22 September 2015

4 pegawai tentera Thailand kena waran tangkap


WARTAWAN SINAR HARIAN
21 SEPTEMBER 2015
gari

SONGKHLA - THAILAND. Polis selatan Thai semalam memperoleh waran tangkap terhadap empat orang anggota tentera atas tuduhan terbabit dengan kes pemerdagangan manusia.
 
Timbalan Ketua Polis Thailand, Jeneral Polis Ak Angsananont berkata, ia dikeluarkan terhadap tiga pegawai tentera darat dan seorang pegawai tentera laut.
 
Mereka ialah Kolonel Nattasit Maksuwang yang bertugas di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Satun, Kapten Visut Bunnak dan Kapten Santat Pechnoi di Bahagian Keselamatan Dalam Negeri Wilayah Chumporn.
 
Sementara pegawai tentera laut terbabit ialah Komander Kampanat Sangthonjin dari Tentera Laut Bahagian Ke-3, katanya kepada pemberita.
 
Setakat ini 150 waran tangkap telah dikeluarkan pihak mahkamah ke atas individu yang didakwa terlibat dengan kes pemerdagangan manusia, kata beliau.
 
Angsananont berkata 89 orang telah ditahan atau menyerah diri sementara 61 orang lagi masih bebas termasuk 20 orang yang dipercayai bersembunyi di luar negara.
   
Beliau berkata waran tangkap akan dipohon terhadap beberapa orang lagi pegawai tentera dan polis dalam masa terdekat dan hanya menunggu bukti soal-siasat. - Bernama

21 September 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani


19 SEPTEMBER 2015

Pemimpin kanan PULO dibebaskan di Pattani

Mat Keri Daud, 35, adalah salah seorang dari lima tahanan yang terlibat dalam kegiatan kumpulan pemisah yang dibebaskan oleh Kerajaan Thailand hari ini dalam usaha membantu perdamaian dan menyelesaikan keganasan di selatan Thailand. - Foto Bernama

PATTANI - THAILAND. Pemimpin kanan Pertubuhan Pembebasan Bersatu Pattani (PULO) Daud Maseng atau lebih dikenali Daud Ternang merupakan antara lapan tahanan dibebaskan dari penjara di Pattani hari ini.

Lima daripada tahanan tersebut termasuk Daud, 58, telah dipenjarakan kerana terbabit dengan gerakan militan di selatan Thailand, dan pembebasan itu dilihat langkah yang selari dengan proses perdamaian yang sedang berlangsung.
 
Empat lagi tahanan yang terlibat dengan gerakan militan yang dibebaskan ialah Mat Keri Daud, 35, Hama Semae, 42, Nuruddin Awae, 36, dan Arfan Awae, 30.
 
Tiga lagi tahanan yang dibebaskan ialah penjenayah biasa iaitu Alee Saleh, 58, Thirapath Thaveenart, 37, dan Jirawat Sisukmak, 37.
 
Kesemua mereka dibebaskan oleh pihak berkuasa Thailand kerana mempunyai tingkah laku yang baik dan dasar kerajaan yang komited dan ikhlas dalam menyelesaikan masalah pergolakan di selatan Thailand.
 
Adik Daud, Abdullah Maseng, berkata anggota keluarga mereka diberitahu berkenaan dengan pembebasan itu tiga hari yang lalu.
 
Bagaimanapun, Daud tidak berkata apa-apa kepada wakil media yang menunggu untuk melaporkan pembebasannya dan terus menaiki kereta yang disediakan oleh
anggota keluarganya untuk pulang ke rumah di Kampong Ternang, Panaret, kira-kira 35 km dari Penjara Pattani.
 
Daud telah berada dalam penjara hampir 18 tahun, iaitu sejak ditahan di Malaysia pada 1997 bersama-sama dua lagi pemimpin PULO yang telah dibebaskan
lebih awal iaitu Abdul Rahman Bedo, 70, yang dibebaskan pada 30 November 2013 dan  Ismail Ternang,  61, yang dibebaskan pada 17 Julai lalu.
 
