19 December 2015

Mangsa tembak di Narathiwat meninggal dunia

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 4:04 PM

Oleh Azman Mahmood azmanm@bh.com


MOHAMAD Shahriduwan, 24

. KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang parah ditembak di Jalan Narathiwat-Takbai, Narathiwat, Thailand, Isnin lalu, meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi waktu tempatan. Perkara itu disahkan bapa arwah, Ismail Ahmad, 66, ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. Katanya, Mohamad Shahriduwan, 24, menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Phochanee Pachara, 38, dan ahli keluarganya selepas lima hari dirawat di Hospital Narathiwat. "Alhamdulillah, urusan menghantar pulang jenazah berjalan lancar dan selamat tiba di rumah di Kampung Kedai Buloh, Badang di sini jam 12 tengah hari tadi," katanya. Jenazah Mohamad Shahriduwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Badang, di sini, sebentar tadi. Dalam kejadian 5 petang, 14 Disember lalu, Mohamad Shahriduwan dan isterinya yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat diserang sekumpulan lelaki sebelum ditembak. Arwah parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Narathiwat, manakala isterinya cedera.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106547

15 December 2015

Warga Malaysia, Isteri Cedera Ditembak


Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2015 12:21 AM
Gambar hiasan.

NARATHIWAT: Seorang warga Malaysia cedera parah sementara isterinya warga Thai cedera ditembak dalam satu kejadian di jalan raya Narathiwat-Takbai di Kg Kaluwa, daerah Muang Narathiwat.
Mangsa warga Malaysia itu dikenali sebagai Mohamad Shahriduwan Ismail, 24, berasal dari Kg Kedai Buluh Badang, Kota Baharu, dan isterinya, 38, berasal dari Daerah Yingo, Narathiwat.
Kolonel Polis Manit Yimsai, Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat, berkata pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah si isteri apabila mereka diserang oleh orang dari sebuah kereta.
Menurut Manit, isteri Mohamad yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik.
Beliau berkata si isteri terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.
Polis sedang memburu suspek, dan menyiasat motif kejadian itu. - BERNAMA 

14 December 2015

Bom: Jasad dalam kubur terpelanting keluar

13 DISEMBER 2015

YALA - THAILAND. Seorang pegawai perisikan terkorban manakala bapanya cedera parah apabila bom yang ditanam di dalam kubur ibu mangsa meletup ketika dua beranak itu membaca surah Yasin di kubur yang terletak di Kampung Bo Jet Look, di daerah Muang Yala, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi tadi, kesan letupan kuat itu menyebabkan jasad ibu mangsa terkeluar dari liang kubur yang dikebumikan tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kol.Pol. Kerisda Keawjandi berkata, bom seberat 10kg itu dipercayai ditanam oleh kumpulan pemisah, Rakib Dollah, yang menyasarkan mangsa, yang juga seorang anggota renjer di daerah berkenaan.
Beliau berkata mangsa, Sheik Chedomad meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Aziz Chedomad cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pusat Wilayah Yala di sini.
Bagaimanapun, umur dua beranak itu tidak diketahui. Dalam pada itu, Ketua Pejabat Daerah Muang Yala, Konsakul Chanraj, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan melampau hingga penduduk kampung juga rasa terkesan dan amat sedih kerana pelaku sanggup bertindak kejam. - Bernama

9 December 2015

Empat renjer cedera dalam serangan bom di Pattani

Pattani: Seorang anggota renjer sukarela parah dan tiga lagi cedera selepas sebutir bom yang ditanam di bawah sebuah rumah dalam pembinaan di daerah Yaring meletup pagi semalam.
Jurucakap polis, Kosit Benjakul berkata, kejadian berlaku jam 10 pagi (waktu tempatan) ketika anggota renjer berkenaan berehat di rumah itu selepas mengiringi sekumpulan guru ke sekolah.
Katanya, secara tiba-tiba sebutir bom yang diletakkan di bawah rumah berkenaan meletup.
“Letupan itu menyebabkan empat anggota renjer cedera dan seorang daripada mereka parah di bahagian kaki.
“Semua anggota renjer berkenaan dihantar ke hospital di Pattani dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar rumah berkenaan yang masih dalam pembinaan juga rosak teruk.
“Bom itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh dan kami menyiasat motif serta dalang serangan,” jelasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:52 AM


ANGGOTA polis menyiasat lokasi serangan bom di daerah Yaring di Pattani, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98933#sthash.iWuKV9bS.dpuf

30 November 2015

Amaran banjir di Narathiwat

Amaran banjir di Narathiwat

30 NOVEMBER 2015

 Narathiwat diisytiharkan sebagai zon bencana selepas banjir menenggelamkan wilayah itu pada Disember.

