21 September 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani


19 SEPTEMBER 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani

Mat Keri Daud, 35, adalah salah seorang dari lima tahanan yang terlibat dalam kegiatan kumpulan pemisah yang dibebaskan oleh Kerajaan Thailand hari ini dalam usaha membantu perdamaian dan menyelesaikan keganasan di selatan Thailand. - Foto Bernama

PATTANI - THAILAND. Pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) Daud Maseng atau lebih dikenali Daud Ternang merupakan antara lapan tahanan dibebaskan dari penjara di Pattani hari ini.

Lima daripada tahanan tersebut termasuk Daud, 58, telah dipenjarakan kerana terbabit dengan gerakan militan di selatan Thailand, dan pembebasan itu dilihat langkah yang selari dengan proses perdamaian yang sedang berlangsung.
 
Empat lagi tahanan yang terlibat dengan gerakan militan yang dibebaskan ialah Mat Keri Daud, 35, Hama Semae, 42, Nuruddin Awae, 36, dan Arfan Awae, 30.
 
Tiga lagi tahanan yang dibebaskan ialah penjenayah biasa iaitu Alee Saleh, 58, Thirapath Thaveenart, 37, dan Jirawat Sisukmak, 37.
 
Kesemua mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand kerana mempunyai tingkah laku yang baik dan dasar kerajaan yang komited dan ikhlas dalam menyelesaikan masalah pergolakan di selatan Thailand.
 
Adik Daud, Abdullah Maseng, berkata anggota keluarga mereka diberitahu berkenaan dengan pembebasan itu tiga hari yang lalu.
 
Bagaimanapun, Daud tidak berkata apa-apa kepada wakil media yang menunggu untuk melaporkan pembebasannya dan terus menaiki kereta yang disediakan oleh
anggota keluarganya untuk pulang ke rumah di Kampong Ternang, Panaret, kira-kira 35 km dari Penjara Pattani.
 
Daud telah berada dalam penjara hampir 18 tahun, iaitu sejak ditahan di Malaysia pada 1997 bersama-sama dua lagi pemimpin PULO yang telah dibebaskan
lebih awal iaitu Abdul Rahman Bedo, 70, yang dibebaskan pada 30 November 2013 dan  Ismail Ternang,  61, yang dibebaskan pada 17 Julai lalu.
 
Daud telah dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan dengan kesalahan terlibat dengan Gerakan Pembebasan Pattani tetapi beliau diampunkan dan hukuman diringankan kepada penjara seumur hidup kerana berkelakuan baik ketika dalam penjara.
 
Sepanjang menjalani hukuman itu, beliau telah ditempatkan di empat penjara iaitu Bangkuan, Bangkok, Songkhla dan Pattani.
 
Antara yang hadir menyaksikan pembebasan tahanan hari ialah Datuk Panut Uthairat, Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC)
serta anggota keluarga tahanan yang dibebaskan. - Bernama

No comments:

Post a Comment