31 August 2015

Polis Thailand Buru Dua Suspek Kes Pengeboman Bangkok


Diterbitkan: Isnin, 31 Ogos 2015 3:38 PM
Wanna Suansan dinamakan salah seorang suspek kes pengeboman di Bangkok,

BANGKOK: Polis Thailand memburu dua suspek baharu susulan pengeboman di Bangkok selepas bahan membuat bom ditemui di apartmen kedua di pinggir bandaraya ini.
"Suspek pertama ialah seorang wanita, Wanna Suansan, 26," kata jurucakap polis, Prawut Thavornsiri, menerusi siaran televisyen yang untuk pertama kali menamakan suspek dan menunjukkan gambar wanita muda memakai hijab.
"Ada seorang lagi yang tinggal di dalam bilik itu, iaitu seorang lelaki, kewarganegaraan tidak diketahui," katanya. - AFP

30 August 2015

Polis Tahan Suspek Bom Bangkok, Media Dakwa Hanya 'Kambing Hitam'


Diterbitkan: Ahad, 30 Ogos 2015 9:53 AM

BANGKOK: Polis Thailand telah menahan seorang warga asing berusia 28 tahun yang disyaki terbabit dalam insiden serangan bom berkembar di daerah komersial Ratchaprasong di sini, 17 Ogos lepas.
Dalam pengumuman secara langsung menerusi televisyen, jurucakap polis, Lt.Jen Prawuth Thavornsiri berkata suspek ditahan di sebuah blok apartmen empat tingkat di Soi Chueam Samphan 11, daerah Nong Chok di sini, pada kira-kira 2 petang Sabtu.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan status kewarganegaraan suspek berkenaan.
Siasatan awal menunjukkan tangkapan itu ada kaitan dengan dua serangan bom berdekatan Kuil Erawan di persimpangan Ratchaprasong di pusat ibu negara dan dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya.
Prawuth berkata polis Thailand percaya suspek merupakan anggota kumpulan sama terbabit dalam insiden letupan tersebut.
Sebelum ini, polis Thailand berkata sekurang-kuranag 10 orang mungkin terbabit dalam serangan itu yang mengorbankan 20 orang termasuk lima rakyat Malaysia dan 130 mengalami kecederaan di luar kuil Hindu itu.
Bagaimanapun, tiada seorang pun cedera dalam insiden di jeti Sathorn, yang popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan di sekitar Bangkok.
Prawuth juga menunjukkan bukti yang terdapat di bilik sewa suspek seperti bahan untuk membuat bom dan beberapa pasport tetapi enggan mendedahkan negara yang mengeluarkan pasport tersebut.
Menurut seorang pegawai penyiasat, yang enggan dinamakan, suspek menggunakan pasport Turki untuk menyewa lima buah bilik di kompleks apartmen itu tetapi tidak menyatakan sama ada pasport itu tulen atau palsu.
Setakat hari ini, 34 mangsa masih menerima rawatan di hospital termasuk enam berada di Unit Rawatan Rapi (ICU).
Ketua Polis Thailand, Jeneral Somyot Pumpanmuang dalam sesi taklimat media pula berkata suspek telah diserahkan kepada pihak tentera untuk siasatan lanjut.
Bagaimanapun, Somyot, yang menyoal siasat suspek, enggan mengulas lanjut.
Taklimat itu berhenti secara tiba-tiba apabila seorang wartawan tempatan bertanya dalam bahasa Thai sama ada suspek yang ditahan oleh polis itu hanya sebagai kambing hitam.
Somyot dengan nada marah dan menyoal wartawan lelaki itu sama ada beliau seorang warga Thailand.
"Soalan anda benar-benar tidak membina...pergi dari sini. Saya boleh beritahu anda bahawa saya tidak kisah tentang anda. Orang di sini begitu bersemangat ketika ini (atas penahanan suspek) tetapi anda menyoal sama ada kami menahan kambing hitam!," katanya.
Kemudian, Somyot berkata suspek tersebut bukan pengganas merentas sempadan  tetapi melakukan perbuatan itu disebabkan marah terhadap sesuatu yang berlaku kepada kawan-kawannya.
Khamis lepas, Kedutaan Turki di Thailand mengeluarkan kenyataan dengan menyatakan kekesalan terhadap analisis berbaur spekulasi dan laporan berita yang cuba mengaitkan warganya dalam serangan bom di Kuil Erawan.