 BANGKOK - THAILAND. Penduduk di sepanjang Sungai Kolok di Narathiwat dinasihatkan mengambil langkah berjaga-jaga bagi menghadapi ancaman banjir, ekoran hujan lebat yang melanda wilayah selatan itu. Difahamkan paras air di sungai berkenaan naik secara mendadak kira-kira lima sentimeter dalam tempoh sejam, lewat petang kelmarin.
Pada Jumaat pihak berkuasa turut mengarahkan penduduk di tiga daerah berhampiran sempadan supaya berpindah ke tanah tinggi jika hujan di kawasan terbabit masih berterusan.
Pusat Meteorologi meramalkan hujan berterusan di Narathiwat dan enam daerah lain termasuk Surat Thani, Nakhon Si Thammarat, Phattalung, Songkhla, Pattani dan Yala sehingga esok. - Bangkok Post

20 November 2015

7 cedera dalam serangan di selatan Thailand

Narathiwat: Tujuh orang cedera dalam dua kejadian berasingan serangan bom dan tembakan di wilayah Narathiwat dan Yala semalam.
Di Narathiwat, enam anggota renjer cedera selepas kenderaan yang dinaiki mereka terkena sebutir bom yang meletup di tepi jalan.
Serangan berlaku pada waktu tengah hari ketika anggota renjer berkenaan dalam perjalanan pulang ke kem mereka di daerah Waeng.
Kejadian itu menyebabkan dua anggota renjer parah dan empat lagi mengalami cedera ringan.
Polis juga menemui satu silinder gas seberat 20 kilogram yang mempunyai wayar bersambung dengan bateri yang disembunyikan kira-kira 100 meter ke dalam semak berhampiran.
Silinder gas itu dipercayai bom buatan sendiri yang gagal meletup.
Sementara itu di Yala, seorang pengawal keselamatan cedera parah selepas ditembak beberapa lelaki bersenjata di hadapan sebuah sekolah di daerah Yaha.
Jurucakap polis, Kittisak Kaewmee berkata, ketika kejadian, mangsa, Abrohem Masae dan dua lagi pengawal berada di pondok pengawal di sekolah Ban Tapor.
Secara tiba-tiba empat lelaki yang menaiki sebuah trak pikap berhenti di hadapan sekolah dan melepaskan tembakan ke arah pondok pengawal.
Serangan itu menyebabkan Abrohem cedera di perut dan di kaki serta terpaksa dikejarkan ke hospital untuk rawatan lanjut. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 November 2015 @ 5:32 AM


SEORANG anggota polis melihat kenderaan tentera yang rosak selepas terkena serangan bom di Narathiwat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/94369#sthash.fbe7Uhgh.dpuf

14 November 2015

Empat terbunuh letupan bom di Pattani


ANGGOTA tentera Thailand memeriksa lokasi serangan bom yang mengorbankan sebanyak empat orang yang dipercayai dilakukan kumpulan pemisah di daerah Khok Pho, Pattani, kelmarin. REUTERS
BANGKOK 13 Nov. – Sebanyak empat orang maut, manakala empat lagi cedera dalam satu letupan bom di wilayah selatan Thailand, semalam, satu lagi pergolakan terbaharu di wilayah itu yang dibelenggu pemberontakan sejak lebih sedekad lalu.
Letupan itu berlaku di pusat pemeriksaan di daerah Khok Pho di wilayah Pattani, membunuh empat orang lelaki Buddha berumur antara 43 dan 54 tahun.
“Sebanyak empat sukarelawan kampung terbunuh, manakala empat lagi cedera dan kini masih menerima rawatan di hospital,’’ kata jurucakap polis, Kolonel Uthai Thipsopa di lokasi kejadian.
Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pihak berkuasa Thailand membekalkan sukarelawan kampung dengan senjata api bagi melindungi perkampungan mereka daripada serangan senjata dan bom oleh kumpulan pemisah yang menuntut pemerintahan sendiri di wilayah berkenaan.
Lebih 6,400 orang terbunuh dalam konflik di selatan Thailand sejak 2004 dengan kebanyakan korban adalah orang awam.
Kumpulan pemisah sering me­lakukan serangan terhadap pasukan keselamatan Thailand termasuk menyerang mereka yang bersimpati terhadap negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
Pihak berkuasa Thailand pada masa sama dituduh melakukan pencabulan hak asasi yang teruk termasuk penahanan tanpa perbicaraan serta pembunuhan secara sewenang-wenangnya. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/empat-terbunuh-letupan-bom-di-pattani-1.158110#sthash.MqdCP9JH.dpuf

2 November 2015

Yala terus tegang

Yala: Keadaan di wilayah Yala terus tegang apabila sebutir lagi bom meletup di daerah Bannang Sata di Yala semalam, menyebabkan seorang askar Thai cedera.
Serangan bom itu berlaku tidak sampai 24 jam selepas sekumpulan lelaki bersenjata melepaskan tembakan ke arah sebuah pangkalan tentera pada malam kelmarin.
Bagaimanapun, tiada kecederaan dilaporkan dalam serangan terhadap pangkalan tentera berkenaan.
Pagi semalam, sebuah kenderaan tentera yang meronda berhampiran kem itu menjadi sasaran serangan bom yang diletupkan dengan alat kawalan jauh.
Ia menyebabkan seorang askar cedera di kaki.
Kekacauan di Yala yang masuk hari keempat dipercayai didalangi kumpulan pemisah yang dikenali sebagai Runda Kumpulan Kecil (RKK).
Unit perisikan tentera percaya, ketua RKK yang dikenali sebagai Isamael Rayalong atau Ustaz Soh mengarahkan anggota kumpulan itu melancarkan serangan.
Maklumat perisikan juga percaya kumpulan itu bakal melancarkan serangan lebih besar dan bahaya apabila menyiapkan lima buah kenderaan yang sarat dengan bahan letupan.
Sumber perisikan memberitahu, kawalan di Yala kini dipertingkatkan dan pihak berkuasa bersedia dengan banyak lagi serangan.
Katanya, pihak berkuasa juga melancarkan operasi besar-besaran mencari lima kenderaan yang sarat dengan bahan letupan dan sedia untuk dilancarkan itu.
“Kami percaya bom kenderaan itu disembunyikan dan hanya menunggu masa untuk dilancarkan,” katanya.
Ujarnya, sebuah trak pikap empat pintu berwarna perak atau gangsa antara kenderaan yang digunakan untuk melancarkan serangan berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 November 2015 @ 5:05 AM


