27 May 2015

Thailand tarik balik pasport Thaksin

THAKSIN
THAKSIN


BANGKOK – THAILAND. Thailand telah menarik balik dua pasport milik bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra berkuat kuasa semalam.

Menurut laman web Kementerian Luar Thailand, pembatalan pasport itu dibuat berikutan sebahagian temu bual beliau yang diadakan baru-baru ini telah menjejaskan keselamatan dan maruah Thailand.

Thaksin pernah membuat temu bual dengan akhbar Korea Selatan, Chosun Ilbo di mana beliau menuduh Majlis Privi dan pihak istana merancang menjatuhkan kerajaan adiknya tahun lepas.

Beliau dijangka masih dapat bergerak bebas di luar negara kerana dikatakan turut memegang pasport negara lain. - Bernama

24 May 2015

Junta Thailand tahan 48 penentang kerajaan tentera


Polis Thailand menahan sejumlah pelajar yang mengadakan demonstrasi

POLIS Thailand menahan sejumlah pelajar yang mengadakan demonstrasi bantahan antirampasan kuasa di sebuah pasar raya di Bangkok kelmarin. AFP
BANGKOK 23 Mei – Sekurang-kurangnya 48 orang ditangkap oleh polis dan tentera Thailand selepas mereka menyertai demonstrasi membantah pemerintahan junta tentera sempena ulang tahun pertama rampasan kuasa tentera di negara ini, semalam. Demonstrasi itu diadakan di tiga lokasi iaitu di Bangkok dan Khon Kaen.
Portal The Nation melaporkan, sejumlah penunjuk perasaan terbabit didakwa mengadakan demonstrasi itu semalam, manakala selebihnya diberikan amaran sebelum mereka dibebaskan.
Di Bangkok, demonstrasi itu bermula apabila anggota dan pe­mimpin Kumpulan Rakyat Penentang mula berkumpul di hadapan stesen Transit Aliran­ Massa (MRT) Lat Phrao pada kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia), semalam.
Demonstrasi tersebut diketuai 15 aktivis antirampasan kuasa tentera termasuk Pansak Srithep, yang menarik perhatian media asing dan tempatan.
Pansak berkata, mereka ingin berkomunikasi dan mencapai satu persefahaman dengan rakyat berhubung rampasan kuasa tentera yang melanggar undang-undang.
Kumpulan itu menuduh Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha menggunakan keganasan untuk menghapuskan Perlembagaan dan menggulingkan kerajaan pimpinan parti Pheu Thai.
“Tindakan itu merupakan satu pengkhianatan terhadap negara seperti yang ditetapkan di bawah Artikel 113 Kod Jenayah,’’ kata­nya.
Beberapa anggota kumpulan itu turut ditahan selepas mereka me­nyerahkan saman kepada Mahkamah Jenayah membantah kerajaan junta yang dianggap me­langgar Perlembagaan.
Di Khon Kaen, sebanyak 13 pelajar di Universiti Khon Kaen turut ditangkap selepas mereka mengibarkan kain rentang tertera perkataan ‘Menentang Rampasan Kuasa’.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/junta-thailand-tahan-48-penentang-kerajaan-tentera-1.94924#sthash.xq0BORho.dpuf

20 May 2015

Yingluck mula dibicarakan



AP - YINGLUCK bercakap kepada pemberita selepas sesi perbicaraan di Mahkamah Agung Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, YingLuck Shinawatra dilarang daripada melancong ke luar negara selepas kes perbicaraan mengenai tuduhan dia cuai menjalankan tugas berhubung skim subsidi beras bermula semalam.
Yingluck dipaksa berundur pada tahun lalu selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand mendapati dia bersalah kerana salah guna kuasa.
Seminggu kemudian, junta tentera melancarkan rampasan kuasa menyebabkan dia disingkir daripada kerajaannya.
Dia dituduh kerana mengabaikan tanggungjawab menguruskan skim subsidi pembelian beras yang bernilai berbilion-bilion dolar.
Yingluck yang menafikan dakwaan itu berhadapan dengan hukuman penjara selama 10 tahun jika dia didapati bersalah.
Sementara itu, terdapat kira-kira 200 penyokongnya menunggu di luar Mahkamah Agung Thailand semalam.
“Perdana menteri rakyat! Yingluck merupakan perdana menteri rakyat! Anda perlu berjuang!” kata salah seorang penyokongnya.
Pihak mahkamah telah melarang bekas perdana menteri itu daripada melancong ke luar negara di samping dikenakan ikat jamin sebanyak 30 juta Baht (RM3.22 juta).
Sesi perbicaraan seterusnya akan diadakan pada 21 Julai ini.
Sementara itu, bercakap dalam satu persidangan di Seoul, Korea Selatan semalam, abangnya Thaksin berkata, dia tiada perancangan untuk menggerakkan penyokong Baju Merah membuat bantahan, tetapi menggelar tahun pertama kerajaan junta yang berkuasa hasil rampasan kuasa itu sebagai ‘tidak begitu mengagumkan’.
“Saya fikir lambat-laun, demokrasi akan diguna pakai, tetapi kita perlu bersabar dan berdamai. Jangan mengambil jalan penyelesaian dengan apa-apa jenis keganasan,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aczbKX25 
Hakcipta terpelihara 