Daud telah dijatuhi hukuman mati kerana disabitkan dengan kesalahan terlibat dengan Gerakan Pembebasan Pattani tetapi beliau diampunkan dan hukuman diringankan kepada penjara seumur hidup kerana berkelakuan baik ketika dalam penjara.
 
Sepanjang menjalani hukuman itu, beliau telah ditempatkan di empat penjara iaitu Bangkuan, Bangkok, Songkhla dan Pattani.
 
Antara yang hadir menyaksikan pembebasan tahanan hari ialah Datuk Panut Uthairat, Setiausaha Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan (SBPAC)
serta anggota keluarga tahanan yang dibebaskan. - Bernama

Tiga maut di Narathiwat


Narathiwat: Tiga terbunuh dan 14 lagi cedera selepas bom yang diletakkan di sebuah motosikal meletup di daerah Rangae di sini lewat kelmarin, kata polis semalam.

Jurucakap polis, Phakdi Preechachol berkata, letupan berhampiran sebuah kedai runcit itu menyebabkan seorang pegawai tentera dan dua orang awam terbunuh.

Katanya, serangan itu juga menyebabkan 14 orang cedera termasuk seorang askar yang cedera parah di kaki dan terpaksa dipotong.

“Beberapa bom lagi turut meletup di kawasan yang sama, tetapi tidak menyebabkan sebarang kecederaan.

“Kematian dan kecederaan itu berpunca daripada letupan bom motosikal berkenaan,” katanya.

Menurutnya, empat askar juga cedera ringan dalam serangan itu dan sudah dibenarkan keluar dari hospital.

“Kami kini menyiasat dan memburu individu yang bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan,” jelasnya.

Serangan bom dan pembunuhan sering berlaku di wilayah di selatan Thailand yang dipercayai didalangi kumpulan pemisah.

Sejak 2004, lebih 6,400 penduduk dan askar kerajaan terbunuh dalam keganasan di wilayah berkenaan.

Bangkok sebelum ini berikrar untuk mengembalikan keamanan di wilayah itu dan mengadakan dialog dengan pemimpin kumpulan pemisah.

Kerajaan Thailand juga membebaskan dua bekas pemimpin pemisah sebagai satu cara untuk mengembalikan keyakinan penduduk di wilayah itu terhadap kerajaan. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 19 September 2015 @ 5:10 AM


ANGGOTA tentera Thai memeriksa lokasi motosikal yang digunakan dalam serangan berkenaan.

7 September 2015

Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

AHAD, 6 SEPTEMBER 2015 @ 6:22 PM


PATTANI: Seorang imam sebuah masjid mati ditembak semalam sementara empat anggota pasukan renjer Thailand cedera parah terkena letupan bom hari ini, dalam keganasan yang masih berlaku di selatan Thailand.

Kata Po Kol Kampol Pollapakdee, Ketua Polis Daerah Kapor, Pattani berkata, imam Masjid Kg Payo, Mukim Kadunung, Saiburi, dikenali sebagai Deraman bin Chewan, mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal pada 8.30 pagi.

Deraman, 76, cedera parah ditembak lima kali dengan pistol di badan dan kepala dan kemudian meninggal dunia di hospital Saiburi.

Ketika kejadian, imam berkenaan sedang menaiki motosikal untuk membeli makanan pagi di sebuah kedai di kampung itu.


Dia pernah ditembak pada 2013 dan cedera parah.

Sementara itu, keempat-empat anggota renjer berkenaan cedera di badan dan kepala akibat bom buatan sendiri seberat 100 kilogram yang meletup di Jalan Kapor-Saiburi, di Kampong Teluk Deraman, Daerah Kapor.

