9 August 2016

Kemenangan buat junta tentera


ORANG ramai beratur untuk membuang undi di wilayah Buriram timur laut Thailand semalam. - AFP


BANGKOK – Rakyat Thailand menyokong draf perlembagaan baharu yang dibentuk kerajaan junta tentera, menurut keputusan awal pungutan suara semalam yang memberikan kemenangan besar kepada tentera tetapi tamparan terhadap gerakan prodemokrasi.
Keputusan awal yang disiarkan Suruhanjaya Pilihan Raya semalam menunjukkan 62 peratus pengundi menyokong perlembagaan baharu itu, manakala setakat pukul 9 malam semalam, sebanyak 90 peratus undi telah dikira.
Pihak berkuasa menganggarkan bilangan pemilih yang keluar mengundi dalam pungutan suara kali ini adalah sekitar 55 peratus daripada 50.2 juta pengundi berdaftar di Thailand.
Hanya penduduk miskin di pedalaman timur laut Thailand dan pengundi di tiga wilayah selatan yang bergolak mengundi menentang draf perlembagaan baharu tersebut.
Terdahulu, Perdana Menteri, Prayuth Chan-o-cha yang membuang undi di Daerah Phayathai, Bangkok, menggesa rakyat supaya keluar beramai-ramai untuk mengundi.
“Marilah keluar beramai-ramai. Jangan takutkan hujan, jika hujan turun sekali pun, anda masih perlu datang kerana hari ini (semalam) adalah penentu bagi masa depan Thailand.
Sebelum ini, pemimpin dua parti utama Thailand iaitu bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra dan Abhisit Vejajiva masing-masing daripada Parti Puea Thai serta Parti Demokrat meminta penyokong mereka menolak draf perlembagaan itu.
Draf perlembagaan itu mencetuskan kontroversi antara lain kerana membenarkan keanggotaan Dewan Senat dibuat melalui pelantikan dengan sebahagian daripada 250 dewan berkenaan dikhaskan kepada junta tentera, manakala proses pemecatan Perdana Menteri pula akan dipermudahkan.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan dalam rampasan kuasa tentera dua tahun lalu, Prayuth telah membentangkan pelan politik untuk kembali kepada sistem demokrasi dengan satu pilihan raya umum akan diadakan pada tahun depan.
Terdahulu, pusat-pusat mengundi yang terletak di taman awam, sekolah dan tempat-tempat lain dibuka mulai pukul 8 pagi (waktu tempatan) sebelum ditutup lapan jam kemudian.
Suruhanjaya Pilihanraya (SP) menyatakan, lebih 940,000 pusat mengundi di seluruh Thailand telah dibuka, manakala keputusan rasmi pungutan suara itu akan diketahui hari ini. – Bernama/AFP.


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2016&dt=0808&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_01.htm#ixzz4Gp9JeZLL 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment