16 June 2012

Sirah Patani-Langkasuka Dari Catatan Ulama

Saturday, 16 June 2012
Penulisan ini adalah tambahan kepada catatan terdahulu bertajuk Sejarah Awal Patani:http://tabutjawi.blogspot.com/2012/01/sejarah-awal-patani.html

Banyak pandangan mengenai bilakah wujudnya negeri bernama Patani. Berdasarkan Sejarah Kedah, Patani adalah sebahagian dari Langkasuka yang berpusat di Kedah. Kemudian muncul pula dakwaan bahawa Patani adalah di bawah penguasaan negeri Kedah dan sebagainya. Sesungguhnya sejarah Patani telah dikaburkan oleh pihak penjajah iaitu Inggeris dan Siam secara terancang, bertujuan supaya sejarah baru yang dihasilkan mereka tidak bercanggah dengan sejarah baru yang dicipta oleh mereka. Sedangkan Patani adalah asalnya sebuah negeri milik orang Melayu yang terkenal dengan kelahiran tokoh-tokoh ulama Islam terkemuka Nusantara.

Kajian Penulis kali ini, adalah banyak bersumberkan Tarikh Patani yang ditulis oleh Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi, iaitu seorang ulama dari Pasai berketurunan Saiyyidina Abbas bin Abdul Muthalib (Bapa saudara Rasulullah SAW). Beliau tiba di Patani pada sekitar tahun 1500 Masehi semasa pemerintahan Sultan Mudghaffar Syah, dan digelar Tok Raja Fiqih. Kemudian Tarikh Patani itu disalin semula dengan sedikit penambahan oleh Syeikh Faqih Ali bin Wan Muhammad bin Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi (cucu Syeikh Shafiyuddin al-Abbasi). Syeikh Faqih Ali ini adalah ulama serta Panglima Tentera Patani yang bergelar Datuk Maharajalela. Tarikh Patani itu kemudiannya disalin semula oleh Syeikh Wan Daud (Syeikh Daud al-Fathani) bin Syeikh Wan Abdullah bin Syeikh Wan Idris/Wan Senik. Syeikh Daud al-Fatani ini ialah seorang ulamak besar Patani berketurunan Sayyid Hussein Jamadil Kubro, yang berdakwah sehingga ke Mekah dan meninggal dunia dan dikebumikan di sana. Salinan semula itu disiapkan oleh Syeikh Daud al-Fathani pada tahun 1228H/1813M.

Peta Sebahagian Tanah Melayu Pada Tahun 1700


Berasaskan Tarikh Patani, Empayar Langkasuka (abad ke-2 hingga abad ke-14 Masehi) telah wujud semenjak tahun 200 Masehi. Di dalam Langkasuka itu terdapat negeri Kedah dan Patani. Menurut kajian lain pula, keluasan dan penguasaan negeri Kedah meliputi sepanjang pantai barat semenanjung Tanah Melayu ke bahagian utara, bermula sempadan Kedah/Perak, Pulau Pinang, Tanah Seri / Tanaserim di Segenting Kra, Burma sehinggalah Bangladesh. Negeri Patani masih belum wujud lagi namanya kerana Langkasuka itulah Patani yang muncul setelah kemerosotan Empayar Langkasuka, atau dengan kata lain, Patani asalnya ialah Langkasuka. pula meliputi sepanjang pantai timur semenanjung Tanah Melayu, bermula dari sempadan Pahang/Johor, Terengganu,  sehinggalah ke Chaiya/ Cahaya di Segenting Kra.

(Bagi penulis pula, tidaklah ekstrim jika dikatakan bahawa sekiranya kajian berterusan dijalankan, seluruh Indo-China adalah di bawah empayar Melayu berdasarkan kedudukan geografi sempadan Melayu asal yang bersempadan dengan China, lihat Champa contohnya).

Menurut Tarikh Patani lagi, Kedah berada di bawah pentadbiran Empayar Langkasuka, juga merupakan pusat pentadbiran awal empayar tersebut. Pemerintahan Empayar Langkasuka telah diambil alih oleh kerajaan Empayar Sriwijaya pada kira-kira tahun 750 Masehi. Pusat pentadbiran Langkasuka kemudiannya telah dipindahkan ke sebelah timur dan berpusat negeri Jaya (Chaiya/Cahaya). Sekitar tahun 75 Masehi sehingga 800 Masehi, Langkasuka-Patani adalah sebuah negeri sangat berpengaruh juga merupakan rakan dagang dengan China, Arab, Parsi, Sriwijaya, Sailendra, Khemir serta Champa. Selepas tahun 800 Masehi, raja-raja yang memerintah di Langkasuka adalah berketurunan Sriwijaya termasuk negeri Kedah. Selepas tahun yang sama juga (800M), Kerajaan Sriwijaya tidak lagi memberi tumpuan secara langsung kepada pentadbiran di Kedah kerana aktiviti perniagaan di sebelah timur lebih rancak.

Nama Patani-Langkasuka muncul berdasarkan kisah yang menyatakan bahawa Raja Antira Wangsa (Raja Indera Wangsa) telah memindahkan pusat pemerintahannya dari Kota Mahligai ke sebuah tempat yang kemudianya dinamakan Patani. Kemungkinan kisah ini berlaku pada sekitar tahun 800 Masehi. Patani juga adalah kesinambungan daripada Empayar Langkasuka kerana raja-rajanya adalah berketurunan Sriwijaya yang kemudiannya meneruskan hubungan dengan Kerajaan Sailendra dan seterusnya Kerajaan Majapahit. Selain itu ramai ahli sejarah menyatakan Kerajaan Langkasuka berakhir setelah tiada lagi Keturunan Raja Seri Wangsa yang memerintah Patani pada abad ke-17 Masehi.

Raja Indera Wangsa merupakan cucu kepada Raja Jaya Wangsa, iaitu Maharaja Empayar Sri Wijaya Sriwijaya  (sekitar tahun 750M) yang memerintah dari Palembang. Setelah menyerang Kerajaan Langkasuka yang berpusat di Kedah, baginda telah mengahwini puteri Raja Kedah yang berketurunan Mahawangsa. Melalui perkahwinan tersebut baginda telah dikurniakan dua orang putera. Putera sulung telah ditabalkan sebagai Raja Langkasuka-Kedah manakala putera kedua, Raja Seri Wangsa memerintah di Langkasuka Timur (Jaya/Cahaya). Raja Seri Wangsa pula melahirkan putera bernama Raja Antira Wangsa atau Raja Indera Wangsa.  Dari sinilah munculnya Keturunan Seri Wangsa yang memerintah negeri Patani sehingga tahun 1649. Setakat kisah ini boleh dinyatakan bahawa Keturunan Seri Wangsa telah memerintah Patani selama lebih kurang 800 tahun.

Tarikh Patani antara lain juga menceritakan bahawa semenjak Patani-Langkasuka wujud pada tahun 200 Masehi, agama yang Tauhid (Samawi) yang dibawa oleh Nabi Musa as dan Nabi Isa as telah dianuti oleh orang Melayu Patani. Agama Islam pula telah tiba di Patani pada tahun 750 Masehi dan menjadi saingan kepada agama Hindu, Buddha dan animisma. Selain itu pada tahun 698 Masehi, turut nyatakan di dalam Tarikh Patani bahawa Syeikh Abdul Shamad dari negeri Rom telah tiba di Patani untuk mengajar rakyat Patani cara-cara membuat bedil….

Sejarah mengenai kemunculan Patani yang lain pula terdapat dua versi yang berbeza. Versi pertama menyatakan Patani dibuka oleh Phya Na Tukpa yang kemudiannya memeluk Islam melalui Syeikh Syafiyuddin pada akhir 1400 Masehi. Phya Na Tukpa ini kemudian menukar nama baginda kepada Sultan Ismail Syah, mangkat dalam tahun 1530 Masehi.

Versi kedua sejarah pembukaan Patani pula menyebut Raja Indera Wangsa yang membuka mengasaskan negeri Patani. Raja Indera Wangsa inilah yang memeluk Islam melalui Syeikh Said dan ditabalkan dengan nama Sultan Muhammad Syah. Menurut kajian lanjut, Raja Indera Wangsa inilah yang berketurunan Raja Sri Wangsa yang melahirkan zuriat sehingga Sultan Ismail Syah, selanjutnya Raja terakhir berketurunan ini, Raja Kuning (1635 – 1649). Manakala, Syeikh Said pula ialah ulama dari Pasai yang dilantik sebagai Penasihat Sultan Patani dengan gelaran Datuk Seri Raja Fiqih.

(Nota: Penurut pandangan penulis, Syeikh Said dari Pasai telah mengislamkan Raja Seri Wangsa dan menukarkan nama baginda kepada Sultan Muhammad Syah. Manakala Syeikh Shafiyuddin pula telah datang ke Patani pada semasa pemerintahan Sultan Muzaffar Syah (1530 – 1564). Ketika itu raja-raja Patani telah pun memeluk Islam, tetapi pengamalannya masih belum meluas. Syeikh Shafiyuddin inilah yang digelar Tok Raja Fiqih).