ASKAR Thai yang cedera akibat serangan bom semalam dibawa ke hospital Yala untuk rawatan lanjut.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/89968#sthash.BnBnvQU7.dpuf

22 October 2015

7 bom meletup di Pattani


Pattani: Rondaan keselamatan ditingkatkan di daerah Khok Pho di wilayah ini semalam selepas tujuh bom meletup pada malam kelmarin menyebabkan enam orang cedera.

Askar dan polis dilihat meronda kawasan sekitar Na Pradu dan Khok Pho bagi mengawasi sebarang objek mencurigakan serta sebarang bukti yang mereka temui.


Tong sampah dan pondok telefon adalah lokasi penyerang menyembunyikan bom yang meletup malam kelmarin.

Lima bom meletup di Na Pradu berhampiran sebuah bank dan pejabat daerah.

Di Khok Pho, dua bom yang disembunyikan di dalam tong sampah berhampiran kedai telefon dan di pondok telefon berhampiran sebuah pasar meletup.

Enam mangsa berusia 10 hingga 70 tahun dilaporkan cedera dalam siri serangan bom berkenaan.

Saksi memberitahu, mereka melihat penunggang motosikal meletakkan objek mencurigakan dalam tong sampah dan pondok telefon di lokasi serangan.

Bom itu mula meletup pada jam 7 malam (waktu tempatan).

Polis percaya serangan itu dilakukan kumpulan pemisah. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 Oktober 2015 @ 7:05 AM

SEBUAH kereta musnah di Narathiwat dalam serangan bom yang didakwa dilakukan kumpulan pemisah selatan Thai, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/87049#sthash.Wqf2UPrz.dpuf

13 letupan bom gegar Pattani


bendera thailand

21 OKTOBER 2015
bendera thailand

PATTANI - THAILAND. Dua pekan di daerah Khokpo iaitu Napradu dan Khokpo di sini digegarkan dengan 13 letupan bom antara jam 7.30 malam tadi dan 6.30 pagi ini manakala tiga lagi bom berjaya dimatikan.

Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut yang dipercayai didalangi oleh kumpulan pemisah di selatan wilayah Thailand itu.

Ketua Polis Daerah Khokpo, Pattani, Kol.Polis Uthai Thipsepa berkata sejumlah lapan butir bom meletup di tujuh kawasan di Khokpo manakala tiga butir lagi dapat dimusnahkan dan lima butir bom meletup di Napradu.

Beliau berkata kesemua bom yang digunakan adalah seberat dua kilogram dan diaktifkan dengan menggunakan telefon bimbit. - Bernama

13 Letupan Bom Gegar Dua Pekan Di Pattani


Diterbitkan: Rabu, 21 Oktober 2015 10:40 PM

PATTANI: Dua pekan di daerah Khokpo iaitu Napradu dan Khokpo di sini digegarkan dengan 13 letupan bom antara jam 7.30 malam Selasa dan 6.30 pagi Rabu manakala tiga lagi bom berjaya dimatikan.
Bagaimanapun, tiada kecederaan atau kematian dilaporkan dalam kejadian tersebut yang dipercayai didalangi oleh kumpulan pemisah di selatan wilayah Thailand itu.
Ketua Polis Daerah Khokpo, Pattani, Kol.Polis Uthai Thipsepa berkata sejumlah lapan butir bom meletup di tujuh kawasan di Khokpo manakala tiga butir lagi dapat dimusnahkan dan lima butir bom meletup di Napradu.
Beliau berkata kesemua bom yang digunakan adalah seberat dua kilogram dan diaktifkan dengan menggunakan telefon bimbit. - BERNAMA

21 October 2015

Maut selepas bom dalam kereta meletup


Bom

20 OKTOBER 2015
Bom Gambar Hiasan.

NARATHIWAT - THAILAND. Balas dendam disyaki sebagai motif kematian seorang anggota renjer dalam satu letupan bom di sini hari ini.  

Polis percaya motif pengeboman adalah balas dendam kerana mangsa, Ismail Cherna, 54,  pernah menembak mati seorang anggota militan pada 20 Oktober 2013, kata Ketua Polis Daerah Takbai, Kolonel Polis Jiradej Praswang.  

Ismail terkorban apabila sebutir bom yang diletakkan pada keretanya meletup ketika beliau sedang memandunya dalam kejadian jam 4 petang tadi.  

Kejadian berlaku di Pekan Takbai, yang bersempadan dengan Pengkalan Kubor, Kelantan.  

