Yingluck Shinawatra
BANGKOK - THAILAND. Perdana Menteri Thailand, Prayuth Chan-ocha berkata, Yingluck Shinawatra mengadakan lawatan ke luar negara dua hari lepas dengan kebenaran.
 
"Ya, beliau telah memohon kebenaran. Bagaimana beliau boleh pergi jika tidak membuat permintaan," kata Prayuth ketika ditanya mengenai hal itu.
 
Beliau juga mengesahkan laporan media bahawa Yingluck yang juga bekas Perdana Menteri Thailand akan juga melawat India.
 
Prayuth yang juga pengerusi Majlis Kebangsaan bagi Keamanan dan Ketenteraman (NCPO) bercakap kepada media selepas mempengerusikan mesyurat mingguan kabinet di sini, hari ini.
 
Yingluck berlepas ke Jepun bersama anak lelaki dan rakan-rakannya pada 19 Oktober dan dijadual pulang pada 26 Oktober.

Menurut laporan media tempatan, Yingluck akan berada di Jepun selama tiga hari dan menemui abangnya, bekas Perdana Menteri Thaksin Shinawatra.
 
Mereka kemudian akan ke India untuk menyertai upacara keagamaan Buddha.
 
Sementara itu, Prayuth akan juga melakukan lawatan rasmi ke Kemboja pada 30-31 Oktober.
 
Beliau dijangka membincangkan kerjasama mengenai perdagangan sempadan, zon ekonomi khas dan tenaga marin, kata Yongyuth Maiyarap, jurucakap kerajaan.
 
Katanya, Prayuth akan juga menghadiri mesyuarat Apec di China pada November.
 
Prayuth kemudian akan melakukan lawatan rasmi ke negara-negara Asean termasuk Malaysia, Vietnam, Laos dan Singapura. - Bernama