Raja Indera Wangsa pula melahirkan putera bernama Raja Andiradha Wangsa, dan ditabal pula sebagai Raja Patani setelah kemangkatan baginda. Raja Andiradha Wangsa berkahwin dengan Puteri Raja Singgora dan melahirkan pula Raja Andiradha Dewa Wangsa. Apabila Raja Andiradha Wangsa mangkat, Raja Andiradha Dewa Wangsa pula ditabal sebagai Raja Patani. Keturunan Raja Seri Wangsa berketurunan Sri Wijaya ini terus menerus memerintah negeri Patani sehingglah lahirnya Phya Tu Nakpa atau Sultan Ismail Syah serta keturunannya.

Di dalam riwayat lain, dikatakan seorang yang bernama Syeikh Syafiuddin telah mengislamkan Phya Tu Nakpa. Setelah ditabalkan semula oleh Syeikh Syafiuddin, Phya Tu Nakpa telah diberikan gelaran Sultan Ismail Syah Zillullah Fi al-‘Alam. Syeikh Syafiuddin juga diberikan gelaran Datuk Seri Raja Fiqih yang menjadi Penasihat Agama kepada Kerajaan Patani.

Semasa pemerintahan Sultan Ismail Syah, baginda telah menugaskan Syeikh Syafiuddin menyeru dakwah Islam seluruh kepada kaum kerabat baginda dan pembesar-pembesar istana. Kemudian Islam tersebar luas dan diterima oleh rakyat Patani dengan hati terbuka. Agama Hindu sudah tidak dipedulikan lagi bahkan tempat ibadat ditinggalkan sehingga habis runtuh binasa dengan sendirinya. Jawatan menteri dan pembesar telah ditukar oleh Syeikh Syafiuddin dengan panggilan orang Datuk dan Orang Kaya. Setelah memeluk Islam, Sultan Ismail Syah juga telah memperkukuhkan hubungan dengan Sultan Melaka terakhir, Sultan Mahmud Syah (1488 – 1528).

(Nota  1: Raja-Raja Melayu purba seperti Kedah, Patani, Melaka, Kelantan, Singhasari, Majapahit adalah berketurunan dari Maharaja Empayar Sriwijaya. Juga negeri Pahang, Perak dan Johor purba adalah berketurunan Kesultanan Melaka yang berdarah Sri Wijaya. Raja-Raja Terengganu pula berketurunan Sriwijaya dari jaluran Raja Empayar Chermin-Majapahit).

(Nota 2: Sebenarnya Sultan Muzaffar Syah yang menugaskan Syeikh Syafiyuddin berdakwah kepada kaum kerabat baginda. Keturunan Syeikh Shafiyuddin ini kemudian dilantik sebagai raja-raja di beberapa buah negeri Patani, terdapat juga yang lainnya dilantik sebagai menteri Patani. Syeikh Fakih Ali bin Wan Muhammad adalah cucu Syeikh Syafiyuddin yang menjadi ulama dan Panglima Patani bergelar Datuk Maharajalela).

Sultan Ismail Syah mangkat dalam tahun 1530 dan digantikan pula oleh puteranya, Raja Muzaffar. Menggunakan gelaran Sultan Muzaffar Syah (1530 – 1564), baginda mangkat secara mengejut setelah berjaya menawan istana Raja Siam Ayuthia dan dimakamkan di muara Sungai Chao Phraya. Semasa kemangkatan Sultan Muzaffar Syah, permaisuri baginda sedang mengandung yang kemudiannya melahirkan seorang putera bernama Raja Patik Siam. Oleh bagi mengisi kekosongan tahta, Patani diperintah pula oleh adinda baginda, bernama Raja Mansur yang sebelum itu berjawatan Raja Muda, dengan gelaran Sultan Mansur Syah (1564 – 1572).

Sewaktu sedang gering, Sultan Mansur Syah telah mewasiatkan supaya tahta Kerajaan Patani diserahkan semula kepada anak saudara baginda, Raja Patik Siam yang ketika itu berusia 9 tahun. Setelah kemangkatan Sultan Mansur Syah maka ditabal oleh pembesar-pembesar Patani Raja Patik Siam dengan gelaran Sultan Patik Syah (1572 – 1573). Disebabkan usia Sultan Patik Syah yang masih kanak-kanak, maka pembesar-pembesar Patani melantik pula bonda saudara baginda, Raja Aishah sebagai Timbalan Sultan.

Pemeritahan Sultan Patik Syah dan Raja Aishah hanya sekitar setahun sahaja kerana kedua-duanya telah dibunuh oleh Raja Mambang, yang juga kanda kepada Sultan Patik Syah. Raja Mambang adalah anak gahara hasil perkahwinan pertama Sultan Muzaffar Syah dengan isterinya, orang kebanyakan. Rasa cemburu dan tidak berpuas hati yang mendorong Raja Mambang membunuh adinda serta bonda saudaranya sendiri. Raja Mambang kemudiannya mati ditikam dengan lembing oleh kakitangan istana.

