4 November 2016

Serangan di tiga wilayah selatan Thailand



ANGGOTA polis berkawal di sebuah kedai serbaneka yang musnah dalam serangan bom di Pattani, kelmarin. - AFP

Bangkok: Serangan bom dan tembakan di tiga wilayah di selatan Thailand kelmarin menyebabkan tiga orang maut manakala beberapa lagi mangsa cedera.

Serangan hampir serentak yang berlaku di Songkhla, Pattani dan Narathiwat itu adalah keganasan pertama sejak Raja Bhumibol Adulyadej meninggal dunia pada bulan lalu.

Dua pengawal keselamatan di sebuah pusat jualan kenderaan di Songkhla maut selepas ditembak beberapa individu tidak dikenali.

“Penyerang kemudian membakar premis itu,” kata ketua polis Songkhla, Pipop Chanapol.

Polis berkata, seorang askar yang mengawal sebuah pejabat untuk veteran perang di wilayah Pattani maut ditembak penyerang tidak dikenali.

Tambahnya, beberapa lagi mangsa cedera dalam sejumlah kejadian tembakan dan serangan bom kecil di Songkhla, Pattani dan Narathiwat.

Serangan itu dilakukan ketika lawatan seorang bekas jeneral tentera, Udomdej Sitabutr yang baru dilantik sebagai menteri di wilayah bergolak berkenaan.

Udomdej yang juga Timbalan Menteri Pertahanan mengetuai Kabinet wilayah yang baru yang bertujuan mengembalikan keamanan. - AFP
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 November 2016 @ 7:54 AM

No comments:

Post a Comment