30 June 2014

Pilihan raya umum Thailand pada Oktober 2015


BANGKOK 28 Jun - Kerajaan junta Thailand, semalam mendedahkan rancangan pembaharuan untuk membentuk kerajaan sementara yang akan mengendalikan pilihan raya umum pada Oktober tahun depan.
Ketua Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), Jeneral Prayuth Chan-ocha dalam ucapan mingguannya berkata, tiga proses akan dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya tersebut berjalan lancar.
Katanya, langkah pertama melibatkan pengukuhan tahap keselamatan dan merangka Perlembagaan sementara, disusuli langkah kedua pada Oktober ini iaitu mengadakan persidangan Majlis Pembaharuan Kebangsaan dan Parlimen bagi mentadbir negara sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 bulan.
"Sepanjang tempoh itu, majlis berkenaan akan merangka Perlembagaan yang kekal untuk kerajaan baharu.
"Langkah terakhir pula adalah menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya yang dijangka berlangsung pada Oktober tahun depan," jelasnya.
Dalam pada itu menurut laporan portal berita The Nation, Prayuth memberi jaminan bahawa pilihan raya yang diadakan di bawah Perlembagaan baharu akan berlangsung secara adil bagi mengembalikan semula demokrasi.
Jelasnya, Perlembagaan sementara yang dirangka akan memperbaharui semua perkara termasuk agenda politik, ekonomi, masyarakat, persekitaran, tenaga dan sistem kehakiman.
"Rakyat Thailand akan memiliki kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada tahun depan dan semua pihak diminta bersabar kerana kami memerlukan masa untuk melakukan pembaharuan.
"Barisan Parlimen akan dinamakan kira-kira sebulan selepas Perlembagaan sementara dikuatkuasakan dan kerajaan sementara juga akan mula bertugas pada September ini," katanya. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140629/lu_03/Pilihan-raya-umum-Thailand-pada-Oktober-2015#ixzz38DWBLW8o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

27 June 2014

AS beku lebih banyak bantuan kepada Thai


WASHINGTON 25 Jun - Amerika Syarikat (AS) menggantung lebih banyak bantuan kepada Thailand ekoran tindakan tentera merampas kuasa bulan lalu dan mempertimbangkan untuk mengubah lokasi latihan utama ketenteraan di negara itu.
Pegawai Jabatan Negara AS, Scot Marciel berkata, sebanyak AS$4.7 juta (RM15.1 juta) bantuan berkaitan keselamatan kepada Bangkok telah disekat, hampir separuh daripada AS$10.5 juta (RM33.74 juta) dana yang disalurkan kepada sekutu lama Washington itu setiap tahun.
Katanya, AS telah membekukan bantuan sebanyak AS$3.5 juta (RM11.2 juta) sehari selepas tentera Thailand merampas kuasa pada 22 Mei lalu selain menggantung program latihan persenjataan yang dibiayai untuk polis Thailand.
"Washington juga mempertimbangkan untuk menukar lokasi latihan ketenteraan Cobra Gold, satu daripada latihan terbesar tentera AS di Asia yang dijalankan bersama Thailand sejak 1980 melibatkan kira-kira 13,000 anggota sekutu di rantau itu," ujarnya. - AFP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140626/lu_08/AS-beku-lebih-banyak-bantuan-kepada-Thai#ixzz38DWTOvrY
© Utusan Melayu (M) Bhd 

12 June 2014

Junta Thailand mansuhkan perintah berkurung di 20 wilayah


BANGKOK 11 Jun - Junta tentera Thailand memansuhkan perintah berkurung lewat malam di lebih 20 wilayah, tetapi perintah itu kekal di Bangkok dan 50 wilayah lain.
Pengumuman itu dikeluarkan semalam bagi memudahkan rutin harian orang ramai dan disebabkan keadaan wilayah-wilayah tersebut aman.
Perintah berkurung itu juga telah dikurangkan dari tujuh jam ke empat jam, selain perintah itu dimansuhkan di beberapa wilayah yang terkenal dengan kedatangan pelancong luar.
Kerajaan tentera Thailand mengeluarkan perintah berkurung di kesemua 77 wilayah pada 22 Mei lalu selepas rampasan kuasa tentera dilaksanakan ke atas kerajaan bagi mengembalikan keamanan daripada konflik politik negara ini. - AP


