29 October 2014

Edar dadah: Wanita Thailand ke tali gantung

RABU, 29 OKTOBER 2014 @ 5:08 PM

 
ALOR SETAR: Seorang wanita warga Thailand dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini selepas didapati bersalah mengedar dadah jenis kanabis seberat 16,841 gram, tiga tahun lalu.

Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Mohd Zaki Abdul Wahab menjatuhkan hukuman itu terhadap Rossarin Nuekaew, 33, selepas mendapati keterangan pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Wanita itu yang bekerja sebagai penyambut tetamu di sebuah hotel di Pattaya, selatan Thailand, dituduh mengedar dadah berkenaan di bahagian lorong Terminal Bas Shahab Perdana di sini pada 8.15 malam 9 Disember 2011.

Dia didakwa mengikut Seksyen 39B (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 39B (2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.


Dalam penghakimannya, Mohd Zaki berkata ketika membuat keterangan pembelaan bersumpah, tertuduh menyatakan tidak mengetahui kandungan dua bagasi yang dibawanya kerana dia hanya diarahkan seorang wanita bertudung untuk membawanya ke Kuala Lumpur dengan menaiki bas ekspres.

Wanita itu mendakwa datang ke Malaysia kerana majikannya menaja percutiannya di Kuala Lumpur.

"Tertuduh memberitahu datang dari Pattaya, Thailand dan tiba di pekan Danok untuk ke Changlun. Setibanya tertuduh di Danok, dia kemudian menghubungi seorang lelaki dan diarahkan supaya menaiki motosikal untuk ke Changlun bagi menaiki bas ekspres ke Kuala Lumpur.

"Tertuduh kemudian mendakwa didatangi seorang wanita bertudung yang sama-sama menaiki bas berkenaan dan meletakkan dua bagasi dalam bas berkenaan.

"Bas itu kemudian bergerak dan berhenti di Terminal Bas Shahab Perdana untuk mengambil penumpang lain. Wanita bertudung itu kemudian memberitahu tertuduh supaya menukar bas lain dan menyerahkan dua beg berkenaan kepada tertuduh," katanya.

Mohd Zaki berkata, selepas diberi pertimbangan dan diteliti, keterangan Rossarin didapati bercanggah dengan saksi pendakwa selain dia ditangkap berjalan di terminal bas itu dengan membawa kedua-dua beg berkenaan.

"Keterangan tertuduh tidak boleh dipercayai, percanggahan dan keterangan yang diragui. Pihak pendakwaan pula berjaya membuktikan kes ini melampaui keraguan munasabah. Hukuman ini tiada pilihan lain kecuali menjatuhkan hukuman mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya dengan digantung pada lehernya sampai mati," katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Norshuhada Mohd Yatim manakala Rossarin diwakili peguam Ai Cha Ran a/l Din Chee Ron.

- BERNAMA

Kumpulan Penyerang Bakar Dua Pejabat Pentadbiran Mukim Di Pattani


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 11:35 PM

PATTANI: Dua buah pejabat pentadbiran mukim di daerah Nongchik, Pattani dibakar pada Isnin, setelah kumpulan penyerang yang mulanya hendak membakar sekolah menukar sasaran mereka.
Komander Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jen Prakarn Chollayuth berkata beliau mendapat maklumat mengenai cubaan untuk membakar sekolah itu.

"Ada orang memberitahu saya tentang hal ini iaitu terdapat kumpulan pengkhianat pergi ke sekolah tetapi apabila melihat ramai pengawal keselamatan kampung bertugas lalu mereka menukar sasaran," katanya.

Bangunan kerajaan yang terlibat adalah Banganan Pejabat Pentadbiran Mukim Donrak dan Pulut Puyo.

Ketua Polis Daerah Mukim Nongchik Kol Polis Manit Yimsai berkata kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam dan dilakukan secara serentak.

Semasa kejadian di Pejabat Pentadbiran Mukim Dorak, tiga pengawal keselamatan bertugas diikat tangan dan kaki oleh lelaki bersenjata yang kemudiannya memecahkan cermin dan membakar bangunan dengan menggunakan petrol, kata beliau.

Polis percaya sekurang-kurangnya 10 suspek berada di setiap tempat kejadian.

Sasaran mereka ialah bilik yang penuh dengan dokumen rasmi dan alat-alat komputer. 
Lima buah kereta turut musnah dalam kejadian itu.

Bangunan konkrit dua tingkat itu hanya musnah sedikit dan pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan api.

Selepas kejadian itu, semua pejabat kerajaan yang terletak dalam kawasan berisiko diarahkan supaya lebih berhati-hati.

Polis juga menyiasat sama ada suspek yang mendalangi kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan yang membakar enam buah sekolah di Pattani pada 12 Oktober lalu.

28 October 2014

162 kampung diisytihar zon merah


Tentera Thailand memeriksa landasan kereta api selepas bom yang ditanam puak pemisah meledak di daerah Rangea. Foto oleh AFP
Tentera Thailand memeriksa landasan kereta api selepas bom yang ditanam puak pemisah meledak di daerah Rangea. Foto oleh AFP
BANGKOK - THAILAND, Pihak berkuasa Thailand mengisytiharkan semula 162 kampung di selatan negara itu sebagai zon merah dalam usahanya membendung keganasan di wilayah tersebut.

Media tempatan Bangkok Post melaporkan, kawasan merah itu kini dikenali sebagai 'kampung yang menggalakkan keselamatan' supaya memberi persepsi yang lebih positif.

Selain itu, sebanyak 2,000 zon kuning di wilayah selatan dikenali sebagai kampung dengan pembangunan pesat, manakala zon hijau yang sebelum ini dikenali sebagai kawasan bebas keganasan akan dilabelkan semula menjadi kampung membangun.

Difahamkan menurut laporan DPA, tiga wilayah dengan majoriti penduduk Islam Thailand terlibat dalam pemberontakan sejak 2004 menentang pemerintahan pusat, dan telah mengorbankan lebih 5,000 nyawa.

