9 October 2014

Mansuh undang-undang tentera?


Bangkok: Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan-ocha semalam menafikan undang-undang tentera akan ditamatkan malah menegaskan ia diteruskan sehingga pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya.

Pengumuman berkenaan secara tidak langsung mengetepikan desakan badan pelancongan Thailand yang melihat pemerintahan tentera menjejaskan kedatangan pelancong ke negara itu.


Prayuth yang menggulingkan Yingluck Shinawatra pada Mei lalu berkata, tentera merampas kuasa daripada kerajaan ketika itu untuk mengelak berlaku pertumpahan darah selepas perbalahan selama beberapa bulan yang mengakibatkan hampir 30 orang maut.

“Jangan tanya saya mengenai undang-undang khas ini sekarang.


“Biarlah pembaharuan dilaksanakan sepenuhnya dan sebaik keadaan kembali pulih saya sendiri akan memikirkan untuk menamatkannya,” katanya dalam satu kenyataan.


Undang-undang tentera diisytiharkan pada 20 Mei lalu, dua hari sebelum Yingluck digulingkan.

Bulan lalu, junta Thailand berkata, ia sedang mempertimbangkan untuk menamatkan undang-undang tentera di wilayah yang paling popular sebagai destinasi pelancongan untuk memulihkan industri itu yang merudum akibat kekacauan politik negara itu.- Reuters

Artikel ini disiarkan pada : 2014/10/08

No comments:

Post a Comment