Mejar jeneral Thailand terlibat sindiket seludup manusia

PENDATANG asing dari Rohingya, Mohammad Amih (tengah) berteduh
PENDATANG asing dari Rohingya, Mohammad Amih (tengah) berteduh bersama keluarganya di sebuah pusat penempatan sementara di Kuala Langsa, Aceh, Indonesia. AFP

BANGKOK 19 Mei – Siasatan polis berhubung kes penyeludupan manusia melibatkan etnik Rohingya di selatan negara ini mendapati seorang pegawai atasan tentera berpangkat mejar jeneral terbabit dalam sindiket berkenaan.
Laman web Bangkok Post melaporkan, bukti menunjukkan pegawai atasan yang tidak didedahkan identitinya itu mempunyai kaitan langsung dengan aktiviti haram berkenaan.
Bukti terbabit termasuki empat resit pemindahan wang ke dalam akaun bank milik pegawai tentera tersebut dan satu dokumen tertera nombor akaun bank itu serta nama pegawai mejar jeneral berkenaan.
Sumber berkata, penyeludupan etnik Rohingya serta pendatang asing di Ranong dan kawasan sempadan di selatan negara ini, merupakan satu perniagaan mewah kerana banyak rasuah diberikan kepada pegawai penguat kuasa.
“Dari Ranong ke Padang Besar (daerah Sadao, wilayah Songkhla berdekatan sempadan Thailand-Malaysia) pada kebiasaannya terdapat banyak pos pemeriksaan polis dan tentera, tetapi sindiket penyeludupan masih boleh melepasinya. Tidakkah anda tertanya-tanya mengapa kejadian itu boleh berlaku?.
“Dalam kes ini, walaupun polis menemui bukti penglibatan mejar jeneral itu, tetapi tiada pihak boleh melakukan apa-apa terhadap suspek. Anda tahu siapa yang berkuasa, jadi suspek tidak takut,’’ kata sumber itu.
Dalam pada itu, tentera Thailand menafikan penglibatan pegawai mereka dalam aktiviti ber­kenaan.
Timbalan Menteri Pertahanan, Jeneral Udomdej Sitabur berkata, tentera bersedia menjalankan siasatan, namun masih belum dapat mengenal pasti suspek berkenaan.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/jenayah/mejar-jeneral-thailand-terlibat-sindiket-seludup-manusia-1.93825#sthash.SluTdrGg.dpuf

16 May 2015

Thailand Positif Rundingan Damai


Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2015 7:53 AM

BANGKOK: Thailand masih berpandangan positif terhadap rundingan damai dengan kumpulan pemisah bulan hadapan biarpun keganasan masih berterusan di wilayah selatannya.

Terdapat petanda positif untuk proses rundingan damai seperti kerjasama daripada kumpulan yang akan menyertai perbincangan itu yang masih dijadualkan pada Jun ini, kata Pengerusi Majlis Keselamatan Nasional, Anusit Kunakorn.

Kesemua pihak bersetuju dialog keamanan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, beliau berkata selepas menghadiri mesyuarat majlis itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-ocha di sini hari ini.

Bagaimanapun, keganasan masih berterusan di wilayah selatan bersempadan dengan Malaysia.

