24 August 2015

Polis Thai sukar buru pengebom


SEORANG anggota polis berkawal di hadapan Kuil Erawan di Bangkok semalam. - AFP


BANGKOK – Pihak berkuasa semalam menggesa semua pihak supaya bersabar dalam usaha menjejaki pengebom Kuil Erawan di Bangkok selepas ketua polis mengakui Thailand kekurangan teknologi moden untuk mencari suspek utama yang dirakam sistem televisyen litar tertutup (CCTV).
Kebimbangan meningkat ekoran pengebom itu masih bebas selepas enam hari serangan di daerah komersial di Bangkok itu berlaku. Letupan tersebut membunuh 20 orang.
Usaha polis setakat ini tertumpu pada suspek berbaju-T yang dilihat dalam rakaman CCTV meletakkan sebuah beg sandang di bawah bangku di kuil itu, beberapa minit sebelum letupan berlaku.
Lakaran lelaki berkenaan telah tersebar meluas. Dalam waran tangkapnya, dia disebut sebagai warga asing tetapi polis kemudian berkata, suspek mungkin rakyat tempatan atau berdarah kacukan.
"Siasatan perlahan bukan kerana polis kurang berkeupayaan," kata Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoungyot.
"Namun, kelewatan tersebut adalah kerana kami tidak mempunyai peralatan moden untuk membantu kerja kami," tambahnya.


GAMBAR suspek utama pengebom Kuil Erawan terpapar pada papan iklan elektronik di Bangkok semalam.- AGENSI


Somyot tidak mendedahkan peralatan yang polis perlukan itu tetapi ia berkemungkinan besar teknologi pengecaman wajah atau program mempertingkatkan kejelasan rakaman CCTV.
Pada awal minggu ini, Perdana Menteri Prayuth Chan-O-Cha menolak cadangan supaya kerajaannya meminta bantuan asing bagi membantu menyiasat kes rumit itu dengan Britain dan Australia turut menawarkan kepakaran mereka.
Di sebalik kekangan teknologi tersebut, polis Thai menyatakan bahawa siasatan mereka menampakkan kemajuan.
"Kami tidak dapat memberikan butiran kemajuan itu. Biarlah polis menjalankan tugas mereka," kata jurucakap polis Thailand, Prawut Thavornsiri
Sebahagian besar mangsa yang terbunuh dalam serangan bom di kuil berkenaan terdiri daripada pelancong etnik Cina dari seluruh Asia. Lebih 50 orang masih dirawat di hospital.
Setakat ini, belum ada pihak mengaku bertanggungjawab tetapi dalang berpotensi yang disebut oleh polis termasuk militan antarabangsa, puak pemisah Islam atau seseorang yang mempunyai dendam peribadi. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0824&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3jiiD5fKz 
Hakcipta terpelihara 

No comments:

Post a Comment