Beliau berkata, pasukan renjer berkenaan dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat petang tadi dan bom diletupkan apabila mereka tiba di tempat kejadian.

"Trak pikap yang digunakan mereka tercampak sejauh 10 meter dan musnah teruk," katanya.

Beliau berkata, pihak polis berjaya mengesan dua lagi bom yang tidak meletup di kawasan yang sama, masing-masing seberat 50 kilogram.

Satu daripadanya dipasang dalam tong gas memasak dan satu lagi dalam paip yang diletak atas motosikal yang diubahsuai dan ditinggalkan di tepi jalan itu.

- BERNAMA

6 September 2015

Imam mati, renjer cedera dalam keganasan di Pattani

AHAD, 6 SEPTEMBER 2015 @ 6:22 PM


PATTANI: Seorang imam sebuah masjid mati ditembak semalam sementara empat anggota pasukan renjer Thailand cedera parah terkena letupan bom hari ini, dalam keganasan yang masih berlaku di selatan Thailand. Kata Po Kol Kampol Pollapakdee, Ketua Polis Daerah Kapor, Pattani berkata, imam Masjid Kg Payo, Mukim Kadunung, Saiburi, dikenali sebagai Deraman bin Chewan, mati ditembak oleh dua lelaki bermotosikal pada 8.30 pagi.

Deraman, 76, cedera parah ditembak lima kali dengan pistol di badan dan kepala dan kemudian meninggal dunia di hospital Saiburi.

Ketika kejadian, imam berkenaan sedang menaiki motosikal untuk membeli makanan pagi di sebuah kedai di kampung itu.

Dia pernah ditembak pada 2013 dan cedera parah.

Sementara itu, keempat-empat anggota renjer berkenaan cedera di badan dan kepala akibat bom buatan sendiri seberat 100 kilogram yang meletup di Jalan Kapor-Saiburi, di Kampong Teluk Deraman, Daerah Kapor.

Beliau berkata, pasukan renjer berkenaan dalam perjalanan pulang daripada mesyuarat petang tadi dan bom diletupkan apabila mereka tiba di tempat kejadian. "Trak pikap yang digunakan mereka tercampak sejauh 10 meter dan musnah teruk," katanya.

 Beliau berkata, pihak polis berjaya mengesan dua lagi bom yang tidak meletup di kawasan yang sama, masing-masing seberat 50 kilogram.

 Satu daripadanya dipasang dalam tong gas memasak dan satu lagi dalam paip yang diletak atas motosikal yang diubahsuai dan ditinggalkan di tepi jalan itu. - BERNAMA

Selanjutnya di : http://www.bharian.com.my/node/79982

4 September 2015

Tahan suspek di Narathiwat

Bangkok: Polis menahan seorang lelaki tempatan di Narathiwat, selatan Thailand kerana disyaki terbabit dalam serangan bom di Bangkok pada 17 Ogos lalu.
Tangkapan itu menjadikan semua suspek serangan bom di kuil Erawan yang mengakibatkan 20 orang maut meningkat kepada tiga orang.
Kamarudeng Saho, 38, ditahan selepas unit khas polis menyerbu rumahnya di Sungai Kolok pada Selasa lalu.
Lelaki itu kemudian diterbangkan ke Bangkok dengan helikopter pada Rabu lalu dan ditahan di sebuah pangkalan tentera.
Laporan penahanan lelaki itu disahkan oleh jurucakap polis, Prawut Thawornsiri kelmarin.
Prawut berkata, lelaki itu ditahan selepas penyiasat mendapati dia pernah berhubung melalui telefon dengan suspek wanita yang dikehendaki, Wanna Suansan atau nama Islamnya, Maisaroh.
Wanna dan suaminya, Emrah Davutoglu dikehendaki kerana disyaki terbabit dalam serangan bom berkenaan.
Bagaimanapun, pasangan itu kini berada di Turki.
Sementara itu, Turki semalam melahirkan keraguan mengenai laporan, serangan bom berkenaan didalangi rakyat negara itu.
Dalam satu kenyataannya, kedutaan Turki di Bangkok memberitahu pihaknya tidak menerima sebarang maklumat daripada pihak berkuasa Thailand.
“Kami tidak menerima pengesahan rasmi daripada pihak berkuasa Thailand mengenai kewarganegaraan semua suspek yang ditangkap dan diburu,” katanya.
Pihak berkuasa Thailand membayangkan sekurangkurangnya dua daripada lapan suspek serangan bom berkenaan kemungkinan warga Turki.
Kaitan warga Turki menguatkan lagi teori bahawa serangan bom itu bermotif dendam selepas Bangkok menghantar pendatang etnik Uighur dari China pulang ke negara asal pada Julai lalu.
Thailand dipercayai menjadi negara transit bagi etnik Uighur yang ditindas di China untuk berhijrah ke Turki.
Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 4 September 2015 @ 6:20 AM


