Prof. Dr. Srisompob Jitpiromsri berkata, puak tertentu dalam BRN, kumpulan militan terbesar di selatan Thailand, mempunyai pandangan yang berbeza mengenai penubuhan zon keselamatan di selatan Thailand seperti yang dicadangkan kerajaan.
“Puak tertentu dalam BRN tidak bersetuju dengan cadangan yang dikemukakan oleh kerajaan Thai semasa rundingan damai itu
“Kumpulan (puak) yang tidak bersetuju dengan cadangan (zon keselamatan) mungkin menjadi dalang serangan di wilayah itu baru-baru ini sebagai satu cara menolak idea kerajaan menubuhkan zon keselamatan itu,” katanya.
Dr. Srisompob, tokoh terkenal dan dihormati di selatan Thailand, mengetuai pertubuhan Deep South Watch (DSW) di Prince of Songkhla University, Kampus Patani untuk memantau konflik yang berlaku di wilayah selatan itu.
Beliau berkata, idea menubuhkan zon keselamatan masih dibincangkan oleh kerajaan dan Majlis Syura Patani (Mara Patani) dalam rundingan damai .
Mara Patani merupakan kumpulan utama kepada enam kumpulan militan termasuk RBN.
Daerah Jok Irong, Narathiwat, katanya, di mana sekumpulan 50 orang militan menggunakan bangunan hospital di situ sebagai pangkalan untuk menyerang sebuah markas tentera beberapa hari lalu, juga dimasukkan dalam cadangan zon keselamatan tersebut.
Dr Srisompob berkata, sebab lain peningkatan serangan militan pada masa ini di wilayah itu juga mungkin tindakan balas militan terhadap operasi tentera di Nong Chik, Patani, pada 10 Februari lalu.
Pada kejadian itu, ratusan tentera kerajaan menaiki bot getah dan helikopter menyerbu ‘kilang pembuatan bom’ militan dan merampas peranti letupan diubah suai (IED) yang sedia digunakan serta bahan pembuatan bom yang lain.
Walaupun keganasan meningkat, Dr Srisompob menegaskan bahawa proses damai masih lagi langkah terbaik untuk kedua-dua pihak menyelesaikan perbezaan mereka bagi mengekalkan keamanan di selatan Thailand. – BERNAMA