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140611/lu_03/Junta-Thailand-mansuhkan-perintah-berkurung-di-20-wilayah#ixzz38FdNVJKz
© Utusan Melayu (M) Bhd 

8 June 2014

Gadis pakai ala tentera pujuk hati rakyat Thailand


BANGKOK 7 Jun - Beberapa wanita cantik telah diarahkan junta tentera Thailand untuk memakai pakaian ala tentera yang menarik dan meminta mereka menyanyi, menari dan tabik kepada orang ramai bagi memenangi hati dan minda rakyat ekoran rampasan kuasa yang mencetus kontroversi sebelum ini.
Beberapa anggota tentera wanita Thailand turut dilihat menyanyi bersama di belakang trak tentera di jalan-jalan utama Bangkok.
Inisiatif yang dilakukan ini termasuk menganjurkan beberapa parti jalanan dengan menyediakan makanan dan muzik percuma, yang mana merupakan sebahagian daripada kempen perhubungan awam oleh pemerintah baharu negara Asia Tenggara itu berikutan penggulingan Perdana Menteri Yingluck Shinawatra bulan lepas. - Agensi


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140607/lu_01/Gadis-pakai-ala-tentera-pujuk-hati-rakyat-Thailand#ixzz38FduL7DZ
© Utusan Melayu (M) Bhd 

7 June 2014

Junta Thailand singkirkan pemimpin proThaksin


Bekas Menteri Pendidikan, Chaturon Chaisaeng merupakan antara pemimpin proThaksin yang ditahan pada akhir Mei lalu selepas menentang rampasan kuasa oleh tentera Thailand. - AGENSI
BANGKOK 5 Jun - Kerajaan junta Thailand melakukan rombakan sistematik bagi meminggirkan pegawai-pegawai kerajaan yang dilihat menyokong bekas Perdana Menteri, Thaksin Shinawatra, tindakan dilihat sebagai usaha untuk mematahkan sokongan dan memastikan beliau tidak kembali berkuasa di negara ini.
Menurut Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), gabenor-gabenor di 13 wilayah terutama di utara dan timur laut negara ini yang proThaksin, telah dipindahkan.
Kerajaan junta turut menstrukturkan semula pasukan polis yang dilihat sebagai penyokong Thaksin dan adiknya, Yingluck Shinawatra.
Berdasarkan dokumen NCPO yang dilihat oleh Reuters, sekurang-kurangnya 17 pegawai kanan polis telah dipindahkan sejak minggu lalu.
Thaksin yang merupakan bekas pegawai polis, digulingkan pada 2006, menyaksikan Perlembagaan digubal di bawah kerajaan disokong tentera dalam usaha mengehadkan pengaruh politiknya, namun Yingluck pula menjadi Perdana Menteri selepas menang dalam pilihan raya umum pada 2011.
Kerajaan junta kali ini dilihat mahu memastikan Thaksin atau ahli keluarganya tidak kembali menguasai arena politik negara ini.
Tentera telah menahan sejumlah pemimpin dari parti politik yang bertelagah, namun dilihat lebih ramai penyokong Thaksin ditahan dalam tindakan tersebut.
Kerajaan junta juga mendapatkan pinjaman sebanyak 1.5 bilion baht (RM150,000) untuk membuat pembayaran kepada petani dalam usaha mendekati penyokong Thaksin di kawasan pedalaman. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140606/lu_04/Junta-Thailand-singkirkan-pemimpin-proThaksin#ixzz38Fe4brRd
© Utusan Melayu (M) Bhd