20 October 2014

Thailand tahan sebahagian suspek kes bakar sekolah


20 Oktober 2014


BANGKOK - THAILAND. Pihak berkuasa Thailand menahan antara enam hingga lapan suspek dipercayai terlibat dalam insiden kebakaran di enam buah sekolah di Pattani, wilayah selatan negara itu yang bergolak, beberapa hari lepas.

Para pemberontak sebenarnya menyasarkan untuk membakar 14 buah sekolah tetapi hanya berjaya menyerang enam buah sekolah berikutan keberkesanan pengawal keselamatan kampung, kata Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan, Jeneral Prawit Wongsuwarn.

Sebahagian daripada mereka berjaya ditahan dan mengaku melakukan perbuatan itu, katanya kepada pemberita di Rumah Kerajaan di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun tidak mendedahkan kumpulan yang bertanggungjawab.

Prawit berkata, keadaan di selatan semakin bertambah baik berbanding lima hingga enam tahun lepas memandangkan rakyat semakin memahami keadaan dan lebih percaya kepada kerajaan.

Beliau berkata, pihak berkuasa akan memastikan pelajar dari sekolah yang terjejas akibat kebakaran itu akan tetap bersekolah apabila semester baharu persekolahan bermula akhir bulan ini. - Bernama

No comments:

Post a Comment