29 October 2014

Kumpulan Penyerang Bakar Dua Pejabat Pentadbiran Mukim Di Pattani


Diterbitkan: Selasa, 28 Oktober 2014 11:35 PM

PATTANI: Dua buah pejabat pentadbiran mukim di daerah Nongchik, Pattani dibakar pada Isnin, setelah kumpulan penyerang yang mulanya hendak membakar sekolah menukar sasaran mereka.
Komander Tentera Bahagian Ke-4 Lt Jen Prakarn Chollayuth berkata beliau mendapat maklumat mengenai cubaan untuk membakar sekolah itu.

"Ada orang memberitahu saya tentang hal ini iaitu terdapat kumpulan pengkhianat pergi ke sekolah tetapi apabila melihat ramai pengawal keselamatan kampung bertugas lalu mereka menukar sasaran," katanya.

Bangunan kerajaan yang terlibat adalah Banganan Pejabat Pentadbiran Mukim Donrak dan Pulut Puyo.

Ketua Polis Daerah Mukim Nongchik Kol Polis Manit Yimsai berkata kejadian berlaku pada pukul 11.30 malam dan dilakukan secara serentak.

Semasa kejadian di Pejabat Pentadbiran Mukim Dorak, tiga pengawal keselamatan bertugas diikat tangan dan kaki oleh lelaki bersenjata yang kemudiannya memecahkan cermin dan membakar bangunan dengan menggunakan petrol, kata beliau.

Polis percaya sekurang-kurangnya 10 suspek berada di setiap tempat kejadian.

Sasaran mereka ialah bilik yang penuh dengan dokumen rasmi dan alat-alat komputer. 
Lima buah kereta turut musnah dalam kejadian itu.

Bangunan konkrit dua tingkat itu hanya musnah sedikit dan pihak bomba mengambil masa kira-kira dua jam untuk memadamkan api.

Selepas kejadian itu, semua pejabat kerajaan yang terletak dalam kawasan berisiko diarahkan supaya lebih berhati-hati.

Polis juga menyiasat sama ada suspek yang mendalangi kejadian itu ada kaitan dengan kumpulan yang membakar enam buah sekolah di Pattani pada 12 Oktober lalu.

No comments:

Post a Comment