27 October 2014

Tuntut keadilan tragedi Tak Bai

Bangkok: Pertubuhan pemantau hak asasi manusia, Human Right Watch (HRW) berkata, pihak bertanggungjawab atas kematian umat Islam dalam insiden di Tak Bai pada 2004 mesti dibawa ke pengadilan dan dihukum.
Pengarah HRW Asia Brad Adams berkata, kegagalan kerajaan Thailand mendakwa anggota keselamatan yang bertanggungjawab dalam pembunuhan itu membayangkan ketidakadilan.
“Kegagalan pihak berkuasa melaksanakan keadilan kepada penduduk Muslim di selatan Thailand mencetuskan pemberontakan di wilayah itu,” katanya.
Adams berkata, apa yang berlaku di Tak Bai 10 tahun lalu mesti terus dikenang.
Katanya, melaksanakan keadilan kepada semua mangsa kekejaman itu adalah langkah penting menamatkan kekacauan dan menghormati hak komuniti Muslim setempat.
Dalam kenyataan dikeluarkan sempena ulang tahun ke-10 insiden itu semalam, HRW menggesa Bangkok menunjukkan komitmen bagi mengatasi kekacauan di wilayah selatan Thailand.
Dalam kejadian 25 Oktober 2004 itu, empat penunjuk perasaan dibunuh dalam pertempuran dengan polis dan tentera di luar balai polis Tak Bai.- Reuters
Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 27 Oktober 2014 @ 5:06 AM


- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/4342#sthash.rylHMOyD.dpuf

26 October 2014

Nasib mangsa tragedi Tak Bai belum terbela

TRAGEDI berdarah Tak Bai yang mengorbankan 85 orang masih meninggalkan
TRAGEDI berdarah Tak Bai yang mengorbankan 85 orang masih meninggalkan kesan terhadap penduduk di selatan Thailand, sehingga hari ini. – AGENSI
NEW YORK 25 Okt. – Genap 10 tahun tragedi berdarah Tak Bai di selatan Thailand hari ini, nasib keluarga kira-kira 85 mangsa yang maut sehingga kini masih belum terbela selepas tiada pihak dipertanggungjawabkan di atas kejadian tersebut.
Pengarah Human Rights Watch Asia, Brad Adams berkata, kegagalan kerajaan Thai mendakwa anggota pasukan keselamatan di atas pembunuhan beramai-ramai itu, menjejaskan imej polis, tentera serta mahkamah negara tersebut.
“Kegagalan kerajaan membela nasib penduduk Islam di selatan Thailand juga, menjadi sebab pergolakan semakin menjadi-jadi di wilayah itu,” katanya seperti yang dilaporkan di laman web Human Rights Watch.
Jelas Adams, apa yang berlaku di Tak Bai lebih kurang 10 tahun lalu tidak harus dilupakan.
“Memberi keadilan kepada mangsa tragedi itu merupakan satu langkah penting untuk menghentikan kekejaman dan menghormati hak penduduk Islam di selatan Thai,” ujarnya.
Pada 25 Oktober 2004, sebanyak tujuh penduduk Islam mati ditembak di hadapan sebuah balai polis di daerah Tak Bai ketika membantah penahanan enam rakan mereka.
Bantahan besar-besaran itu disusuli penahanan lebih kurang 1,300 orang penduduk, dengan 78 daripadanya maut akibat sesak nafas ketika dipindahkan menaiki trak ke Kem Tahanan Tentera Inkayut di Pattani.
Pada Ogos tahun lalu, Mahkamah Agung Thailand menyatakan, pihak keselamatan tidak bersalah dalam tragedi itu atas alasan mereka hanya menjalankan tugas.
Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prayuth Chan-ocha berkata, kerajaan juntanya akan menyambung semula rundingan dengan puak pemisah, namun beliau tidak pernah sekali menyentuh mengenai masyarakat Islam.
Ketika masih berkhidmat dalam angkatan tentera, Prayuth juga sering mengingatkan aktivis hak manusia dan wartawan agar tidak membesar-besarkan tragedi pembunuhan Tak Bai kepada masyarakat.
- See more at: http://www.utusan.com.my/berita/luar-negara/nasib-mangsa-tragedi-tak-bai-belum-terbela-1.16703#sthash.qc2l7YXP.dpuf

23 October 2014

Junta Thailand tarik pelancong


Seorang pelancong asing mengabil gambar bersama tentera Thailand selepas penguatkuasaan undang-undang tentera Mei lalu.
Seorang pelancong asing mengabil gambar bersama tentera Thailand selepas penguatkuasaan undang-undang tentera Mei lalu.
BANGKOK - THAILAND. Kerajaan junta Thailand akan mempromosikan pelancongan undang-undang mempertahankan diri selepas melihat bahawa rampasan kuasa tentera pada Mei lalu sebenarnya boleh menarik pelancong berpotensi.

Dalam satu temu bual bersama akhbar Thai Rath, Gabenor Lembaga Pelancongan Thailand (TAT) Thawatchai Arunyik berkata, pihaknya sedang mempersiapkan kempen dikenali sebagai '24 Jam Nikmati Thailand' untuk menarik lebih ramai pelancong asing melawat negara itu di bawah undang-undang tentera.

"Undang-undang tentera memberi kerajaan peluang meluaskan kuasa selain dapat menghalang sebarang perhimpunan politik yang terdiri daripada lebih lima orang. Selain itu, ia bermanfaat kepada pelancongan kerana dapat memastikan pelancong sentiasa selamat selama
24 jam sepanjang mereka berada di negara ini," katanya menurut laporan Bangkok Post.

22 October 2014

Yingluck mohon kebenaran ke luar negara


Yingluck Shinawatra
BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata, Yingluck Shinawatra mengadakan lawatan ke luar negara dua hari lepas dengan kebenaran.
 
"Ya, beliau telah memohon kebenaran. Bagaimana beliau boleh pergi jika tidak membuat permintaan," kata Prayuth ketika ditanya mengenai hal itu.
 
Beliau juga mengesahkan laporan media bahawa Yingluck yang juga bekas Perdana Menteri Thailand akan juga melawat India.
 
Prayuth yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyurat mingguan kabinet di sini, hari ini.
 
Yingluck berlepas ke Jepun bersama anak lelaki dan rakan-rakannya pada 19 Oktober dan dijadual pulang pada 26 Oktober.

Menurut laporan media tempatan, Yingluck akan berada di Jepun selama tiga hari dan menemui abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
 
Mereka kemudian akan ke India untuk menyertai upacara keagamaan Buddha.
 
Sementara itu, Prayuth akan juga melakukan lawatan rasmi ke Kemboja pada 30-31 Oktober.
 
Beliau dijangka membincangkan kerjasama mengenai perdagangan sempadan, zon ekonomi khas dan tenaga marin, kata Yongyuth Maiyarap, jurucakap kerajaan.
 
Katanya, Prayuth akan juga menghadiri mesyuarat Apec di China pada November.
 