Pihak tentera mengumumkan tidak akan mengisytiharkan perintah berkurung walaupun berlaku lebih 30 letupan bom di 28 lokasi di Yala malam tadi dan empat butir bom meletup pada pukul 6.50 pagi dan pukul 1.00 tengah hari tadi di sebuah kedai kopi menyebabkan seorang awam cedera.

Dalam satu sidang media, jurucakap Tentera Bahagian ke-4, Kol Pramoth Prom-ing berkata bom pertama meletup antara pukul 7.15 malam hingga 8 malam tadi.

Beliau berkata jumlah mangsa yang cedera sejak malam tadi hingga pagi ini  ialah 20 orang termasuk kanak-kanak dan warga emas serta beberapa premis perniagaan turut musnah.

Tujuh belas orang yang hanya cedera ringan telah dibenarkan pulang manakala tiga orang lagi kritikal serta masih dirawat di Hospital Pusat Yala.

Beliau berkata kejadian itu bertujuan untuk mewujudkan huru hara serta memusnahkan keyakinan rakyat serta industri pelancongan dan perniagaan di Wilayah Yala.

Pramoth berkata perintah berkurung tidak diisytiharkan kerana wilayah berkenaan sudah berada dalam undang-undang khas.

Tujuh butir bom juga turut ditemui di tiga lokasi tetapi berjaya dimatikan.

Sementara itu, di Sukirin, Wilayah Narathiwat, seeorang renjer maut dan tiga cedera dalam satu kejadian tembak-menembak pada pukul 11 pagi tadi.

15 Cedera Serangan Puak Pemisah Selatan Thai


Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2015 11:00 AM
Pasukan pemusnah bom sedang memeriksa bom yang berjaya dimatikan di wilayah Yala, Sabtu.

HATYAI: Serangan yang dipercayai angkara kumpulan pemisah di selatan Thai dua hari berturut-turut mengakibatkan sekurang-kurangnya 15 orang cedera termasuk kanak-kanak akibat beberapa kejadian letupan.
Insiden pada lewat Khamis dan awal pagi Jumaat itu dikatakan berlaku di hampir 30 kawasan di Yala, termasuk sekitar premis perniagaan dan bank.
Jurucakap polis Kolonel Jamlong Suwalak berkata, bom tangan digunakan dalam serangan itu, malahan pihaknya turut menemui dua bom yang tidak meletup.
Dalam satu serangan, saksi melihat dua lelaki bermotosikal melontar bom tangan ke arah sebuah restoran, menyebabkan seorang cedera.
Jururawat di Hospital Yala Netchanok Sintiratti berkata, seorang budak lelaki berusia 11 tahun antara yang cedera dalam kejadian itu.
Yala ialah antara tiga wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak gerakan menuntut pemisahan bermula di wilayah berkenaan pada 2004 yang dikatakan bermatlamat untuk membentuk negara Islam merdeka.

15 cedera di selatan Thai

Hatyai: Lima belas orang cedera akibat beberapa letupan, dipercayai angkara kumpulan pemisah di selatan Thai ini.
Kejadian berlaku lewat kelmarin dan awal pagi semalam di 17 kawasan di Yala, termasuk kawasan komersial dan bank, kata jurucakap polis Kolonel Jamlong Suwalak.
Menurutnya, dua bom yang tidak meletup turut ditemui.
Dalam satu serangan, saksi melihat dua lelaki bermotosikal melontar bom tangan ke arah sebuah restoran, menyebabkan seorang cedera.
Jururawat di Hospital Yala Netchanok Sintiratti berkata, seorang budak lelaki berusia 11 tahun antara yang cedera dalam kejadian itu.
Dia juga berkata, semua mangsa cedera ringan.
Yala ialah antara tiga wilayah Thai yang majoriti penduduknya beragama Islam.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak gerakan menuntut pemisahan bermula di wilayah berkenaan pada 2004.
Meskipun tiada tuntutan khusus dibuat, penduduk wilayah itu dipercayai berjuang untuk membentuk sebuah negara Islam merdeka.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 16 Mei 2015 @ 5:12 AM


SEORANG mangsa diusung untuk dibawa ke hospital selepas cedera dalam serangan di daerah Muang, Yala, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/51280#sthash.O708W3gM.dpuf

