30 June 2014

Pilihan raya umum Thailand pada Oktober 2015


BANGKOK 28 Jun - Kerajaan junta Thailand, semalam mendedahkan rancangan pembaharuan untuk membentuk kerajaan sementara yang akan mengendalikan pilihan raya umum pada Oktober tahun depan.
Ketua Majlis Keamanan dan Ketenteraman Nasional (NCPO), Jeneral Prayuth Chan-ocha dalam ucapan mingguannya berkata, tiga proses akan dilaksanakan bagi memastikan pilihan raya tersebut berjalan lancar.
Katanya, langkah pertama melibatkan pengukuhan tahap keselamatan dan merangka Perlembagaan sementara, disusuli langkah kedua pada Oktober ini iaitu mengadakan persidangan Majlis Pembaharuan Kebangsaan dan Parlimen bagi mentadbir negara sekurang-kurangnya dalam tempoh 10 bulan.
"Sepanjang tempoh itu, majlis berkenaan akan merangka Perlembagaan yang kekal untuk kerajaan baharu.
"Langkah terakhir pula adalah menyerahkan kuasa kepada kerajaan yang dipilih melalui pilihan raya yang dijangka berlangsung pada Oktober tahun depan," jelasnya.
Dalam pada itu menurut laporan portal berita The Nation, Prayuth memberi jaminan bahawa pilihan raya yang diadakan di bawah Perlembagaan baharu akan berlangsung secara adil bagi mengembalikan semula demokrasi.
Jelasnya, Perlembagaan sementara yang dirangka akan memperbaharui semua perkara termasuk agenda politik, ekonomi, masyarakat, persekitaran, tenaga dan sistem kehakiman.
"Rakyat Thailand akan memiliki kerajaan yang dipilih secara demokrasi pada tahun depan dan semua pihak diminta bersabar kerana kami memerlukan masa untuk melakukan pembaharuan.
"Barisan Parlimen akan dinamakan kira-kira sebulan selepas Perlembagaan sementara dikuatkuasakan dan kerajaan sementara juga akan mula bertugas pada September ini," katanya. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20140629/lu_03/Pilihan-raya-umum-Thailand-pada-Oktober-2015#ixzz38DWBLW8o
© Utusan Melayu (M) Bhd 

No comments:

Post a Comment