Prayuth kemudian akan melakukan lawatan rasmi ke negara-negara Asean termasuk Malaysia, Vietnam, Laos dan Singapura. - Bernama

20 October 2014

Thailand tahan sebahagian suspek kes bakar sekolah


20 Oktober 2014


BANGKOK - THAILAND. Pihak berkuasa Thailand menahan antara enam hingga lapan suspek dipercayai terlibat dalam insiden kebakaran di enam buah sekolah di Pattani, wilayah selatan negara itu yang bergolak, beberapa hari lepas.

Para pemberontak sebenarnya menyasarkan untuk membakar 14 buah sekolah tetapi hanya berjaya menyerang enam buah sekolah berikutan keberkesanan pengawal keselamatan kampung, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwarn.

Sebahagian daripada mereka berjaya ditahan dan mengaku melakukan perbuatan itu, katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kumpulan yang bertanggungjawab.

Prawit berkata, keadaan di selatan semakin bertambah baik berbanding lima hingga enam tahun lepas memandangkan rakyat semakin memahami keadaan dan lebih percaya kepada kerajaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan memastikan pelajar dari sekolah yang terjejas akibat kebakaran itu akan tetap bersekolah apabila semester baharu persekolahan bermula akhir bulan ini. - Bernama

Thailand teruskan usaha cari mangsa nahas bot

ISNIN, 20 OKTOBER 2014 @ 4:25 PM

 
BANGKOK: Polis meneruskan usaha untuk mencari dua pelancong Korea Selatan yang hilang di luar pesisir pantai selatan Thailand selepas bot mereka merempuh sebuah kapal nelayan.

Nahas berlaku petang semalam apabila bot laju yang membawa kira-kira 40 penumpang, termasuk rakyat Korea Selatan, China dan sebilangan pelancong Barat, merempuh sebuah bot nelayan di Laut Andaman, antara pulau popular Phi Phi dan Phuket.

"Pemandu bot laju itu hilang tumpuan dan sedang menarik beg plastik daripada kakinya apabila bot itu terhempas," kata pegawai polis Krabi, Kolonel Pruttipong Nuchnart.

Katanya, pemandu bot berkenaan ditahan kerana mengendalikan bot dengan cuai.



"Anggota tentera laut dan polis maritim sedang mencari seorang lelaki dan seorang wanita dari Korea Selatan yang hilang di perairan berkenaan selepas kejadian itu," katanya.

Usaha pencarian ditangguhkan malam tadi. - AFP


Seorang mangsa nahas bot diusung untuk dibawa ke hospital di jeti Phuket semalam. - Foto AP

17 October 2014

Lelaki rakyat Malaysia maut ditembak di Narathiwat


KHAMIS, 16 OKTOBER 2014 @ 6:21 PM


KUALA LUMPUR: Seorang rakyat Malaysia ditemui mati selepas dipercayai ditembak di kepala dalam satu kejadian di Mukim Batong Rusak, di Narathiwat, pagi tadi.

Lelaki itu berusia 50 tahun berasal dari Kuala Krai, Kelantan dan mayatnya kini ditempatkan di Hospital Rusak, Narathiwat.

Lelaki berkenaan dipercayai terbabit dalam kegiatan mencuri kenderaan mewah di negara ini sebelum diseludup ke Thailand.

Dia juga dipercayai bersembunyi di selatan Thailand sebelum ini.




SEORANG rakyat Malaysia ditemui mati selepas dipercayai ditembak di kepala dalam satu kejadian di Mukim Batong Rusak, di Narathiwat, pagi tadi.

Mati ditembak di kebun Thailand

NARATHIWAT: Seorang rakyat Malaysia ditemui mati ditembak dalam sebuah kebun getah di Narathiwat.
Mayat Sukri Ismail atau nama panggilannya Mat Yei Kudung, 50, yang beralamat Kampung Laloh, Kuala Krai, Kelantan, dijumpai kira-kira 10 pagi ini.
Kapten Monteri Janmuang dari Balai Polis Daerah Rusak di sini, berkata polis menerima laporan tentang penemuan mayat itu daripada Annuar Cheknae, Penolong Ketua Kampong Bangol Laweng, Mukim Batong, Rusak pada 10 pagi ini.
"Mangsa berpakaian baju polo dan jeans mati ditembak dengan pistol yang tak dikenal pasti jenisnya di bahagian kepala dan belakang.
"Daripada siasatan polis, dipercayai mangsa dibawa ke tempat kejadian oleh dua atau tiga lelaki untuk dibunuh dan telah melawan serta cuba melarikan diri tapi gagal," katanya.
Beliau berkata, polis Thailand sudah menghubungi pejabat Konsulat Malaysia di Songkla untuk melaporkan kejadian itu dan polis sedang menyiasat sama ada kes pembunuhan ini ada kaitan dengan puak pemisah atau masalah peribadi.
Sementara itu, menurut sumber Kedutaan Malaysia di Bangkok, ada waran tangkap dikeluarkan terhadap lelaki itu berkaitan kes jenayah.
Terdapat sekurang-kurangnya lima laporan polis dibuat terhadapnya yang dipercayai bersembunyi di Thailand, menurutnya. - BERNAMA
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 8:22 PM


MAYAT lelaki rakyat Malaysia mati ditembak di kebun getah di Kampong Bangol Laweng , Narathiwat, Thailand.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2266#sthash.7hkwCCAl.dpuf

16 October 2014

Pilihan raya di Thailand mungkin dilanjutkan

RABU, 15 OKTOBER 2014 @ 6:27 PM
Perdana Menteri Thailand Jeneral Prayuth Chan-ocha. - Foto AP
 
BANGKOK: Perdana Menteri Thai Prayuth Chan-ocha, yang mengetuai rampasan tentera Mei lalu, berkata pilihan raya yang dirancang pada 2015 bergantung pada keadaan sama ada pembaharuan menyeluruh di peringkat nasional dapat disiapkan dalam tempoh setahun.

Kenyataan bekas ketua tentera itu menambahkan spekulasi bahawa pilihan raya umum yang dijanjikan pada penghujung 2015 akan dilanjutkan, sekali gus melambatkan proses kembalinya demokrasi ke Thailand berikutan rampasan kuasa Mei lalu.

Prayuth membuat kenyataan itu kepada pemberita sebelum menaiki pesawat di Bangkok bagi menghadiri Mesyuarat Asia-Eropah (ASEM) di Milan.

"Saya sudah sediakan pelan tindakan. Pilihan raya mesti diadakan dengan perlembagaan baharu dan 11 bidang pembaharuan.



