16 August 2016

Saya bukan dalang: Thaksin



ASKAR Thai berjaga-jaga sementara unit forensik memeriksa tempat serangan berikutan dua letupan bom tepi jalan di daerah Bacho, Naratyhiwat, semalam. Beberapa anggota tentera cedera dalam serangan itu. - AFP

Reuters
Bangkok: Bekas Perdana Menteri Thai, Thaksin Shinawatra menafikan terbabit dalam letupan atau kebakaran di tujuh wilayah selatan Thai pada Khamis dan Jumaat lalu yang menyebabkan empat orang terbunuh dan puluhan lagi cedera.

“Thaksin juga mengancam mengheret mereka yang membuat tuduhan dia bertanggungjawab terhadap serangan berkenaan ke mahkamah,” kata jurucakapnya, Noppadon Pattama, ahli politik dari Parti Pheu Thai.

“Orang ramai menghantar mesej menerusi media sosial, menuduh Thaksin menjadi dalang serangan itu,” kata Noppadon yang pernah menjadi menteri luar dalam kerajaan proksi Thaksin.

Menurutnya, dalam usaha untuk melindungi reputasinya, Thaksin mengarahkan peguamnya membuat laporan polis terhadap mereka yang menuduhnya.

Sementara itu, tentera Thai berkata, ia menahan beberapa orang untuk disoal siasat berkait dengan serangan itu yang berlaku beberapa hari selepas rakyat Thai mengundi menerima perlembagaan yang disokong tentera untuk membuka jalan bagi pilihan raya diadakan hujung tahun depan.

Belum ada pihak mengaku bertanggungjawab sementara polis dan kerajaan menolak serangan itu ada hubungan dengan kumpulan pemisah, sebaliknya mengaitkannya dengan isu politik.

Jurucakap junta tentera, Kolonel Winthai Suvaree berkata, beberapa orang ditahan di kem tentera, tetapi belum ada yang didakwa.

“Mereka dihantar ke beberapa kem tentera,” katanya tanpa menyebut jumlah yang ditahan.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 Ogos 2016 @ 11:57 AM

No comments:

Post a Comment