29 August 2015

Harapan keamanan selatan Thai

Pergerakan diwakili enam kumpulan sedia berunding

Awang Jabat (tengah) bersama perwakilan MSP bergambar beramai-ramai

Awang Jabat (tengah) bersama perwakilan MSP bergambar beramai-ramai sejurus sidang media selepas persidangan di Kuala Lumpur, tamat, kelmarin. AFP
KUALA LUMPUR 28 Ogos - Harapan mencapai keamanan di wilayah selatan Thailand yang bersempadan dengan Malaysia kembali cerah apabila sebuah pergerakan diwakili enam buah kumpulan sedia berunding dengan kerajaan untuk mencari satu penyelesaian.
Menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Syura Pattani (MSP) bagi mewakili puak pemisah selatan Thai, rundingan tiga hari di Kuala Lumpur dengan wakil kerajaan Thailand menyaksikan kumpulan itu menuntut sebuah wilayah merdeka.
Rundingan damai tidak rasmi itu tamat, semalam.
MSP terdiri daripada tiga pecahan kumpulan Pertubuhan Pembebasan Pattani (PULO); Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP); Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP).
Pengerusi MSP, Awang Jabat berkata, objektif utama pihaknya adalah mencapai kemerdekaan untuk wilayah selatan Thailand, namun MSP sedia duduk semeja bagi mencari satu penyelesaian yang memberikan penduduk Islam di wilayah itu hak untuk menentukan masa depan mereka di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
“Pada akhirnya, penduduk selatan Thai berhak menentukan sama ada mahu mewujudkan sebuah negara merdeka atau wilayah autonomi di bawah kerajaan Thailand,” jelas beliau pada satu sidang akhbar, semalam.
Bagaimanapun, perunding kerajaan tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.
Lebih 5,000 orang terkorban sejak konflik itu meletus pada 2004 dan Malaysia menjadi orang tengah dengan membawa kumpulan pemisah tersebut ke meja rundingan. – AP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/harapan-keamanan-selatan-thai-1.129648#sthash.FAxlzn9c.dpuf

28 August 2015

Militan Patani Kemuka Tiga Tuntutan Untuk Tamatkan Konflik


Diterbitkan: Khamis, 27 Ogos 2015 8:48 PM
Awang Jabat. Foto ROHAIZAT MD DARUS / THE STAR

KUALA LUMPUR: Kumpulan militan Patani, Majlis Syura Patani, mengemukakan tiga tuntutan kepada kerajaan Thailand termasuk menjadikan dialog damai dengan mereka sebagai agenda nasional bagi menamatkan konflik di wilayah-wilayah selatan negara itu.  
Selain itu, mereka mahu kerajaan Thailand mengiktiraf Majlis Syura Patani atau Mara Patani sebagai organisasi sah.
"Kita juga mahu kerajaan Thailand memberikan imuniti kepada anggota Majlis Syura Patani, yang terlibat dengan proses dialog ke arah keamanan di wilayah-wilayah selatan, semasa proses rundingan dengan kerajaan Thailand," kata Pengerusi Majlis Syura Patani, Awang Jabat pada sidang media di sini, Khamis.
Seramai tujuh anggota majlis itu, yang mewakili beberapa kumpulan militan di selatan Thailand, menghadiri sidang media itu yang diadakan dalam bahasa Melayu dan diterjemahkan ke dalam bahasa Inggeris.
Wakil-wakil media antarabangsa termasuk dari Thailand turut membuat liputan sidang media itu, yang menampilkan buat pertama kalinya anggota-anggota Majlis Syura Patani.
Majlis Syura Patani adalah gabungan enam kumpulan militan yang terdiri daripada Barisan Revolusi Nasional (BRN), tiga pihak dalam Patani Liberation Organisation (Pulo), Gerakan Mujahideen Islam Patani dan Barisan Islam Pembebasan Patani (BIPP).
Awang berkata, Majlis Syura Patani mengemukakan perkara itu pada pertemuan dengan wakil kerajaan Thailand dalam rundingan damai pusingan ketiga di sini.
Rundingan dua hari itu diadakan pada Selasa dan Rabu, dengan Malaysia menjadi fasilitatornya. Rundingan sama pernah diadakan di sini pada April dan Jun lepas.
Awang berkata, Majlis Syura Patani berpendapat amat penting bagi kerajaan Thailand menjadikan dialog damai sebagai agenda nasional berikutan kekerapan pertukaran kerajaan negara itu hingga menjejaskan proses sesi dialog damai itu.
"Ini menyebabkan proses dialog yang bertujuan mencari penyelesaian konflik di selatan Thailand tidak dapat dimuktamadkan dan terus berlarutan," katanya.
Ditanya maklum balas kerajaan Thailand berhubung tuntutan Majlis Syura Patani, Awang berkata, pihak belum mendapat sebarang reaksi daripada pihak kerajaan.
Beliau menjelaskan pihaknya mengemukakan ketiga-tiga tuntutan itu bagi melancarkan proses rundingan damai dengan kerajaan Thailand untuk menamatkan konflik di wilayah-wilayah selatan negara itu.
"Bagaimanapun, dengan tiga tuntutan baharu ini, ia tidak bermakna kumpulan militan Patani menggugurkan tuntutan yang diperjuangkan sebelum ini," tegasnya.
Awang berkata, tuntutan pihaknya supaya wilayah-wilayah Selatan Thailand yang diduduki majoriti masyarakat Patani diberikan kemerdekaan atau autonomi masih menjadi perjuangan utama Majlis Syura Patani.
"Kami masih menuntut keadilan dan kebebasan bagi rakyat Patani untuk menentukan masa depan mereka sendiri. 
"Sama ada mereka mahu keluar dari Thailand, diberikan lebih autonomi dalam urusan pentadbiran di wilayah selatan atau pun terus kekal dalam Thailand, biarlah rakyat Patani sendiri diberikan pilihan untuk menentukan perkara ini.
"Kami sebagai wakil mereka hanya menjalankan rundingan dengan kerajaan Thailand kerana kami percaya menerusi dialog damai ini sahaja dapat menyelesaikan konflik ini," katanya.
Kerajaan Thailand memberi mandat kepada Malaysia untuk menjadi fasilitator bagi dialog damai antara kedua-dua pihak itu berdasarkan persetujuan yang ditandatangani pada 28 Februari 2013.
Konflik di selatan Thailand, yang meliputi wilayah Patani, Yala, Narathiwat dan Songkhla berlarutan lebih sedekad lepas hingga mengorbankan ribuan nyawa dan kecederaan selain kemusnahan harta benda. - Bernama