"Segala-galanya bergantung pada pelan tindakan, jadi kita mesti lihat jika pelan tindakan itu dapat disiapkan. Pilihan raya mengambil masa untuk diaturkan," tambahnya. - REUTERS



Dalang bakar enam sekolah bakal ditahan


Pattani: Tiga lelaki ditahan dan disoal siasat kelmarin ketika polis mendakwa semakin hampir menemui dalang di sebalik pembakaran enam sekolah di dua daerah di Pattani awal pagi Ahad lalu.
Pemangku Ketua Polis Pattani, Krissakorn Pleethanyawong berkata lelaki terbabit ditangkap kerana disyaki terbabit dalam serangan berkenaan.
"Polis sedang mendapatkan maklumat daripada mereka dan mengumpul cap jari serta DNA bagi mengenal pasti dalang sebenar," katanya.
Krissakorn berkata, siastaan polis menunjukkan banyak petanda positif selepas ramai pihak tampil memberikan maklumat.
Serangan serentak di lima sekolah di daerah Thung Yang Daeng dan Mayo itu dipercayai sebagai tidak balas terhadap operasi tentera ke atas pejuang pemisah Islam di selatan Thailand. - Agensi
Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 16 Oktober 2014 @ 5:40 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/2207#sthash.IpWTcKAj.dpuf

15 October 2014

Tukang masak Thai maut, 11 cedera nahas kereta, van


SUNGAI PETANI 15 Okt. - Seorang tukang masak warganegara Thailand maut manakala 11 lagi cedera dalam kemalangan membabitkan tiga buah kenderaan di simpang tiga Kelab Golf Permaipura, Bedong dekat sini hari ini.
Kejadian berlaku kira-kira pukul 7 pagi membabitkan sebuah van kilang dan dua buah kereta masing-masing jenis Kia Spectra dan Proton Saga.
Mangsa yang maut dikenal pasti sebagai Araming Dusong dari daerah Yakrang, Pattani manakala mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) untuk rawatan lanjut. - UTUSAN ONLINE


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20141015/je_06/Tukang-masak-Thai-maut-11-cedera-nahas-kereta-van#ixzz3GDdLbiIg
© Utusan Melayu (M) Bhd 

14 October 2014

Lebih 40 Didakwa Bakar Enam Sekolah Di Pattani


Diterbitkan: Selasa, 14 Oktober 2014 10:25 AM

PATTANI: Sekumpulan lebih 40 orang berpakaian tentera didakwa terlibat membakar enam buah sekolah di Pattani, malam Isnin.

Komander Tentera Bahagian ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Prakarn Chonlayuth berkata anggota tentera sebelum itu telah diarahkan berjaga-jaga setelah menerima maklumat mengenai rancangan kejadian itu.

Pada Isnin,  Prakarn, Timbalan Gabenor Wilayah Pattani Khuanchart Wongsuparanan bersama pegawai pejabat daerah, polis, tentera dan ketua kampung bermesyuarat selama tiga jam di Balai Polis Daerah Tung-yang-daeng untuk mencari jalan bagi menjaga keselamatan sekolah selepas enam sekolah dibakar Ahad.
Prakarn berkata. buat masa ini pasukan keselamatan telah mengetatkan kawalan di sekolah-sekolah.

Pada ketika ini sekolah-sekolah dalam membuat persiapan untuk pembelajaran pada semester dua yang bermula pada awal November ini, dan bagi menggantikan bangunan sekolah yang dibakar maka bangunan sementara untuk menjadi kelas belajar dan peralatan persekolahan mesti disediakan.

Kumpulan berpakaian tentera didakwa bakar enam sekolah di Pattani

SELASA, 14 OKTOBER 2014 @ 7:50 AM

 
PATTANI: Sekumpulan lebih 40 orang berpakaian tentera didakwa membakar enam sekolah di Pattani semalam.

Komander Tentera Bahagian ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Prakarn Chonlayuth, berkata anggota tentera sebelum itu telah diarahkan berjaga-jaga setelah menerima maklumat mengenai rancangan kejadian itu.

Pada hari ini Prakarn, Timbalan Gabenor Wilayah Pattani Khuanchart Wongsuparanan bersama pegawai pejabat daerah, polis, tentera dan ketua kampung bermesyuarat selama tiga jam di Balai Polis Daerah Tung-yang-daeng untuk mencari jalan bagi menjaga keselamatan sekolah selepas enam sekolah dibakar semalam.

Prakarn berkata, buat masa ini pasukan keselamatan telah mengetatkan kawalan di sekolah di wilayah berkenaan.



Ketika ini, sekolah sedang membuat persiapan untuk pembelajaran semester dua yang bermula awal bulan November ini dan bagi menggantikan bangunan sekolah yang dibakar, bangunan sementara untuk dijadikan kelas belajar dan peralatan persekolahan mesti disediakan. - BERNAMA

Askar bakar sekolah di Pattani


14 Oktober 2014


PATTANI - THAILAND. Sekumpulan lebih 40 orang berpakaian tentera didakwa terlibat membakar enam buah sekolah di Pattani kelmarin.

Komander Tentera Bahagian ke-4 Thailand, Leftenan Jeneral Prakarn Chonlayuth berkata, anggota tentera sebelum itu telah diarahkan berjaga-jaga setelah menerima maklumat mengenai rancangan kejadian itu.

Pada hari ini Prakarn, Timbalan Gabenor Wilayah Pattani Khuanchart Wongsuparanan bersama pegawai pejabat daerah, polis, tentera dan ketua kampung bermesyuarat selama tiga jam di Balai Polis Daerah Tung-yang-daeng untuk mencari jalan bagi menjaga keselamatan sekolah selepas enam sekolah dibakar semalam.

Prakarn berkata, buat masa ini pasukan keselamatan telah mengetatkan kawalan di sekolah-sekolah.

