21 March 2007

PAS kecam pembunuhan ke atas umat Islam di Selatan Thailand


March 21, 2007
KUALA LUMPUR, 19 Mac (Hrkh) – Selepas ‘tragedi berdarah’ membabitkan pembunuhan beramai-ramai umat Islam di sekitar Selatan Thailand akhir tahun 2005, negara ‘Gajah Putih’ itu turut disaksikan dengan kejatuhan Perdana Menterinya, Thaksin Sinawatra yang digulingkan oleh tentera negara itu akhir tahun lalu.
Namun negara jiran Malaysia itu yang akhirnya dipimpin oleh tentera dengan Perdana Menterinya, General Surrayudh Chulanont tidak banyak mengubah nasib umat Islam sebagai golongan minoriti di Thailand malah, terkini, konflik Selatan Thailand merebak ke Songkla dengan tiga pelajar terbunuh dan tujuh lagi cedera setelah sebelum ini banyak nyawa terkorban dalam pertempuran lain.
Mengulas tragedi itu Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS, Dr Syed Azman Syed Ahmad Nawawi berkata, PAS mengecam keras pembunuhan tiga pelajar sekolah agama di Songkhla itu.
“Ini satu tindakan yang tidak berperikemanusiaan dan PAS mengutuk keras kekejaman yang berulang di zaman pemerintahan tentera yang dipimpin oleh Perdana Menteri, Surrayudh ini,”katanya.
Baginya sejarah telah membuktikan bahawa tentera negara Thailand mempunyai rekod buruk dalam melayan hak asasi masyarakat Islam Selatan Thailand dengan tindakan kejam meskipun pimpinan negara silih berganti, kata Syed Azman yang dihubungi Harakahdaily hari ini.
Dalam hal ini sikap PAS jelas bahawa pelbagai laporan yang dikeluarkan dalam media yang menyatakan punca keganasan adalah dari perbuatan umat Islam adalah sama sekali dicurigai, kata Syed Azman.
“Keganasan tentera Thailand ke atas umat Islam bukan benda baru dan dunia mengetahui sejarah ini, justeru laporan yang mendakwa umat Islam bertindak ganas adalah tidak tepat,” katanya.
Dalam hal terbabit beliau tidak menolak kemungkinan PAS dan beberapa NGO lain akan mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kedutaan Thailand seperti yang pernah dilakukan sebelum ini ketika isu tragedi berdarah di Selatan Thailand berlaku.
“Kita akan bermesyuarat esok dan kita akan putuskan tindakan seterusnya, dan bagi PAS kita sentiasa mengadakan beberapa langkah mempertahankan hak umat Islam di Thailand,” katanya jelas.
Konflik di Selatan Thailand merebak ke wilayah Songkla semalam dengan tiga pelajar terbunuh dan tujuh lagi cedera apabila sekumpulan penyerang melontar bahan letupan dan melepaskan tembakan ke arah sebuah sekolah agama di selatan negara ini.
Akhbar harian melaporkan, jurucakap polis, Kolonel Thammasak Wasaksiri berkata, serangan itu berlaku lewat malam tadi di Bamrungsart Pohnor, sebuah madrasah berasrama di daerah Sabayoi, Songkhla.
Penyerang melepaskan berpuluh-puluh tembakan ke arah bilik asrama sekolah agama itu yang menempatkan kira-kira 75 pelajar lelaki yang sedang tidur, kata pegawai itu.
Seorang pelajar berusia 12 tahun dan dua berumur 14 tahun terbunuh dalam serangan itu, katanya.
Tujuh pelajar berusia antara 13 hingga 17 mendapat rawatan kerana cedera akibat terkena tembakan.
Thammasak berkata, polis percaya kumpulan pemisah Islam melancarkan serangan itu dan berharap untuk meyakinkan penduduk Islam tempatan bahawa pihak berkuasa yang mendalangi keganasan.
Pemisah berbuat demikian sebagai helah untuk mendapatkan sokongan penduduk kampung terhadap perjuangan mereka, dakwanya.
Bagaimanapun, beratus-ratus penduduk kampung Islam mengadakan protes pagi ini dengan menyatakan mereka tidak percaya orang Islam melancarkan serangan itu.
“Penduduk kampung menuduh askar payung terjun menyerang madrasah itu,” kata Thammasak.
Serangan bom dan tembakan yang dilepaskan dari kenderaan bergerak berlaku hampir setiap hari di tiga wilayah majoriti Islam di selatan iaitu Yala, Narathiwat dan Pattani dan semakin kerap di wilayah berhampiran, Songkhla.
Walaupun guru beragama Buddha menjadi sasaran serangan, kanak-kanak sekolah pada umumnya terlepas daripada keganasan itu.
Negara ini digemparkan oleh satu serangan kejam minggu lepas apabila sekumpulan lelaki menyerang hendap sebuah bas di Yala dan membunuh lapan penumpang dengan menembak kepala mereka.
Insiden pada Rabu lalu itu disusuli pada malamnya dengan satu letupan bom di sebuah masjid dan satu serangan bom tangan yang membunuh dua penduduk Islam di sebuah kedai kopi.
Tentera Thai mengenakan perintah berkurung di dua daerah di Yala pada Khamis lalu.
Jurucakap tentera, Kolonel Akara Thiprot berkata, langkah itu merupakan kali pertama tentera mengenakan perintah berkurung di wilayah berkenaan sejak Januari 2004.

Kehilangan Penduduk Angkara Pasukan Keselamatan, Dakwa HRW


March 21, 2007
BANGKOK, 20 Mac (Bernama) — Pertubuhan hak asasi manusia, Human Rights Watch (HRW), berkata pasukan keselamatan Thailand tidak mengambil sebarang tindakan terhadap anggotanya yang dikatakan bertanggungjawab atas kehilangan penduduk wilayah selatan negara itu.
Dalam laporan yang dikeluarkan di New York dan di sini, HRW berkata ia mendapati kebanyakan yang hilang tanpa kesan itu adalah mereka yang disyaki oleh polis dan tentera sebagai militan, penyokong keganasan atau mempunyai maklumat mengenai kejadian serangan.
“Pasukan keselamatan Thailand menggunakan taktik itu sebagai cara untuk melemahkan militan dan menyemai rasa ketakutan di kalangan masyarakat Islam. Ini nampaknya perkara dasar dan bukan kerja orang jahat dalam pasukan keselamatan,” kata Pengarah HRW Asia Brad Adams.
Katanya kerajaan harus mengeluarkan kenyataan awam mengenai dasar menentang insiden kehilangan penduduk dan mengambil tindakan terhadap mereka yang bertanggungjawab.
“Ketika kebanyakan kes kehilangan penduduk berlaku semasa pemerintahan Thaksin Shinawatra, ramai pegawai kanan tentera dan polis yang melaksanakan dasar itu masih bertugas. Thaksin mengakui insiden seperti itu pada 2005 tetapi belum ada sebarang langkah untuk menghentikannya atau menghukum mereka yang bertanggungjawab,” kata Adams.
Laporan 69 muka-surat itu bertajuk: “It Was Like Suddenly My Son No Longer Existed: Enforced Disappearances in Thailand’s Southern Border Provinces,” memberi butiran 22 kes kehilangan tanpa kesan yang belum diselesaikan di mana keterangan kukuh menunjukkan pasukan keselamatan Thailand terbabit.
HRW berkata laporan itu berdasarkan temubual dengan ramai saksi, keluarga mangsa dan para pegawai Thailand sejak Februari 2005.
Menurut laporan itu, jumlah sebenar kehilangan penduduk besar kemungkinan tidak dilaporkan berikutan ramai keluarga mangsa hanya berdiam kerana takut dengan tindakan balas pihak berkuasa dan kurang keberkesanan hak perlindungan saksi.
HRW berkata kehilangan penduduk etnik Melayu Islam yang disyaki terbabit dalam pemberontakan di wilayah itu bermula beberapa hari selepas Thaksin menekan pasukan polis dan tentera supaya segera menahan mereka yang bertanggungjawab menyerang sebuah kem tentera di wilayah Narathiwat pada 4 Jan 2004.
Selepas penggulingan Thaksin 19 Sept tahun lepas, pemimpin kerajaan yang disokong tentera Jeneral Surayud Chulanont mengakui masalah di wilayah selatan itu dan berjanji memperkenalkan pendekatan mesra berbanding langkah keras Thaksin.
“Namun kerajaan Surayud hanya melakukan usaha kecil untuk mengotakan janji-janji itu,” kata HRW.
HRW juga berkata agensi kerajaan khususnya polis, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Kehakiman, Suruhanjaya Kebangsaan Hak Asasi Manusia dan Pusat Pentadbiran Wilayah Selatan juga gagal menjalankan siasatan penuh dan adil terhadap kes kehilangan itu.
Menurut laporan HRW, kebanyakan daripada 22 keluarga mangsa berkata mereka menerima bantuan kewangan sebanyak Bt100,000 (RM10,675) dari kerajaan tetapi mereka tidak menanggap pampasan itu sebagai menggantikan siasatan serius bagi mengesan anggota keluarga yang hilang.
HRW berkata kerajaan Thailand harus mengambil langkah menghentikan perbuatan itu dan menjadikan ia sebagai kesalahan jenayah dan mendakwa mereka yang terbabit.