26 August 2015

Polis Thai cari bukti letupan bom, tiada tangkapan setakat ini

SELASA, 25 OGOS 2015 @ 11:02 PM

GAMBAR fail pada 18hb Ogos, polis sedang melakukan siasatan terperinci di tempat kejadian letupan bom di Kuil Erawan di Bangkok. - Foto AP BANGKOK: Polis Thai yang tidak pasti sama ada suspek letupan bom di Kuil Erawan di sini masih berada di negara itu, mahu mendapatkan lebih banyak saksi dan bukti. Timbalan Ketua Polis Thai, Jeneral Jakthip Chaijinda, berkata polis memerlukan lebih banyak saksi dan bukti terutama rakaman televisyen litar tertutup (CCTC) bagi membantu siasatan dua insiden letupan bom di Bangkok minggu lepas. Katanya, keputusan ujian DNA suspek pengeboman Kuil Erawan yang diperoleh daripada duit kertas dan kenderaan awam tuk-tuk yang digunakannya, dijangka diketahui esok. "Bagaimanapun, lakaran wajah suspek pengeboman di dermaga Sathorn masih belum siap," katanya ketika memberi taklimat kepada media selepas mempengerusikan mesyuarat pasukan siasatan kes itu. Insiden bom di Kuil Erawan mengorbankan 20 orang dan mencederakan lebih daripada 130 mangsa, manakala tiada yang maut atau cedera dalam kejadian di dermaga Sathorn yang terletak di Sungai Chao Phraya. Jakthip berkata, kesimpulan awal pakar bom mendapati bahan letupan jenis TNT digunakan dalam kedua-dua insiden itu. Sebelum mesyuarat itu, beliau berkata terdapat perkembangan dalam kes tersebut walaupun polis belum membuat sebarang tangkapan ke atas mana-mana suspek. Jakthip juga berkata, beliau tidak pasti sama ada suspek dalam rakaman CCTV di Kuil Erawan masih berada di negara itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/77283

25 August 2015

Bangkok, pemisah sambung rundingan di Kuala Lumpur


Bangkok: Perunding Thailand, Jeneral Aksara Kerdpol yang mengetuai rundingan dengan kumpulan pemisah selatan negara itu akan bertolak ke Kuala Lumpur hari ini bagi membincangkan pusingan rundingan damai akan datang.

Aksara berkata, di Kuala Lumpur beliau akan bertemu wakil kumpulan pemisah Mara Patani dan wakil kerajaan Malaysia, Ahmad Zamzamin bin Hashim.

Ahmad Zamzamin menjadi orang tengah dalam perbincangan itu bagi membincangkan skop rundingan akan datang.

Mara Patani adalah gabungan enam kumpulan pemisah di selatan Thai yang merancang untuk mengadakan rundingan dengan Bangkok.



Kata Aksara, Mara Patani akan membuat satu sidang akhbar dengan media Thai dan Malaysia pada Khamis ini bagi memperkenankan diri dan memberitahu pendirian mereka dalam rundingan dengan Bangkok.

“Kumpulan ini mahu mempromosikan organisasi mereka melalui media untuk mendapatkan sokongan.

“Kumpulan pemisah ini menamakan semula organisasi mereka untuk membuang imej keganasan yang lama kerana yakin Perdana Menteri Prayut Chan-o-cha jujur,” katanya.

Tambahnya, rundingan itu akan bermula dengan
mewujudkan zon selamat di kawasan sempadan di tiga wilayah di selatan Thai berkenaan.

Zon selamat adalah satu kawasan yang bebas dengan sebarang aktiviti keganasan tanpa menggunakan sebarang undang-undang penguatkuasaan khas. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 25 Ogos 2015 @ 8:13 AM

- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/72782#sthash.rnQYxY7o.dpuf

Polis jumpa bom di Bangkok


24 OGOS 2015
Polis jumpa bom di Bangkok


BANGKOK - THAILAND. Polis Thailand hari ini menemui dan menyahaktifkan sebutir bom yang dijumpai di sebuah rumah di Bangkok, seminggu selepas insiden letupan yang menyebabkan 20 maut.

Menurut Komander pasukan letupan Thailand, Kamthorn Aucharoen memberitahu Reuters, pihaknya menerima laporan mengenai penemuan sebutir bom di Sukhumvit 18, tengah hari tadi.