Pada ketika ini sekolah-sekolah dalam membuat persiapan untuk pembelajaran pada semester dua yang bermula pada awal bulan November ini, dan bagi menggantikan bangunan sekolah yang dibakar maka bangunan sementara untuk menjadi kelas belajar dan peralatan persekolahan mesti disediakan. - Bernama

Tentera cari dalang


SATU daripada sekolah yang hangus dibakar pejuang pemisah di Pattani. 
Pattani
Tentera kini memburu dalang yang menyebabkan kebakaran di enam sekolah di sekitar Pattani pagi kelmarin.
Panglima Tentera Thailand Udomdej Sitabutr mengarahkan anggotanya memantau wilayah selatan Thailand bagi mencari pihak bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan.
Jurucakap tentera berkata, kebakaran itu mungkin sebagai tindak balas terhadap kejayaan kerajaan menahan beberapa individu penting dalam gerakan pemisah, selain rampasan sejumlah besar senjata sebelum ini.
Enam sekolah di tiga daerah Pattani hangus dibakar jam 2.30 pagi kelmarin.
Penyerang mengikat sukarelawan berkawal di sekolah berkenaan sebelum membakar bangunan sekolah.
Jurucakap tentera berkata, Udomdej memberi perhatian penuh kepada insiden itu dan mengarahkan pihak bawahannya menilai kerosakan berlaku serta membantu orang ramai yang terjejas.
"Udomdej mengarahkan penyerang itu ditangkap segera dan dibawa ke muka pengadilan," katanya.
Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 14 Oktober 2014 @ 5:05 AM
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/1634#sthash.DXFl5hRM.dpuf

13 October 2014

Pattani kembali bergolak


13 Oktober 2014


PATTANI - THAILAND. Enam buah sekolah rendah kerajaan di wilayah Pattani di bakar pada waktu yang sama sekitar jam 2 pagi semalam.

Menurut polis, sebuah sekolah dibakar di daerah Mayo dan lima lagi di daerah Tung-yang-daeng.

Ketua Polis Daerah Mayo, Pol Col Korn-art Suwankham berkata sebuah sekolah kerajaan iaitu Sekolah Ban Kasak di Mukim Kasak, daerah Mayo dibakar oleh beberapa orang suspek.

Sekolah dua tingkat dengan lapan bilik darjah itu musnah dijilat api dan pegawai penyelamat dan bomba mengambil masa dua jam untuk memadamkan api.

Ketua Polis Daerah Tung-yang-daeng  Pol Col Kovit Rattanachot berkata di Daerah Tung-yang-daeng, lima sekolah yang di bakar ialah Sekolah Ban Namdam di Mukim Namdam, Sekolah Ban Khaodin, Sekolah Ban Mananjung dan  Sekolah Ban Paku di Mukim Paku serta Sekolah Ban Tebok di Mukim Piten.

Selain bangunan sekolah, turut musnah atau rosak adalah alat-alat pembelajaran seperti komputer, kata beliau.

Pihak polis sedang menyiasat motif kejadian dan kumpulan yang mendalangi kejadian tersebut, iaitu sama ada ia ada kaitan dengan kumpulan pemisah atau angkara pihak lain.

Selama ini selalunya para guru menjadi sasaran pihak pemisah. - Bernama

Enam sekolah terbakar di Pattani


BANGKOK 12 Okt. - Polis Thailand hari ini menyiasat punca kebakaran yang memusnahkan enam buah sekolah di wilayah Pattani, selatan Thailand.
Kebakaran itu dipercayai bermula tengah malam tadi yang berlaku di dua daerah di wilayah tersebut, kira-kira 1,000 kilometer dari Bangkok.
Sebanyak enam buah sekolah musnah, namun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan berlaku.
"Ketua polis Pattani kini sedang meninjau kawasan berkenaan," kata seorang pegawai di daerah Thung Yang Deang, tanpa mengulas lanjut motif atau suspek kejadian. - DPA


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141013/lu_07/Enam-sekolah-terbakar-di-Pattani#ixzz3Fybr0bxF
© Utusan Melayu (M) Bhd 

9 October 2014

Mansuh undang-undang tentera?


Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha semalam menafikan undang-undang tentera akan ditamatkan malah menegaskan ia diteruskan sehingga pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengumuman berkenaan secara tidak langsung mengetepikan desakan badan pelancongan Thailand yang melihat pemerintahan tentera menjejaskan kedatangan pelancong ke negara itu.


Prayuth yang menggulingkan Yingluck Shinawatra pada Mei lalu berkata, tentera merampas kuasa daripada kerajaan ketika itu untuk mengelak berlaku pertumpahan darah selepas perbalahan selama beberapa bulan yang mengakibatkan hampir 30 orang maut.

“Jangan tanya saya mengenai undang-undang khas ini sekarang.


“Biarlah pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya dan sebaik keadaan kembali pulih saya sendiri akan memikirkan untuk menamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan.


Undang-undang tentera diisytiharkan pada 20 Mei lalu, dua hari sebelum Yingluck digulingkan.

Bulan lalu, junta Thailand berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk menamatkan undang-undang tentera di wilayah yang paling popular sebagai destinasi pelancongan untuk memulihkan industri itu yang merudum akibat kekacauan politik negara itu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

6 October 2014

Polis Marin tahan 24 PATI di Semporna

ISNIN, 6 OKTOBER 2014 @ 11:32 AM

 
SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) menahan 24 pendatang asing tanpa izin (PATI) ketika cuba masuk ke daerah ini dalam tiga operasi di perairan Pulau Mentabuan dan Pulau Bohey Dulang, dekat sini, semalam.

Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Madun, berkata dalam operasi pertama, seorang lelaki dan tiga wanita termasuk seorang kanak-kanak, berusia lingkungan satu hingga 60 tahun ditahan dalam sebuah bot pam pada 10.35 pagi di perairan Pulau Mentabuan.

Katanya, operasi kedua menyaksikan penahanan 16 lelaki berusia lingkungan 15 hingga 53 tahun, selepas bot pam yang mereka naiki ditahan pada 11.10 pagi di perairan sama.

"Dalam operasi seterusnya, pasukan peronda berjaya menahan sebuah bot pam dinaiki tiga lelaki dan seorang wanita berusia antara 18 dan 34 tahun pada kira-kira 12 tengah hari di perairan Pulau Bohey Dulang," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.



Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kesemua PATI itu berasal dari Filipina dan tidak memiliki dokumen pengenalan diri sah serta diserahkan kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.

- BERNAMA

Lelaki 50 tahun maut ditembak di selatan Thai


Oleh Shamsul Munir Safini
Kangar: Seorang lelaki warga Malaysia berusia 50 tahun maut selepas terkena tiga das tembakan di bahagian kepala ketika mahu menikmati makanan dalam kejadian di sebuah gerai makan di Wilayah Chalung, Satun, Selatan Thailand, kelmarin.

Dalam kejadian jam 1 petang, mangsa mati serta merta di lokasi kejadian akibat kecederaan parah pada leher, tengkuk dan dagu.


Difahamkan, sebelum kejadian, mangsa bersama tiga rakannya sedang memesan makanan sebelum tiba-tiba rebah akibat terkena tembakan yang dilepaskan oleh penyerangnya pada jarak dekat.

