Rundingan damai yang diusahakan Malaysia sejak Mei lalu melibatkan wakil perunding Thailand yang dilantik kerajaan tentera dan wakil gabungan kumpulan pemisah yang dinamakan sebagai MARA Patani, termasuk perunding dari BRN.
Namun menerusi wawancara bersama portal Nikkei Asian Review baru-baru ini, empat wakil BRN yang diketuai oleh jurucakap dikenali sebagai Yusuf berkata, kumpulan tersebut menolak rundingan damai itu kerana melihat proses rundingan sebagai fenomena negatif dan menganggap penglibatan Malaysia sahaja tidak mencukupi.
Jelas Yusuf, pihaknya percaya proses damai MARA Patani yang melibatkan tiga kumpulan pemisah dan tiga wakil kononnya dari BRN, sebagai meragukan dan perlu dihentikan bagi memulakan semula proses rundingan secara keseluruhan dengan lebih baik.
“Kami bersedia menjemput atau memberi ruang kepada pihak lain memandangkan konflik ini melibatkan kebimbangan seluruh Patani dan mengalu-alukan penglibatan Malaysia dalam mana-mana rundingan damai.
“Tetapi Malaysia sahaja tidak mencukupi kerana penglibatan pi­hak antarabangsa diperlukan ke­rana kami meragui sebarang rundingan dengan kerajaan Thailand yang tidak mahu melibatkan pihak luar,” katanya.
Menurut Yusuf, BRN menolak penglibatan rundingan damai MARA Patani kerana melibatkan beberapa isu termasuk kegagalan rundingan damai pada 2013 yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Jelas beliau, banyak aspek yang dilihat terhadap usaha damai yang digerakkan kerajaan Malaysia tidak di­selesaikan kerana kerajaan Thailand tidak meneruskan agenda yang dikemukakan proses damai pada 2013.
“Kami tidak berasa janggal de­ngan pendirian tidak menyertai rundingan damai tersebut.
“Setiap kali rundingan politik antara dua pihak bertelagah, penglibatan antarabangsa amat diperlukan bagi mencari penyelesaian yang le­bih baik,” katanya.
Rundingan pada 2013 antara kerajaan pimpinan Yingluck dan BRN menemukan jalan buntu ekoran kegagalan gencatan senjata yang dipersetujui pada Julai dan Ogos selain tuntutan kumpulan pemisah itu yang tidak dipenuhi kerajaan.
Antara lima tuntutan tersebut termasuk campur tangan masyarakat antarabangsa, pembebasan tahanan dan pengiktirafan sebagai sebuah pergerakan bebas.