"Bom tersebut ditinggalkan disebuah rumah di tapak pembinaan," katanya.

Bom tersebut telah dinyahaktifkan dan akan dimusnahkan.

24 August 2015

Suspek baharu diburu


Suspek baharu diburu

23 OGOS 2015
Suspek baharu diburu Gambar lakaran suspek utama pengeboman kuil Erawan terpampang pada papan iklan elektronik di tengah Bangkok. - Foto AFP

BANGKOK - THAILAND . Polis Thailand kini memburu seorang suspek yang ada kaitan dengan pengeboman di tengah Bangkok, yang mengorbankan 20 nyawa pada Isnin lalu.

Imej suspek yang memakai baju biru berjaya dirakam kamera litar tertutup (CCTV), sedang melontar bahan letupan di sebuah jeti, sehari selepas insiden pengeboman Kuil Erawan berhampiran persimpangan Rathaprasong.

"Kami mencari seorang suspek berbaju biru yang imejnya berjaya dirakam CCTV semasa melontar bom dekat jeti Sathorn di Sungai Chao Phraya," kata jurucakap polis, Prawut Thavornsiri semalam.

Jeti Sathorn popular dalam kalangan pelancong yang mahu menggunakan pengangkutan air untuk ke kawasan tarikan pelancongan yang banyak terdapat di sekitar Bangkok.

Dalam perkembangan berkaitan, polis menahan seorang remaja berusia 17 tahun dari Ayutthaya kerana memuat naik ancaman bom palsu di Facebook rakannya.

"Remaja itu telah ditahan kerana mencetuskan panik dalam kalangan masyarakat," kata timbalan komander polis wilayah 6, Sanit Mahathaworn. - Bangkok Post

Polis Thai sukar buru pengebom


SEORANG anggota polis berkawal di hadapan Kuil Erawan di Bangkok semalam. - AFP


BANGKOK – Pihak berkuasa semalam menggesa semua pihak supaya bersabar dalam usaha menjejaki pengebom Kuil Erawan di Bangkok selepas ketua polis mengakui Thailand kekurangan teknologi moden untuk mencari suspek utama yang dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
Kebimbangan meningkat ekoran pengebom itu masih bebas selepas enam hari serangan di daerah komersial di Bangkok itu berlaku. Letupan tersebut membunuh 20 orang.
Usaha polis setakat ini tertumpu pada suspek berbaju-T yang dilihat dalam rakaman CCTV meletakkan sebuah beg sandang di bawah bangku di kuil itu, beberapa minit sebelum letupan berlaku.
Lakaran lelaki berkenaan telah tersebar meluas. Dalam waran tangkapnya, dia disebut sebagai warga asing tetapi polis kemudian berkata, suspek mungkin rakyat tempatan atau berdarah kacukan.
"Siasatan perlahan bukan kerana polis kurang berkeupayaan," kata Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoungyot.
"Namun, kelewatan tersebut adalah kerana kami tidak mempunyai peralatan moden untuk membantu kerja kami," tambahnya.


GAMBAR suspek utama pengebom Kuil Erawan terpapar pada papan iklan elektronik di Bangkok semalam.- AGENSI


Somyot tidak mendedahkan peralatan yang polis perlukan itu tetapi ia berkemungkinan besar teknologi pengecaman wajah atau program mempertingkatkan kejelasan rakaman CCTV.
Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Prayuth Chan-O-Cha menolak cadangan supaya kerajaannya meminta bantuan asing bagi membantu menyiasat kes rumit itu dengan Britain dan Australia turut menawarkan kepakaran mereka.
Di sebalik kekangan teknologi tersebut, polis Thai menyatakan bahawa siasatan mereka menampakkan kemajuan.
"Kami tidak dapat memberikan butiran kemajuan itu. Biarlah polis menjalankan tugas mereka," kata jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri
Sebahagian besar mangsa yang terbunuh dalam serangan bom di kuil berkenaan terdiri daripada pelancong etnik Cina dari seluruh Asia. Lebih 50 orang masih dirawat di hospital.
Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi dalang berpotensi yang disebut oleh polis termasuk militan antarabangsa, puak pemisah Islam atau seseorang yang mempunyai dendam peribadi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3jiiD5fKz 
Hakcipta terpelihara 

Polis Thai siasat rakaman baharu

Polis Thai siasat rakaman baharu (pix)

seorang anggota polis Thailand memeriksa sebuah teksi di pintu

seorang anggota polis Thailand memeriksa sebuah teksi di pintu masuk sebuah hotel di tengah Bangkok, kelmarin ekoran serangan bom di ibu negara Thailand itu pada Isnin lalu. REUTERS
BANGKOK 22 Ogos – Polis Thailand terus mencari petunjuk baharu berhubung kes pengeboman di sebuah jambatan dekat ibu negara ini, awal minggu ini apabila menyiasat rakaman baharu yang diambil daripada kamera keselamatan, yang menunjukkan seorang lelaki meletakkan sebuah bungkusan di terusan dekat jambatan itu.
Menerusi rakaman yang tersebar dalam kalangan media tempatan itu, seorang lelaki berbaju biru dilihat membawa barangan yang berat di dalam beg plastik dan berdiri di tepi jambatan Saphan Thaksin, sebelum meletakkan bungkusan itu di bawah, pada hari yang sama letupan berlaku di jambatan itu tanpa sebarang kecederaan dilaporkan.
Kemudian lelaki berkenaan dilihat menggunakan telefon bimbitnya dan kira-kira seminit selepas itu dia menendang bungkusan itu ke dalam air.
Rakaman itu diambil di lokasi yang sama ketika satu letupan berlaku pada Selasa lalu, namun tiada kematian atau kecederaan dilaporkan dan pihak polis tidak menolak kemungkinan kedua-dua kejadian pengeboman itu mempunyai kaitan.
Jurucakap polis, Prawut Tha­vo­rn­siri mengesahkan rakaman baharu berkenaan sedang disiasat dan akan memastikan sama ada lelaki yang meletakkan bungkusan berkenaan berdekatan jambatan Saphan Thaksin merupakan suspek.
“Situasi masih mengelirukan dan saya boleh mengesahkan tentang maklumat terbaharu itu.
“Lelaki yang berada di Saphan Thaksin dan Kuil Erawan dipercayai merupakan individu yang berbeza,” katanya.
Thavornsiri dalam pada itu berkata, tiada perkembangan terbaru berhubung siasatan suspek utama yang merupakan lelaki warga asing dan masih belum dikenali dalam insiden pengeboman di Kuil Erawan. – AFP
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/polis-thai-siasat-rakaman-baharu-1.127415#sthash.uZ9cdFLb.dpuf

Beberapa letupan kecil 
gegar selatan Thailand

Kenderaan SUV yang dinaiki ketua mukim Sadawa rosak teruk dengan

Kenderaan SUV yang dinaiki ketua mukim Sadawa rosak teruk dengan kesan tembakan pada bahagian pintu akibat diserang hendap kumpulan bersenjata awal pagi semalam. AGENSI
BANGKOK 23 Ogos – Beberapa letupan kecil menggegarkan daerah Sungai Golok di wilayah Na­rathiwat, malam kelmarin, menje­lang kawasan yang bersempadan dengan Malaysia itu menyambut ulang tahun penubuhannya yang ke-100 tidak lama lagi.
Bagaimanapun, tiada kecede­raan dilaporkan dalam kejadian itu.
Portal Nation melaporkan, bom buatan sendiri itu merosakkan sebanyak 15 tiang elektrik dengan empat daripadanya tumbang di daerah Sungai Golok dalam apa yang didakwa polis sebagai usaha kumpulan pemisah mengganggu kejohanan tinju Muay Thai di daerah itu pada malam yang sama.
Beberapa peranti letupan itu diletakkan pada tiang elektrik di sepanjang dua jalan berasingan di Sungai Golok ke Tak Bai dan Sungai Golok ke Sungai Padi.
Kakitangan Pihak Berkuasa Eletrik Wilayah segera memperbaiki kerosakan berkenaan dan bekalan elektrik kembali pulih lewat tengah malam.
Unit pemusnah bom yang membuat pemeriksaan susulan, kemudiannya memusnahkan beberapa bom yang gagal meletup di sebuah ladang getah tidak jauh dari tempat bom itu diletakkan.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kongath Suwannakham berkata, serangan terancang itu dipercayai dilakukan kumpulan pemisah, kumpulan sama yang mengakibatkan kematian tiga penduduk dan mencederakan beberapa yang lain dalam serangan pada 10 Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak melihat insiden itu ada kaitan dengan serangan pengeboman di Bangkok pada Isnin lalu yang mengorbankan sebanyak 20 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.
Dalam perkembangan berasingan, seorang ketua mukim Sadawa di Pattani dan pembantunya ce­dera dalam satu serangan hendap di daerah Yarang, Pattani, awal pagi ini selepas menyaksikan perlawanan takraw di sebuah kampung di sini.
Akibat serangan hendap oleh kumpulan yang bersenjatakan raifal AK-47, kenderaan SUV yang dinaiki Solahuding Che-ubong, 47, dan Mama Doka, 45, hilang kawalan sebelum merempuh dua tiang elektrik dan menumbangkan satu daripada tiang tersebut.
Kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan di kaki dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Pattani.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/beberapa-letupan-kecil-8232-gegar-selatan-thailand-1.127822#sthash.FkQ33Ztp.dpuf

19 August 2015

Pengeboman Tiada Kaitan Dengan Anggota Gerakan Pembebasan Patani


Diterbitkan: Rabu, 19 Ogos 2015 12:03 AM

PATTANI: Berdasarkan imej dalam CCTV sudah ada suspek yang dicari dalam kes letupan bom yang berlaku pada 7 malam semalam di tengah-tengah kota Bangkok.

Tempat asal suspek itu masih menjadi tanda tanya, tetapi seorang ahli akademik di selatan Thailand percaya ia bukan angkara anggota gerakan pembebasasn di sana.

Dr.Srisompop Jitpiromsi, dari 'Deep South Watch' yang membuat analisis kejadian letupan itu, berkata kejadian itu tiada kaitan dengan kumpulan gerakan yang melakukan letupan bom di selatan Thailand.

Alasan beliau ialah jenis bom yang diguna adalah berbeza dengan yang selalu diguna di wilayah-wilayah yang bergolak di selatan.

Dalam siasatan awal pihak polis Thai, belum ada penemuan bukti yang boleh dikaitan dengan anggota gerakan pemisah di selatan dan sebelum ini jarang sekali kota Bangkok dijadikan sasaran serangan bom oleh gerakan itu, kata Srisompop ketika diminta mengulas mengenai insiden tersebut.

Beliau berpendapat kejadian bom semalam ada dua faktor utama, iaitu masalah dalaman seperti masalah politik yang sering berlaku antara kerajaan junta dengan Kumpulan Baju Merah.

Namun begitu, beliau berkata teori itu juga sukar diterima kerana tak mungkin anggota Kumpulan Baju Merah yang beragama Buddha sanggup melakukannya.

Kalau kita melihat kepada kawasan yang diletak bom adalah tempat pemujaan agama Buddha dan Hindu di Thailand dan dari seluruh dunia yang menghormati "Patung Praprom" (Erawan Shrine) yang dianggap sebagai dewa yang keramat, maka tak boleh diterima," ujar Srisompop.

Kemungkinan lain yang boleh diterima dan yang mempunyai bukti yang kuat ialah polisi kerajaan Thai yang mempunyai hubungan baik dengan China, kata beliau.

Baru-baru ini, Thailand telah menghantar pulang sejumlah warga Uighur ke China sehingga melahirkan bantahan oleh orang Islam di Thailand dan terutamanmya di Turki.

"Ini kemungkinan besar sebab yang membawa kepada kemarahan warga Uighur terhadap Thailand dan China," kata beliau.

Tambah beliau lagi jikalau kita melihat kepada mangsa yang cedera kebanyakan adalah warga China.

Namun begitu kata beliau, walau apapun teorinya, orang ramai harus menunggu hasil siasatan polis.

Selepas suspek yang dapat dirakamkan dalam CCTV diberkas maka itulah ketikanya penjelasan sebenar akan diketahui, kata beliau.

Polis Thai hari ini mengeluarkan imej dalam CCTV yang menunjukkan seorang lelaki berbaju kuning yang membawa backpack (beg sandang belakang) berjalan kaki berdekatan kawasan itu, dan kemudian backpack itu tidak ada padanya.

17 August 2015

12 Terkorban Bom Motosikal Meletup Di Bangkok


Diterbitkan: Isnin, 17 Ogos 2015 9:15 PM

BANGKOK: Bom yang diletakkan pada motosikal meletup pada Isnin, dalam kejadian di luar sebuah kuil Hindu di ibu negara Thailand, membunuh sekurang-kurangnya 12 orang, menurut polis dan pekerja penyelamat berkata.

Letupan berlaku dekat makam Erawan di sebuah persimpangan utama Bangkok, kata polis.

"Apa yang saya boleh katakan sekarang ialah terdapat letupan di pusat bandar Bangkok yang melibatkan bom motosikal," kata Timbalan Ketua Polis Negara Aek Angsananond kepada Reuters.

Beliau berkata terdapat kematian, tetapi tidak dapat mengesahkan maklumat.
Anggota polis di tempat kejadian dan seorang pekerja penyelamat berkata 12 orang telah terbunuh. Media meletakkan bilangan yang cedera adalah 20.

Seorang saksi Reuters di tempat kejadian berkata, dia melihat cebisan daging manusia berhampiran tapak letupan dan seorang askar kemudian memberitahu orang ramai di tempat kejadian untuk beredar kerana mereka mahu memeriksa bom kedua.

Tidak ada yang mendakwa bertanggungjawab setakat ini.

Tentera Thai sedang berdepan pemberontakan Islam di bahagian selatan negara itu.

Negara ini juga telah terpecah untuk satu dekad oleh persaingan sengit dan adakalanya keganasan antara puak politik di Bangkok dan tempat lain.

Tentera telah memerintah Thailand sejak Mei 2014, apabila ia menggulingkan kerajaan yang dipilih selepas beberapa bulan, di mana pada masa itu berlakunya protes keganasan anti-kerajaan.

Kuil Erawan yang terletak di satu sudut yang sibuk berhampiran hotel terkemuka, pusat beli-belah dan pejabat, adalah tarikan utama pelancong, terutama bagi pelawat dari Asia Timur.

Ramai rakyat Thai juga beribadat di dalamnya.

14 August 2015

Pengantin lelaki dibunuh di majlis perkahwinan


Tembak

14 OGOS 2015



PATTANI - THAILAND. Semalam sepatutnya hari bahagia bagi Ahamad Daud kerana menjadi raja sehari, tetapi jodoh beliau tidak panjang dan ia berakhir dengan tragedi.

