduk kampung pada satu majlis keagamaan di daerah Bannang Sata Yala, manakala Abdul Tolae pula berdepan tuduhan membunuh dua anggota tentera di daerah yang sama. - AGENSI


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20130429/lu_09/Kawalan-di-selatan-Thai-ditingkat#ixzz38GqaYzsy
© Utusan Melayu (M) Bhd 

23 April 2013

Polis ketat kawalan sempadan


KUALA LUMPUR 21 April - Polis mengetatkan kawalan di sempadan negara khususnya di selatan Thailand iaitu di sepanjang pintu masuk dari Padang Besar, Kedah hingga ke Pengkalan Kubur, Kelantan bagi menyekat kemasukan pengundi dwi-kerakyatan pada hari mengundi, 5 Mei ini.
Menurut sumber, kebanyakan mereka yang tinggal di Narathiwat, Yala, Pattani dan Songkhla akan masuk ke negara ini pada setiap kali pilihan raya, dipercayai untuk turut sama mengundi.
Tambahnya, perbuatan itu sekali gus mampu mempengaruhi ketelusan sistem pilihan raya di negara ini.
Kata sumber itu lagi, rata-rata mereka percaya dengan propaganda Pas bahawa masa depan untuk mendapatkan kemerdekaan kepada empat wilayah tersebut lebih cerah dengan mengundi Pas.
"Kita percaya rata-rata daripada mereka ini pro-pembangkang dan nekad untuk turut sama membuang undi setelah terpedaya dengan janji Pas untuk membantu mendapatkan kemerdekaan kepada wilayah bergolak yang didiami mereka," katanya di sini hari ini.
Menurut sumber itu lagi, melalui semakan yang dibuat mendapati kumpulan yang mempunyai dwi-kerakyatan tersebut turut menikmati banyak kemudahan yang diberi oleh kerajaan Persekutuan seperti subsidi baja dan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M).
"Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13), dipercayai mereka akan kembali memasuki negara ini melalui beberapa pintu masuk sempadan jika kawalan tidak diperketat.
"Kerjasama juga telah diperoleh dari pihak berkuasa Thailand untuk menutup lorong-lorong tikus di sempadan negara berkenaan yang dipercayai sering digunakan golongan tersebut bagi menghalang mereka menyusup masuk ke Malaysia," katanya lagi.


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Pilihan_Raya/20130422/px_41/Polis-ketat-kawalan-sempadan#ixzz38GqqAXgo
© Utusan Melayu (M) Bhd