Portal The Nation melaporkan, sejumlah penunjuk perasaan terbabit didakwa mengadakan demonstrasi itu semalam, manakala selebihnya diberikan amaran sebelum mereka dibebaskan.
Di Bangkok, demonstrasi itu bermula apabila anggota dan pe­mimpin Kumpulan Rakyat Penentang mula berkumpul di hadapan stesen Transit Aliran­ Massa (MRT) Lat Phrao pada kira-kira pukul 3 petang waktu tempatan (4 petang waktu Malaysia), semalam.
Demonstrasi tersebut diketuai 15 aktivis antirampasan kuasa tentera termasuk Pansak Srithep, yang menarik perhatian media asing dan tempatan.
Pansak berkata, mereka ingin berkomunikasi dan mencapai satu persefahaman dengan rakyat berhubung rampasan kuasa tentera yang melanggar undang-undang.
Kumpulan itu menuduh Perdana Menteri, Prayut Chan-o-Cha menggunakan keganasan untuk menghapuskan Perlembagaan dan menggulingkan kerajaan pimpinan parti Pheu Thai.
“Tindakan itu merupakan satu pengkhianatan terhadap negara seperti yang ditetapkan di bawah Artikel 113 Kod Jenayah,’’ kata­nya.
Beberapa anggota kumpulan itu turut ditahan selepas mereka me­nyerahkan saman kepada Mahkamah Jenayah membantah kerajaan junta yang dianggap me­langgar Perlembagaan.
Di Khon Kaen, sebanyak 13 pelajar di Universiti Khon Kaen turut ditangkap selepas mereka mengibarkan kain rentang tertera perkataan ‘Menentang Rampasan Kuasa’.