Jiradej berkata bom buatan sendiri seberat 10 kg dilekatkan di bawah  kereta mangsa dan diletup dengan menggunakan walkie talkie.  

Letupan bom itu telah memusnahkan bahagian hadapan kereta berkenaan dan mayat mangsa terhimpit dalam kereta, kata beliau.  

Mangsa bekerja di Pejabat Daerah Takbai dan ketika kejadian beliau sedang memandu kereta untuk pulang ke rumahnya yang terletak hanya 200 meter daripada tempat kerjanya. - Bernama

20 October 2015

Dua renjer Thai maut di Pattani


Pattani: Dua anggota renjer Thailand maut dan lima lagi cedera selepas kenderaan mereka terkena letupan bom yang dipasang di tepi jalan, semalam.

Jurucakap tentera Thai, Pramote Prom-in berkata, bom itu meletup ketika anggota renjer itu membuat rondaan di daerah Sai Buri di wilayah Pattani.

Pramote menganggarkan bahan letupan yang digunakan dalam serangan itu seberat 100 kilogram.

Wartawan Reuters yang berada di lokasi serangan memberitahu lubang yang terbentuk akibat letupan kuat itu boleh memuatkan seekor gajah.

Pergolakan di selatan Thai berpunca daripada gerakkan kumpulan pemisah yang meragut lebih 6,500 nyawa sejak 2004.

Kumpulan pemisah, Barisan Revolusi Nasional sehingga kini masih belum bersetuju mengenai rundingan damai dengan Bangkok.

Kata Pramote, serangan terbaru itu kemungkinan tiada kaitan dengan rundingan damai yang masih buntu.

“Kumpulan pemisah mahu menggunakan keganasan sejak bertahun-tahun. Sasaran mereka adalah anggota keselamatan dan orang awam,” katanya. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 20 Oktober 2015 @ 6:58 AM


SEORANG askar Thai memegang pakaian tentera ketika memeriksa kawasan serangan di Sai Buri, Pattani, semalam.

Dua Renjer Maut, Lima Cedera Dalam Letupan Bom Di Pattani


Diterbitkan: Isnin, 19 Oktober 2015 8:13 PM

PATTANI: Dua anggota renjer terbunuh dan lima lagi cedera dalam kejadian letupan bom di Saiburi di sini pada Isnin dipercayai didalangi anggota kumpulan pemisah.
Ketua Polis Daerah Saiburi Kolonel Polis Panya Kawaranant berkata polis  percaya serangan kali ini didalangi Ramlee Katecho, seorang anggota Runda Kumpulan Kecil (RKK) yang aktif di Saiburi dan polis telah menahan dua suspek untuk membantu siasatan.
Beliau berkata tujuh anggota renjer sedang bertugas mengawal keselamatan guru dan pengguna jalan raya ketika letupan bom berlaku di Jalan Saiburi-Kapor di Kampung Manang Dalam, Saiburi pada kira-kira 7.30 pagi.
Menurut beliau, bom buatan sendiri dipercayai seberat 50kg itu diletakkan dalam tong gas memasak yang ditanam di jalan tersebut.
Kekuatan bom menyebabkan kereta perisai yang dinaiki anggota-anggota renjer tersebut melambung 10 meter jauhnya dan musnah teruk, katanya.
Panya berkata letupan itu juga menyebabkan terbentuk lubang seluas dua meter dan sedalam satu meter.
Menurutnya, satu lagi letupan berlaku kira-kira sejam kemudian ketika pegawai keselamatan sedang membuat rondaan dan memeriksa di kawasan berhampiran kira-kira tiga kilometer jaraknya dari tempat letupan bom pertama.
Bagaimanapun, katanya tiada kemalangan jiwa dalam kejadian letupan kedua itu yang dipercayai membabitkan bom buatan sendiri seberat 10kg. - BERNAMA

14 October 2015

Kumpulan pemisah Thai masih berbalah


Bangkok: Perbalahan kumpulan pemisah menjejaskan proses rundingan damai bagi menamatkan keganasan selama 11 tahun di selatan Thailand.

Ketua Majlis Keselamatan Kebangsaan, Thaweep Netniyom berkata, Barisan Revolusi Nasional (BRN) - gabungan kumpulan pemisah di wilayah itu, masih berbalah mahu menyertai rundingan berkenaan atau tidak.

“Dalam BRN ada pihak yang bersetuju dengan rundingan ini dan ada yang tidak bersetuju serta mahu meneruskan keganasan.

“Kumpulan ini tidak bersatu,” katanya.

Menurutnya, Bangkok masih komited mengadakan
dialog sekali lagi walaupun tarikh rundingan baru itu belum dicapai.

Konflik di selatan negara itu meragut lebih 6,400 nyawa, majoritinya orang awam.

BRN dalam satu kenyataan kelmarin mendesak pemerhati dari beberapa negara asing hadir dalam rundingan damai akan datang.