9 May 2015

Thailand mahu adakan mesyuarat 3 hala


Sekumpulan pendatang asing ditahan polis Thailand di selatan bandar
Sekumpulan pendatang asing ditahan polis Thailand di selatan bandar Hat Yai pada 7 Mei lalu. AFP
BANGKOK 8 Mei – Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha akan memanggil satu mesyuarat tiga hala bersama Malaysia dan Myanmar untuk menyelesaikan krisis pemerdagangan manusia serantau, berikutan penemuan sebuah kubur besar di selatan negara itu, baru-baru ini.
Sebanyak 33 mayat dipercayai pendatang asing dari Myanmar dan Bangladesh ditemui dalam satu kubur besar di wilayah Songkhla, berhampiran sempadan Malaysia, sejak minggu lalu berdekatan tiga buah kem dipercayai digunakan untuk aktiviti pemerdagangan manusia.
“Saya mengarahkan Kementerian Luar untuk menghubungi pihak Malaysia dan Myanmar bagi mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.
“Kami merasakan mesyuarat itu boleh diadakan pada penghujung bulan ini,’’ kata Prayuth kepada media, hari ini.
Kementerian Luar Malaysia enggan mengulas perkara itu, manakala pegawai Myanmar gagal dihubungi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Thailand, Aek Angsasnanont berkata, setakat ini sebanyak lapan orang telah ditahan berhubung kes pemerdagangan manusia itu terdiri daripada tujuh warga Thailand dan seorang warga Myanmar termasuk seorang `tokoh terkemuka’ rangkaian sindiket itu.
Beratus-ratus pendatang asing ditahan di kem berkenaan oleh rangkaian sindiket itu yang akan meminta wang tebusan daripada keluarga mereka untuk pembebasan mereka atau diseludup menyeberangi sempadan, dengan kebanyakan mereka menuju ke Malaysia.
“Masalah ini perlu diselesaikan dari titik permulaan yang bermaksud Bangladesh dan negeri Rakhine di Myanmar,’’ kata Prayuth.
Amerika Syarikat pada Isnin lalu mengecam Thailand kerana gagal bertindak ke atas krisis pemerdagangan manusia dan meminta satu siasatan segera dan boleh dipercayai dilakukan selepas penemuan kubur besar itu. – AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/thailand-mahu-adakan-mesyuarat-3-hala-1.89744#sthash.sQJnwTT7.dpuf

8 May 2015

6 lagi mayat ditemui

Padang Besar: Pihak berkuasa Thailand menemui enam lagi mayat yang dipercayai etnik Rohingya di sebuah ladang getah berhampiran lokasi 26 kubur migran yang ditemui minggu lalu, kata tentera semalam.
Mayat itu ditemui di wilayah Songkhla berhampiran sempadan Malaysia, kira-kira empat kilometer dari sebuah kem di satu kawasan hutan yang menempatkan kubur migran berkenaan.
“Penduduk kampung memberitahu mayat yang ditanam di sini adalah migran Rohingya dari Myanmar yang ditahan di sebuah kem berhampiran,” kata Timbalan Setiausaha Agung Arahan dan Operasi Keselamatan Dalam Negeri, Kolonel Jatuporn Klampasut.
Penemuan 26 kubur migran di sebuah kem tahanan milik sindiket rangkaian penyeludupan manusia di Songkhla pada minggu lalu mengejutkan seluruh dunia.
Pendatang Rohingnya beragama Islam dan dari Bangladesh sering menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Golongan itu melarikan diri dari konflik dan kemiskinan di negara asal dengan berhijrah ke Malaysia atau Indonesia untuk mencari pekerjaan.
Bagaimanapun, mereka dipercayai ditipu sindiket penyeludupan manusia sebelum dikurung di kem berkenaan sehingga keluarga mangsa membayar wang tebusan.
Pihak berkuasa kelmarin menemui sebuah lagi kem yang digunakan oleh sindiket penyeludupan manusia di wilayah itu.
Susulan penemuan itu, polis menahan tiga lelaki warga tempatan dan seorang warga Myanmar serta memburu empat lagi suspek yang dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket berkenaan.
Seorang pegawai polis yang enggan dikenali berkata, risikan mendapati terdapat tiga lagi kem serupa di kawasan gunung di hutan itu.
“Terdapat tiga lagi kem di kawasan gunung berkenaan yang boleh memuatkan sehingga 700 orang dalam satu kem.
“Kem itu akan ditemui tidak lama lagi tetapi kami diberitahu sindiket berkenaan menerima maklumat awal berhubung operasi kami dan memindahkan kem mereka,” katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mei 2015 @ 8:18 AM


