Menggelarkan diri mereka sebagai Majlis Syura Pattani (MSP) bagi mewakili puak pemisah selatan Thai, rundingan tiga hari di Kuala Lumpur dengan wakil kerajaan Thailand menyaksikan kumpulan itu menuntut sebuah wilayah merdeka.
Rundingan damai tidak rasmi itu tamat, semalam.
MSP terdiri daripada tiga pecahan kumpulan Pertubuhan Pembebasan Pattani (PULO); Gerakan Mujahideen Islam Pattani (GMIP); Barisan Revolusi Nasional (BRN) dan Barisan Islam Pembebasan Pattani (BIPP).
Pengerusi MSP, Awang Jabat berkata, objektif utama pihaknya adalah mencapai kemerdekaan untuk wilayah selatan Thailand, namun MSP sedia duduk semeja bagi mencari satu penyelesaian yang memberikan penduduk Islam di wilayah itu hak untuk menentukan masa depan mereka di negara yang majoriti penduduknya beragama Buddha.
“Pada akhirnya, penduduk selatan Thai berhak menentukan sama ada mahu mewujudkan sebuah negara merdeka atau wilayah autonomi di bawah kerajaan Thailand,” jelas beliau pada satu sidang akhbar, semalam.
Bagaimanapun, perunding kerajaan tidak menghadiri sidang akhbar tersebut.
Lebih 5,000 orang terkorban sejak konflik itu meletus pada 2004 dan Malaysia menjadi orang tengah dengan membawa kumpulan pemisah tersebut ke meja rundingan. – AP