19 December 2015

Mangsa tembak di Narathiwat meninggal dunia

SABTU, 19 DISEMBER 2015 @ 4:04 PM

Oleh Azman Mahmood azmanm@bh.com


MOHAMAD Shahriduwan, 24

. KOTA BHARU: Rakyat Malaysia yang parah ditembak di Jalan Narathiwat-Takbai, Narathiwat, Thailand, Isnin lalu, meninggal dunia kira-kira 8 malam tadi waktu tempatan. Perkara itu disahkan bapa arwah, Ismail Ahmad, 66, ketika dihubungi di sini, sebentar tadi. Katanya, Mohamad Shahriduwan, 24, menghembuskan nafas terakhir di sisi isterinya, Phochanee Pachara, 38, dan ahli keluarganya selepas lima hari dirawat di Hospital Narathiwat. "Alhamdulillah, urusan menghantar pulang jenazah berjalan lancar dan selamat tiba di rumah di Kampung Kedai Buloh, Badang di sini jam 12 tengah hari tadi," katanya. Jenazah Mohamad Shahriduwan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Badang, di sini, sebentar tadi. Dalam kejadian 5 petang, 14 Disember lalu, Mohamad Shahriduwan dan isterinya yang berasal dari daerah Yingo, Narathiwat diserang sekumpulan lelaki sebelum ditembak. Arwah parah di kepala dan menerima rawatan di Hospital Narathiwat, manakala isterinya cedera.

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/106547

15 December 2015

Warga Malaysia, Isteri Cedera Ditembak


Diterbitkan: Selasa, 15 Disember 2015 12:21 AM
Gambar hiasan.

NARATHIWAT: Seorang warga Malaysia cedera parah sementara isterinya warga Thai cedera ditembak dalam satu kejadian di jalan raya Narathiwat-Takbai di Kg Kaluwa, daerah Muang Narathiwat.
Mangsa warga Malaysia itu dikenali sebagai Mohamad Shahriduwan Ismail, 24, berasal dari Kg Kedai Buluh Badang, Kota Baharu, dan isterinya, 38, berasal dari Daerah Yingo, Narathiwat.
Kolonel Polis Manit Yimsai, Ketua Polis Daerah Muang Narathiwat, berkata pasangan itu dalam perjalanan dari Takbai untuk pulang ke rumah si isteri apabila mereka diserang oleh orang dari sebuah kereta.
Menurut Manit, isteri Mohamad yang memandu kereta ketika itu berjaya mengawal kenderaannya dan seterusnya melanggar kereta suspek hingga terbalik.
Beliau berkata si isteri terus memandu kereta hingga sampai di Hospital Narathiwat untuk mendapatkan rawatan.
Polis sedang memburu suspek, dan menyiasat motif kejadian itu. - BERNAMA 

14 December 2015

Bom: Jasad dalam kubur terpelanting keluar

13 DISEMBER 2015

YALA - THAILAND. Seorang pegawai perisikan terkorban manakala bapanya cedera parah apabila bom yang ditanam di dalam kubur ibu mangsa meletup ketika dua beranak itu membaca surah Yasin di kubur yang terletak di Kampung Bo Jet Look, di daerah Muang Yala, di sini, hari ini.
Dalam kejadian pukul 6.30 pagi tadi, kesan letupan kuat itu menyebabkan jasad ibu mangsa terkeluar dari liang kubur yang dikebumikan tiga hari lepas.
Ketua Polis Daerah Muang Yala, Kol.Pol. Kerisda Keawjandi berkata, bom seberat 10kg itu dipercayai ditanam oleh kumpulan pemisah, Rakib Dollah, yang menyasarkan mangsa, yang juga seorang anggota renjer di daerah berkenaan.
Beliau berkata mangsa, Sheik Chedomad meninggal dunia di tempat kejadian manakala bapanya, Aziz Chedomad cedera parah dan kini dirawat di Hospital Pusat Wilayah Yala di sini.
Bagaimanapun, umur dua beranak itu tidak diketahui. Dalam pada itu, Ketua Pejabat Daerah Muang Yala, Konsakul Chanraj, menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berperikemanusiaan dan melampau hingga penduduk kampung juga rasa terkesan dan amat sedih kerana pelaku sanggup bertindak kejam. - Bernama

9 December 2015

Empat renjer cedera dalam serangan bom di Pattani

Pattani: Seorang anggota renjer sukarela parah dan tiga lagi cedera selepas sebutir bom yang ditanam di bawah sebuah rumah dalam pembinaan di daerah Yaring meletup pagi semalam.
Jurucakap polis, Kosit Benjakul berkata, kejadian berlaku jam 10 pagi (waktu tempatan) ketika anggota renjer berkenaan berehat di rumah itu selepas mengiringi sekumpulan guru ke sekolah.
Katanya, secara tiba-tiba sebutir bom yang diletakkan di bawah rumah berkenaan meletup.
“Letupan itu menyebabkan empat anggota renjer cedera dan seorang daripada mereka parah di bahagian kaki.
“Semua anggota renjer berkenaan dihantar ke hospital di Pattani dan keadaan mereka dilaporkan stabil,” katanya.
Menurutnya, sebahagian besar rumah berkenaan yang masih dalam pembinaan juga rosak teruk.
“Bom itu diletupkan menggunakan alat kawalan jauh dan kami menyiasat motif serta dalang serangan,” jelasnya. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 9 Disember 2015 @ 10:52 AM


ANGGOTA polis menyiasat lokasi serangan bom di daerah Yaring di Pattani, semalam.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/98933#sthash.iWuKV9bS.dpuf