1 September 2015

2 lagi suspek serangan bom diburu


PRAWUT memegang sebuah tablet yang menunjukkan gambar Wanna Suansan yang diburu polis di Bangkok semalam.


BANGKOK – Polis Thailand sedang memburu seorang wanita tempatan dan seorang lelaki tidak dikenali selepas bahan membuat bom ditemui di apartmen kedua yang diserbu pihak berkuasa.
Perkembangan itu berlaku selepas polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes letupan bom di Kuil Erawan, tengah Bangkok, pada 17 Ogos lalu. Serangan pa­ling dahsyat di Thailand itu membunuh seramai 20 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada pelancong China dari seluruh Asia.
Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki warga asing di sebuah apartmen lain dan menemui beberapa peledak, paip dan sejumlah bebola besi.
Dalam satu siaran televisyen semalam, jurucakap polis nasional, Prawut Thavornsiri menunjukkan sekeping gambar wanita yang diburu. Suspek yang berusia 26 tahun dilihat memakai jubah hitam dan dikenali sebagai Wanna Suansan.
Gambar itu diambil daripada kad pengenalannya.
Prawut turut memaparkan sekeping lukisan suspek kedua yang bermisai.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu dipercayai menyewa bilik kedua di mana lebih banyak peralatan membuat bom ditemui. Polis turut menyiasat kemungkinan terdapat beberapa lagi konco mereka.
“Kami menemui beberapa beg berisi baja, radio kawalan jauh dan peralatan untuk membuat bom,” katanya semalam.
Prawut memberitahu, semua barang berkenaan ditemui dalam serbuan di sebuah apartmen di Minburi, timur laut Bangkok pada hujung minggu lalu.
“Baja itu mengandungi urea nitrat yang biasa digunakan dalam bom buatan sendiri,” jelas Prawut.
Setakat ini, serangan ke atas Kuil Erawan masih menjadi misteri ekoran belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Polis Thailand sebelum ini mengesyaki letupan dilakukan oleh militan antarabangsa, kumpulan pemisah di selatan Thai atau militan tempatan lain atau seseorang yang menyimpan dendam.
Beberapa penganalisis menyatakan bahawa motif serangan di Bangkok itu bagi membalas dendam tindakan Thailand mengusir berpuluh-puluh etnik Islam Uighur ke China baru-baru ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3kQvFtAFM 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment