20 May 2015

Yingluck mula dibicarakan



AP - YINGLUCK bercakap kepada pemberita selepas sesi perbicaraan di Mahkamah Agung Thailand di Bangkok semalam.


BANGKOK – Bekas Perdana Menteri Thailand, YingLuck Shinawatra dilarang daripada melancong ke luar negara selepas kes perbicaraan mengenai tuduhan dia cuai menjalankan tugas berhubung skim subsidi beras bermula semalam.
Yingluck dipaksa berundur pada tahun lalu selepas Mahkamah Perlembagaan Thailand mendapati dia bersalah kerana salah guna kuasa.
Seminggu kemudian, junta tentera melancarkan rampasan kuasa menyebabkan dia disingkir daripada kerajaannya.
Dia dituduh kerana mengabaikan tanggungjawab menguruskan skim subsidi pembelian beras yang bernilai berbilion-bilion dolar.
Yingluck yang menafikan dakwaan itu berhadapan dengan hukuman penjara selama 10 tahun jika dia didapati bersalah.
Sementara itu, terdapat kira-kira 200 penyokongnya menunggu di luar Mahkamah Agung Thailand semalam.
“Perdana menteri rakyat! Yingluck merupakan perdana menteri rakyat! Anda perlu berjuang!” kata salah seorang penyokongnya.
Pihak mahkamah telah melarang bekas perdana menteri itu daripada melancong ke luar negara di samping dikenakan ikat jamin sebanyak 30 juta Baht (RM3.22 juta).
Sesi perbicaraan seterusnya akan diadakan pada 21 Julai ini.
Sementara itu, bercakap dalam satu persidangan di Seoul, Korea Selatan semalam, abangnya Thaksin berkata, dia tiada perancangan untuk menggerakkan penyokong Baju Merah membuat bantahan, tetapi menggelar tahun pertama kerajaan junta yang berkuasa hasil rampasan kuasa itu sebagai ‘tidak begitu mengagumkan’.
“Saya fikir lambat-laun, demokrasi akan diguna pakai, tetapi kita perlu bersabar dan berdamai. Jangan mengambil jalan penyelesaian dengan apa-apa jenis keganasan,” katanya. – Reuters


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0520&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_02.htm#ixzz3aczbKX25 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment