1 August 2015

Serangan pemisah sebabkan 18 cedera, 6 cedera parah

thailand

31 JULAI 2015 YALA - THAILAND. Lapan belas orang cedera, enam daripadanya parah, dalam serangan kumulan pemisah ke atas pusat kawalan keselamatan di daerah Yaha, Yala awal pagi tadi.

Serangan itu dipercayai didalangi oleh Ubaidilah Ramli, anggota gerakan pemisah yang paling aktif di kawasan Yaha, Benang Setar wilayah Yala, kata Ketua Polis Wilayah Yala Mej Jen Pol Thanonsak Wangsupa.

Ia sekali gus menggambarkan kesukaran dalam rundingan damai yang sedang diusahakan di selatan Thailand memandangkan kumpulan pemisah terdiri daripada banyak kumpulan.

Sebanyak tujuh butir grenad M79 dilepaskan ke arah pusat kawalan keselamatan mukim Barok, daerah Yaha, wilayah Yala dalam serangan oleh 15 lelaki lengkap bersenjata pada pukul 1.15 pagi tadi, kata beliau.

Kejadian itu telah mencederakan 18 orang daripada 20 orang yang bertugas di situ yang terdiri dari anggota sukarelawan, pengawal keselamatan kampung, ketua kampung dan penolong ketua kampung, kata beliau.

Beliau berkata pertempuran sengit selama 30 minit turut berlaku antara kedua-dua pihak dan telah berlaku kebakaran dalam pusat kawalan keselamatan itu.

Semua yang cedera dibawa ke Hospital Yaha manakala enam daripada mereka yang cedera parah dipindah ke Hospital Pusat Wilayah Yala.

Kol Pol Pramoth Prom-in , Jurucakap Tentera Bahagian ke-4 berkata tujuh laras senjata AK47 milik petugas di situ dibawa lari oleh penyerang.

"Penyerang mengebom tiang elektrik dan menebang pokok serta menabur paku untuk menyekat bantuan pihak keselamatan memasuki lokasi kejadian," kata beliau dalam satu sidangan media pagi tadi di Kem Sirinthorn, Pattani. - Bernama

No comments:

Post a Comment