PETUGAS pasukan keselamatan Thai mengangkat mayat yang digalikan dari sebuah kubur besar di kebun getah di Songkhla, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/49096#sthash.dYu836Ee.dpuf

Thailand guna sempel DNA kekang keganasan


08 Mei 2015 2:01 AM



YALA 7 Mei – Kerajaan junta Thailand memperkenalkan strategi baharu untuk mengekang aktiviti puak pemisah di selatan negara ini iaitu dengan mengumpulkan sampel asid deoksiribonukleik (DNA) penduduk di wilayah ber­kenaan.
Komander Pusat Operasi Polis Sempadan Wilayah Selatan, Mejar Jeneral Anurut Kritsanakaraket berkata, setakat ini, sampel DNA lebih 40,000 individu telah diambil bagi memudahkan proses penangkapan dan pendakwaan.
“Sampel DNA biasanya diambil daripada air liur seseorang atau didapati dari lokasi kejadian letupan,” katanya.
Pusat Peguam Muslim di Pattani menyatakan, lebih banyak pendakwaan akan dilakukan selepas strategi itu dilaksanakan.
“Tahun lalu sebanyak 37 orang didakwa berhubung keganasan di selatan Thai, sementara jumlahnya telah mencecah 22 orang dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini,” ujarnya.
Bagaimanapun, langkah kerajaan Thailand itu dikritik penduduk selatan negara ini yang menyifatkannya sebagai tidak perlu.
Ahli radio komuniti Pattani, Zawawee Pi, 26, berkata, dia telah menjalani sebanyak tiga kali ujian DNA, dan enggan berbuat demikian apabila diminta melakukannya sekali lagi.
“Saya tidak mahu lagi menjalani ujian itu. Mengapa saya perlu me­lakukannya sedangkan saya tidak membuat jenayah,” katanya.
Zawawee berkata, dia turut diancam dengan pistol selepas enggan menjalani ujian itu.
Lebih 6,500 orang terbunuh di selatan Thailand sejak 2004, keba­nyakannya orang awam akibat serangan bom dan ditembak. – REUTERS
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/thailand-guna-sempel-dna-kekang-keganasan-1.89285#sthash.zC4eL4Ta.dpuf

7 May 2015

Amaran PM Thailand


Pegawai kerajaan didakwa jika terlibat kes pendatang asing
07 Mei 2015 2:20 AM

Rescue workers carry coffins containing the human remains of migrants exhumed the day before from a mass grave at an abandoned jungle camp in the...Anggota pasukan forensik Thailand, mengusung keranda mengandungi mangsa pemerdagangan manusia dipercayai etnik Rohingya yang digali dari kubur besar di daerah Sadao, wilayah Songkhla, selatan Thailand, pada 3 Mei lalu. AFP

Thailand Militärputsch PK Armeechef in Bangkok 26.05.2014BANGKOK 6 Mei - Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-o-cha, semalam memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pegawai kerajaan yang terlibat dalam sindiket pemerdagangan manusia.
Laman web The Nation Multimedia memetik kenyataan Timbalan Jurucakap Kerajaan, Kolonel Sansern Kaewkamnerd sebagai berkata, Perdana Menteri telah mengarahkan pihak berkuasa tempatan, polis, dan tentera supaya memantau kawasan di bawah tanggungjawab mereka bagi mengesan sebarang bentuk aktiviti pemerdagangan manusia dan aktiviti salah laku lain seperti penyeludupan dadah serta pembalakan.
Katanya, pegawai kerajaan yang didapati gagal mengawal aktiviti pemerdagangan manusia akan dipindahkan ke tempat lain sebagai hukuman.
“Jika terdapat lagi insiden serius seperti di daerah Sadao, pegawai terbabit akan dipindahkan ke tempat lain kerana mereka gagal menguatkuasakan undang-undang.
“Pegawai kerajaan yang didapati bersalah menerima rasuah atau membuat keputusan untuk manfaat diri sendiri akan didakwa melakukan kesalahan jenayah dan berdepan tindakan disiplin,” jelas Sansern.
Tambah Sansern, tindakan tegas tersebut diambil bagi memastikan segala bentuk kegiatan jenayah yang berlaku di negara ini dapat dihapuskan.
Kenyataan itu dikeluarkan selepas pasukan penyelamat menjumpai lima buah kubur baharu di sebuah lagi kem yang terletak di dalam hutan berhampiran sempadan Malaysia, kelmarin.
Proses penggalian yang dijalankan di kubur berkenaan, pasukan mencari berjaya menemui enam mayat pendatang Rohingya Islam. – REUTERS/AGENSI
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/amaran-pm-thailand-1.88866#sthash.C7YtMV8M.dpuf

6 May 2015

2 lagi kem ditemui

AP
Padang Besar: Polis semalam menemui dua lagi kem dipercayai digunakan sebagai tempat tahanan mangsa pemerdagangan manusia di selatan Thailand lima hari selepas menemui 26 mayat di lokasi digunakan rangkaian penyeludup di sempadan Malaysia.

Komander wilayah Songkhla, Mejar Jeneral Amphon Buarubporn yang menyertai operasi pencarian di gunung Khao Kaew berkata: “Kami akan meneruskan pencarian kerana ini bererti penyeludup terbabit sedang melarikan diri dengan membawa mangsa bersama mereka.”

Polis merobohkan lapan pondok di kem berkenaan yang dibuat daripada buluh. Beberapa barangan peribadi termasuk pakaian dan pengecas telefon bimbit turut ditemui, dipercayai tertinggal ketika penghuninya melarikan diri.

Polis kini mempunyai misi mencari mangsa terselamat atau mayat yang dipercayai disorokkan di kawasan gunung itu.

Pihak berkuasa percaya kem terbabit digunakan rangkaian pemerdagangan manusia yang menyeludup etnik Rohingya dari Myanmar serta migran dari Bangladesh.

Golongan itu kemudian disiksa dan dijadikan tawanan sehingga keluarga membayar wang tebusan.

Sementara itu dalam kes berasingan satu tengkorak ditemui di hutan bakau di wilayah Phang Nga. dipercayai milik wanita Rohingya.

Gabenor Prayoon Rattanasenee dibawa ke lokasi berkenaan oleh seorang Rohingya yang turut mendakwa banyak lagi kem wujud di situ.

Wilayah itu antara tempat popular digunakan golongan etnik Rohingya dari Myanmar sebagai laluan sebelum memasuki Malaysia.

Sementara itu pihak berkuasa Thai menyiasat sama ada polis dan pegawai tempatan bersubahat dalam rangkaian pemerdagangan manusia seperti didakwa kumpulan hak asasi manusia sebelum ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mei 2015 @ 8:13 AM

PASUKAN keselamatan memeriksa kem yang ditinggalkan di hutan di selatan Thai, semalam
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48812#sthash.rzj416bX.dpuf

5 May 2015

Tahan anggota sindiket seludup manusia


Bangkok: Tiga kakitangan awam dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia selepas kubur 26 mayat pendatang ditemui di selatan Thailand.
Mayat pendatang yang dipercayai dari Myanmar dan Bangladesh itu ditemui ditanam sebuah kem di satu kawasan hutan di wilayah Songkhla pada Jumaat lalu.
Jurucakap polis berkata, tiga kakitangan awam ditahan di Songkhla dan seorang lelaki warga Myanmar ditahan di wilayah Nakhon Sri Thammarat.
“Seorang yang ditahan adalah anggota majlis daerah dan dua lagi bertugas sebagai pembantu kepada ketua kampung,” katanya.
Ujarnya, empat lagi waran tangkap telah dikeluarkan terhadap empat individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kem berkenaan.
Timbalan Ketua polis Nakhon Sri Thammarat, Anuchon Chamart berkata, lelaki Myanmar yang ditahan itu dikenali sebagai Anwar.
Katanya, Anwar terbabit dalam sindiket penyeludupan manusia di wilayah ini dan anggota penting yang menjaga kem itu serta menuntut wang tebusan.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/48526#sthash.mKAmvHPL.dpuf

