16 May 2015

Thailand Positif Rundingan Damai


Diterbitkan: Sabtu, 16 Mei 2015 7:53 AM

BANGKOK: Thailand masih berpandangan positif terhadap rundingan damai dengan kumpulan pemisah bulan hadapan biarpun keganasan masih berterusan di wilayah selatannya.

Terdapat petanda positif untuk proses rundingan damai seperti kerjasama daripada kumpulan yang akan menyertai perbincangan itu yang masih dijadualkan pada Jun ini, kata Pengerusi Majlis Keselamatan Nasional, Anusit Kunakorn.

Kesemua pihak bersetuju dialog keamanan itu adalah cara terbaik untuk menyelesaikan masalah, beliau berkata selepas menghadiri mesyuarat majlis itu yang dipengerusikan Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-ocha di sini hari ini.

Bagaimanapun, keganasan masih berterusan di wilayah selatan bersempadan dengan Malaysia.

Pihak tentera mengumumkan tidak akan mengisytiharkan perintah berkurung walaupun berlaku lebih 30 letupan bom di 28 lokasi di Yala malam tadi dan empat butir bom meletup pada pukul 6.50 pagi dan pukul 1.00 tengah hari tadi di sebuah kedai kopi menyebabkan seorang awam cedera.

Dalam satu sidang media, jurucakap Tentera Bahagian ke-4, Kol Pramoth Prom-ing berkata bom pertama meletup antara pukul 7.15 malam hingga 8 malam tadi.

Beliau berkata jumlah mangsa yang cedera sejak malam tadi hingga pagi ini  ialah 20 orang termasuk kanak-kanak dan warga emas serta beberapa premis perniagaan turut musnah.

Tujuh belas orang yang hanya cedera ringan telah dibenarkan pulang manakala tiga orang lagi kritikal serta masih dirawat di Hospital Pusat Yala.

Beliau berkata kejadian itu bertujuan untuk mewujudkan huru hara serta memusnahkan keyakinan rakyat serta industri pelancongan dan perniagaan di Wilayah Yala.

Pramoth berkata perintah berkurung tidak diisytiharkan kerana wilayah berkenaan sudah berada dalam undang-undang khas.

Tujuh butir bom juga turut ditemui di tiga lokasi tetapi berjaya dimatikan.

Sementara itu, di Sukirin, Wilayah Narathiwat, seeorang renjer maut dan tiga cedera dalam satu kejadian tembak-menembak pada pukul 11 pagi tadi.

No comments:

Post a Comment