Bagaimanapun, Bangkok menolak cadangan itu kerana beranggapan ia adalah isu domestik. - AFP

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Oktober 2015 @ 8:38 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/85016#sthash.SrlVxwMt.dpuf

13 October 2015

BRN tolak usaha damai anjuran Malaysia

Pemimpin BRN, Hassan Taib diiringi keluar oleh wakil kerajaan

Pemimpin BRN, Hassan Taib diiringi keluar oleh wakil kerajaan selepas majlis menandatangani rundingan damai dengan kerajaan Thailand pada Februari 2013. AFP
BANGKOK 12 Okt. – Kumpulan pemisah paling berpengaruh di selatan Thailand, Barisan Revolusi Nasional (BRN) menafikan terlibat dalam rundingan damai yang diketuai kerajaan Malaysia, sekali gus memberi petanda bahawa usaha menamatkan konflik selama 11 tahun di negara ini masih jauh.
Rundingan damai yang diusahakan Malaysia sejak Mei lalu melibatkan wakil perunding Thailand yang dilantik kerajaan tentera dan wakil gabungan kumpulan pemisah yang dinamakan sebagai MARA Patani, termasuk perunding dari BRN.
Namun menerusi wawancara bersama portal Nikkei Asian Review baru-baru ini, empat wakil BRN yang diketuai oleh jurucakap dikenali sebagai Yusuf berkata, kumpulan tersebut menolak rundingan damai itu kerana melihat proses rundingan sebagai fenomena negatif dan menganggap penglibatan Malaysia sahaja tidak mencukupi.
Jelas Yusuf, pihaknya percaya proses damai MARA Patani yang melibatkan tiga kumpulan pemisah dan tiga wakil kononnya dari BRN, sebagai meragukan dan perlu dihentikan bagi memulakan semula proses rundingan secara keseluruhan dengan lebih baik.
“Kami bersedia menjemput atau memberi ruang kepada pihak lain memandangkan konflik ini melibatkan kebimbangan seluruh Patani dan mengalu-alukan penglibatan Malaysia dalam mana-mana rundingan damai.
“Tetapi Malaysia sahaja tidak mencukupi kerana penglibatan pi­hak antarabangsa diperlukan ke­rana kami meragui sebarang rundingan dengan kerajaan Thailand yang tidak mahu melibatkan pihak luar,” katanya.
Menurut Yusuf, BRN menolak penglibatan rundingan damai MARA Patani kerana melibatkan beberapa isu termasuk kegagalan rundingan damai pada 2013 yang diusahakan oleh bekas Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra.
Jelas beliau, banyak aspek yang dilihat terhadap usaha damai yang digerakkan kerajaan Malaysia tidak di­selesaikan kerana kerajaan Thailand tidak meneruskan agenda yang dikemukakan proses damai pada 2013.
“Kami tidak berasa janggal de­ngan pendirian tidak menyertai rundingan damai tersebut.
“Setiap kali rundingan politik antara dua pihak bertelagah, penglibatan antarabangsa amat diperlukan bagi mencari penyelesaian yang le­bih baik,” katanya.
Rundingan pada 2013 antara kerajaan pimpinan Yingluck dan BRN menemukan jalan buntu ekoran kegagalan gencatan senjata yang dipersetujui pada Julai dan Ogos selain tuntutan kumpulan pemisah itu yang tidak dipenuhi kerajaan.
Antara lima tuntutan tersebut termasuk campur tangan masyarakat antarabangsa, pembebasan tahanan dan pengiktirafan sebagai sebuah pergerakan bebas.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/brn-tolak-usaha-damai-anjuran-malaysia-1.145886#sthash.pB3PiXgY.dpuf

22 September 2015

4 pegawai tentera Thailand kena waran tangkap


WARTAWAN SINAR HARIAN
21 SEPTEMBER 2015
gari

SONGKHLA - THAILAND. Polis selatan Thai semalam memperoleh waran tangkap terhadap empat orang anggota tentera atas tuduhan terbabit dengan kes pemerdagangan manusia.
 
Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Ak Angsananont berkata, ia dikeluarkan terhadap tiga pegawai tentera darat dan seorang pegawai tentera laut.
 
Mereka ialah Kolonel Nattasit Maksuwang yang bertugas di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Satun, Kapten Visut Bunnak dan Kapten Santat Pechnoi di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Chumporn.
 
Sementara pegawai tentera laut terbabit ialah Komander Kampanat Sangthonjin dari Tentera Laut Bahagian Ke-3, katanya kepada pemberita.
 
Setakat ini 150 waran tangkap telah dikeluarkan pihak mahkamah ke atas individu yang didakwa terlibat dengan kes pemerdagangan manusia, kata beliau.
 
Angsananont berkata 89 orang telah ditahan atau menyerah diri sementara 61 orang lagi masih bebas termasuk 20 orang yang dipercayai bersembunyi di luar negara.
   
Beliau berkata waran tangkap akan dipohon terhadap beberapa orang lagi pegawai tentera dan polis dalam masa terdekat dan hanya menunggu bukti soal-siasat. - Bernama

21 September 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani


19 SEPTEMBER 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani

Mat Keri Daud, 35, adalah salah seorang dari lima tahanan yang terlibat dalam kegiatan kumpulan pemisah yang dibebaskan oleh Kerajaan Thailand hari ini dalam usaha membantu perdamaian dan menyelesaikan keganasan di selatan Thailand. - Foto Bernama

PATTANI - THAILAND. Pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) Daud Maseng atau lebih dikenali Daud Ternang merupakan antara lapan tahanan dibebaskan dari penjara di Pattani hari ini.