Polis Thai tangkap dalang sindiket seludup manusia


Anwar


NAKHON SI THAMMARAT – Polis Thailand menangkap seorang lelaki yang dipercayai dalang di sebalik satu rangkaian sindiket ­penyeludupan manusia susulan penemuan sebuah kem di hutan yang menyimpan berpuluh-puluh mayat imigran.
Soe Naing yang lebih dikenali sebagai Anwar ditahan pada Rabu lepas setelah pihak berkuasa menutup sebuah kem dekat sempadan Thailand-Malaysia.
Timbalan Komander Polis Wilayah Nakhon Si Thammarat, Kolonel Anuchon Chamat berkata, seramai 400 imigran dengan kebanyakannya etnik Rohingya dan rakyat Bangladesh ditahan untuk meminta wang tebusan.
Penahanannya dan penemuan kem yang mengandungi 26 mayat di sebuah kubur besar pada Jumaat lepas merupakan tangkapan besar pertama terhadap aktiviti pemer­dagangan manusia yang disifatkan oleh beberapa aktivis dan pegawai Thai sebagai dibiarkan berleluasa selama bertahun-tahun ekoran sikap tidak acuh pihak berkuasa.
“Tangkapan ini besar. Dia orang penting sindiket,” kata Anuchon.
Dalam pada itu, Anwar menafikan terlibat dalam aktiviti pemerdagangan manusia dan menyatakan, dia menyara hidup dengan menoreh getah dan menjual roti goreng.
Menurutnya, pada Rabu lalu, beberapa orang yang berdendam dengannya menyebarkan gambarnya dan menuduh dia menyeludup manusia.
“Terdapat ramai Anwar. Saya juga dipanggil Anwar tetapi anda perlu tahu Anwar yang mana penyeludup manusia,” katanya.
Seramai empat orang telah ditangkap kerana disyaki terlibat dalam sindiket berkenaan sejak Januari lalu, ujar Anuchon.
Tambahnya, rekod panggilan telefon menunjukkan sindiket itu turut beroperasi di Malaysia, Myanmar dan Bangladesh.
“Polis sedang mengumpul bukti untuk mendakwa Anwar kerana membunuh, menyeludup manusia dan mendalangi aktiviti jenayah rentas sempadan. Suspek merupakan etnik Rohingya yang tinggal di wilayah Songkhla, selatan Thailand,” jelas Anuchon.
Menurutnya, polis turut mengutip sampel DNA daripada kubur tersebut. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0505&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3ZD5hgG4q 
Hakcipta terpelihara 

2 May 2015

Kejam tak terhingga

Songkhla: Pihak berkuasa Thailand menjumpai 32 kubur di satu kawasan hutan di sini semalam yang dipercayai mengandungi mayat imigran Rohingya dan Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Kubur itu dijumpai di satu kem di wilayah Sadao yang bersempadan dengan Malaysia.
Kawasan itu sering dijadikan kem rahsia oleh sindiket penyeludupan manusia dan imigran biasanya ditahan bagi menuntut wang tebusan daripada keluarga mangsa.
Seorang anggota penyelamat, Sathit Thamsuwan berkata, seorang lelaki Bangladesh yang kurus kering ditemui di kem berkenaan dan dihantar ke sebuah hospital di Padang Besar di Malaysia.
“Kami menjumpai sebanyak 32 kubur dan empat mayat sudah dikeluarkan serta dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Semua mayat dijumpai dalam keadaan reput,” katanya.
Media semalam melaporkan, kem dan lelaki Bangladesh itu ditemui oleh penduduk kampung yang masuk ke hutan untuk mencari cendawan.
Beberapa mayat juga dilapor ditemui terbiar mereput di atas tanah.
Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung pula menggambarkan lokasi itu seperti penjara kerana imigran dikurung di dalam sel yang diperbuat daripada buluh.
“Terdapat 32 tempat yang kelihatan seperti kubur dan kami masih tidak mengetahui kubur itu mengandungi satu atau lebih mayat,” katanya.
Ujarnya, penyeludup dipercayai meninggalkan lelaki Bangladesh yang sakit itu selepas mereka membawa imigran Rohingya menyeberangi sempadan Malaysia dua hari lalu.
Bagaimanapun, punca kematian semua mangsa itu masih belum dapat dipastikan.
Lelaki Bangladesh itu dilaporkan terselamat dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang pegawai polis di Sadao memberitahu pihak berkuasa menunggu pasukan forensik untuk menggali kubur berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:12 AM

BEBERAPA anggota polis berkawal di kem rahsia yang dibina sindiket penyeludupan manusia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47832#sthash.6e1c5SfC.dpuf