1 October 2014

Konflik tiga wilayah tuntut keikhlasan Kerajaan Thailand



Oleh Hassan Omar

Chalee (kiri) dan Pirapong menjelaskan situasi terkini di Wilayah Pattani, Narathiwat dan Yala.
Tiada rakyat Thailand, sama ada yang beragama Buddha atau Islam mahukan wilayah selatan negara itu - Narathiwat, Yala dan Pattani terus dibelenggu konflik berdarah yang menyebabkan ribuan jiwa terkorban sejak tahun 2004. Sebaliknya, mereka lebih cinta akan keamanan dan ketenteraman yang menjamin kelangsungan hidup dalam situasi lebih baik kerana hanya dengan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi mampu dikecapi.
Bagaimanapun, ada pihak tertentu di tiga wilayah itu yang didakwa sengaja mahu mencetus anarki dengan menuntut Kerajaan Thailand memberikan autonomi kepada masyarakat Islam di wilayah itu dengan alasan masyarakat terbabit dinafikan hak mereka untuk menikmati pembangunan yang setara dengan masyarakat bukan Islam.
Kerajaan Thailand layan rakyat sama rata
Kerajaan Thailand sendiri tidak pernah membezakan kira-kira lapan juta rakyatnya yang beragama Islam untuk dilayan sama rata dengan kira-kira 60 juta rakyatnya yang bukan beragama Islam.
Perkara itu dijelaskan oleh dua wakil Kerajaan Thailand kepada delegasi wartawan asing yang menyertai sesi lawatan ke Thailand, baru-baru ini.
Mereka ialah Penasihat Pusat Pentadbiran Wilayah Sempadan Selatan Thailand, Chalee Sakolvari dan Ketua Bahagian Perancangan dan Dasar, Pemerintah Operasi Keselamatan Dalaman (ISOC) Thailand, Kolonel Pirapong Phomeaun.
Krisis keyakinan dan tuntutan yang bertukar kepada tindakan mengangkat senjata demi kebebasan di Narathiwat, Yala dan Pattani sudah berlangsung sejak tahun 1960-an, Ia menjadi semakin nyata sejak tahun 2004 apabila pelbagai kumpulan anggota masyarakat yang majoritinya Islam menzahirkan tuntutan mereka kepada Kerajaan Thailand dengan menggunakan senjata api.
Dianggarkan kira-kira 6,000 nyawa sudah melayang akibat sengketa itu, selain kira-kira 8,000 yang cedera sama ada yang membabitkan anggota masyarakat Islam, Buddha atau anggota pasukan keselamatan Thailand.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand seperti Barisan Revolusi Nasional (BRN), Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO), Pergerakan Mujahidin Pattani, Pergerakan Mujahidin Islam Pattani dan Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF),
Setiap kumpulan berkenaan semestinya dipimpin oleh seorang ketua, tetapi tiada suatu kumpulan pun yang berani menamakan ketua masing-masing, dipercayai bagi mengelakkan ketua terbabit ditahan pihak berkuasa Thailand.
Menjelaskan keadaan semasa, Chalee yang juga bekas Konsul Jeneral Thailand di Arab Saudi berkata, masyarakat Islam di tiga wilayah berkenaan mempunyai sejarah silam yang berkait rapat dengan Kelantan dan memiliki agama, bahasa dan budaya yang sama.