Lima daripada tahanan tersebut termasuk Daud, 58, telah dipenjarakan kerana terbabit dengan gerakan militan di selatan Thailand, dan pembebasan itu dilihat langkah yang selari dengan proses perdamaian yang sedang berlangsung.
 
Empat lagi tahanan yang terlibat dengan gerakan militan yang dibebaskan ialah Mat Keri Daud, 35, Hama Semae, 42, Nuruddin Awae, 36, dan Arfan Awae, 30.
 
Tiga lagi tahanan yang dibebaskan ialah penjenayah biasa iaitu Alee Saleh, 58, Thirapath Thaveenart, 37, dan Jirawat Sisukmak, 37.
 
Kesemua mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand kerana mempunyai tingkah laku yang baik dan dasar kerajaan yang komited dan ikhlas dalam menyelesaikan masalah pergolakan di selatan Thailand.
 
Adik Daud, Abdullah Maseng, berkata anggota keluarga mereka diberitahu berkenaan dengan pembebasan itu tiga hari yang lalu.
 
Bagaimanapun, Daud tidak berkata apa-apa kepada wakil media yang menunggu untuk melaporkan pembebasannya dan terus menaiki kereta yang disediakan oleh
anggota keluarganya untuk pulang ke rumah di Kampong Ternang, Panaret, kira-kira 35 km dari Penjara Pattani.
 
Daud telah berada dalam penjara hampir 18 tahun, iaitu sejak ditahan di Malaysia pada 1997 bersama-sama dua lagi pemimpin PULO yang telah dibebaskan
lebih awal iaitu Abdul Rahman Bedo, 70, yang dibebaskan pada 30 November 2013 dan  Ismail Ternang,  61, yang dibebaskan pada 17 Julai lalu.
 
Daud telah dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan dengan kesalahan terlibat dengan Gerakan Pembebasan Pattani tetapi beliau diampunkan dan hukuman diringankan kepada penjara seumur hidup kerana berkelakuan baik ketika dalam penjara.
 
Sepanjang menjalani hukuman itu, beliau telah ditempatkan di empat penjara iaitu Bangkuan, Bangkok, Songkhla dan Pattani.
 
Antara yang hadir menyaksikan pembebasan tahanan hari ialah Datuk Panut Uthairat, Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC)
serta anggota keluarga tahanan yang dibebaskan. - Bernama

Tiga maut di Narathiwat


Narathiwat: Tiga terbunuh dan 14 lagi cedera selepas bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di daerah Rangae di sini lewat kelmarin, kata polis semalam.

Jurucakap polis, Phakdi Preechachol berkata, letupan berhampiran sebuah kedai runcit itu menyebabkan seorang pegawai tentera dan dua orang awam terbunuh.

Katanya, serangan itu juga menyebabkan 14 orang cedera termasuk seorang askar yang cedera parah di kaki dan terpaksa dipotong.

“Beberapa bom lagi turut meletup di kawasan yang sama, tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

“Kematian dan kecederaan itu berpunca daripada letupan bom motosikal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, empat askar juga cedera ringan dalam serangan itu dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

“Kami kini menyiasat dan memburu individu yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan,” jelasnya.

Serangan bom dan pembunuhan sering berlaku di wilayah di selatan Thailand yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah.

Sejak 2004, lebih 6,400 penduduk dan askar kerajaan terbunuh dalam keganasan di wilayah berkenaan.

Bangkok sebelum ini berikrar untuk mengembalikan keamanan di wilayah itu dan mengadakan dialog dengan pemimpin kumpulan pemisah.

Kerajaan Thailand juga membebaskan dua bekas pemimpin pemisah sebagai satu cara untuk mengembalikan keyakinan penduduk di wilayah itu terhadap kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:10 AM


ANGGOTA tentera Thai memeriksa lokasi motosikal yang digunakan dalam serangan berkenaan.

7 September 2015

Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

AHAD, 6 SEPTEMBER 2015 @ 6:22 PM


PATTANI: Seorang imam sebuah masjid mati ditembak semalam sementara empat anggota pasukan renjer Thailand cedera parah terkena letupan bom hari ini, dalam keganasan yang masih berlaku di selatan Thailand.

Kata Po Kol Kampol Pollapakdee, Ketua Polis Daerah Kapor, Pattani berkata, imam Masjid Kg Payo, Mukim Kadunung, Saiburi, dikenali sebagai Deraman bin Chewan, mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal pada 8.30 pagi.

Deraman, 76, cedera parah ditembak lima kali dengan pistol di badan dan kepala dan kemudian meninggal dunia di hospital Saiburi.

Ketika kejadian, imam berkenaan sedang menaiki motosikal untuk membeli makanan pagi di sebuah kedai di kampung itu.


Dia pernah ditembak pada 2013 dan cedera parah.

Sementara itu, keempat-empat anggota renjer berkenaan cedera di badan dan kepala akibat bom buatan sendiri seberat 100 kilogram yang meletup di Jalan Kapor-Saiburi, di Kampong Teluk Deraman, Daerah Kapor.

Beliau berkata, pasukan renjer berkenaan dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat petang tadi dan bom diletupkan apabila mereka tiba di tempat kejadian.

"Trak pikap yang digunakan mereka tercampak sejauh 10 meter dan musnah teruk," katanya.

