2 May 2015

Kejam tak terhingga

Songkhla: Pihak berkuasa Thailand menjumpai 32 kubur di satu kawasan hutan di sini semalam yang dipercayai mengandungi mayat imigran Rohingya dan Bangladesh yang menjadi mangsa sindiket penyeludupan manusia.
Kubur itu dijumpai di satu kem di wilayah Sadao yang bersempadan dengan Malaysia.
Kawasan itu sering dijadikan kem rahsia oleh sindiket penyeludupan manusia dan imigran biasanya ditahan bagi menuntut wang tebusan daripada keluarga mangsa.
Seorang anggota penyelamat, Sathit Thamsuwan berkata, seorang lelaki Bangladesh yang kurus kering ditemui di kem berkenaan dan dihantar ke sebuah hospital di Padang Besar di Malaysia.
“Kami menjumpai sebanyak 32 kubur dan empat mayat sudah dikeluarkan serta dihantar ke hospital untuk bedah siasat.
“Semua mayat dijumpai dalam keadaan reput,” katanya.
Media semalam melaporkan, kem dan lelaki Bangladesh itu ditemui oleh penduduk kampung yang masuk ke hutan untuk mencari cendawan.
Beberapa mayat juga dilapor ditemui terbiar mereput di atas tanah.
Ketua Polis Thailand, Somyot Poompanmoung pula menggambarkan lokasi itu seperti penjara kerana imigran dikurung di dalam sel yang diperbuat daripada buluh.
“Terdapat 32 tempat yang kelihatan seperti kubur dan kami masih tidak mengetahui kubur itu mengandungi satu atau lebih mayat,” katanya.
Ujarnya, penyeludup dipercayai meninggalkan lelaki Bangladesh yang sakit itu selepas mereka membawa imigran Rohingya menyeberangi sempadan Malaysia dua hari lalu.
Bagaimanapun, punca kematian semua mangsa itu masih belum dapat dipastikan.
Lelaki Bangladesh itu dilaporkan terselamat dan berada dalam keadaan stabil.
Seorang pegawai polis di Sadao memberitahu pihak berkuasa menunggu pasukan forensik untuk menggali kubur berkenaan.
Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mei 2015 @ 8:12 AM

BEBERAPA anggota polis berkawal di kem rahsia yang dibina sindiket penyeludupan manusia.
- See more at: http://www.hmetro.com.my/node/47832#sthash.6e1c5SfC.dpuf

No comments:

Post a Comment