Penduduk di tiga wilayah berkenaan mempunyai rakan taulan serta saudara mara di Kelantan dan sering berulang-alik sama ada atas urusan keluarga atau perniagaan.
"Mereka mendakwa Kerajaan Thailand menganaktirikan mereka, selain menuduh masyarakat Buddha menekan mereka atas dasar perbezaan agama dan wilayah. Ini tidak benar. Mengapa mereka harus diketepikan? Apakah manfaatnya bagi kami jika melayan mereka sedemikian?" katanya.
Sambil tidak menolak fakta masyarakat terbabit kuat berpegang dan mengamalkan Islam, Chalee menjelaskan, setakat ini Kerajaan Thailand masih belum jelas apa yang diinginkan oleh kumpulan yang melancarkan serangan ke atas polis, tentera dan penduduk itu sendiri.
"Sebelum ini mereka menjadikan anggota polis dan tentera sebagai sasaran tembakan dan bom, tetapi sekarang mereka juga membunuh penduduk kampung dan menyerang sekolah.
"Mereka tidak pernah memperkenalkan diri masing-masing...sukar untuk kami mengenali mereka. Apa yang diperjuangkan oleh mereka masih tidak jelas," katanya.
Meskipun mereka hidup dalam situasi berpegang kukuh pada agama, mereka tetap memerlukan pendidikan dan pekerjaan untuk bersaing dengan masyarakat lain. Oleh itu, dakwaan sesetengah pihak kononnya masyarakat Islam di selatan Thailand tidak mengutamakan aspek pendidikan akademik, tidak benar.
"Kerajaan menyediakan sekolah aliran akademik untuk mereka. Mereka bebas untuk memilih sama ada aliran agama atau akademik," katanya.
Sengketa tak biar berlanjutan
Bagi Pirapong, sengketa di selatan Thailand tidak boleh dibiarkan berlanjutan kerana selain menjejaskan keselamatan dan ketenteraman awam di tiga wilayah berkenaan, ia secara tidak langsung mengancam keselamatan rantau Asia Tenggara, khususnya di kawasan sempadan Thailand-Malaysia.
"Setakat ini tidak ada satu kumpulan pun yang boleh memimpin pelbagai kumpulan lain. Matlamat serangan mereka tidak jelas. Satu kumpulan tidak mahu dipimpin oleh kumpulan lain. Ada banyak kumpulan kecil dan ada juga yang mendakwa mereka mempunyai kumpulan besar," katanya.
Bagi merealisasikan usaha membawa keamanan ke Wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani, Kerajaan Thailand mengadakan perjumpaan dengan kumpulan yang bertanggungjawab melakukan serangan senjata api dan bom.
Pirapong bagaimanapun tidak mahu menyifatkan perjumpaan itu sebagai 'rundingan damai,' sebaliknya cenderung untuk menyifatkannya sebagai usaha damai kerana jika istilah 'rundingan damai' digunakan, ia secara tidak langsung menunjukkan Kerajaan Thailand mengiktiraf kumpulan terbabit.
Usaha damai itu dimulakan pada 1 Mac 2013. Turut mengambil bahagian dalam pertemuan itu ialah Naib Yang Dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) yang bertindak sebagai Fasilitator Kumpulan Kerja Proses Rundingan Damai Selatan Thailand, Datuk Seri Ahmad Zamzamin Hashim.
Ada pelbagai kumpulan yang mendakwa mewakili kepentingan masyarakat Islam di selatan Thailand, tetapi hanya BRN yang mendapat restu Kerajaan Thailand untuk berbincang.