Beliau berkata, pihak polis berjaya mengesan dua lagi bom yang tidak meletup di kawasan yang sama, masing-masing seberat 50 kilogram.

Satu daripadanya dipasang dalam tong gas memasak dan satu lagi dalam paip yang diletak atas motosikal yang diubahsuai dan ditinggalkan di tepi jalan itu.

- BERNAMA

6 September 2015

Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

AHAD, 6 SEPTEMBER 2015 @ 6:22 PM


PATTANI: Seorang imam sebuah masjid mati ditembak semalam sementara empat anggota pasukan renjer Thailand cedera parah terkena letupan bom hari ini, dalam keganasan yang masih berlaku di selatan Thailand. Kata Po Kol Kampol Pollapakdee, Ketua Polis Daerah Kapor, Pattani berkata, imam Masjid Kg Payo, Mukim Kadunung, Saiburi, dikenali sebagai Deraman bin Chewan, mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal pada 8.30 pagi.

Deraman, 76, cedera parah ditembak lima kali dengan pistol di badan dan kepala dan kemudian meninggal dunia di hospital Saiburi.

Ketika kejadian, imam berkenaan sedang menaiki motosikal untuk membeli makanan pagi di sebuah kedai di kampung itu.

Dia pernah ditembak pada 2013 dan cedera parah.

Sementara itu, keempat-empat anggota renjer berkenaan cedera di badan dan kepala akibat bom buatan sendiri seberat 100 kilogram yang meletup di Jalan Kapor-Saiburi, di Kampong Teluk Deraman, Daerah Kapor.

Beliau berkata, pasukan renjer berkenaan dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat petang tadi dan bom diletupkan apabila mereka tiba di tempat kejadian. "Trak pikap yang digunakan mereka tercampak sejauh 10 meter dan musnah teruk," katanya.

 Beliau berkata, pihak polis berjaya mengesan dua lagi bom yang tidak meletup di kawasan yang sama, masing-masing seberat 50 kilogram.

 Satu daripadanya dipasang dalam tong gas memasak dan satu lagi dalam paip yang diletak atas motosikal yang diubahsuai dan ditinggalkan di tepi jalan itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79982

4 September 2015

Tahan suspek di Narathiwat

Bangkok: Polis menahan seorang lelaki tempatan di Narathiwat, selatan Thailand kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu.
Tangkapan itu menjadikan semua suspek serangan bom di kuil Erawan yang mengakibatkan 20 orang maut meningkat kepada tiga orang.
Kamarudeng Saho, 38, ditahan selepas unit khas polis menyerbu rumahnya di Sungai Kolok pada Selasa lalu.
Lelaki itu kemudian diterbangkan ke Bangkok dengan helikopter pada Rabu lalu dan ditahan di sebuah pangkalan tentera.
Laporan penahanan lelaki itu disahkan oleh jurucakap polis, Prawut Thawornsiri kelmarin.
Prawut berkata, lelaki itu ditahan selepas penyiasat mendapati dia pernah berhubung melalui telefon dengan suspek wanita yang dikehendaki, Wanna Suansan atau nama Islamnya, Maisaroh.
Wanna dan suaminya, Emrah Davutoglu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam serangan bom berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan itu kini berada di Turki.
Sementara itu, Turki semalam melahirkan keraguan mengenai laporan, serangan bom berkenaan didalangi rakyat negara itu.
Dalam satu kenyataannya, kedutaan Turki di Bangkok memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Thailand.
“Kami tidak menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai kewarganegaraan semua suspek yang ditangkap dan diburu,” katanya.
Pihak berkuasa Thailand membayangkan sekurangkurangnya dua daripada lapan suspek serangan bom berkenaan kemungkinan warga Turki.
Kaitan warga Turki menguatkan lagi teori bahawa serangan bom itu bermotif dendam selepas Bangkok menghantar pendatang etnik Uighur dari China pulang ke negara asal pada Julai lalu.
Thailand dipercayai menjadi negara transit bagi etnik Uighur yang ditindas di China untuk berhijrah ke Turki.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:20 AM


KAMARUDENG Saho (kanan) diiringi anggota tentera Thai selepas ditahan di Narathiwat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75139#sthash.0IQSRLxS.dpuf

1 September 2015

2 lagi suspek serangan bom diburu


PRAWUT memegang sebuah tablet yang menunjukkan gambar Wanna Suansan yang diburu polis di Bangkok semalam.


BANGKOK – Polis Thailand sedang memburu seorang wanita tempatan dan seorang lelaki tidak dikenali selepas bahan membuat bom ditemui di apartmen kedua yang diserbu pihak berkuasa.
Perkembangan itu berlaku selepas polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes letupan bom di Kuil Erawan, tengah Bangkok, pada 17 Ogos lalu. Serangan pa­ling dahsyat di Thailand itu membunuh seramai 20 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada pelancong China dari seluruh Asia.
Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki warga asing di sebuah apartmen lain dan menemui beberapa peledak, paip dan sejumlah bebola besi.
Dalam satu siaran televisyen semalam, jurucakap polis nasional, Prawut Thavornsiri menunjukkan sekeping gambar wanita yang diburu. Suspek yang berusia 26 tahun dilihat memakai jubah hitam dan dikenali sebagai Wanna Suansan.
Gambar itu diambil daripada kad pengenalannya.
Prawut turut memaparkan sekeping lukisan suspek kedua yang bermisai.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu dipercayai menyewa bilik kedua di mana lebih banyak peralatan membuat bom ditemui. Polis turut menyiasat kemungkinan terdapat beberapa lagi konco mereka.
“Kami menemui beberapa beg berisi baja, radio kawalan jauh dan peralatan untuk membuat bom,” katanya semalam.
Prawut memberitahu, semua barang berkenaan ditemui dalam serbuan di sebuah apartmen di Minburi, timur laut Bangkok pada hujung minggu lalu.
“Baja itu mengandungi urea nitrat yang biasa digunakan dalam bom buatan sendiri,” jelas Prawut.
Setakat ini, serangan ke atas Kuil Erawan masih menjadi misteri ekoran belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Polis Thailand sebelum ini mengesyaki letupan dilakukan oleh militan antarabangsa, kumpulan pemisah di selatan Thai atau militan tempatan lain atau seseorang yang menyimpan dendam.
Beberapa penganalisis menyatakan bahawa motif serangan di Bangkok itu bagi membalas dendam tindakan Thailand mengusir berpuluh-puluh etnik Islam Uighur ke China baru-baru ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3kQvFtAFM 
Hakcipta terpelihara 

31 August 2015

Polis Thailand Buru Dua Suspek Kes Pengeboman Bangkok


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 3:38 PM
Wanna Suansan dinamakan salah seorang suspek kes pengeboman di Bangkok,

BANGKOK: Polis Thailand memburu dua suspek baharu susulan pengeboman di Bangkok selepas bahan membuat bom ditemui di apartmen kedua di pinggir bandaraya ini.
"Suspek pertama ialah seorang wanita, Wanna Suansan, 26," kata jurucakap polis, Prawut Thavornsiri, menerusi siaran televisyen yang untuk pertama kali menamakan suspek dan menunjukkan gambar wanita muda memakai hijab.
"Ada seorang lagi yang tinggal di dalam bilik itu, iaitu seorang lelaki, kewarganegaraan tidak diketahui," katanya. - AFP

30 August 2015

Polis Tahan Suspek Bom Bangkok, Media Dakwa Hanya 'Kambing Hitam'


Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 9:53 AM

BANGKOK: Polis Thailand telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.
Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2 petang Sabtu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.
Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.
Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.
Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.
Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara yang mengeluarkan pasport tersebut.
Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.
Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.
Taklimat itu berhenti secara tiba-tiba apabila seorang wartawan tempatan bertanya dalam bahasa Thai sama ada suspek yang ditahan oleh polis itu hanya sebagai kambing hitam.
Somyot dengan nada marah dan menyoal wartawan lelaki itu sama ada beliau seorang warga Thailand.
"Soalan anda benar-benar tidak membina...pergi dari sini. Saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak kisah tentang anda. Orang di sini begitu bersemangat ketika ini (atas penahanan suspek) tetapi anda menyoal sama ada kami menahan kambing hitam!," katanya.
Kemudian, Somyot berkata suspek tersebut bukan pengganas merentas sempadan  tetapi melakukan perbuatan itu disebabkan marah terhadap sesuatu yang berlaku kepada kawan-kawannya.
Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan.

29 August 2015

Harapan keamanan selatan Thai

Pergerakan diwakili enam kumpulan sedia berunding

Awang Jabat (tengah) bersama perwakilan MSP bergambar beramai-ramai

Awang Jabat (tengah) bersama perwakilan MSP bergambar beramai-ramai sejurus sidang media selepas persidangan di Kuala Lumpur, tamat, kelmarin. AFP
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Harapan mencapai keamanan di wilayah selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia kembali cerah apabila sebuah pergerakan diwakili enam buah kumpulan sedia berunding dengan kerajaan untuk mencari satu penyelesaian.
Menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Syura Pattani (MSP) bagi mewakili puak pemisah selatan Thai, rundingan tiga hari di Kuala Lumpur dengan wakil kerajaan Thailand menyaksikan kumpulan itu menuntut sebuah wilayah merdeka.
Rundingan damai tidak rasmi itu tamat, semalam.
MSP terdiri daripada tiga pecahan kumpulan Pertubuhan Pembebasan Pattani (PULO); Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP); Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP).
Pengerusi MSP, Awang Jabat berkata, objektif utama pihaknya adalah mencapai kemerdekaan untuk wilayah selatan Thailand, namun MSP sedia duduk semeja bagi mencari satu penyelesaian yang memberikan penduduk Islam di wilayah itu hak untuk menentukan masa depan mereka di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
“Pada akhirnya, penduduk selatan Thai berhak menentukan sama ada mahu mewujudkan sebuah negara merdeka atau wilayah autonomi di bawah kerajaan Thailand,” jelas beliau pada satu sidang akhbar, semalam.
Bagaimanapun, perunding kerajaan tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.
Lebih 5,000 orang terkorban sejak konflik itu meletus pada 2004 dan Malaysia menjadi orang tengah dengan membawa kumpulan pemisah tersebut ke meja rundingan. – AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/harapan-keamanan-selatan-thai-1.129648#sthash.FAxlzn9c.dpuf