Ketika ini, Polis Diraja Thailand masih menjalankan siasatan termasuk mendapatkan rakaman kamera litar tertutup di kawasan berkenaan bagi mengesan suspek dan motif kejadian terbabit.


Sementara itu, sumber Pejabat Konsulat Malaysia di Songkhla ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan berkata, pihaknya akan membantu polis negara terbabit untuk menjalankan siasatan.


Katanya, jenazah mangsa sudah dituntut oleh keluarganya.

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/06

5 October 2014

Raja Thailand dirawat di hospital


BHUMIBOL ADULYADEJ
BANGKOK 4 Okt. - Raja Thailand, Bhumibol Adulyadej, raja paling lama menduduki takhta di dunia dimasukkan semula ke hospital lewat semalam selepas dibenarkan keluar hospital pada bulan lalu.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Istana pagi ini, raja berusia 86 tahun itu dimasukkan ke hospital akibat demam panas dan diagnos jangkitan kuman dalam darah, menyebabkan doktor meminta beliau ditahan untuk rawatan khas.
Selepas diberikan ubat, tekanan darah baginda kembali stabil dan demam beliau semakin berkurangan.
Pada 15 September lalu, Bhumibol dibenarkan keluar hospital selepas sebulan mendapat rawatan akibat radang perut. - REUTERS


Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Luar_Negara/20141005/lu_07/Raja-Thailand-dirawat-di-hospital#ixzz3FDRihj48
© Utusan Melayu (M) Bhd 

4 October 2014

Sebahagian Umat Islam Di Selatan Thai Sambut Aidiladha Hari Ini


Diterbitkan: Sabtu, 4 Oktober 2014 7:49 PM
Sebahagian daripada umat Islam di Pattani menunaikan solat sunat Aidiladha di Masjid Taawun, Kampung Bang-Pu, daerah Yaring, Sabtu. -AFP

PATTANI: Sebahagian umat Islam di selatan Thai menyambut Aidiladha pada Sabtu dengan berpandukan pengumuman kerajaan Arab Saudi bahawa semalam merupakan hari wukuf.

Namun begitu, majoriti umat Islam di sini seramai lapan juta dari 67 juta penduduk Thailand akan menyambutnya pada Ahad, berdasarkan ketetapan Pejabat Sheikul Islam Thailand.

Dalam tinjauan Bernama di Masjid Taawun yang terletak di Kampung Bang-Pu, dalam Daerah Yaring di sini, didapati sejak awal pagi lagi, penduduk menunaikan solat Aidiladha beramai-ramai.

Mereka kemudiannya melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu.
mstar

3 October 2014

Dua mati dalam dua kejadian berasingan di Pattani


03/10/2014 6:44pm

PATTANI - Keadaan tenang dan aman di selatan Thailand untuk beberapa ketika selepas tersebarnya berita mengenai rancangan mengadakan rundingan damai, kini kembali bergolak.
Terbaharu seorang Penolong Ketua Polis Bahagian Pencegahan merangkap Ketua Polis Trafik daerah Nongchik, Pattani maut dalam satu letupan bom pada pukul 7.50 pagi tadi.
Ketua Polis Daerah Pattani, Nongchik Pol. Col. Manit Yimyeam berkata, kejadian berlaku di depan sebuah sekolah Taladnad Bankhao, mukim Tokjong, Nongchik.
"Mangsa dikenali sebagai Inspektor Sanit Suktae, 43, yang terkena serpihan bom di bahagian kepala dan tubuhnya cedera parah,"katanya ketika dihubungi
hari ini.
Mangsa diberi rawatan kecemasan di Hospital Nongchik kemudian dipindah ke
hospital Pattani bagaimanapun dengan lukanya yang teruk dia meninggal dunia di Hospital Pattani. - Bernama


Artikel Penuh: http://www.kosmo.com.my/kosmo/content.asp?y=2014&dt=1003&pub=Kosmo&sec=Terkini&pg=bt_28.htm#ixzz3F5coWpum 
Hakcipta terpelihara 

1 October 2014

Thailand Perkenal Produk Penjagaan Kulit Daripada Ekstrak Susu Getah


Diterbitkan: Jumaat, 26 September 2014 9:03 PM

BANGKOK: Banyak produk penjagaan kulit antipenuaan yang mengandungi ekstrak susu getah hasil daripada kajian Universiti Prince of Songkhla dan Universiti Naresuan, akan dilancarkan tahun hadapan.

"Produk-produk ini datang dalam bentuk gel pencuci muka, serum penjagaan kulit, krim pemutih dan produk penjagaan rambut," kata Ketua Pegawai Eksekutif Thailand Centre of Excellence for Life Sciences (TCELS), Dr Nares Damrongchai pada Jumaat.

Dr Nares berkata oleh sebab Thailand mempunyai keupayaan untuk menghasilkan susu getah dalam kuantiti yang besar, produk penjagaan kulit keluaran negara itu mempunyai perbezaan dengan produk lain dalam kategori yang sama.

"Unik, jadi kami yakin pengguna akan memberikan sambutan yang baik," katanya.

TCELS sedang dalam proses mengenal pasti nilai ekonomi produk-produk tersebut, katanya.

Beliau berkata produk ini akan mendatangkan hasil kepada negara dalam jangka masa panjang selain membantu mengatasi masalah kejatuhan harga getah.
TCELS suatu bahagian dalam Kementerian Sains dan Teknologi Thailand, pada Jumaat menandatangani perjanjian persefahaman dengan Universiti Prince of Songkhla dan Universiti Naresuan untuk menghasilkan produk penjagaan kulit semula jadi dan penjagaan rambut mengandungi susu getah.
Langkah ini bagi memenuhi permintaan pengguna yang semakin meningkat ke atas produk penjagaan kecantikan dan peribadi serta mengatasi masalah kejatuhan harga getah.
Dr Nares berkata pasaran Asia Pasifik untuk produk pemutihan dijangka bernilai kira-kira tiga bilion baht.

"Kami yakin produk yang kami bangunkan ini akan menerima maklum balas yang baik daripada pengguna dan akan mempunyai perkongsian pasaran yang besar," katanya.

Kajian ke atas ekstrak susu getah ini dibuat oleh Prof Dr Rapeepun Wititsuwannakul dari Universiti Prince of Songkhla dan pasukannya.