Ahamad, 27 tahun, anggota renjer yang bertugas di Pattani maut setelah ditembak dari jarak dekat oleh empat lelaki ketika beliau berbual dengan isterinya, Elani Matnor, 27 tahun dan ibu mertua di bawah khemah.

Ketua Polis Daerah Muang Pattani Kirati Waeyusoh berkata kejadian berlaku pada 5.30 petang waktu tempatan pada majlis perkahwinan di Kampong Pakaharang, Muang Pattani.

Beliau berkata Ahamad cedera parah dan meninngal dunia ketika dalam perjalanan ke hospital setelah ditembak dalam jarak dekat di bahagian kepala dan dada oleh empat orang lelaki yang kemudian melarikan diri.

Suasana majlis perkahwinan itu bertukar sayu dan gempar dengan insiden pembunuhan itu.

Sementara itu, di Narathiwat seorang orang awam maut setelah ditembak di perut dengan sepucuk pistol di pasar malam Kampung Yalutong, Bachok.

Menurut Polis, Muhammad Zakari Asae, 56 tahun, cedera parah setelah ditembak pada 6.45 petang waktu tempatan dan meninggal dunia di Hospital Bachok. -Bernama

13 August 2015

Kabinet Thailand dijangka akan dirombak


13 OGOS 2015
Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha

Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha Prayuth

BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha berkata beliau telah memuktamadkan senarai rombakan Kabinet, namun enggan menyatakan bilakah senarai itu akan diserahkan kepada pihak Istana untuk diluluskan.

Jeneral Prayuth juga enggan mendedahkan siapakah yang akan dikekalkan jawatan, dan siapa pula yang akan keluar daripada barisan kabinet baharunya itu.

Media tempatan membayangkan bahawa jawatan beliau sendiri mungkin terjejas lapor CNA.

Ini merupakan rombakan Kabinet pertama sejak beliau mengambil alih kuasa menyusuli satu rampasan kuasa tentera dalam bulan Mei tahun lalu. 

5 August 2015

Maut ditembak ketika tunggang motosikal

Narathiwat: Seorang penduduk mati ditembak sekumpulan lelaki ketika menunggang motosikal untuk menoreh getah di ladangnya.
Sakariya Saleh, 50, dipercayai diekori kumpulan lelaki berkenaan yang menaiki pikap sebelum dia ditembak tiga kali dalam kejadian di daerah Rangae di Narathiwat.
Menurut polis, satu tembakan terkena kepala mangsa dan dua lagi pada badannya, menyebabkan dia mati di tempat kejadian.
Polis masih berusaha untuk memastikan motif serangan, sama ada kerana konflik peribadi atau berkait dengan gerakan pemisah.
Lebih 5,000 orang terbunuh sejak keganasan meletus di selatan Thai pada awal 2004.
Selain Narathiwat, dua lagi wilayah yang bergolak sejak itu ialah Pattani dan Yala. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 5 Ogos 2015 @ 9:51 AM


SEORANG polis Thailand menunjukkan motosikal mangsa di dalam semak.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68363#sthash.eb7CaCtc.dpuf

4 August 2015

Lelaki dikehendaki mati dalam pertempuran

Narathiwat: Seorang lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa serangan bom di wilayah ini mati dibunuh kelmarin selepas bertempur dengan pihak berkuasa, kata polis.
Masukarueno Yakumo ditemui mati di dalam sebuah rumah di kampung Padae Taerae di daerah Rueso di sini selepas berlaku tembak menembak selama 30 minit.
Kejadian berlaku di rumah bapa mentua Masukarueno pada jam 5 pagi (waktu tempatan) selepas pihak berkuasa mengepung kawasan itu selama lebih lima jam.
Pihak berkuasa sebelum itu berbincang dengan isteri dan bapa mentua Masukarueno supaya menyerahkan suspek tetapi kedua-duanya enggan.
Apabila sekumpulan anggota tentera menyerbu rumah berkenaan, suspek melepaskan beberapa das tembakan dari dalam rumah.
Selepas berbalas tembakan, mayat Masukarueno dijumpai terbaring di depan bilik air bersama sepucuk pistol dan bom tangan.
Masukarueno dikehendaki polis kerana terbabit dalam satu serangan bom yang membunuh seorang pegawai polis dan dua lagi anggota pada Mac 2013.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, seorang renjer sukarela dan adiknya maut ditembak dalam satu kejadian di daerah Nong Chik di Pattani, kelmarin. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 4 Ogos 2015 @ 10:52 AM


GAMBAR fail menunjukkan pakar polis dan tentera memeriksa kesan serangan bom yang dilakukan Masukarueno hingga menyebabkan tiga anggota polis terbunuh pada 2013.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/68164#sthash.MsM8LLqW.dpuf

3 August 2015

Militan Thailand paling dikehendaki dibunuh

Militan Thailand paling dikehendaki dibunuh
Unit pemusnah bom memeriksa bangkai motosikal yang digunakan dalam pengeboman berhampiran stesen kereta api di Rueso, Mac lalu. - Foto AFP

Masukarueno Yakumo, mati ditembak ketika bersembunyi di sebuah rumah di daerah Rueso dalam wilayah Narathiwat selepas hampir 30 minit berbalas tembakan dengan pasukan keselamatan.
Serbuan berkenaan diketuai komander Pasukan Petugas 30, Sogdej Suknui.
Katanya kepada media  Bangkok Post, polis terpaksa membunuh Masukarueno selepas dia enggan menyerah diri.
"Selepas lebih tiga jam berunding, kami memutuskan untuk menyerbu rumah berkenaan dan berlaku kejadian berbalas tembakan.
"Setengah jam kemudian kami menemui mayat suspek yang masih memegang senjata api dan bom tangan," katanya.
Sebelum ini, polis Thailand mengeluarkan sembilan waran tangkap ke atas Masukarueno termasuk satu waran tangkap untuk penglibatannya dalam pengeboman yang mengorbankan seorang anggota polis berhampiran stesen kereta api Rueso pada Mac, lalu.

1 August 2015

14 sukarelawan cedera di Yala

Bangkok: Empat belas orang cedera dalam serangan di selatan Thailand semalam.
Serangan awal pagi terhadap sukarelawan keselamatan kampung, pasukan perlindungan tempatan yang ditubuhkan kerajaan, dipercayai dilakukan kumpulan pemisah wilayah berkenaan.
Polis berkata, serangan di Yala itu membabitkan penggunaan bom tangan dan senjata automatik.
“Kira-kira 30 hingga 40 suspek menyerang sebuah pangkalan sukarelawan di Yala sekitar jam 1 pagi (waktu tempatan). Mulanya mereka mengguna bom tangan, kemudian melepaskan tembakan dengan M16. Serangan berakhir 30 minit kemudian,” kata Ketua Polis Yala Tanongsak Wangsupha.
Yala antara empat wilayah di selatan Thailand yang bergolak sejak gerakan menuntut pemisahan bermula awal 2004 lalu.
“Kumpulan pemisah mahu menguasai kampung berikutan penduduk kini bekerjasama dengan pihak berkuasa. Semua sukarelawan keselamatan itu beragama Islam,” katanya.
Majoriti penduduk Selatan Thai keturunan Melayu dan beragama Islam.
Lebih 6,400 orang terbunuh sejak keganasan bermula pada 2004.
Penganalisis berkata, keganasan berkurangan selama beberapa bulan awal tahun ini berikutan langkah kerajaan meningkatkan keyakinan penduduk dan kawalan keselamatan.
Bagaimanapun, ia kembali meningkat beberapa minggu lalu.
Dua askar mati ditembak dan mayat mereka dibakar dalam kejadian di Narathiwat pada 17 Julai lalu.
Seminggu sebelum itu, tujuh orang terbunuh dalam beberapa serangan bom. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Ogos 2015 @ 5:13 AM


PAKAR forensik melakukan siasatan di tempat kejadian, selepas sekumpulan sukarelawan kampung di Yala diserang awal pagi semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/67510#sthash.zYYDdgNB.dpuf

Serangan pemisah sebabkan 18 cedera, 6 cedera parah

thailand

31 JULAI 2015 YALA - THAILAND. Lapan belas orang cedera, enam daripadanya parah, dalam serangan kumulan pemisah ke atas pusat kawalan keselamatan di daerah Yaha, Yala awal pagi tadi.

Serangan itu dipercayai didalangi oleh Ubaidilah Ramli, anggota gerakan pemisah yang paling aktif di kawasan Yaha, Benang Setar wilayah Yala, kata Ketua Polis Wilayah Yala Mej Jen Pol Thanonsak Wangsupa.

Ia sekali gus menggambarkan kesukaran dalam rundingan damai yang sedang diusahakan di selatan Thailand memandangkan kumpulan pemisah terdiri daripada banyak kumpulan.

Sebanyak tujuh butir grenad M79 dilepaskan ke arah pusat kawalan keselamatan mukim Barok, daerah Yaha, wilayah Yala dalam serangan oleh 15 lelaki lengkap bersenjata pada pukul 1.15 pagi tadi, kata beliau.

Kejadian itu telah mencederakan 18 orang daripada 20 orang yang bertugas di situ yang terdiri dari anggota sukarelawan, pengawal keselamatan kampung, ketua kampung dan penolong ketua kampung, kata beliau.

Beliau berkata pertempuran sengit selama 30 minit turut berlaku antara kedua-dua pihak dan telah berlaku kebakaran dalam pusat kawalan keselamatan itu.

Semua yang cedera dibawa ke Hospital Yaha manakala enam daripada mereka yang cedera parah dipindah ke Hospital Pusat Wilayah Yala.

Kol Pol Pramoth Prom-in , Jurucakap Tentera Bahagian ke-4 berkata tujuh laras senjata AK47 milik petugas di situ dibawa lari oleh penyerang.

"Penyerang mengebom tiang elektrik dan menebang pokok serta menabur paku untuk menyekat bantuan pihak keselamatan memasuki lokasi kejadian," kata beliau dalam satu sidangan media pagi tadi di Kem Sirinthorn, Pattani. - Bernama