Kemangkatan Sultan Patik Siam, menyebabkan para pembesar Patani bermesyuarat dan bersetuju melantik Raja Bahadur, sebagai pengganti yang paling layak menaiki tahta. Raja Bahadur merupakan putera Almarhum Sultan Mansur Syah, menaiki tahta menggunakan gelaran Sultan Bahadur Syah (1573 – 1584).

Sultan Bahadur Syah mempunyai seorang kekanda bernama Raja Bima, putera gahara dari ibunya orang kebanyakan. Setelah lama berada di atas tahta, Sultan Bahadur Syah berselisih faham dengan Raja Bima yang semakin lama bertambah melarat. Akhirnya Sultan Bahadur Syah juga mangkat dibunuh dari belakang oleh Raja Bima. Orang-orang istana mengepung dan membunuh Raja Bima sebelum sempat beliau melarikan diri.

(Nota: Banyak sejarah Patani yang ditulis oleh orang Inggeris, kemudiannya disalin semula oleh orang Melayu meyatakan bahawa Raja Mambang dan Raja Bima adalah anak luar nikah Sultan Muzaffar Syah dan Sultan Mansur Syah dengan gundik / concubine. Penulis / Syeikh Kerutuk tidak dapat menerima kenyataan tersebut kerana ia adalah fitnah kepada Raja Melayu Patani. Ini adalah kerana kedua-dua raja tersebut adalah beragama Islam yang sentiasa merujuk kepada ulama. Patani, sebuah negeri yang terkenal dengan pusat penyebaran Islam di Nusantara sehingga ke tanah Arab, telah menjalankan pemerintah mengikut al-Quran dan Sunah. Selain itu juga, menteri-menteri, pembesar-pembesar dan Raja-Raja Kecil Patani adalah dari golongan ulama berketurunan Syeikh Syafiuddin dan Kesultanan Islam Champa yang terkenal dengan ilmu agama mereka, sebagai tempat rujukan  agama  di Patani).


Setelah kemangkatan Sultan Bahadur Syah, tiada lagi pewaris tahta dari kalangan putera Raja Patani berketurunan Seri Wangsa. Sultan Bahadur Syah hanya meninggalkan tiga orang puteri.  Patani menjadi terkenal dan masyhur di mata dunia setelah diperintah oleh ratu atau Nang Chayang yang bermaksud Raja Perempuan. Raja Perempuan ini berjaya mentadbir Patani menjadi sebuah negeri maju dan juga berjaya mempertahankan diri dari serangan atau penaklukan musuh tradisinya.

Raja Hijau (1584 – 1616) menaiki tahta menggantikan ayahanda, kemudian diganti pula oleh adinda baginda, Raja Biru (1616 – 1624) setelah kemangkatan Raja Hijau. Patani kemudiannya diperintah oleh Raja Ungu (1624 – 1635).

Raja Kuning (1635 – 1649) adalah puteri kepada Raja Ungu serta suami baginda, Sultan Abdul Ghafur Mahiuddin (Sultan Pahang, 1592 – 1614). Baginda adalah Raja Patani terakhir dari keturunan Raja Seri Wangsa (Sri Wijaya) kerana setelah kemangkatan baginda tiada pewaris yang layak menaiki tahta kerajaan.

Patani kemudiannya diperintah oleh Raja-Raja dari Dinasti Kelantan berketurunan Kesultanan Islam Champa. Ini bermakna berakhirnya keturunan Raja Sri Wijaya yang memerintah Patani, sebagaimana Kedah dan Kelantan.

Peta Semenanjung Tanah Melayu


Sejarah Patani sebenarnya banyak telah dikelirukan oleh Inggeris dan Siam untuk mengaburi sejarah sebenar Patani. Tujuannya ialah supaya orang Melayu terkemudian akan terlupa bahawa Patani adalah sebenarnya adalah sebuah empayar Melayu yang berasal dari nama Langkasuka. Selain itu mereka ingin mengekalkan penjajahan terhadap bumi Patani dengan menghapuskan semua bukti yang boleh menjadi alasan terhadap tuntutan pembebasan Patani.

Sejarah Kedah ditulis semula untuk menutup sejarah silam Patani. Islam telah tiba di Patani seawal tahun 750 Masehi yang dibawa oleh ulama dari Pasai (Aceh). Mujurlah Tarikh Patani tulisan ulama-ulama Islam terdahulu masih lagi tersimpan dengan baik sebagai rujukan silang bagi menafikan pembohongan sejarah Inggeris dan Siam. Tetapi ramai sejarahwan hari ini lebih gemar merujuk sejarah yang ditulis oleh bangsa penjajah, mungkin sejarah itu lebih muktabar bagi bagi tujuan pengiktirafan golongan tertentu barangkali….