Produk-produk itu telah pun menerima sambutan yang positif daripada pengguna selepas sebuah syarikat mengadakan kempen pemasaran sebelum pelancaran.
mstar

Keganasan Kembali Berlaku Di Selatan Thailand


Diterbitkan: Rabu, 1 Oktober 2014 8:36 AM

PATTANI: Insiden keganasan terus berlaku di beberapa wilayah selatan Thailand walaupun kerajaan telah mengumumkan hasratnya mengadakan rundingan damai dengan kumpulan-kumpulan penentang.

Insiden itu, yang reda sejak beberapa bulan lepas, kembali membimbangkan penduduk apabila beberapa kejadian tembakan dilaporkan.

Ketua Polis Wilayah Narathiwat, Mejar Jeneral Pattanawut Angkavanich berkata beberapa kejadian tembak berlaku malam tadi dan hari ini hingga menyebabkan dua orang mati dan dua lagi cedera.

Kejadian pertama berlaku di daerah Srisakorn pada 7.11 malam yang menyaksikan pengawal keselamatan, Nai Chotdee Wannaro, 40, ditembak ketika dalam perjalanan pulang daripada memburu di hutan.

Kejadian kedua pada 7.20 malam pula membabitkan Nurhayati Mukdasawat, 27, yang ditembak ketika pulang ke rumah.

Pada 7.50 malam pula, guru sekolah pondok Darunsat Witya Saiburi, Ustaz Waesemae Sudeng, 67, mati ditembak ketika menunggang motosikal selepas pulang Masjid Palas, Panarek, Pattani.

Pattanawut berkata rakaman kamera litar tertutup (CCTV) menunjukkan dua suspek lelaki mengekori mangsa dan apabila tiba di pekan Palas, kira-kira 100 meter dari masjid itu, suspek melepaskan tembakan satu das di kepala mangsa.

Ketua Polis Wilayah Pattani Mejar Jeneral Poth Suwaisuwang berkata pihaknya akan meneliti CCTV itu untuk mencari suspek dan sama ada ia ada kaitan dengan puak pemisah.

Pada 2.55 petang tadi, seorang peniaga kedai makanan, Asisah Dahasi, 41, mati ditembak di rumahnya di Kampung Tanjung, Mukim Batong, daerah Rusak Narathiwat.
mstar

Konflik tiga wilayah tuntut keikhlasan Kerajaan Thailand



Oleh Hassan Omar

Chalee (kiri) dan Pirapong menjelaskan situasi terkini di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.
Tiada rakyat Thailand, sama ada yang beragama Buddha atau Islam mahukan wilayah selatan negara itu - Narathiwat, Yala dan Pattani terus dibelenggu konflik berdarah yang menyebabkan ribuan jiwa terkorban sejak tahun 2004. Sebaliknya, mereka lebih cinta akan keamanan dan ketenteraman yang menjamin kelangsungan hidup dalam situasi lebih baik kerana hanya dengan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi mampu dikecapi.
Bagaimanapun, ada pihak tertentu di tiga wilayah itu yang didakwa sengaja mahu mencetus anarki dengan menuntut Kerajaan Thailand memberikan autonomi kepada masyarakat Islam di wilayah itu dengan alasan masyarakat terbabit dinafikan hak mereka untuk menikmati pembangunan yang setara dengan masyarakat bukan Islam.
Kerajaan Thailand layan rakyat sama rata
Kerajaan Thailand sendiri tidak pernah membezakan kira-kira lapan juta rakyatnya yang beragama Islam untuk dilayan sama rata dengan kira-kira 60 juta rakyatnya yang bukan beragama Islam.
Perkara itu dijelaskan oleh dua wakil Kerajaan Thailand kepada delegasi wartawan asing yang menyertai sesi lawatan ke Thailand, baru-baru ini.
Mereka ialah Penasihat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Chalee Sakolvari dan Ketua Bahagian Perancangan dan Dasar, Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Thailand, Kolonel Pirapong Phomeaun.
Krisis keyakinan dan tuntutan yang bertukar kepada tindakan mengangkat senjata demi kebebasan di Narathiwat, Yala dan Pattani sudah berlangsung sejak tahun 1960-an, Ia menjadi semakin nyata sejak tahun 2004 apabila pelbagai kumpulan anggota masyarakat yang majoritinya Islam menzahirkan tuntutan mereka kepada Kerajaan Thailand dengan menggunakan senjata api.
Dianggarkan kira-kira 6,000 nyawa sudah melayang akibat sengketa itu, selain kira-kira 8,000 yang cedera sama ada yang membabitkan anggota masyarakat Islam, Buddha atau anggota pasukan keselamatan Thailand.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Pergerakan Mujahidin Pattani, Pergerakan Mujahidin Islam Pattani dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF),
Setiap kumpulan berkenaan semestinya dipimpin oleh seorang ketua, tetapi tiada suatu kumpulan pun yang berani menamakan ketua masing-masing, dipercayai bagi mengelakkan ketua terbabit ditahan pihak berkuasa Thailand.
Menjelaskan keadaan semasa, Chalee yang juga bekas Konsul Jeneral Thailand di Arab Saudi berkata, masyarakat Islam di tiga wilayah berkenaan mempunyai sejarah silam yang berkait rapat dengan Kelantan dan memiliki agama, bahasa dan budaya yang sama.
Penduduk di tiga wilayah berkenaan mempunyai rakan taulan serta saudara mara di Kelantan dan sering berulang-alik sama ada atas urusan keluarga atau perniagaan.
"Mereka mendakwa Kerajaan Thailand menganaktirikan mereka, selain menuduh masyarakat Buddha menekan mereka atas dasar perbezaan agama dan wilayah. Ini tidak benar. Mengapa mereka harus diketepikan? Apakah manfaatnya bagi kami jika melayan mereka sedemikian?" katanya.
Sambil tidak menolak fakta masyarakat terbabit kuat berpegang dan mengamalkan Islam, Chalee menjelaskan, setakat ini Kerajaan Thailand masih belum jelas apa yang diinginkan oleh kumpulan yang melancarkan serangan ke atas polis, tentera dan penduduk itu sendiri.
"Sebelum ini mereka menjadikan anggota polis dan tentera sebagai sasaran tembakan dan bom, tetapi sekarang mereka juga membunuh penduduk kampung dan menyerang sekolah.
"Mereka tidak pernah memperkenalkan diri masing-masing...sukar untuk kami mengenali mereka. Apa yang diperjuangkan oleh mereka masih tidak jelas," katanya.
Meskipun mereka hidup dalam situasi berpegang kukuh pada agama, mereka tetap memerlukan pendidikan dan pekerjaan untuk bersaing dengan masyarakat lain. Oleh itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya masyarakat Islam di selatan Thailand tidak mengutamakan aspek pendidikan akademik, tidak benar.
"Kerajaan menyediakan sekolah aliran akademik untuk mereka. Mereka bebas untuk memilih sama ada aliran agama atau akademik," katanya.
Sengketa tak biar berlanjutan
Bagi Pirapong, sengketa di selatan Thailand tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana selain menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di tiga wilayah berkenaan, ia secara tidak langsung mengancam keselamatan rantau Asia Tenggara, khususnya di kawasan sempadan Thailand-Malaysia.
"Setakat ini tidak ada satu kumpulan pun yang boleh memimpin pelbagai kumpulan lain. Matlamat serangan mereka tidak jelas. Satu kumpulan tidak mahu dipimpin oleh kumpulan lain. Ada banyak kumpulan kecil dan ada juga yang mendakwa mereka mempunyai kumpulan besar," katanya.
Bagi merealisasikan usaha membawa keamanan ke Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, Kerajaan Thailand mengadakan perjumpaan dengan kumpulan yang bertanggungjawab melakukan serangan senjata api dan bom.
Pirapong bagaimanapun tidak mahu menyifatkan perjumpaan itu sebagai 'rundingan damai,' sebaliknya cenderung untuk menyifatkannya sebagai usaha damai kerana jika istilah 'rundingan damai' digunakan, ia secara tidak langsung menunjukkan Kerajaan Thailand mengiktiraf kumpulan terbabit.
Usaha damai itu dimulakan pada 1 Mac 2013. Turut mengambil bahagian dalam pertemuan itu ialah Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang bertindak sebagai Fasilitator Kumpulan Kerja Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand, tetapi hanya BRN yang mendapat restu Kerajaan Thailand untuk berbincang.

