25 July 2016

Tiga Mati, Seorang Cedera Keganasan Di Selatan Thai


Diterbitkan: Isnin, 25 Julai 2016 8:31 PM

PATTANI: Beberapa kejadian tembakan, letupan bom dan serangan khianat berlaku di empat wilayah bergolak di selatan Thai sejak lewat malam tadi, menyebabkan tiga mati dan seorang cedera.

Insiden keganasan itu berlaku beberapa jam sebelum Perdana Menteri Jen Prayuth Chan-o-chan melakukan lawatan sehari ke Narathiwat, salah sebuah wilayah bergolak di selatan Thai, hari ini.

"Dua lelaki ditemukan mati ditembak di daerah Mayo, Pattani pada 6 pagi tadi (waktu tempatan) dan polis sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif serangan," kata Ketua Polis Pattani Mej Jen Thanongsak Wangsupa.

Kedua-dua mangsa yang ditembak di bahagian kepala daripada jarak dekat itu dikenali sebagai Abdul Rahman Dollah, 33, dan Matrudin Mollah, 24, katanya.
Perdana Menteri Thai itu dijadual melawat Narathiwat hari ini, untuk merasmikan pembukaan kilang getah selain mengadakan perjumpaan dengan pegawai-pegawai awam dan keselamatan.

Kawalan keselamatan di keempat-empat wilayah selatan Thai amat ketat sejak beberapa hari lepas, sempena lawatan Perdana Menteri Thailand ke Narathiwat.

Dalam kejadian pada 11 malam tadi pula, satu kejadian letupan bom dilaporkan berlaku di Bacho, Narathiwat yang terletak kira-kira 15km daripada kilang yang akan dilawati Prayut hari ini.

Menurut polis tempatan, letupan bom itu, bagaimanapun tidak mengakibatkan kematian atau kecederaan.

Sementara itu, jurucakap pegawai siasatan Polis Bahagian Ke-Sembilan berkata seorang sukarelawan keselamatan tempatan maut manakala seorang ketua kampung cedera parah dalam kejadian tembakan di daerah Benan Setar, Yala pada 10 pagi tadi.

Kedua-dua mangsa ditembak daripada jarak dekat, katanya.
Dalam satu kejadian dipercayai serangan khianat pada 2 pagi tadi, dua bangunan menempatkan kedai runcit di Mukim Sabayoi di daerah Thepa, Songkla musnah dalam kebakaran.

3 July 2016

Dua militan maut selepas berbalas tembakan


3 JULAI 2016
bendera thailand


bendera thailand
NARATHIWAT - THAILAND. Dua militan dipercayai anggota unit Runda Kumpulan Kecil (RKK) maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan di Narathiwat.

Ketua Renjer Ke-46 Kol Pasit Chanlekha berkata, kejadian pada 11.30 pagi semalam itu berlaku di sebuah rumah di Kampung Uyi Mukim Lalot, daerah Rusak di sini.

"Menerusi maklumat perisikan yang diperolehi, pasukan keselamatan telah mengepong rumah berkenaan dan meminta tiga lelaki berada dalam rumah itu supaya menyerah diri, tetapi mereka enggan dan menyebabkan berlakunya insiden berbalas tembakan selama 30 minit," katanya di sini hari ini.

Katanya, pasukan keselamatan turut meminta bantuan imam di kampung berkenaan untuk menasihatkan tiga lelaki berkenaan supaya menyerah diri tetapi permintaan beliau tidak dipenuhi.

Menurut Pasit, selepas insiden berbalas tembak itu tamat, pasukan keselamatan telah menemukan dua mayat anggota militan itu dikenali sebagai Ali Sulong, 23, dan Abulasae Sikat, 35, serta senjata api M-16 dan Ak-47.  

"Anggota militan yang ditahan pula dikenali sebagai Mohamad Bulat, 25," katanya.

Dalam kejadian berasingan pada 4.30 semalam, dua anggota tentera cedera ringan selepas sebutir bom yang meletup di Jalan Narathiwat-Pattani terkena dua trak membawa anggota tentera pulang daripada pertempuran di Rusak.

Sementara itu, pihak Pusat Pemerintahan Operasi Keselamatan Dalam Negeri ke-4 (ISOC4) semalam berkata ia akan mengadakan siasatan tentang dakwaan dua anggota renjer daripada Kompeni Renjer Ke-33 melakukan hubungan seks dengan dua wanita tempatan dua hari lepas.

Menurut penolong jurucakapnya Kol Yuttanam Pechmuang, kira-kira 200 penduduk mengadakan demonstrasi bagi membantah perbuatan itu semalam dengan meminta dikeluarkan anggota tentera yang ditempatkan di kampung itu serta dua anggota terbabit meminta maaf.

Yuttanam berkata, pihak ISOC meminta maaf atas kejadian itu dan akan melakukan siasatan terperinci mengenainya sama ada ia merupakan insiden rogol atau berlaku atas kerelaan dua wanita itu. - Bernama