Ketua Polis Pattani, Mej. Jen. Thanongsak Wangsupa berkata, letupan pertama berlaku di sebuah tempat letak kereta di belakang Southern Hotel, tetapi tiada kecederaan dilaporkan.
“Letupan kedua berlaku selepas sebuah trak yang diletakkan di pintu masuk hotel berkenaan yang terletak bertentangan sebuah bar karaoke dan tempat urut meletup, menyebabkan seorang terbunuh dan 30 lagi cedera,” katanya.
Letupan itu berlaku kurang dua minggu selepas satu siri le­tupan menggegarkan tiga resort pelancongan popular di selatan negara ini mengorbankan empat orang dan mencederakan 37 orang lagi termasuk pelancong dari Eropah.
Penganalisis berkata, walaupun Pattani bukan lokasi popular dan menjadi kunjungan pelancong, namun kumpulan militan dilihat sedang menjadikan tempat ini sebagai sasaran mereka.
Timbalan Ketua Junta Thailand, Prawit Wongsuwan, ba­gaimanapun menolak sebarang kaitan serangan awal bulan ini di kawasan tarikan pelancongan dengan pemberontakan yang berlaku di selatan negara ini.
Katanya, rundingan dengan kumpulan pemberontak akan ditangguhkan sehingga semua insiden keganasan reda.
“Semua keganasan mesti berhenti sebelum kita boleh me­nersukan perbincangan. Mereka (pemberontak) perlu menunjukkan keikhlasan mereka,” katanya ketika ditemui pemberita selepas kejadian letupan itu, semalam. – REUTERS