Nelayan di Kampung Watanum, Pulau Samui mencari rezeki seperti biasa.
Bagaimanapun, BRN membuat pelbagai tuntutan seperti Kerajaan Thailand perlu menerima peranan Malaysia sebagai perantara kerajaan dalam rundingan damai dan bukannya fasilitator.
Selain itu, perbincangan damai itu perlu dihadiri Melayu Pattani yang diketuai BRN dan Kerajaan Thailand, anggota ASEAN, Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang lain.
Pihak berkuasa Thailand juga perlu membebaskan semua suspek ditahan dan menggantung serta membatalkan semua waran tangkap membabitkan kes keselamatan nasional tanpa syarat. BRN perlu diiktiraf sebagai Pergerakan Pembebasan Pattani dan bukan kumpulan pemisah.
Tak mahu digelar pengganas, pemisah atau pemberontak
Penduduk selatan Thailand tidak mahu masyarakat majoriti Thailand di utara menggelar mereka sebagai pengganas, pemisah atau pemberontak, tetapi pejuang yang mahu membebaskan diri daripada ditindas, ketidakadilan dan kekejaman.
Satu daripada tuntutan mereka, iaitu pengiktirafan hak ketuanan mempunyai maksud amat luas, sama ada dari aspek hak beragama, pendidikan dan ekonomi.
Bagaimanapun, Pirapong menegaskan, Kerajaan Thailand tidak boleh membelakangkan Perlembagaan negara itu semata-mata memenuhi tuntutan berkenaan. Keengganan menerima tuntutan itu menyebabkan keganasan terus berlaku.
Kerajaan Thailand bersedia mendengar keluhan dan tuntutan masyarakat Islam, tetapi sama sekali tidak akan mengorbankan wilayah itu kepada mana-mana pihak yang mencuba menuntut kuasa autonomi atau kemerdekaan.
"Segala perbincangan harus berlandaskan Perlembagaan Thailand yang secara jelas menunjukkan bahawa ketiga-tiga wilayah itu adalah sebahagian daripada Thailand," katanya.
Beliau berkata, konflik di kawasan berkenaan diburukkan lagi dengan penyeludupan senjata api dan dadah, sekali gus menyukarkan pihak berkuasa untuk membanteras mereka.
Kerjasama penduduk tempatan
Oleh sebab usaha membanteras serangan memerlukan kerjasama penduduk tempatan, Kerajaan Thailand menubuhkan pasukan peronda sukarela. Ia dianggotai penduduk tempatan yang membantu pasukan keselamatan sama ada polis atau tentera untuk bersama-sama mengekalkan keamanan.
"Mereka lebih mengenali penduduk di kawasan mereka. Mereka tahu siapa orang kampung itu sendiri dan siapa orang dari luar kampung. Mereka tidak dibekalkan senjata api. Bagaimanapun, dalam kumpulan rondaan itu, mesti ada satu atau dua anggota keselamatan," katanya.
Bagaimanapun, usaha damai terhenti sejak November 2013 hingga sekarang berikutan tindakan kumpulan penunjuk perasaan mencuba menggulingkan bekas Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra.
Akhirnya, kemelut politik Thailand yang berlanjutan selama enam bulan ditamatkan apabila Ketua Angkatan Tentera Thailand, Jeneral Prayut Chan-O-Cha mengetuai rampasan kuasa pada 22 Mei lalu.
Bagaimanapun, Prayut menegaskan keamanan di selatan negara itu adalah 'keutamaan mendesak' bagi negara berkenaan dan mahu langkah lebih tegas diambil bagi memastikan keamanan dicapai.
Walaupun Thailand diletakkan di bawah pemerintahan tentera, junta tentera tetap membenarkan Majlis Keamanan dan Ketenteraman Awam (NCPO) meneruskan rundingan dengan kumpulan di selatan Thailand, tetapi dengan beberapa perubahan proses yang mesti mematuhi Perlembagaan Thailand.
Rumusannya, mampukah Kerajaan Thailand melayani permintaan dan tuntutan BRN yang setakat ini belum mampu mengawal, apatah lagi memimpin kumpulan bersenjata yang lain? Adakah masyarakat Islam di selatan Thailand benar-benar bersedia meletak senjata jika hanya sebahagian kecil daripada tuntutan itu dipenuhi?
Sesungguhnya, konflik di selatan Thailand menuntut komitmen Kerajaan Thailand untuk mendengar secara ikhlas rintihan masyarakat Islam, manakala masyarakat minoriti terbabit pula perlu meletakkan masa depan anak cucu mereka sebagai asas perbincangan yang bertunjangkan pembangunan ekonomi dan fizikal yang tidak mengabaikan pembangunan Islam secara keseluruhannya.
Info: Kumpulan bersenjata di selatan Thailand
  • Barisan Revolusi Nasional (BRN)
  • Kumpulan Pembebasan Pattani Bersatu (PULO)
  • Pergerakan Mujahidin Pattani
  • Pergerakan Mujahidin Islam Pattani
    Barisan Pembebasan Kebangsaan Pattani (PLNF)
  • No comments:

    Post a Comment