Bagaimanapun, tiada kecede­raan dilaporkan dalam kejadian itu.
Portal Nation melaporkan, bom buatan sendiri itu merosakkan sebanyak 15 tiang elektrik dengan empat daripadanya tumbang di daerah Sungai Golok dalam apa yang didakwa polis sebagai usaha kumpulan pemisah mengganggu kejohanan tinju Muay Thai di daerah itu pada malam yang sama.
Beberapa peranti letupan itu diletakkan pada tiang elektrik di sepanjang dua jalan berasingan di Sungai Golok ke Tak Bai dan Sungai Golok ke Sungai Padi.
Kakitangan Pihak Berkuasa Eletrik Wilayah segera memperbaiki kerosakan berkenaan dan bekalan elektrik kembali pulih lewat tengah malam.
Unit pemusnah bom yang membuat pemeriksaan susulan, kemudiannya memusnahkan beberapa bom yang gagal meletup di sebuah ladang getah tidak jauh dari tempat bom itu diletakkan.
Ketua Polis Daerah Sungai Golok, Kongath Suwannakham berkata, serangan terancang itu dipercayai dilakukan kumpulan pemisah, kumpulan sama yang mengakibatkan kematian tiga penduduk dan mencederakan beberapa yang lain dalam serangan pada 10 Julai lalu.
Bagaimanapun, pihak berkuasa tidak melihat insiden itu ada kaitan dengan serangan pengeboman di Bangkok pada Isnin lalu yang mengorbankan sebanyak 20 orang dan mencederakan lebih 100 yang lain.
Dalam perkembangan berasingan, seorang ketua mukim Sadawa di Pattani dan pembantunya ce­dera dalam satu serangan hendap di daerah Yarang, Pattani, awal pagi ini selepas menyaksikan perlawanan takraw di sebuah kampung di sini.
Akibat serangan hendap oleh kumpulan yang bersenjatakan raifal AK-47, kenderaan SUV yang dinaiki Solahuding Che-ubong, 47, dan Mama Doka, 45, hilang kawalan sebelum merempuh dua tiang elektrik dan menumbangkan satu daripada tiang tersebut.
Kedua-dua lelaki itu mengalami kecederaan di kaki dan tangan sebelum dikejarkan ke Hospital Pattani.