Sebanyak 33 mayat dipercayai pendatang asing dari Myanmar dan Bangladesh ditemui dalam satu kubur besar di wilayah Songkhla, berhampiran sempadan Malaysia, sejak minggu lalu berdekatan tiga buah kem dipercayai digunakan untuk aktiviti pemerdagangan manusia.
“Saya mengarahkan Kementerian Luar untuk menghubungi pihak Malaysia dan Myanmar bagi mengadakan mesyuarat untuk menyelesaikan krisis ini.
“Kami merasakan mesyuarat itu boleh diadakan pada penghujung bulan ini,’’ kata Prayuth kepada media, hari ini.
Kementerian Luar Malaysia enggan mengulas perkara itu, manakala pegawai Myanmar gagal dihubungi.
Timbalan Pesuruhjaya Polis Thailand, Aek Angsasnanont berkata, setakat ini sebanyak lapan orang telah ditahan berhubung kes pemerdagangan manusia itu terdiri daripada tujuh warga Thailand dan seorang warga Myanmar termasuk seorang `tokoh terkemuka’ rangkaian sindiket itu.
Beratus-ratus pendatang asing ditahan di kem berkenaan oleh rangkaian sindiket itu yang akan meminta wang tebusan daripada keluarga mereka untuk pembebasan mereka atau diseludup menyeberangi sempadan, dengan kebanyakan mereka menuju ke Malaysia.
“Masalah ini perlu diselesaikan dari titik permulaan yang bermaksud Bangladesh dan negeri Rakhine di Myanmar,’’ kata Prayuth.
Amerika Syarikat pada Isnin lalu mengecam Thailand kerana gagal bertindak ke atas krisis pemerdagangan manusia dan meminta satu siasatan segera dan boleh dipercayai dilakukan selepas penemuan kubur besar itu. – AGENSI