KAMARUDENG Saho (kanan) diiringi anggota tentera Thai selepas ditahan di Narathiwat.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/75139#sthash.0IQSRLxS.dpuf

1 September 2015

2 lagi suspek serangan bom diburu


PRAWUT memegang sebuah tablet yang menunjukkan gambar Wanna Suansan yang diburu polis di Bangkok semalam.


BANGKOK – Polis Thailand sedang memburu seorang wanita tempatan dan seorang lelaki tidak dikenali selepas bahan membuat bom ditemui di apartmen kedua yang diserbu pihak berkuasa.
Perkembangan itu berlaku selepas polis mendapat petunjuk baharu berhubung kes letupan bom di Kuil Erawan, tengah Bangkok, pada 17 Ogos lalu. Serangan pa­ling dahsyat di Thailand itu membunuh seramai 20 orang dengan kebanyakan mangsa terdiri daripada pelancong China dari seluruh Asia.
Pada Sabtu lepas, polis menahan seorang lelaki warga asing di sebuah apartmen lain dan menemui beberapa peledak, paip dan sejumlah bebola besi.
Dalam satu siaran televisyen semalam, jurucakap polis nasional, Prawut Thavornsiri menunjukkan sekeping gambar wanita yang diburu. Suspek yang berusia 26 tahun dilihat memakai jubah hitam dan dikenali sebagai Wanna Suansan.
Gambar itu diambil daripada kad pengenalannya.
Prawut turut memaparkan sekeping lukisan suspek kedua yang bermisai.
Menurutnya, kedua-dua suspek itu dipercayai menyewa bilik kedua di mana lebih banyak peralatan membuat bom ditemui. Polis turut menyiasat kemungkinan terdapat beberapa lagi konco mereka.
“Kami menemui beberapa beg berisi baja, radio kawalan jauh dan peralatan untuk membuat bom,” katanya semalam.
Prawut memberitahu, semua barang berkenaan ditemui dalam serbuan di sebuah apartmen di Minburi, timur laut Bangkok pada hujung minggu lalu.
“Baja itu mengandungi urea nitrat yang biasa digunakan dalam bom buatan sendiri,” jelas Prawut.
Setakat ini, serangan ke atas Kuil Erawan masih menjadi misteri ekoran belum ada pihak yang mengaku bertanggungjawab.
Polis Thailand sebelum ini mengesyaki letupan dilakukan oleh militan antarabangsa, kumpulan pemisah di selatan Thai atau militan tempatan lain atau seseorang yang menyimpan dendam.
Beberapa penganalisis menyatakan bahawa motif serangan di Bangkok itu bagi membalas dendam tindakan Thailand mengusir berpuluh-puluh etnik Islam Uighur ke China baru-baru ini. – AFP


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2015&dt=0901&pub=Kosmo&sec=Dunia&pg=du_03.htm#ixzz3kQvFtAFM 
Hakcipta terpelihara