4 September 2015

Tahan suspek di Narathiwat

Bangkok: Polis menahan seorang lelaki tempatan di Narathiwat, selatan Thailand kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu.
Tangkapan itu menjadikan semua suspek serangan bom di kuil Erawan yang mengakibatkan 20 orang maut meningkat kepada tiga orang.
Kamarudeng Saho, 38, ditahan selepas unit khas polis menyerbu rumahnya di Sungai Kolok pada Selasa lalu.
Lelaki itu kemudian diterbangkan ke Bangkok dengan helikopter pada Rabu lalu dan ditahan di sebuah pangkalan tentera.
Laporan penahanan lelaki itu disahkan oleh jurucakap polis, Prawut Thawornsiri kelmarin.
Prawut berkata, lelaki itu ditahan selepas penyiasat mendapati dia pernah berhubung melalui telefon dengan suspek wanita yang dikehendaki, Wanna Suansan atau nama Islamnya, Maisaroh.
Wanna dan suaminya, Emrah Davutoglu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam serangan bom berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan itu kini berada di Turki.
Sementara itu, Turki semalam melahirkan keraguan mengenai laporan, serangan bom berkenaan didalangi rakyat negara itu.
Dalam satu kenyataannya, kedutaan Turki di Bangkok memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Thailand.
“Kami tidak menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai kewarganegaraan semua suspek yang ditangkap dan diburu,” katanya.
Pihak berkuasa Thailand membayangkan sekurangkurangnya dua daripada lapan suspek serangan bom berkenaan kemungkinan warga Turki.
Kaitan warga Turki menguatkan lagi teori bahawa serangan bom itu bermotif dendam selepas Bangkok menghantar pendatang etnik Uighur dari China pulang ke negara asal pada Julai lalu.
Thailand dipercayai menjadi negara transit bagi etnik Uighur yang ditindas di China untuk berhijrah ke Turki.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:20 AM


KAMARUDENG Saho (kanan) diiringi anggota tentera Thai selepas ditahan di Narathiwat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75139#sthash.0IQSRLxS.dpuf

No comments:

Post a Comment