Nelayan di Kampung Watanum, Pulau Samui mencari rezeki seperti biasa.
Bagaimanapun, BRN membuat pelbagai tuntutan seperti Kerajaan Thailand perlu menerima peranan Malaysia sebagai perantara kerajaan dalam rundingan damai dan bukannya fasilitator.
Selain itu, perbincangan damai itu perlu dihadiri Melayu Pattani yang diketuai BRN dan Kerajaan Thailand, anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Pihak berkuasa Thailand juga perlu membebaskan semua suspek ditahan dan menggantung serta membatalkan semua waran tangkap membabitkan kes keselamatan nasional tanpa syarat. BRN perlu diiktiraf sebagai Pergerakan Pembebasan Pattani dan bukan kumpulan pemisah.
Tak mahu digelar pengganas, pemisah atau pemberontak
Penduduk selatan Thailand tidak mahu masyarakat majoriti Thailand di utara menggelar mereka sebagai pengganas, pemisah atau pemberontak, tetapi pejuang yang mahu membebaskan diri daripada ditindas, ketidakadilan dan kekejaman.
Satu daripada tuntutan mereka, iaitu pengiktirafan hak ketuanan mempunyai maksud amat luas, sama ada dari aspek hak beragama, pendidikan dan ekonomi.
Bagaimanapun, Pirapong menegaskan, Kerajaan Thailand tidak boleh membelakangkan Perlembagaan negara itu semata-mata memenuhi tuntutan berkenaan. Keengganan menerima tuntutan itu menyebabkan keganasan terus berlaku.
Kerajaan Thailand bersedia mendengar keluhan dan tuntutan masyarakat Islam, tetapi sama sekali tidak akan mengorbankan wilayah itu kepada mana-mana pihak yang mencuba menuntut kuasa autonomi atau kemerdekaan.
"Segala perbincangan harus berlandaskan Perlembagaan Thailand yang secara jelas menunjukkan bahawa ketiga-tiga wilayah itu adalah sebahagian daripada Thailand," katanya.
Beliau berkata, konflik di kawasan berkenaan diburukkan lagi dengan penyeludupan senjata api dan dadah, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras mereka.
Kerjasama penduduk tempatan
Oleh sebab usaha membanteras serangan memerlukan kerjasama penduduk tempatan, Kerajaan Thailand menubuhkan pasukan peronda sukarela. Ia dianggotai penduduk tempatan yang membantu pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera untuk bersama-sama mengekalkan keamanan.
"Mereka lebih mengenali penduduk di kawasan mereka. Mereka tahu siapa orang kampung itu sendiri dan siapa orang dari luar kampung. Mereka tidak dibekalkan senjata api. Bagaimanapun, dalam kumpulan rondaan itu, mesti ada satu atau dua anggota keselamatan," katanya.
Bagaimanapun, usaha damai terhenti sejak November 2013 hingga sekarang berikutan tindakan kumpulan penunjuk perasaan mencuba menggulingkan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.
Akhirnya, kemelut politik Thailand yang berlanjutan selama enam bulan ditamatkan apabila Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengetuai rampasan kuasa pada 22 Mei lalu.
Bagaimanapun, Prayut menegaskan keamanan di selatan negara itu adalah 'keutamaan mendesak' bagi negara berkenaan dan mahu langkah lebih tegas diambil bagi memastikan keamanan dicapai.
Walaupun Thailand diletakkan di bawah pemerintahan tentera, junta tentera tetap membenarkan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam (NCPO) meneruskan rundingan dengan kumpulan di selatan Thailand, tetapi dengan beberapa perubahan proses yang mesti mematuhi Perlembagaan Thailand.
Rumusannya, mampukah Kerajaan Thailand melayani permintaan dan tuntutan BRN yang setakat ini belum mampu mengawal, apatah lagi memimpin kumpulan bersenjata yang lain? Adakah masyarakat Islam di selatan Thailand benar-benar bersedia meletak senjata jika hanya sebahagian kecil daripada tuntutan itu dipenuhi?
Sesungguhnya, konflik di selatan Thailand menuntut komitmen Kerajaan Thailand untuk mendengar secara ikhlas rintihan masyarakat Islam, manakala masyarakat minoriti terbabit pula perlu meletakkan masa depan anak cucu mereka sebagai asas perbincangan yang bertunjangkan pembangunan ekonomi dan fizikal yang tidak mengabaikan pembangunan Islam secara keseluruhannya.
Info: Kumpulan bersenjata di selatan Thailand
  • Barisan Revolusi Nasional (BRN)
  • Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO)
  • Pergerakan Mujahidin Pattani
  • Pergerakan Mujahidin Islam Pattani
    Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF)